SEPERTI dinyatakan dalam artikel penulis berjudul Buah-buahan Masak dan Sayur-sayuran Secara Semula Jadi Mengandungi Alkohol! (18 Jun 2017, Sinar Harian), buah-buahan masak mengandungi metanol dan etanol. Metanol juga terdapat pada sayur-sayuran. Jadi, metanol dan etanol merupakan sebahagian daripada kehidupan anda.

Pektin yang terdapat pada buah-buahan, sayur-sayuran, ubi dan bijirin terdiri daripada pectin methyl ester. Mikrobiota kolon bertanggungjawab menjalankan fermentasi ke atas pektin (proses de-esterifikasi) dalam menghasilkan metanol.

Metabolisme S-adenosyl methionine (SAM) dalam tubuh juga menghasilkan metanol. Kajian mendapati darah manusia mengandungi metanol dan etanol yang terhasil daripada metabolisme pada kuantiti rendah iaitu antara 0.035 hingga 5.37 mg per liter (darah).

Metanol juga dikesan dalam susu ibu, air liur dan air kencing. Kepekatan metanol dalam darah ialah 400-1,000 kali lebih rendah daripada paras kepekatan beracun.

Aspartame

Selain itu, sumber luar tubuh metanol yang lain ialah udara, minuman keras (bird an spirit) dan aspartame (pemanis tiruan dalam Coke tanpa gula).

Sumber luar tubuh bagi etanol pula ialah minuman keras, tapai, sesetengah kicap (kajian luar negara: antara 0.0004 - 0.17%) dan dalam udara. Sungguh pun kimchi menjalani fermentasi bakteria asid laktik namun ia juga mengandungi etanol sebagai salah satu produk fermentasi.  

Terdapat pendapat bahawa makanan-makanan diperam (kecuali bir dan spirit) tersebut ialah harus dimakan selagi ia tidak memabukkan. Ia sebagaimana hukum memakan tapai seperti terkandung dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei 2003 iaitu jika paras alkohol pada tapai (penulis: makanan yang diperam dan mengandungi alkohol, MDMA) itu sampai kepada tahap yang memabukkan, maka tidak syak lagi tapai (penulis: atau MDMA) itu haram dimakan.

Tapai (penulis: atau sebarang MDMA) yang sifatnya memabukkan adalah sama seperti hukum arak seperti sabda Rasulullah SAW, “Setiap yang memabukkan itu adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan (juga) adalah haram.” (Hadis riwayat Muslim).

Koko kaya dengan polyphenol yang dipercayai membantu mengurangkan paras formaldehid dan asetaldehid dalam darah.

Formaldehid dan Asetaldehid

Formaldehid dan asetaldehid, masing-masing merupakan produk pengoksidaan metanol dan etanol yang terdapat secara semula jadi pada buah-buahan masak. Formaldehid pula terdapat pada sayur-sayuran. Kedua-duanya yang memiliki jangka hayat singkat juga terdapat dalam tubuh manusia pada paras rendah.

Walaupun jangka hayatnya pendek, formaldehid dan asetaldehid merupakan pengoksida berkuasa dan ia dikatakan boleh menyebabkan kerosakan komponen sel (termasuk sel saraf) termasuk DNA.

Kajian menunjukkan darah individu berpuasa mengandungi paras formaldehid dan metanol yang rendah. Paras kedua-dua molekul ini meningkat secara ketara setelah seseorang mengambil sayur-sayuran (kerana kandungan pektin).

Analisa ke atas pelbagai produk buah-buahan dan sayur-sayuran menggunakan teknik kromatografi mendapati kepekatan formaldehid yang berbeza-beza iaitu pada julat antara 3 hingga 26 mg per kg. Ia juga dikesan dalam sesetengah susu dan produk tenusu.

Ikan laut berpotensi mengandungi formaldehid kerana sesetengah nelayan dikatakan menyiram formalin (30% formaldehid dan selebihnya air) ke atas ikan yang akan disejuk beku dengan ais.

