PADA 15 Jun 2017, Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association) telah mengeluarkan kenyataan yang dilaporkan dalam jurnal Circulation di mana sebahagiannya berbunyi (bermaksud), ‘Lembaga penasihat presiden AHA berkaitan diet berlemak dan penyakit kardiovaskular (PKV) telah menyemak dan membincangkan bukti saintifik termasuk kajian-kajian terkini ke atas kesan pengambilan makanan berlemak tepu serta penggantiannya dengan lelemak dan karbohidrat jenis lain ke atas PKV.

Secara ringkas, kajian-kajian rawak terkawal menunjukkan pengambilan diet rendah lemak tepu dan menggantikannya dengan minyak poli tak tepu merendahkan PKV sebanyak 30% iaitu serupa dengan pengurangan yang dicapai dengan rawatan menggunakan statin (penulis: ubat mengawal paras kolesterol).’

Judul Berita

Lantaran kenyataan tersebut, pelbagai media utama telah menyebarkan berita buruk mengenai minyak kelapa iaitu minyak masak kategori lemak tepu. Tajuk-tajuk berita yang tersebar antara lain berbunyi, Coconut oil has more ‘bad’ fat than beef and butter: heart doctors (Reuters.com), Coconut Oil May Have Just Lost Its Health Halo (Bostonmagazine.com) dan Coconut oil isn’t healthy. It’s never been healthy (USAToday.com).

Langkah AHA memburukkan lemak tepu termasuk memasukkan minyak kelapa dalam senarai minyak dicadangkan untuk dijauhi bagi mengurangkan risiko PKV bukanlah satu perkara baharu. Propaganda ini sebenarnya telah dijalankan secara konsisten sejak tahun 1961.

Kenyataan AHA tersebut adalah berdasarkan kajian meta-analisa mereka terhadap empat jenis kajian yang berbeza. Para saintis penyelidik AHA mengumpulkan data kesemua empat kajian berbeza tersebut dan menganalisisnya bersama-sama.

Tiada satu pun kajian yang disemak mereka itu ada kena-mengena dengan minyak kelapa atau komponen utama minyak kelapa iaitu asid laurik.

Untuk pengetahuan anda, lemak tepu bukan hanya terdiri daripada satu bahan kimia. Struktur bahan-bahan kimia kategori lemak tepu memang serupa namun setiap satunya berbeza daripada segi jumlah bilangan karbon.

Minyak kelapa kaya asid laurik iaitu kategori lemak tepu rantai sederhana terdiri daripada 12 karbon.

Lemak tepu dalam susu dan mentega asli pula terdiri daripada majoriti lemak tepu rantai pendek terdiri daripada bilangan karbon yang rendah, misalnya asid butirik dengan 4 karbon. Lemak tepu terdapat pada haiwan dan minyak sawit pula terdiri daripada lemak tepu rantai panjang seperti asid palmitik dan stearik, masing-masing dengan 16 dan 18 karbon.

Kajian-kajian yang dianalisis oleh AHA kesemuanya terdiri daripada pesakit-pesakit yang menggantikan lemak haiwan dengan lemak tak tepu terutama minyak kacang soya.

Mereka mendapati penurunan penyakit jantung koronari dalam kumpulan-kumpulan yang melakukan penggantian berbanding kumpulan-kumpulan kawalan.

Pilih Ceri

AHA dikatakan oleh ramai pengkritik menggunakan kaedah ‘pilih ceri’ (cherry pick) : memilih kajian-kajian terbaik yang sesuai dengan kesimpulan meta-analisa yang telah mereka rangka dan jangka) dalam memilih kajian yang sesuai untuk dianalisis.

Pada bahagian pengenalan artikel, para penyelidik kajian berkata, “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meta-analisa terhadap kajian-kajian bersifat observation (pemerhatian) dan ujian-ujian klinikal antara diet berlemak tepu dan PKV berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan bertentangan.” 

Malang sekali kerana empat kajian yang mereka pilih ialah kajian-kajian lama iaitu pada tahun 1969, 1970, 1968 dan 1979 - kesemuanya kajian berusia hampir 40 tahun! Ini bukan kali pertama kaedah ‘pilih ceri’ berlaku sepanjang sejarah lemak tepu atau kajian nutrisi.

Sebaliknya, analisis ke atas kajian-kajian terkini berbentuk meta-analisa dan semakan oleh pengarang Nutrition-coalition.org menunjukkan tiada kaitan jelas ditemui antara pengambilan lemak tepu dan penyakit jantung serta kematian (akibat) kardiovaskular. Baca artikel berjudul Saturated Fats: Do They Cause Heart Disease?

Sesetengah pengkritik juga menyelar AHA kerana laporannya gagal membezakan antara pengertian statistik dan pengertian klinikal. Ia juga diselar kerana hanya menumpukan kepada LDL-kolesterol dan langsung tidak menyentuh mengenai LDL-nombor partikel (LDL-particle number). Nombor partikel LDL (LDL-P, kepekatan LDL) dikatakan sebagai peramal penyakit kardiovaskular yang lebih kukuh berbanding LDL-kolesterol.

Siapa AHA?

AHA, sebuah pertubuhan bukan mendahulukan pendapatan ditubuhkan pada tahun 1924 oleh sekumpulan doktor pakar jantung bertujuan mencegah atau melawan penyakit jantung dan strok dengan menaja kajian, menyebar luas polisi kesihatan awam tertentu dan menyediakan pendidikan kesihatan jantung kepada orang awam.

Keberkesanan usaha AHA dikatakan dikelabui oleh politik dan interpretasi sains yang sering dipersoalkan (oleh pelbagai pihak). Ia sering kali dilihat berusaha memberi kesedaran kepada orang ramai agar mengganti lemak tepu dengan Omega-6 bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Omega-6 ialah minyak poli tak tepu terdiri daripada dua ikatan ganda dua yang mudah teroksida (antara lain kepada 4-hydroxynonenal). Minyak kacang soya, jagung dan bunga matahari tergolong kaya dengan Omega-6.

Panel Penasihat Nutrisi Industri AHA dikatakan disertai oleh antara lain Nestlé, Coca-Cola, The Sugar Association, The United Soybean Board, McDonald’s USA dan The US Canola Association. Baca senarai penuh dalam American Heart Association Industry Nutrition Advisory Panel Roster (heart.org).

Ramai pengkritik percaya kehadiran ketua-ketua industri tersebut sebagai panel penasihat AHA mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi cadangan badan itu.

Bahrain Samah,MH,MD(AM) Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
  • DALAM sehari, kebiasaannya kita akan menghabiskan masa antara 6-8 jam untuk tidur. Oleh itu, penting agar bilik tidur sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan tenang. Jika tersilap memilih warna bimbang kualiti tidur anda akan terganggu. Warna oren misalnya mungkin tampak menonjol dan cantik apabila dicat dalam bilik tidur. Tetapi tahukah anda, warna oren boleh merangsang deria untuk kekal aktif dan bertenaga?
  • PENGGUNAAN fabrik yang berkualiti mampu menjadikan sesuatu rekaan busana itu tampak cantik dan eksklusif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.