SCHA Alyahya satu nama yang tidak asing lagi di arena seni tanah air. Kelebihan wanita yang menjadi belahan jiwa Awal Ashaari ini ibarat magis dengan ‘kuasa’ tersendiri. Sisi kehidupan peribadi bersama permata hatinya, Lara Alana antara daya tarikan para peminat untuk terus ‘dekat’ dengan dirinya.

Ketika ditemui di majlis kempen Mak Hebat, Mak Menang anjuran Dutch Lady di mana Scha bertindak sebagai duta, Scha amat berbesar hati kerana dipilih untuk memikul tanggungjawab tersebut. Sikap Scha yang mesra dan bersahaja membuatkan beliau sentiasa disenangi.

“Ia satu penghargaan yang tidak terhingga buat diri saya kerana diberikan kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai duta sekali gus menjadi jurucakap bagi mewakili produk ini. Saya akan terlibat dengan siri jelajah (roadshow) yang telah diatur untuk rangka promosi di Melaka, Kelantan dan Singapura,” tutur Scha membuka lembaran bicaranya.

Sering menjadi pilihan kebanyakan jenama terkenal sebagai duta produk, Scha menganggapnya sebagai rezeki. Setakat ini Scha memegang tanggungjawab sebagai duta Johnson & Johnson, Yakult, Downy dan Bio Essence, selain Dutch Lady. Malah kontrak Scha sebagai duta Bio Essence juga sudah masuk tahun keenam.  

“Alhamdulillahlah apabila ada pihak yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi duta sekali gus jurucakap bagi produk-produk tersebut, saya rasa sangat berbangga. Apabila sudah diberikan kepercayaan memikul tanggungjawab membawa nama sesuatu jenama, saya akan gunakan kepercayaan tersebut sebaik mungkin.

“Peluang ini juga saya anggap sebagai sebahagian daripada strategi ‘penjenamaan’ diri saya. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana masih memberi kepercayaan kepada saya dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan sama ada sebagai duta mahupun jurucakap produk,” jelas Scha.  

PRODUK WANGIAN

Selain menguruskan aktiviti seni, Scha dan Awal juga turut menguruskan perniagaan dengan melancarkan produk wangian mereka iaitu Bleu dan Maroon. Awal juga tidak kurang sibuknya apabila memiliki syarikat pengurusan acara sendiri iaitu Lawa Events Kuala Lumpur.

“Walaupun ada selebriti lain yang mengeluarkan wangian tetapi kami cuba untuk jadi lebih dinamik dan buat apa yang kami suka serta rasa dekat dengan diri. Ini merupakan kolaborasi pertama kami suami isteri dan istimewanya, wangianlah yang menjadi detik awal perkenalan kami dahulu.

“Wangian Bleu daripada Awal Ashaari merupakan wangian maskulin yang menggabungkan pelbagai jenis tumbuhan. Manakala wangian Maroon daripada Scha Alyahya memberi sentuhan feminin dan mewujudkan sensasi tersendiri. Boleh didapati di rangkaian media sosial dan enam stokis terpilih, wangian ini ditawarkan dengan harga RM55 untuk 30 milimeter,” terang Scha tentang produknya.

Menurut Scha, ini bukan kali pertama dia terlibat dalam dunia perniagaan. Sebelum ini, dia muncul dengan perniagaan berasaskan pakaian. Cuma sekarang ini ujar Scha, dia sudah mula melibatkan diri dengan bisnes berasaskan produk.

“Bagi saya bisnes tidak boleh lari daripada dunia selebriti. Dengan adanya bisnes, dalam masa yang sama juga ia akan menyokong kerjaya saya dalam dunia lakonan. Dunia lakonan juga merupakan satu publisiti dalam dunia bisnes. Pendek kata, dunia selebriti dan dunia bisnes saling berkaitan antara satu sama lain. Apabila ada publisiti maka nama saya masih relevan,” tutur Scha ringkas.  

Selain itu, Scha juga banyak melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Salah satunya aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah KFC Malaysia (KFC). Sudah masuk tahun ketiga Scha terlibat dengan program CSR tersebut.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah memberi makanan kepada gelandangan dan mengutip derma untuk mengisi tabung golongan yang serba kekurangan ini. Bagi saya sebagai seorang selebriti, kita boleh mainkan peranan dan bukan hanya mengejar glamor semata-mata.

“Jujur saya katakan yang saya suka dengan tanggungjawab sebagai duta produk namun dalam masa yang sama juga, saya suka melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Ia sebagai salah satu cara saya ‘memberi’ kepada mereka yang memerlukan tanpa memikirkan soal duit dan glamor selain memenuhi tanggungjawab sosial yang boleh saya lakukan sebagai seorang selebriti,” ungkap Scha penuh makna.  

