MENYEBUT nama Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa dengan panggilan Che Ta tentunya sudah membayangkan seraut wajah yang jelita dan penuh pesona. Meskipun usianya sudah menginjak angka 40-an namun Che Ta tetap menawan seolaholah tidak dimamah usia.

Insan bernama Che Ta ini bukan sahaja dikurniakan dengan bakat semula jadi dalam dunia seni tetapi juga kelincahan dalam mengendalikan dunia bisnes.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Che Ta merupakan usahawan wanita yang berjaya dalam kalangan selebriti. Bisnes yang diusahakan oleh Che Ta sentiasa mendapat sambutan manakala produk yang dipasarkan olehnya sentiasa menjadi buruan ramai.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Che Ta kini mampu tersenyum lebar dengan empayar bisnes yang dimilikinya. By RCW, Padusi Couture dan Padusi Picture merupakan terjemahan daripada kegigihan Che Ta dalam menerokai dunia bisnes.

Antara cabang bisnes yang mendapat sambutan hangat di kalangan pengguna ialah produk di bawah label By RCW kerana ia cukup sinonim dengan golongan wanita.

Antara produk terhangat di bawah jenama ini ialah Jus Goyang Rapat dan Pencuci Goyang Segar.

“Kami bakal mengeluarkan produk suplemen atau antibodi untuk kanak-kanak dan ia akan berada di pasaran pada bulan Ogos nanti. Jika tiada aral melintang, pada penghujung Disember nanti, By RCW akan melahirkan tiga lagi produk baharu.

“Pengeluaran produk ini merupakan rangka jangka panjang untuk mengukuhkan dan meluaskan pasaran jenama By RCW.

“Menjadi kelaziman sebelum produk dipasarkan, saya akan mencubanya terlebih dahulu. Jika perlu penambahbaikan maka sesuatu produk itu akan dinaik taraf agar dapat memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan kami. Saya sentiasa memastikan hanya produk berkualiti sahaja yang dikeluarkan oleh BY RCW.

“Walaupun harga produk By RCW tidak ‘menjerat leher’ namun kualiti yang ditawarkan sangat menakjubkan. Matlamat saya bukan untuk bisnes semata-mata tetapi juga memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain, selain membantu mereka yang mengalami masalah,” ujar Che membuka lembaran bicaranya.

Urus sendiri bisnes

Daya saing juga amat penting kerana adat dalam dunia bisnes, mesti ada pakej idea dan kemahiran. Apabila ada pakej lengkap ini baharulah sesebuah perniagaan itu berjaya.

“Semua produk BY RCW boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai jamu ataupun secara atas talian. Kebanyakan stokis saya memiliki kedai sendiri, jadi adalah lebih mudah pelanggan untuk mendapatkan produk di bawah keluaran By RCW.

“Setiap bulan kami akan mengadakan promosi untuk setiap produk By RCW. Sebagai contoh, dengan hanya RM115, pelanggan boleh mendapatkan tiga produk Jus Goyang Rapat. Promosi sebegini amat penting kerana ia sebagai ssalah satu cara untuk memantapkan lagi pengaruh sesuatu label di pentas bisnes,” ungkap Che Ta berbicara tentang ‘senjata’ yang digunakan untuk memastikan bisnesnya terus mendapat sambutan pelanggan.

Boleh diangkat sebagai ikon usahawan selebriti, Che Ta sentiasa memastikan perjalanan bisnesnya berjalan dengan sempurna. Maka sebab itulah walaupun memiliki staf yang terlatih, Che Ta masih datang ke pejabat setiap hari untuk memantau bisnesnya.

“Syukur kerana saya mempunyai ramai staf yang boleh membantu saya dalam menguruskan bisnes. Nadi utama kejayaan dalam apa jua pekerjaan yang kita usahakan adalah dengan sentiasa melakukan apa jua kerja sehingga habis. Setiap pekerjaan harus dilakukan dengan sebaik mungkin sehingga sampai ke puncak kejayaan yang tertinggi.

