DR Niki Shuhada bukanlah nama kerdil dalam dunia korporat. Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, Dr Niki sememangnya dikagumi kerana kecemerlangan beliau dalam dunia kerjaya yang sangat-sangat dicintainya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Sewajarnya wanita cekal seperti Dr Niki ini dijadikan sumber inspirasi untuk mencipta kejayaan serta sebagai pembakar semangat untuk menempa impian.

Dr Niki merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik dan dibesarkan di Kuala Kangsar, Perak.

Minatnya dalam bidang perniagaan bermula sejak usianya 10 tahun di mana beliau melukis dan menjual kad-kad ucapan yang ditempah oleh rakan-rakan di sekolahnya.

Pada tahun 1989 sekembalinya dari belajar di Australia, beliau berkhidmat sebagai pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) sebelum mendirikan rumah tangga dengan Amirul Shukry Kadri, seorang jurutera syarikat telekomunikasi yang pada masa itu berkhidmat di United Kingdom pada tahun 1993.

Kerjaya di awan biru terpaksa dilepaskan kerana mahu melunaskan tanggungjawab seorang isteri, selain menemani suaminya bekerja di perantauan.

Dari situlah Dr Niki mula berjinak-jinak dalam dunia kewangan dengan menimba ilmu dan membaca buku kewangan pada masa lapang beliau.

Dua tahun berikutnya, mereka pulang ke Malaysia dan Dr Niki ditawarkan jawatan konsultan amanah saham di sebuah institusi perbankan terkemuka.

Beliau berjaya merangka alternatif pertumbuhan perniagaan kepada lebih 5,000 orang konsultan di bawah rangkaian beliau, yang berminat mengawal dan menjamin masa depan kewangan mereka dan pelabur mereka hari ini.

“Kerjaya ini bermula dengan minat mendalam terhadap perancangan kewangan yang tercetus semasa saya tinggal di London pada tahun 90-an. Waktu itu England mengalami krisis kewangan dan ramai rakyatnya hilang tempat tinggal serta hidup gelandangan.

Sejak itu, saya sedar perancangan kewangan amat penting.

“Pada saat ekonomi negara sedang gawat pada tahun 1998, saya bergelut mencari tempat dalam bidang kewangan.

Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya. Kejayaan yang saya gapai sekarang sebenarnya bergantung pada sikap positif dan ingin memberi kepada orang lain,” ujar wanita yang dilahirkan di Seberang Prai, Pulau Pinang ini.

KHIDMAT LATIHAN

Kredibiliti Dr Niki tidak perlu lagi dipertikaikan kerana beliau sememangnya berbakat dalam bidang yang diceburi.

Tatkala ditanya pendapat beliau tentang pengurusan kewangan masyarakat Malaysia, ini jawapan bernas Dr Niki.

“Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), seramai 121,673 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangannya sepanjang tahun 2016.

Ini merupakan kenaikan 10 peratus daripada 84,664 orang pada tahun sebelumnya. Statistik ini menunjukkan masih ramai lagi yang belum faham cara-cara menguruskan kewangan dengan betul.

“Menurut AKPK lagi, 15 peratus daripada semua yang memerlukan khidmat kaunseling berumur di bawah 30 tahun.

Banyak lagi usaha yang diperlukan untuk membetulkan keadaan ini. Saya dan Life Success Resources ada menyediakan khidmat latihan dalam topik perancangan kewangan supaya lebih ramai lagi yang boleh menjadi mahir dan bersedia menguruskan kewangan,” ujar Dr Niki.

Seakan-akan menjadi trend, selepas hari raya ramai yang menghadapi masalah kewangan.

Keadaan ini sudah dianggap perkara biasa dalam masyarakat kita pada hari ini yang rataratanya gagal mengawal nafsu ketika berbelanja untuk persiapan hari raya

“Hari raya merupakan masa untuk kita meraikan kejayaan berpuasa dan beribadah di bulan Ramadan.

Hari raya juga ialah masa untuk merapatkan hubungan sesama keluarga, rakan dan taulan. Oleh kerana demand perbelanjaan yang berlebihan, ramai yang akan menghadapi masalah kewangan ketika musim perayaan.

“Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan dengan membuat perancangan awal. Bajetkan perbelanjaan dan mula menabung dari sekarang untuk perayaan tahun hadapan.

Gunakan pengalaman tahun ini untuk mencari tempat di mana boleh menjimatkan kos. Merancang perbelanjaan dengan bijak serta selektif memilih barangan serta kedai yang menepati bajet anda adalah sangat penting,” jelas Dr Niki.

MENTOR KEUSAHAWANAN DAN KEWANGAN

Peranan wanita bukan hanya dalam dunia pekerjaan dan juga pengurusan rumah tangga tetapi lebih daripada itu.

Malah, golongan wanita cukup terkenal sebagai perancang kewangan dalam institusi kekeluargaan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab menguruskan kewangan akan lebih berkesan apabila melibatkan penglibatan seisi rumah.

“Tanggungjawab pengurusan kewangan keluarga bukan hanya dipikul oleh kaum wanita sahaja sebaliknya untuk seluruh isi keluarga.

Walau bagaimanapun, seorang wanita boleh memainkan peranan dengan bijak membuat perbandingan harga, menggalakkan pemakanan yang betul untuk menjaga kesihatan keluarga serta mengawal kos perhiasan rumah dan juga diri sendiri.

Sebagai mentor keusahawanan dan kewangan, Dr Niki turut terlibat dengan penganjuran kursus latihan, pembangunan korporat dan profesional.

