MENYEBUT sahaja namanya sudah membayangkan ketokohan yang ada pada diri empunya diri.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim terkenal dengan kegigihannya sebagai seorang pemimpin.

Wajar dijadikan ikon pemimpin wanita yang tersohor, Datuk Seri Rohani menjadi pemangkin kejayaan golongan masyarakat khususnya wanita.

Menyandang tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjadikan Datuk Seri Rohani aktif dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Beliau merupakan wanita Sarawak pertama mengetuai kementerian penuh iaitu KPWKM.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini dilahirkan pada tanggal 3 Januari 1955 di Sri Aman yang dahulunya dikenali sebagai Simanggang, Sarawak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Sibu dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia dalam bidang perusahaan agro. Kemudian beliau kembali melanjutkan pengajian sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dari Ohio University, Athens, Amerika Syarikat.

Memegang tampuk tertinggi kepimpinan dalam KPWKM, nyata jadual kerja beliau begitu padat dengan pelbagai program. Sambutan Bulan Kebajikan Negara yang disambut mulai 10 September hingga 1 Oktober merupakan antara program mega yang dilaksanakan oleh KPWKM.

Program tersebut sangat bertepatan dengan lima teras utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian. Sambutan Bulan Kebajikan Negara ini diadakan sebagai mengiktiraf sumbangan yang diberikan kepada kumpulan sasar oleh pelbagai pihak. Ia juga merupakan platform kolaborasi strategik dan manifestasi kerjasama multisektoral antara kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat untuk kesejahteraan kumpulan sasar yang berada di bawah JKM.

Tema Sambutan

Sambutan Bulan Kebajikan Negara akan bermula pada 10 September 2017 (hari ini) dan Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kebajikan Negara di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) yang berlangsung di Bangi, Selangor pada 1 Oktober 2017 nanti dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.

Memperkukuh Inklusiviti Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat telah dipilih sebagai tema Sambutan Bulan Kebajikan Negara yang dianjurkan oleh JKM pada bulan Oktober tahun ini. Tema tersebut membawa maksud kerjasama multisektoral dan kolaborasi strategik semua pihak termasuk agensi kerajaan, agensi swasta, syarikat korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan dalam menyumbang kreativiti, fasiliti, idea, barang keperluan dan sebagainya kepada kumpulan sasar jabatan dan kementerian.

“Cadangan tema ini dipilih sebagai satu simbol kesepakatan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat dalam memastikan kesejahteraan kumpulan sasar kementerian dan jabatan iaitu warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU). Di samping itu, aspek kesihatan dan kesejahteraan warga emas, kanak-kanak dan OKU juga dijadikan tunjang penekanan selaras dengan tema yang dipilih. Aspek kesihatan dan kesejahteraan bagi golongan ini adalah amat penting untuk diterapkan ke dalam jiwa setiap lapisan generasi dalam masyarakat.

“Generasi masa kini bertanggungjawab mencorakkan masa depan negara. Jika tiada sikap dan sifat saling menyayangi serta mengasihi, maka peluang dan masa hadapan kanak-kanak dikhuatiri akan terkesan, malah dalam masa yang sama menjejaskan kesejahteraan semua pihak. Pengorbanan warga emas khususnya yang selama ini telah mendidik dan membangunkan anak bangsa perlu dihargai dan diterjemahkan ke arah melahirkan masyarakat yang penyayang, seterusnya menjadi pemangkin menuju ke era Negara Maju 2020,” ujar Datuk Seri Rohani.

Hargai OKU dan warga emas

OKU juga perlu diberi peluang sama rata dalam masyarakat tanpa meminggirkan perkembangan dan pembangunan mereka dari segenap aspek. Pemerkasaan sukarelawan yang berada di segenap pelosok negara perlu ditingkatkan khususnya dalam usaha mewujudkan kesejahteraan kepada kanak-kanak, warga emas dan OKU.

“Objektif utama Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 diadakan bagi merai dan mengiktiraf sumbangan yang telah diberikan kepada kumpulan sasar oleh pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan, mengeratkan hubungan intergenerasi serta mewujudkan masyarakat penyayang serta memupuk sikap prihatin masyarakat.

“Sambutan Bulan Kebajikan Negara yang akan diadakan ini diharap akan memberi rangsangan kepada kumpulan sasar untuk memperkasa jati diri. Ia bagi tujuan pembangunan modal insan yang mampan dalam kapasiti menyeluruh dengan penglibatan semua agensi kerajaan, swasta dan NGO. Program ini juga amat bertepatan dengan lima teras utama JKM iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian,” ungkap Datuk Seri Rohani.

Pelbagai pengisian telah dirancang sempena sambutan ini termasuklah pameran dan jualan produk-produk OKU dan warga emas, Program Ziarah Kasih, kempen Sahabat B.I.J.A.K Self and Protect, penyampaian bantuan alat tiruan dan kempen pendaftaran TASKA dan dialog TN50 bersama kumpulan sasar antaranya gelandangan.

Acara kemuncak merupakan penyampaian anugerah sebagai menghargai pencapaian dan sumbangan kumpulan sasar jabatan-jabatan yang telah dikenal pasti seperti Anugerah Khas OKU, Anugerah Khas Paralimpik, Anugerah Pingat Hang Tuah dan Anugerah Majikan Prihatin.

Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 merupakan program inisiatif KPWKM rentetan daripada kejayaan penganjuran Hari Terbuka Kebajikan yang dianjurkan JKM pada 16 hingga 20 November 2016. Asas pelaksanaan program ini berdasarkan peranan KPWKM khasnya JKM dalam memberi perkhidmatan kepada kumpulan sasar mengikut hala tuju yang antaranya membina dan memupuk semangat tolong-menolong dan bantu-membantu untuk mengukuhkan budaya ikram (Dasar Kebajikan Masyarakat Negara: Kebajikan tanggungjawab Bersama, Strategi 3).

Seramai 20,000 orang tetamu jemputan termasuk kanak-kanak, warga emas, OKU dan sukarelawan bersama keluarga dan masyarakat setempat dijangka menghadiri majlis sambutan ini secara berperingkat selama tempoh lima hari sambutan ini berlangsung. Mereka juga akan turut serta mengambil bahagian dalam program yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Acara kemuncak

Warga emas, kanak-kanak dan OKU dari institusi JKM akan diberi peluang menonjolkan bakat dalam acara persembahan dan pertandingan bakat yang diberi nama Konsert Talentime Kebajikan.

Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 dimeriahkan dengan adanya reruai (booth) pameran KPWKM serta agensinya bersama JKM melibatkan negeri yang akan memaparkan evolusi pencapaian jabatan selama 71 tahun. Pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO yang mempunyai kaitan rapat dengan KPWKM turut dijemput untuk mengadakan pameran, di samping promosi terhadap produk PDK dan institusi JKM di sepanjang acara sambutan.

Selain itu, terdapat juga aktiviti yang disusun khusus untuk kluster warga emas dengan penglibatan warga emas secara intergenerasi akan merentasi kumpulan sasar OKU, kanak-kanak dan sukarelawan bersempena dengan sambutan Hari Warga Emas yang disambut setiap tahun pada 1 Oktober. Penglibatan intergenerasi dalam kluster program-program utama akan menarik minat penglibatan menyeluruh masyarakat.

Sukarelawan kebajikan akan turut dilibatkan dalam Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017. Sebahagian daripada mereka akan terlibat secara langsung dalam program Home Help Services yang akan disertai oleh Menteri KPWKM dan Seminar Sukarelawan Kebangsaan yang akan dianjurkan bersempena Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017.

Sukarelawan akan didedahkan tentang matlamat Kerajaan Malaysia melaksanakan Transformasi Pentadbiran dan Transformasi Ekonomi. Selain itu, penglibatan sukarelawan diharap akan dapat membantu kerajaan bagi menyebar luas dan merakyatkan perkhidmatan sosial kepada masyarakat termasuk menyemarakkan semangat kesukarelaan untuk memberi khidmat komuniti dengan lebih berkesan.

“Penyampaian Anugerah merupakan acara kemuncak Sambutan Bulan Kebajikan Negara 2017 sebagai menghargai pencapaian dan sumbangan kumpulan sasar jabatan mengikut bidang yang dikenal pasti. Anugerah yang akan disampaikan ialah anugerah kepada OKU, anugerah kepada warga emas, anugerah kanak-kanak dan anugerah kepada sukarelawan.

“Program seumpama ini amat baik dan mendatangkan manfaat besar kepada kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, OKU, warga emas dan sukarelawan kerana wujudnya jalinan mesra serta inklusif sesama mereka. Program ini juga menuntut sikap hormat-menghormati dan toleransi bagi mencapai apa yang dirancang,” akhiri Datuk Seri Rohani.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENURUT Glassman, penulis buku The Snack Factor Diet mengatakan ketika berasa lapar, gula dalam darah akan rendah menyebabkan kita tidak mampu berfikir dengan baik. Ketika inilah kita akan berusaha mencari makanan atau snek.
  • SAPUAN gincu di bibir bukan sekadar olesan semata-mata. Sebenarnya olesan gincu bibir memberi impak kepada keseluruhan solekan pada wajah. Jangan sesekali memandang remeh dalam soal memilih gincu bibir yang sesuai dengan anda. Berikut lapan teknik mengoles gincu yang betul.
  • INDUSTRI makanan merupakan salah satu cabang bisnes yang sentiasa mempunyai prospek untuk dikembangkan selain mempunyai masa depan yang cerah. Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Menyedari hakikat ini maka bisnes berasaskan makanan menjadi satu cabang bisnes yang tidak lapuk dek zaman.
  • STRES atau tekanan adalah keadaan di mana anda mengalami rasa yang tanggungjawab kerja, rumahtangga, sekolah dan hubungan dengan pasangan yang terbeban di bahu anda melebihi kemampuan anda untuk melaksanakannya.
  • PENULIS percaya anda biasa dengar ungkapan mimpi siang hari. Ia sebenarnya merupakan terjemahan langsung daripada istilah Bahasa Inggeris daydreaming. Semakan penulis menggunakan kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan beberapa istilah berpadanan sebagai maksud daydreaming termasuk berangan-angan, berkhayal dan mengelamun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.