MENYUSU di khalayak ramai! Hanya golongan wanita yang bergelar ibu sahaja yang tahu sejauh mana untuk menghadapinya dalam suasana dan persekitaran ketika itu.

Jika diteliti, ibu yang menyusukan anak sepenuh masa kadang kala menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka di tempat awam. Situasi sebegini selalunya terjadi ketika mereka keluar membeli-belah atau bersantai, menjamu selera di restoran malah ketika di dalam kenderaan sendiri.

Kebanyakan golongan ibu ini terpaksa mencari tempat yang sesuai untuk menyusukan anak mereka kerana bukan semua tempat mempunyai bilik khas penyusuan melainkan di pusat beli-belah yang besar.

Ramai yang berpendapat, jika di tempat terbuka agak kurang manis apabila dilihat orang apatah lagi sekiranya tersilap langkah, apa yang ditutup dilihat orang. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan aib ibu itu sendiri tetapi jika ada suami mungkin perasaan itu akan terpalit pada pasangan itu juga.

Situasi tersebut bukan setakat mengundang malu tetapi mungkin akan ada cakap-cakap belakang yang kurang menyenangkan. Apatah lagi sekarang dunia siber yang semakin canggih semua perkara boleh jadi viral di laman sosial dalam tempoh yang singkat.

Jadi ada baiknya setiap pasangan sentiasa berhati-hati dalam hal ini terutama ketika berada di tempat awam. Jangan sampai sudah terkena baru mula tersedar kesilapan yang berlaku.

Malah dalam Islam juga tidak melarang wanita untuk menyusukan anak di khalayak ramai tetapi dengan syarat aurat si ibu tidak terdedah dan tidak mengundang fitnah dalam kalangan orang ramai. Senang cerita biarlah ikut syariat.

Walau apa keadaan sekalipun wajar untuk setiap pasangan itu sentiasa peka dalam hal ini dan mengelakkan pra sangka negatif.

Masyarakat boleh terima

Hari ini ibu yang menyusukan anak sudah tidak perlu lagi risau ketika anak merengek mahukan susu jika berada di tempat awam. Sudah banyak nursing cover yang dijual di pasaran bagi memudahkan ibu-ibu menyusu dengan selesa tanpa rasa malu.

Nursing cover ini dianggap sebagai pelindung utama kepada wanita. Bukan setakat membantu wanita itu tetapi ia lebih fleksibel dan mudah dibawa ke mana-mana. Dalam masa sama hubungan anak dan ibu akan tetap terjalin dengan mesra.

Mempunyai pelbagai saiz mengikut bentuk badan memudahkan lagi pengendalian dilakukan tanpa sebarang masalah.

Selain itu, dek kerana kerancakan fesyen semasa sudah banyak baju menyusu direka oleh pereka tempatan bagi memberi peluang kepada wanita yang mempunyai anak kecil dan menyusu tampil bergaya.

Buat ibu muda yang menyusukan anak usah risau mengenai hal ini. Asalkan apa yang kita lakukan tidak salah di sisi agama. Harus tahu setiap garis panduan dan pasangan itu sendiri perlu banyak membantu.

Boleh dikatakan masyarakat juga sudah boleh menerima keadaan ini dan tidak menganggapnya pelik. Cuma yang menjadi masalah baru-baru ini adalah selfie yang tidak bertempat.

Sewajarnya perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana bukan sahaja memalukan kaum wanita tetapi golongan ibu yang menyusu turut terkena tempiasnya dengan kritikan yang dilontarkan oleh orang ramai.

Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sewajarnya perkara itu perlulah menjadi pengajaran kepada semua pihak agar perkara sama tidak berulang lagi.

Minggu ini Wow membawa isu penyusuan di khalayak dan perkongsian pandangan dengan golongan ibu serta pihak yang berkenaan membicarakan hal tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENYUSUKAN bayi itu adalah satu amalan murni dan digalakkan. Selain untuk memberikan khasiat kepada bayi, ia juga dipandang mulia. Namun apabila ia dilakukan di hadapan khalayak, maka beberapa perkara berkaitan perlu diberi keutamaan.
  • MENYUSUKAN anak di khalayak mengundang pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang bersetuju dan juga sebaliknya. Malah lebih berat lagi apabila ada individu ‘berselfie’ dan dimuat naik dalam media sosial dan diviralkan.