Tambahan pula, penubuhan Life Success Resources pada tahun 2010 memperhebatkan lagi usaha dan minat Dr Niki untuk mengendalikan lebih banyak seminar serta latihan kewangan.

“Salah satu faktor yang paling penting dalam perancangan kewangan ialah masa. Lebih panjang masa yang ada, lebih kurang amaun yang perlu dilaburkan untuk matlamat yang sama. Nasihat saya kepada golongan muda, gunakan usia muda untuk memulakan program menabung kerana adanya masa yang panjang sebagai tempoh pelaburan.

“Menyentuh tentang matlamat saya pada tahun ini tentunya untuk mengembangkan mesej perancangan kewangan kepada golongan masyarakat tentang kepentingan mempunyai pelan pelaburan persaraan dan membina portfolio kewangan yang disertai dengan perlindungan Takaful juga penulisan wasiat.

Untuk merealisasikannya, saya menawarkan program latihan perancangan kewangan, latihan penjualan, kepimpinan, penguasaan minda dan pengucapan awam kepada mereka yang berminat,” ujar Dr Niki yang berjaya menerbitkan buku autobiografi nya Ambition Aspiration Achievements yang ditulis oleh David Goh pada tahun 2010.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam sektor kewangan, Dr Niki juga merupakan seorang Shariah Registered Financial Planner (MFPC). Malah sudah pelbagai penganugerahan yang diterima oleh wanita berusia 49 tahun ini.

 

Antara anugerah yang beliau terima ialah Top Group Agency Manager iaitu anugerah tertinggi jumlah jualan kumpulan, Brand Ambassador, anugerah kepimpinan sebagai Master Builder untuk semua pusingan kecemerlangan dalam pembangunan kumpulan tahun 2006, Anugerah Fellowship oleh Institut Pengurusan Sains Asia pada tahun 2014, Wanita Ikon Shaklee 2015 dan pengiktirafan mengetuai Agensi Terbaik dalam Industri Kewangan.

“Pengiktirafan demi pengiktirafan yang saya terima tidak pernah memperlahankan langkah saya untuk merencanakan masa hadapan.

Sebaliknya pengiktirafan yang saya terima merancakkan lagi strategi untuk saya memantapkan lagi kerjaya dalam dunia kewangan.

“Jika tiada aral melintang, sebuah lagi naskhah istimewa saya iaitu Financial Freedom for All, juga kini dalam proses penerbitan. Ia bakal dipasarkan menjelang usia saya 50 tahun pada Januari tahun depan,” ungkap Dr Niki yang meminati bahan bacaan seperti Think and Grow Rich karya Napoleon Hill

SISI SANTAI

Berkisarkan tentang kehidupan peribadinya, ibu kepada Elaine Zahra, 16 tahun dan Muhammad Jordan Ariff, 10 tahun mengakui bahawa beliau gemar membaca buku yang berkaitan dengan motivasi.

Selain itu, beliau juga suka membelai diri di spa sebagai salah satu cara untuk meredakan stres.

“Pada waktu lapang, jika saya tidak bekerja, saya akan pergi ke spa dan memanjakan diri. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan dapatkan rawatan kulit wajah dan tubuh di pusat kecantikan di samping menikmati rehat yang secukupnya.

Rawatan pilihan saya tentulah urutan, lulur dan rawatan wajah. “Dalam usia 49 tahun, alhamdulillah saya masih kekal aktif.

Resipi saya mudah sahaja iaitu kekal positif. Daripada segi kerjaya pula, apabila kita cinta dengan kerja yang kita lakukan maka kita akan menjadi lebih bersemangat untuk bekerja.

Saya juga mengamalkan banyak minum air masak manakala daripada segi pemakanan pula saya elak mengambil makanan yang bergoreng, selain mengawal pengambilan gula,” jelas Dr Niki berkongsi rahsia beliau kekal fi t dan bertenaga sepanjang hari.

Apabila ditanya tentang momen indah sepanjang hidup beliau, ujar Dr Niki, saat itu ialah ketika melahirkan zuriatnya seterusnya membesarkan anak-anak beliau.

Sepanjang kehamilan, beliau dikelilingi keluarga dan mendapat sokongan suami tercinta.

“Walaupun rezeki untuk hamil datang agak lambat iaitu setelah lapan tahun berkahwin, namun saya tetap bersyukur kerana anak-anak lahir dalam keadaan sempurna, sihat dan cergas.

Apabila mendapat tahu saya sedang mengandung anak pertama kira-kira 16 tahun yang lalu, kami terus membuat kenduri kesyukuran.

“Perasaan waktu itu tak dapat digambarkan kerana kami terlalu bersyukur dan teruja. Setelah bertahun-tahun menanti, akhirnya ALLAH makbulkan doa kami. Enam tahun selepas melahirkan anak sulung, baharulah saya hamil anak kedua dan semuanya berjalan lancar,” cerita Dr Niki.

Tambah Dr Niki lagi, sesibuk mana pun beliau, tumpuan tetap kepada anak-anaknya. Anak-anak yang sedang membesar perlu diawasi pergerakan mereka agar mereka tidak mudah terjebak dengan gejala yang tidak sihat.

“Saya melayan anak-anak dengan baik agar mereka juga melayan saya dengan baik.

Dalam masa yang sama, saya melatih anak-anak dengan pesanan-pesanan yang positif agar mereka dapat mengawal tingkah laku.

Paling utama, bekalkan ilmu dengan secukupnya kepada anak-anak. Ilmu mengira, ilmu bercakap dan ilmu agama amat penting sebagai bekalan pada masa hadapan anak-anak,” akhiri Dr Niki menutup perbualannya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.