Asetaldehid pula terdapat pada buah-buahan masak misalnya pisang antara 1.88 – 18.27 mg/kg, jus oren segar 5.89 mg/kg dan yogurt berperisa buah-buahan 17 mg/kg. Anggaran pengambilan asetaldehid daripada makanan harian ialah ~40 mikrogram per kg (berat badan).   

Kedua-dua formaldehid dan asetaldehid merupakan pengoksida berkuasa dan paras yang tidak dikawal dipercayai akan menyebabkan stres oksidatif.  Stres oksidatif berpanjangan dipercayai boleh menyebabkan kerosakan saraf, penyakit jantung koronari dan kanser.

Golongan Tua

Kandungan formaldehid yang tinggi telah dikesan dalam darah dan otak pesakit-pesakit mengalami kerosakan saraf otak. Ia juga dikesan dalam darah golongan tua. Gangguan pada mekanisme-mekanisme genetik dan biokimia yang bertanggungjawab mengekalkan paras formaldehid yang rendah dipercayai sebagai punca.

Mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sesetengah sayur-sayuran kaya polifenol (bioflavonoid (sebahagian), stilbene dan lignan) dipercayai dapat mengurangkan paras metanol dan etanol (kajian: berdasarkan paras misalnya etanol dalam urin) dalam tubuh - sekali gus mengurangkan paras formaldehid dan asetaldehid.

Makanan kaya dengan fitonutrien polifenol antara lain termasuk kunyit, cengkih, bunga lawang, koko, buah delima, minyak zaitun ekstra dara, teh hijau, kopi, rosemary, thyme, sage, daun selasih, ciku, pisang muda dan jantung pisang. Polifenol memiliki sifat-sifat antara lain sebagai antioksidan, antiradang dan antikanser.

Sifat-sifat ini yang juga ditawarkan oleh pelbagai nutrien lain seperti vitamin A, C, D dan E. Begitu juga fitonutrien seperti polisakarida (cendawan dan rumpai laut), karotenoid, triterpenoid, indole dan limonoid.

Semua nutrien atau fitonutrien tersebut dipercayai membantu merencatkan pembentukan sel-sel kanser akibat kerosakan DNA berpunca daripada serangan formaldehid dan asetaldehid.

* Bahrain Samah, Pendidik/Penulis genre perubatan preventif/alternatif

Bahan bacaan lanjut:

1.Yuri L. Dorokhov, et al. ‘Metabolic Methanol: ‘Molecular Pathways and Physiological Roles,’ Physiological Reviews (2015)

2.Chem Frenkel et al. ‘Pectin Methylesterase Regulates Methanol and Ethanol Accumulation in Ripening Tomato (Lycopersicon esculentum) Fruit.’ The Journal of Biological Chemistry (1998)

3.‘Is every drink or food in which alcohol present haram (forbidden)?’ Questionsonislam.com
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERIKUTAN khabar angin mengenai kematian personaliti televisyen, Datuk Mahadzir Lokman, ahli keluarganya memohon kerjasama semua pihak untuk hentikan penularan berita tersebut.
  • SEREMBAN - Pelawak terkenal, Nabil Ahmad dipilih sebagai Duta Rumah Ngaji Negeri Sembilan, sempena Pelancaran My Family#QuranHour ‘Rahsia Luqman’ Interaksi Surah Luqman di Bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) semalam.
  • WALAUPUN dianggap baru, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini sedang memacu laju dengan pelbagai usaha dalam memastikan dapat menghasilkan graduan yang terbaik dalam negara. Sempena pemasyhuran Pemangku Sultan Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra sebagai Canselor UMK, Sinar Harian berkesempatan menemu bual Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Mortadza Mohamed.
  • BEIJING - Mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sekadar jaminan untuk masa tua saya, tapi ia juga memudahkan urusan pembelian kediaman idaman saya kelak,” kata Ku Nur Madihah Ku Yaacob, 34.
  • SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bakal menganjurkan jualan dengan konsep Empayar Makanan dan Fruit and Flower Kingdom sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 bermula 28 September hingga 1 Oktober, ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.