BAGAI satu rahmat yang penuh keberkatan, anak cucu kembali ke desa, membangunkan kembali kediaman pusaka yang kian condong dimamah waktu. Berkat kemahiran dan gotong royong,  setiap anak cucu bergabung tenaga  serta wang ringgit, membaik pulih kediaman datuk mereka yang sudah selayaknya dipanggil rumah usang. Menanti masa untuk menyembah bumi, rumah atas yang dahulu uzur kini pulih kembali memancar seri.  keindahan seni bina tradisi kediaman datuknya yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Bermula dengan sekadar melawat kediaman lama  yang dimamah waktu,  waris pemilik kediaman yang dibina pada tahun 1966 ini mendapat ilham untuk memelihara kembali kediaman pusaka  mereka. Apatah lagi apabila mengenangkan sudah tidak banyak kediaman tradisi seumpama ini di serata tanah air. Jika tiada siapa yang membela nasib rumah tradisi seumpama ini, lenyaplah identiti seni bina melayu secara amnya. Biar sudah banyak strukturnya reput dan hilang malah tangga untuk ke atas juga sudah tiada, namun lahir semangat dan tekat untuk menjadikan rumah lama ini sempurna kembali.

Ia bukan satu kerja mudah kerana kayu bukan material yang murah dan mereka yang pandai bertukang kediaman tradisi melayu juga kini sudah boleh dibilang dengan jari sepuluh. Aznol Hadi dan  sepupunya menganalisa ruang yang boleh diguna pakai serta ruang yang sememangnya perlu diubahsuai demi keselamatan dan keselesaan. Kediaman tradisi yang mempunyai keluasan sekitar 4000 kaki persegi ini diubah suai baik di bahagian dalam juga luarnya.

“Kami melihat kediaman ini perlu dibela dan dibaik pulih. Ia bukan sahaja mempunyai banyak nostalgia malah inilah warisan untuk anak cucu kami. Melihat dimana asal usul dan ia juga kini merupakan destinasi sanak saudara berkumpul, menyatukan kami secara tidak langsung. Biasanya bila orang tua sudah tiada, ramai yang membuat hal masing-masing. Jadi dengan berkat sepakat kami  semua, kediaman datuk  berjaya ‘dihidupkan’ kembali dan dibaik pulih serta diberi sedikit pengubahsuaian,” ujar Aznol Hadi yang merupakan ketua bagi projek baik pulih ini.

Pelan lantai dan struktur

Sebagaimana pelan lantai kediaman lama, rumah ibu dan rumah dapur mempunyai unit yang berasingan. Malangnya rumah dapur kediaman ini sudah tidak dapat diselamatkan lagi malah agak merbahaya kerana sudah tidak kukuh. Banyak struktur yang rosak dan hilang. Jadi rumah  ibu diperkemaskan dari struktur lantai, bumbungnya dan rekaan jendelanya juga dinaik taraf. Hasnol memilih rekaan jendela lama yang mesra persekitaran. Struktur pangsi  pada jendela, memberi kitaran udara agar nyaman sentiasa. Malah tangga kediaman ini juga dinaik taraf dengan membina tangga batu yang mempunyai pengaruh Melaka tetapi dalam sentuhan kontemporari.

Apa yang menarik, rona asal kediaman ini dikekalkan. Manakala bahagian jendela dicat putih bagi menyerlahkan struktur bukaan sebagaimana yang sering kita lihat di kediaman kolonial atau pun kediaman tradisi Scandinavian. Elemen seumpama inilah yang menjadikan kediaman lama ini lebih berseri malah cantik dihias laman yang penuh dengan bunga-bungaan berwarna-warni.

“Sebagai pereka bentuk dalaman, adalah satu cabaran bagi saya untuk mereka bentuk kembali suasana dalaman agar tampil lebih kontemporari, selesa dan nyaman. Maklum sahajalah dalam kita memelihara yang lama, tidak salah kalau kita menyajikan sesuatu yang baru,” ujar Aznol Hadi.