“Saya tidak boleh ‘lepas tangan’ dan hanya menyerahkan bulat-bulat urusan perniagaan kepada staf. Sebagai seorang usahawan, saya ada prinsip untuk sentiasa bergerak bersama dengan bisnes yang diusahakan. Sebagai contoh, untuk Padusi Couture, saya sendiri akan membuat rekaan dan memilih material yang akan digunakan,” ujar Che Ta yang amat menggemari fesyen glam.

Melaksanakan tiga jenis cabang bisnes menjadikan wanita jelita ini sentiasa ligat menguruskan bisnes. Setiap cabang bisnes yang diusahakan oleh Che Ta meraih keuntungan yang memberangsangkan.

“Sebenarnya kekuatan untuk bersaing dalam dunia bisnes bergantung kepada kekuatan produk yang dikeluarkan. Kualiti sesuatu produk amat penting kerana ia membawa imej sesuatu label yang kami ingin ketengahkan.

“Produk kami bukan sahaja menawarkan harga yang berpatutan tetapi turut membantu dalam mengatasi masalah berkaitan kewanitaan. Dengan harga serendah RM45, pelanggan boleh mendapatkan produk berkualiti dari By RCW kerana ia dihasilkan khas untuk golongan wanita untuk tampil ‘wow’ di mata suami,” jelas Che Ta.

Duta produk

Tidak dinafi kan terlalu banyak produk yang muncul di pasaran. Oleh itu, sebagai usahawan kita perlu sentiasa peka, cepat bertindak dan merebut peluang yang terhidang di hadapan mata.

“Kita juga perlu tahu bahawa produk yang kita keluarkan itu dapat menyelesaikan masalah orang lain dan bukan sekadar produk yang hanya

‘memeriahkan’ pasaran. Apabila produk yang dikeluarkan itu bermanfaat kepada orang lain maka tiada sebab untuk mereka tidak menggunakannya. Sebab itulah saya tekankan di sini betapa pentingnya kualiti produk yang kami keluarkan,” tambah Che Ta lagi.

Selain itu, Che Ta juga laris sebagai duta pelbagai jenis produk. Rezekinya tidak pernah putus membawa nama dalam pelbagai jenis label. Terbaharu, Che Ta dan puterinya, Aaisyah Dhia Rana telah dilantik sebagai duta Minaz Boutique dan juga kereta jenama Haval untuk tempoh setahun.

“Apa jua tugas yang diberikan, saya akan laksanakannya dengan sebaik mungkin dan bersungguh-sungguh. Ini kerana apabila kita sudah diberikan amanah untuk melakukan sesuatu tugas, saya menganggapnya sebagai kewajipan untuk saya melakukannya dengan sepenuh jiwa dan raga.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk menaikkan jenama yang saya ‘bawa’. Ini kerana tugas sebagai seorang duta bukan sahaja membawa nama sesuatu produk atau jenama tetapi juga menaikkan jualan produk tersebut,” jelas Che Ta yang berpersonaliti ceria dan mudah berjenaka.

Beruntungnya Che Ta kerana suaminya, Zain Saidin paling banyak membantu serta memberi sokongan untuk Che Ta bekerja keras dalam menguruskan bisnesnya.

Mungkin kerana Zain sendiri turut aktif dengan bisnes yang diusahakan Che Ta.

“Suami sentiasa ada dengan saya. Walaupun dia sentiasa sibuk dengan urusan bisnesnya, Zapatos (memasarkan kasut untuk lelaki) namun Zain sedia membantu saya menguruskan bisnes. Selain Zapatos, Zain turut mengusahakan bisnes baju Melayu,” jelas isteri kesayangan Zain Saidin ini lagi.

Momen bersama keluarga

Berbicara tentang sisi santai, akui Che Ta, dunia bisnes dan juga keluarganya sama-sama penting. Oleh itu tegasnya, amat penting untuk dia mengagihkan masa sebaik mungkin antara pengurusan bisnes dan juga masa bersama keluarga. Ini kerana kebanyakan masa untuk mereka bersama banyak bergantung kepada jadual kerjaya Che Ta.

