PENAMPILAN luarannya jelas menggambarkan semangat yang tertanam dalam diri wanita yang kerap kali dikenali sebagai ‘wanita perkasa’ ini. Kegigihannya dalam bidang perniagaan sudah cukup untuk menjadikan beliau seorang wanita yang wajar digelar ikon wanita sukses.

Gigih, kental dan punya visi serta misinya yang tersendiri. Itulah dia Datuk Wira Dr Maznah Hamid. Dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, Datuk Wira Dr Maznah bukanlah wanita biasa. Beliau membangunkan empayarnya sendiri dan meletakkan dirinya sebaris dengan lelaki-lelaki yang hebat dan berwibawa di negara ini.

Tidak pernah sekali gentar dalam mengemudi perniagaannya, Datuk Wira Dr Maznah merupakan ‘wanita besi’ yang amat memberi inspirasi kepada semua wanita di negara ini. Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce yang membawa nama Securiforce lebih 37 tahun dahulu. Bukan satu tempoh yang singkat untuk diperkatakan.

Malah, beliaulah wanita pertama yang menerajui sebuah syarikat kawalan keselamatan secara total yang terbesar di Malaysia dan berjaya menyaingi lebih 800 buah syarikat lain seumpamanya. Bukan itu sahaja, beliau kini menerajui lebih 65 buah cawangan, mengetuai lebih 6,000 kakitangan dan dikelilingi dengan ratusan senjata api serta van kalis peluru. Apa yang lebih membanggakan, van kalis peluru ini telah direka cipta dan dihasilkan oleh Securiforce sendiri.

Akademi Maznah Hamid

Tidak hanya perniagaan keselamatan secara total, wanita hebat ini juga menjalankan puluhan jenis perniagaan lain termasuklah perniagaan hartanah yang sedang berkembang pesat di bawah naungan Danau Lumayan Development. Malah puluhan anugerah yang diterimanya bukanlah ukuran kepada kejayaannya pada hari ini.

“Kami bermula seawal tahun 1981 sehinggalah kini. Walaupun kekal bertahan lama namun bagi saya setiap kejayaan bukanlah ukuran atau tanda aras untuk saya mendabik dada. Apa yang penting, saya rasa seronok apabila dapat menjadi ikon kepada wanita dan usahawan muda lain untuk berjaya. Malah saya juga seronok memberi inspirasi, motivasi dan ilmu niaga kepada orang lain. Itulah misi saya sejak dahulu.

“Bukan itu sahaja, saya cukup seronok berada di kalangan para usahawan. Situasi itulah yang membuatkan saya gembira setiap hari. Malah kalau diberi peluang untuk membentuk personaliti seseorang hingga dia berjaya, itu sudah cukup membanggakan saya,” kata Datuk Wira Dr Maznah.

Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai. Begitu jugalah dengan dunia perniagaan yang tidak pernah sunyi dengan cabaran dan juga rintangan. Namun semua itu sudah menjadi asam garam dalam kehidupan wanita yang cukup sinonim dengan gelaran wanita besi ini.  

“Setelah 30 tahun menguruskan empayar perniagaan, kini cabarannya adalah melatih dan menurunkan legasi kejayaan kepada generasi kedua, anak-anak dan kakitangan-kakitangan baharu bagi mengekalkan kegemilangan serta keutuhan Kumpulan Securiforce dan Danau Lumayan (Hartanah).

“Resipi kejayaan dalam menguruskan perniagaan antaranya ialah stay committed iaitu komitmen yang berterusan, never say die attitude. Di samping itu perlu ada sikap tidak pernah mengaku kalah. Paling utama ialah mendapat sokongan dan kerjasama yang jitu daripada seluruh keluarga, kakitangan dan masyarakat. Jangan lupa membahagikan rezeki dan kejayaan,” ujar Datuk Wira Dr Maznah jelas padu.

Sumber inspirasi

Bila mana sudah bergelumang dalam dunia perniagaan maka sudah tentu tidak dapat lari daripada menghadapi persaingan. Ibarat garam dalam masakan, persaingan dalam dunia perniagaan boleh diibaratkan sebagai pelengkap dalam merancakkan lagi dunia perniagaan.

“Dalam perniagaan kita memang tidak dapat mengelak daripada persaingan. Ia adalah satu lumrah yang perlu dihadapi. Apa yang saya lakukan ialah melaksanakan perniagaan mengikut kehendak, keperluan dan trend terkini untuk menjadikan Kumpulan Securiforce sebagai Holistic Security Solution (Perkhidmatan Keselamatan Holistik). Dalam masa yang sama, saya turut meluaskan perniagaan ke empayar hartanah.

“Nasihat saya kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia perniagaan, jadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan yang utama. Berazamlah untuk berjaya dan mempelajari segala aspek perniagaan yang diceburi. Carilah mentor yang paling anda kagumi, dampingi dan belajarlah daripadanya,” jelas Datuk Wira Dr Maznah penuh makna.

Segala pengalaman yang ditimba selama ini dikongsi dalam bingkisan berupa naskhah buku untuk dijadikan panduan. Datuk Wira Dr Maznah pernah menerbitkan beberapa buah buku termasuklah Motivasi Memburu Kejayaan, Transformasi Diri, Himpunan Doa Harian, Dialog Jejak Jutawan, Falsafah Kejayaan serta beberapa buah buku lagi.

Sempena hari kemerdekaan yang bakal menjelma tiba, sempat beliau menitipkan pesanan kepada masyarakat terutamanya buat generasi muda. Pengalaman yang beliau kutip selama ini mampu dijadikan teladan kepada setiap generasi.

“Merdekakan dirimu, mindamu, jiwamu, kewanganmu dengan menjayakan dirimu meliputi tujuh aspek kehidupan iaitu minda, rohani, jasmani, kerjaya, kewangan, keluarga dan sosial,” ungkap Datuk Wira Dr Maznah.

Menyentuh sisi santai kehidupan insan bernama Datuk Wira Dr Maznah ini, hobi pada senggangnya lebih kepada pengisian ilmu. Cukup berbeza dengan kebiasaan yang sering dilakukan oleh wanita-wanita lain.  

“Saya gemar mengikuti seminar-seminar perniagaan, pembangunan diri (personal growth) dan kerjaya. Dalam masa yang sama, saya juga berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan mentee perniagaan,” ujar Datuk Wira Dr Maznah.

Menggemari pakaian jaket, business and professional look (busana formal), Datuk Wira Dr Maznah punya cara tersendiri untuk meredakan stres.

“Ketika berada dalam keadaan stres, saya cari dan belajar kaedah menenangkan diri. Mengaji Al-Quran juga merupakan salah satu cara untuk saya menenangkan diri. Sentiasalah berdampingan dengan orang yang positif, kuat dan tabah serta bersemangat tinggi,” nasihat Datuk Wira Dr Maznah ringkas.

Tegas dengan anak dan cucu

Terkenal dengan jolokan wanita besi, Datuk Wira Dr Maznah menjalani kehidupan seharian yang cukup padat namun itu bukanlah yang diinginkan oleh beliau. Walau bagaimanapun, wanita perkasa yang mengikat tali cinta sehidup semati bersama Datuk Seri Haji Shaheen Mirza Habib ini tekad demi mengubah hidup serta mengejar misinya sejak dahulu.

Malah ibu kepada Datin Nur Sharmila, Shahril Reza, Nurul Shameem, Mohamad Shafiq Azim dan juga Mazreen Shanim ini punya cara yang tersendiri dalam mendidik anak-anaknya hingga berjaya.

Bercerita tentang ketiga-tiga anak gadisnya, beliau amat bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang berpendidikan tinggi dan berjaya dalam bidang masing-masing, malah begitu rapat dengan seluruh keluarga.

“Kalau di rumah, cucu-cucu saya memang dilarang menggunakan ipad atau gajet-gajet lain. Selain membaca buku, inilah masa untuk saya berbual-bual dan mengambil tahu kisah mereka. Begitu juga dengan anak-anak. Namun untungnya kerana kesemua anak-anak saya bekerja bersama saya. Jadi dapatlah kami luangkan masa bersama lebih lama,” kata beliau menutup bicaranya.

5 Perkara Menarik Tentang Datuk Wira Dr Maznah

1. Suka makanan ringkas seperti ikan bakar, juga laksa Kuala Perlis dan nasi dagang.

2. Suka memakai jaket dan busana formal.

3. Suka pada warna ceria dan warna profesional.

4. Suka berada di kalangan usahawan.

5. Suka mendorong, mendidik orang lain berjaya serta stabil dari aspek ekonomi dan kewangan.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.