PENGGUNAAN fabrik yang berkualiti mampu menjadikan sesuatu rekaan busana itu tampak cantik dan eksklusif.

Tidak memerlukan rekaan yang berlebihan, fabrik itu sendiri memberikan kelebihan kepada keindahan rekaan busana yang ditampilkan. Pendek kata, kualiti dan perincian sesuatu jenis fabrik menjadi nadi keindahan pada setiap rekaan.

Menguasai dunia fabrik, Osman Silk House bukan calang-calang nama dalam industri tekstil. Ditubuhkan sejak tahun 1935, Osman Silk House sentiasa menawarkan rekaan fabrik yang berkualiti tinggi, mewah dan sentiasa mengikut trend fesyen masa kini. Menawarkan fabrik eksklusif, Osman Silk House menjadi medan untuk para pelanggan mendapatkan fabrik yang diidamkan.

Osman Silk House dikemudikan oleh pemilik yang juga Pengarah Urusan, Mohamed Anis Osmanbhoy.

Meneruskan legasi perniagaan warisan keluarga, Mohamed Anis merupakan generasi ketiga yang menguruskan perniagaan berorientasikan fabrik.

Menyentuh tentang susur galur penubuhan Osman Silk House, perniagaan ini diasaskan oleh datuk Mohamed Anis, Haji Osman Haji Ibrahim pada tahun 1935 di Kulim, Kedah. Osman Silk House yang bermula sebagai pemborong fabrik akhirnya berkembang pesat sebelum beralih secara beransuransur kepada perniagaan runcit pada tahun 1990-an.

Osman Silk House terus meniti sukses tahun demi tahun sehingga berjaya menjadi salah sebuah syarikat tekstil terkemuka di negara ini. Syarikat tekstil yang terkenal dengan kepelbagaian dan kualiti fabrik bermutu tinggi serta mampu milik ini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan yang kebanyakannya pelanggan tetap dan cukup setia dengan Osman Silk House.

Kekal bertahan

Sejak ditubuhkan kira-kira 82 tahun yang lalu, jenama ini terus berdiri teguh hingga ke hari ini. Mohamed Anis merupakan individu yang bertanggungjawab di sebalik kejayaan yang ditempa oleh Osman Silk House.

Sesungguhnya cabaran dalam sesebuah perniagaan ialah tentang strategi untuk mengekalkan sesebuah jenama agar kekal bertapak di sanubari pelanggan.

“Alhamdulillah sehingga tahun 2017, syarikat kami mampu bertahan meskipun tahap ekonomi negara ada pasang surutnya. Tidak dapat dinafi kan, Osman Silk House sudah melalui pelbagai evolusi. Kami sudah lama menceburkan diri dalam bidang ini dan menawarkan fabrik yang indah, eksklusif, berkualiti serta lain daripada yang lain.

“Osman Silk House menawarkan seleksi fabrik pertengahan sehingga eksklusif yang diimport dari manamana negara yang menghasilkan fabrik. Himpunan fabrik kami juga cukup istimewa dan berbeza daripada fabrikfabrik label lain kerana fabrik kami diperincikan dengan manik dan kemasan yang halus serta kemas, selain mengikuti rekaan fesyen fabrik terkini. Demi menjaga nilai estetiknya, kebanyakan fabrik kami didatangkan secara eksklusif dengan kuantiti yang terhad,” ujar orang kuat Osman Silk House ini lagi.

Setakat ini, Osman Silk House sudah pun mempunyai tiga buah cawangan iaitu di 104 Arab Street, Singapura, selain di Kuala Lumpur iaitu di 134 Jalan Tuanku Abdul Rahman dan di aras pertama di Semua House, Jalan Bunus 6. Deretan dan hamparan pelbagai fabrik mewah tentunya membuatkan para pelanggan rambang mata untuk memilih fabrik yang menjadi dambaan hati.

“Buat pasangan mempelai yang ingin melangkah ke jinjang pelamin, Osman Silk House merupakan syurga untuk anda memilih fabrik idaman. Fabrik-fabrik lace kami yang eksklusif pastinya membuatkan anda tampil sempurna bak bidadari di hari bahagia. Jemputlah datang ke Osman Silk House untuk membuat pilihan.

“Khusus buat pasangan mempelai, kami menyediakan pakej bermula dengan harga RM100 bagi setiap meter fabrik dan ke atas bergantung kepada rekaan fabrik yang dipilih. Selain menjadi tumpuan para mempelai yang ingin mendirikan rumah tangga, kami juga menjadi pilihan perancang perkahwinan untuk mendapatkan fabrik buat pelanggan mereka,” ungkap Mohamed Anis yang kini meniti usia 52 tahun.

Rahsia kejayaan

Bercerita lebih lanjut tentang koleksi terkini fabrik yang ditawarkan di Osman Silk House, semua rekaan fabrik menggabungkan konsep rekaan moden dan terkini. Malah, kebanyakan fabrik dipilih dengan teliti oleh Mohamed Anis sendiri dari pelbagai negara.

“Signature kami ialah fabrik lace yang didatangkan secara eksklusif. Dalam masa yang sama, kami juga menjadi pembekal kepada pengusahapengusaha industri perkahwinan secara langsung seperti perancang perkahwinan dan juga pengusaha butik perkahwinan.