KELUARGA BAHAGIA

Lumrah kehidupan seorang wanita, sudah tentu tidak dapat lari daripada tugas hakiki seorang insan bergelar isteri dan juga ibu. Meskipun sering dihimpit kekangan waktu namun Scha ternyata bijak memainkan peranannya dalam menguruskan rumah tangga serta kerjaya secara serentak.  

“Saya bersyukur kerana mempunyai support system iaitu ahli keluarga yang sangat memahami. Ahli keluarga banyak memberikan sokongan kepada kerjaya saya. Macam ibu saya, jika dia tahu saya sibuk contohnya apabila saya perlu pergi ke Jepun untuk melunaskan tugas sebagai duta Yakult, dia akan menjaga Lara dengan pembantu saya.  

“Biasanya saya dan Awal akan mengatur jadual tugas kami agar seimbang. Jika saya perlu bertugas, Awal akan ada untuk menjaga Lara, begitu jugalah sebaliknya. Dengan cara ini, kami masing-masing dapat bergilir-gilir menjaga Lara.  

“Apabila ada masa terluang untuk bersama dengan Lara, saya akan pastikan yang saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada Lara. Lagipun Lara masih kecil dan dia sangat memerlukan perhatian penuh daripada kami berdua,” ujar Scha.

Persefahaman dan kerjasama amat penting antara Scha dan Awal. Apabila melibatkan perkara-perkara berkaitan menguruskan Lara, pasangan ini tidak mahu melepaskan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu mereka.

“Setiap hari Awal akan memperuntukkan masa untuk mengambil dan menghantar Lara ke sekolah walaupun pada hari bekerja. Saya pula lebih kepada tugas-tugas sebagai seorang ibu seperti memandikan dan menidurkan Lara. Awal banyak bertindak sebagai pengurus keselamatan Lara. Pendek kata, saya dan Awal sudah tahu tanggungjawab masing-masing. Jadi segalanya dapat berjalan dengan lancar,” jelas Scha.

Tugas mendidik anak-anak pada masa kini memang sangat mencabar. Ini diakui sendiri oleh Scha. Dalam kesibukan menguruskan kerjaya, tanggungjawab sebagai ibu juga wajib diberikan keutamaan.

“Bagi saya cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada masa kini ialah cabaran dari sudut dunia teknologi. Ini merupakan perkara yang paling sukar untuk dikawal kerana anak-anak mudah untuk mengakses Internet melalui telefon bimbit dan komputer.  

“Dahulu saya beri kebebasan kepada Lara tanpa sebarang had tetapi sekarang ini saya kawal. Saya masih memberikan Lara untuk ‘bermain’ dengan gajet namun saya hadkan hanya 45 minit dalam sehari.

“Sebagai ibu bapa kita perlu mengehadkan pendedahan medium ini kepada anak-anak kerana ia tidak bagus untuk perkembangan mental dan fizikal mereka. Apabila sudah leka dengan gajet maka anak-anak akan kurang berinteraksi dengan ahli keluarga,” jelas Scha.

DUNIA LAKONAN

Tatkala ditanya, tidakkah dia rindu untuk berlakon semula. Jawapan Scha tentulah dia amat merindui untuk beraksi semula di pentas lakonan. Dunia lakonan umpama sudah sebati dalam dirinya.

“Saya baharu sahaja selesai penggambaran Drama Queen. Apabila sudah berlakon semula, saya dapat rasakan yang saya sudah mula rindukan dunia lakonan. Saya memang mendapat banyak tawaran untuk berlakon tetapi apabila melibatkan lokasi di luar daerah agak sukar untuk saya memberikan komitmen.

“Jadual saya memang agak padat jadi saya sendiri rasa segan untuk berikan jadual saya kepada pihak produksi. Apabila saya tidak perlu bertugas di luar daerah, baharulah saya akan menerima tawaran untuk berlakon semula.

“Agak susah untuk saya memberikan komitmen apabila saya perlu bertugas di tempat yang jauh. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak menerima sebarang tawaran lakonan jika saya tidak mampu memenuhi tuntutan produksi,” akhiri Scha menutup perbualan.

Tip Kekalkan Stamina Cara Scha

1.    Minum air secukupnya. Jika ke mana-mana saya akan bawa air kosong agar saya dapat minum air secukupnya.

2.    Dapatkan tidur yang cukup. Ia amat penting bagi memastikan kesegaran tubuh. Ia merupakan asas paling penting untuk mengekalkan stamina.

3.    Saya akan bersenam di gimnasium setiap hari selepas menghantar Lara ke sekolah. Selalunya saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya selama satu setengah jam di gimnasium.

4.    Kawal pemakanan seharian. Makan biarlah berpada-pada dan sentiasa amalkan menu makanan yang sihat. 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.