“Dalam bisnes, kita perlu ada matlamat namun dalam masa yang sama, kualiti masa bersama keluarga juga harus dijaga. Memang saya masuk ke pejabat setiap hari tetapi dalam masa yang sama, saya tetap akan ‘menyisihkan’ sedikit waktu untuk bersama dengan keluarga. Paling utama untuk berjaya dalam apa jua yang kita usahakan ialah kita perlu sentiasa fokus dengan apa yang kita buat.

“Dalam seminggu, saya akan pastikan yang kami anak-beranak makan bersama. Ia sebagai salah satu cara untuk kami mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Masa berkualiti ini kami akan gunakan sebaik-baiknya,” ungkap Che Ta yang sentiasa punya jadual harian yang padat.

Ujar ibu kepada Ammar Effendy, 21 tahun, Aniq Ezzra, 19 tahun dan Aaisyah Dhia Rana, 2 tahun 5 bulan, dalam soal mendidik anak-anak, Zain lebih tegas berbanding dirinya. Ini kerana ujar Che Ta, dia lebih suka ‘bersahabat’ dengan anak-anak.

“Walau bagaimanapun masih ada batas yang tidak boleh dilepasi. Anak-anak pun sudah tahu batas-batas tersebut. Pendek kata, saya seorang ibu yang sangat fleksibel. Layanan kepada anak-anak sama rata termasuk Aaisyah yang masih kecil itu.

“Mungkin ada yang beranggapan saya dan Zain terlalu mendedahkan Aaisyah dengan dunia luar kerana Aaisyah lahir sebagai ‘anak selebriti’. Walaupun kami tidak mendedahkan Aaisyah dengan dunia luar, namun masyarakat tetap ingin mengambil tahu perkembangan diri Aaisyah. Dari sudut positifnya, ia memberi banyak peluang kepada Aaisyah yang mungkin kanak-kanak lain tidak berpeluang merasainya,” tambah Che Ta lagi.

Sedikit tentang perkembangan diri Che Ta dalam dunia lakonan, Che Ta telah pun berlepas ke London untuk penggambaran drama Kiah Pekasam. Pastinya kemunculan Che Ta dalam drama ini amat ditunggu-tunggu oleh para peminat yang merindui kelibat Che Ta di kaca televisyen.

“Pada 13 Julai hingga 27 Julai yang lalu, saya telah ‘terbang’ ke London untuk penggambaran drama Kiah Pekasam. Shooting drama tersebut hanya memakan masa selama tiga hari namun selepas shooting drama selesai, saya mengambil kesempatan bercuti ke Brussel bersama Zain dan Aaisyah,” akhiri Che Ta menutup bicaranya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENURUT Glassman, penulis buku The Snack Factor Diet mengatakan ketika berasa lapar, gula dalam darah akan rendah menyebabkan kita tidak mampu berfikir dengan baik. Ketika inilah kita akan berusaha mencari makanan atau snek.
  • SAPUAN gincu di bibir bukan sekadar olesan semata-mata. Sebenarnya olesan gincu bibir memberi impak kepada keseluruhan solekan pada wajah. Jangan sesekali memandang remeh dalam soal memilih gincu bibir yang sesuai dengan anda. Berikut lapan teknik mengoles gincu yang betul.
  • INDUSTRI makanan merupakan salah satu cabang bisnes yang sentiasa mempunyai prospek untuk dikembangkan selain mempunyai masa depan yang cerah. Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Menyedari hakikat ini maka bisnes berasaskan makanan menjadi satu cabang bisnes yang tidak lapuk dek zaman.
  • STRES atau tekanan adalah keadaan di mana anda mengalami rasa yang tanggungjawab kerja, rumahtangga, sekolah dan hubungan dengan pasangan yang terbeban di bahu anda melebihi kemampuan anda untuk melaksanakannya.
  • PENULIS percaya anda biasa dengar ungkapan mimpi siang hari. Ia sebenarnya merupakan terjemahan langsung daripada istilah Bahasa Inggeris daydreaming. Semakan penulis menggunakan kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan beberapa istilah berpadanan sebagai maksud daydreaming termasuk berangan-angan, berkhayal dan mengelamun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.