“Harga yang kami tawarkan sesuai untuk semua golongan dan mampu milik. Para pelanggan boleh mendapatkan pelbagai fabrik berkualiti tinggi di semua cawangan kami. Bahkan fabrik lace kami juga boleh dimiliki dengan harga serendah RM80 dan ke atas untuk setiap meter fabrik yang dibeli,” jelas Mohamed Anis.

Adat dalam dunia perniagaan sudah tentu tidak dapat lari daripada persaingan. Ia ibarat rencah bagi merancakkan lagi perjalanan dunia perniagaan. Persaingan juga sebenarnya dapat mematangkan serta mengukuhkan lagi sesebuah perniagaan.

“Kami tidak pernah merasakan yang kami bersaing dengan label-label yang lain. Ini kerana kami sentiasa tampil dengan imej dan identiti yang tersendiri. Bagi saya, setiap pesaing kami punya keistimewaan masingmasing begitu juga dengan kami. Maka soal bersaing itu tiada dalam kamus dunia perniagaan saya.

“Dengan tiga buah cawangan yang kami ada, matlamat kami ialah untuk memastikan semua cawangan terus berdiri kukuh. Buat masa ini, kami belum bercadang untuk menambah cawangan kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap perjalanan bisnes sedia ada. Apa yang boleh kami janjikan, kami ingin maintain dengan kualiti, kuantiti dan harga patut yang ditawarkan kepada para pelanggan,” ujar Mohamed Anis lagi.

Cabaran dalam dunia bisnes memang sentiasa ada. Tidak selalu laluan yang ditempuhi sentiasa lurus tanpa liku. Ini diakui sendiri oleh Mohamed Anis. Namun itulah risiko yang perlu dihadapi apabila berkecimpung dalam dunia bisnes.

“Syukur walaupun Osman Silk House sudah meniti usia 82 tahun, kami masih mampu bertahan hingga ke hari ini. Cabaran-cabaran lain yang perlu didepani ialah untuk memastikan fabrik yang dipasarkan hadir dengan rekaan, idea dan motif terkini. Ini kerana rekaan fabrik dan tema warna sentiasa berubah-ubah mengikut arus peredaran fesyen. Jadi, kami perlu membuat sedikit kajian dan pemerhatian agar fabrik yang ditawarkan sentiasa memenuhi cita rasa para pelangan.

“Faktor utama yang mendorong saya untuk kekal berniaga ialah kepuasan pelanggan. Hubungan dengan pelanggan perlu dijaga dengan baik sepanjang masa. Paling penting, pelanggan berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan, selain mereka dapat apa yang diinginkan,” kongsi Mohamed Anis tentang rahsia kejayaannya mengendalikan perniagaan.

Penyokong dibelakang tabir

Di sebalik gahnya seorang lelaki, di belakangnya ada seorang wanita yang menjadi tulang belakang untuk setiap kejayaan yang ditempa. Begitu juga dengan Mohamed Anis, isterinya Zarina Abdullah merupakan insan paling penting dalam hidupnya kerana beliau tidak pernah jemu memberikan sokongan dalam apa jua situasi.

“Jujurnya saya tidak terlibat dengan pengurusan Osman Silk House secara langsung. Pendek kata, saya hanya membantu suami di belakang tabir sahaja. Saya sekadar mempromosikan label kami secara tidak langsung seperti menggayakan busana daripada fabrik Osman Silk House. Sebagai orang paling dekat dengan suami, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu suami meskipun dengan sumbangan yang kecil ini.

“Dunia fabrik punya prospek yang cerah. Melihat perkembangan dari tahun ke tahun, saya yakin bisnes fabrik mampu bertahan lama kerana ia bersifat evergreen. Secara peribadi, saya lebih gemar memilih fabrik yang ringkas dan tidak terlalu sarat namun ada sentuhan eksklusif,” jelas Zarina yang gemar memasak dan membeli-belah pada waktu senggangnya.

Ibu kepada empat orang cahaya mata berumur antara 27, 21, 20 dan 14 tahun serta nenek kepada seorang cucu berumur 2 bulan ini gemar mereka sendiri busana yang digayakannya.

Mungkinkah suatu hari nanti Osman Silk House akan tampil dengan koleksi ready to wear memandangkan Zarina gemar mereka fesyen busana? Ini jawapan Zarina.

“Memang ada angan-angan untuk saya ‘bergerak’ ke arah itu. Walau bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka. Mendapatkan tukang jahit yang mahir amat penting bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan terjamin daripada segi kualitinya. Buat masa sekarang, cita-cita saya untuk menghasilkan koleksi ready to wear ini umpama impian yang belum terlaksana.

“Anak ketiga saya juga sudah ada minat untuk berkecimpung dalam bisnes fabrik. Sebagai ibu, saya amat memberikan galakan kepada anak saya untuk serius dalam bidang berpaksikan dunia fabrik ini. Mungkin selepas anak ketiga saya terlibat dengan pengurusan Osman Silk House secara langsung, citacita untuk menghasilkan koleksi ready to wear akan tercapai,” akhiri Zarina menutup bicaranya.

 


 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.