Pembahagian ruang

Selalunya kediaman Melayu dibahagikan kepada dua. Untuk orang lelaki berkumpul dan wanita. Lebar  pada bahagian utama kediaman ini memanjang sehingga lebih 50 kaki lebar dan bahagian hadapan dibahagikan ruang dalam 5 kaki menganjur  ke tangga masuk.  Malah di bahagian hadapan di sebalah kanan tangga masuk, kediaman Melayu merupakan tempat solat yang mempunyai keluasan dalam 5 kaki x 7 kaki  juga dibaik pulih dan di dwi fungsi sebagai ruang santai untuk kaum lelaki apabila pulang ke desa. Apatah lagi kawasannya yang dikelilingi jendela dan nyaman sentiasa dihembus bayu.  

Salah satu idea menarik Aznol adalah  menempatkan panel berbusa bagi meminimakan bunyi hentakan kaki pada lantai kayu. Malah panel ini juga membataskan ruang foyer dan ruang solat agar lebih privasi. Dari anak tangga utama kita akan ke bahagian kiri kediaman yang membawa terus ke ruang balas ufuk barat yang dijadikan ruang menonton. Manakala ruang utama rumah ibu dihias indah dengan panel berbusa menutup dinding papan kediaman ini. Di samping menyerap bunyi, ia juga mudah dibersihkan dan tampil kemas.

“Di samping dinding, perabot lama ini juga saya baik pulih dan beri sentuhan segar. Misalnya  kerusi di ruang tamu ini , busanya semua diberi sentuhan baru yang lebih kontemporari dan mudah untuk diselengara. Di samping perabot lain dan gambar-gambar lama juga saya naikkan kembali sebagai pencuci mata agar memori lalu keluarga ini tetap segar . Malah anak cucu juga boleh mengenali  generasi terdahulu. Bagi  saya ini adalah salah satu cara kita mendidik jati diri generasi baru agar menyintai tradisi dan warisan,” ujar Aznol Hadi lagi.

Ruang makan yang dahulunya di belakang kini diletakkan di tengah rumah. Ia bukan sahaja memudahkan untuk menjamu tetamu yang bertandang. Biar pun rata-rata apabila pulang ke desa, seisi keluarga lebih selesa menikmati juadah desa di bahagian dapur yang kini diperluaskan demi keselesaan ramai.

Kini rumah pusaka ini didiami oleh anak bongsu keluarga ini iaitu Maimunah Haji Alias. Kebetulan pula, ia bersesuaian dengan dengan adat Negeri Sembilan yang meletakkan tanggungjawab anak perempuan menjaga kediaman pusaka agar terus dijaga rapi. Tambahan pula di kediaman desa ini,  halamannya luas. Sekali gus membenarkan penghuni bercucuk tanam dan membina tamannya sendiri.  Paling tidak, anak cucu kini sudah punya ‘kampung’ untuk dituju apabila ada hari kebesaran dan lain-lain.  

Ternyata gabungan sentuhan baharu dan lama dalam sebuah kediaman tradisi ini bukan sahaja menyentuh perasaan malah  Aznol berharap agar menjadi inspirasi kepada pemilik kediaman lain agar jangan sewenang-wenangnya merobohkan kediaman tradisi kerana itu adalah khazanah warisan bangsa. Benar ia bukan mudah dan murah. Namun jika ada usaha bersama, nescaya akan ada jalan terbaik untuk mengekalkannya  terus tegak berdiri.

Nama pemilik asal : Allahyarham Haji Alias bin Nahu (Haji Pikeh)

Luas kediaman: 4000 kaki persegi

Jenis kediaman: tradisi melayu

Tahun di bina: 1966

Tahun dibaikpulih: 2015

Lokasi: Kuala Pilah Negeri Sembilan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :