USIA yang masih ‘hijau’ bukanlah penghalang untuk seseorang mencipta kejayaan. Asalkan ada kemahuan serta disulami dengan ketekunan dan juga semangat yang tidak pernah padam maka sudah tentulah kemenangan akan berpihak pada si empunya diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Rashwealth Group Sdn Bhd, Datuk Razi’ie Mahmod cekap mengendalikan perniagaan yang diusahakannya. Bermula dengan perniagaan jualan langsung di samping menjadi agen untuk produk orang lain, Razi’ie akhirnya  berjaya mempunyai produk jenama sendiri tiga tahun yang lalu selepas enam tahun bergelumang dalam industri jualan langsung.

Penubuhan syarikat tersebut bertitik tolak daripada minat beliau yang mendalam dalam dunia perniagaan. Pengetahuan yang dimiliki dalam bidang farmasi juga menjadi panduan terhadap kajian serta pembangunan produknya. Pada peringkat awal, beliau mengeluarkan produk melalui kilang orang lain. Tidak lama kemudian beliau berjaya memiliki kilang memproses produk kesihatan sendiri yang dikenali sebagai Rashwealth Biotech terletak di Kajang.

Rashwealth Group merupakan syarikat pengeluar produk kesihatan berteraskan perniagaan jualan langsung. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Razi’ie bertanggungjawab terhadap keseluruhan pembangunan dan perlaksanaan strategi syarikat khususnya menjadikan syarikat sebagai salah satu peneraju terbesar dalam industri jualan langsung.

Cabang perniagaan

Selain itu, beliau turut bertindak selaku penghubung antara pengurusan dengan rakan kongsi, badan kerajaan, pengeluar, pekerja serta orang awam. Razi’ie juga  menubuhkan Koperasi Usahawan Rashwealth Berhad (KOPURA) bagi lebih faedah kepada agen yang bernaung di bawah syarikatnya.

“Saya memilih perniagaan produk kesihatan kerana memiliki latar belakang dalam bidang farmasi selain ingin membantu golongan yang memerlukan. Lagi pun sebelum ini saya sudah biasa berhadapan dengan pesakit. Produk GC Tea diformulasikan buat penghidap kencing manis. Saya menubuhkan satu cawangan Rashwealth Group di Kelantan kerana negeri itu mempunyai kadar peratusan yang tinggi bagi penyakit ini. Maka stok produk lebih mudah diperoleh untuk agen dan pelanggan di sana.

“Satu lagi cabang perniagaan iaitu Casandra di bawah syarikat hijab mensasarkan jualan melalui agen-agen di bawah syarikat. Saya juga menubuhkan Pt. Rashwealth Indonesia di Medan bagi memenuhi permintaan negara jiran,” ujar Razi'ie membuka bicara kata.

Apabila ditanya pendapat beliau yang merupakan lulusan Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan tentang perkembangan dunia perniagaan, Razi’ie positif menjawab lontaran soalan ini. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam dunia perniagaan, Razi’ie bijak mencatur rentak.

“Ketidaktentuan ekonomi secara global adalah cabaran dunia perniagaan pada tahun 2017 dan 2018. Kesannya dapat dirasai oleh keseluruhan perniagaan mengikut pemerhatian saya. Walau bagaimanapun ia bukanlah satu penghalang bagi usahawan seperti saya. Kami menjalankan pelbagai strategi bagi mengurangkan impak kelembapan ekonomi terhadap perniagaan kami,” kongsi anak kelahiran Pahang ini.

Sebagai seorang usahawan yang berjaya tentunya Razi'ie punya idola yang tersendiri. Ia ibarat sebagai pembakar semangat dan juga sumber inspirasi untuk terus berusaha mengejar cita-cita sekali gus menempa kejayaan.

“Antara sumber inspirasi saya di dalam dunia perniagaan adalah Jack Maa, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juga Datuk Seri Vida. Mereka adalah ikon usahawan yang berjaya dan membuktikan bahawa kejayaan seseorang bukan bersandarkan daripada mana asal usul.

“Mereka ini lahir daripada keluarga yang biasa-biasa dan mungkin juga keluarga yang susah dan kini mereka berjaya menjadi usahawan yang berjaya. Melihat kepada kejayaan dan peningkatan mereka dalam dunia perniagaan menjadikan saya kuat kerana perjalanan menuju kejayaan itu sendiri haruslah diiringi dengan pelbagai strategi tanpa putus asa,” kata Razi'ie.

Menyentuh tentang resipi kejayaan dalam dunia perniagaan, Razi'ie tidak keberatan berkongsi tip. Malah berpaksikan faktor-faktor inilah beliau berjaya hingga ke tahap sekarang.

“Tanggungjawab terhadap keluarga adalah kekuatan untuk saya terus berdiri di dalam dunia perniagaan. Saya lahir daripada keluarga yang besar. Adik beradik saya seramai sembilan orang dan saya adalah anak kelahiran Felda. Ayah meninggal pada usia yang muda. Jadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga adalah niat saya yang utama.

“Sebanyak mana pun dugaan dan cabaran yang dilalui, saya akan kembali kepada niat saya yang asal iaitu membantu keluarga. Selain itu, saya meletakkan satu prinsip bahawa tiada yang mudah di dalam dunia ini dan tiada kejayaan datang tanpa usaha. Jangan berputus asa dan percayalah bahawa usaha yang diiringi dengan doa pasti dikabulkan oleh ALLAH. Hanya cepat atau lambat sahaja,” jelas Razi'ie.

Perjalanan dunia bisnes

Tatkala berbicara mengenai cabaran dan dugaan di dalam dunia perniagaan membuatkan hati Razi'ie sedikit tersentuh. Walau bagaimanapun akui beliau, dia keberatan untuk menyatakan kesemuanya kerana bimbang akan menakutkan pembaca di luar sana yang baharu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

“Hanya sekadar peringatan kepada usahawan yang baharu supaya berhati-hati dengan siapa sahaja yang anda kenali. Saya pernah ditipu beberapa kali melibatkan sejumlah wang yang besar untuk transaksi perniagaan. Jadi nasihat saya sebelum anda berurusniaga dengan sesiapa pun pastikan anda membuat kaji selidik mengenai syarikat atau individu berkenaan,” jelas Razi'ie.

Bagi memantapkan lagi perniagaannya, Razi'ie kini sedang dalam proses ‘membina’ sebuah market place yang dipanggil senangjualbeli.com seiring dengan teknologi digital. Market place ini mempunyai kelebihan carian penjual menggunakan geolocation.

“Jika tiada aral melintang, ia akan dilancarkan sepenuhnya pada pertengahan Februari ini. Selain itu, bagi jualan produk kesihatan dan kecantikan pula masih berjalan seperti biasa dengan melakukan kajian pasaran dan kami akan mengeluarkan produk mengikut kekosongan pasaran. Bagi kilang pula, pada tahun ini kami menumpukan pasaran dan mencari pelanggan-pelanggan OEM bagi pasaran luar negara seperti Timur Tengah. Langkah pertama, kami telah menyertai Matrade bagi meneroka pasaran di Timur Tengah dengan menyertai Gulf Food di Dubai pada Februari ini,” kata Razi'ie.

Kejayaan dalam dunia perniagaan turut disokong kuat oleh insan-insan di sekeliling. Ini turut diakui oleh Razi'ie. Ujar beliau, rakan niaga, suami, anak-anak, ibu dan ibu mentua adalah mereka yang menjadi penyokong kuat di dalam dunia perniagaan.

“Suami dan saya telah bersama-sama membina perniagaan ini sejak 2009 bermula saya menjadi agen kepada salah satu syarikat dari luar negara. Rakan niaga saya pula adalah mereka yang telah bersama-sama saya sejak 2008. Anak-anak adalah insan yang menceriakan hari-hari saya setelah seharian letih bekerja. Ibu dan ibu mentua pula adalah insan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya dari dahulu hingga kini. Tanpa mereka ini siapalah saya pada hari ini,” ungkap Razi'ie.

Berbicara tentang perancangan bisnes untuk jangka masa panjang pula, wanita jelita ini berhajat untuk melebarkan sayap perniagaan sehingga ke luar negara. Razi'ie juga kini berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang hartanah.

“Penglibatan saya dalam bidang hartanah adalah kerana saya melihat ramai jutawan di luar sana berjaya dalam bidang hartanah. Selain itu, saya juga ingin melahirkan 100 usahawan yang layak bergelar jutawan di bawah syarikat saya, Rashwealth Group kerana saya pecaya mereka ini mampu untuk menyambung keseinambungan legasi Rashwealth.

“Saya menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara sepenuhnya pada usia 25 tahun. Saya akui banyak masa muda saya dihabiskan untuk belajar selok belok perniagaan tetapi percayalah segalanya pengorbanan itu amatlah berbaloi kerana kini saya sudah mampu mengecapi pelbagai kemanisan di sebalik pengorbanan tersebut. Saya sering meletakkan satu pemikiran bahawa pada usia muda inilah saya masih kuat, masih ada banyak masa, kurang komitmen untuk saya menjayakan semua impian saya. Jadi jangan takut untuk bermula dan bermulalah diusia yang muda. Jangan merugikan masa muda dengan perkara yang sia-sia. Kejayaan perlukan pengorbanan masa dan latihan demi latihan untuk anda kuat berdiri mengharung segala cabaran didalam dunia perniagaan,” jelas Razi'ie penuh makna.

Kala ditebak dengan cabaran untuk menguruskan pekerja jelas Razi'ie menguruskan pekerja pada zaman ini adalah sesuatu yang mencabar. Pemikiran pekerja masa kini tidak sama seperti pekerja yang lahir pada tahun 80 an dan 70 an.

“Pekerja zaman sekarang lebih gemar bekerja mengikut mood dan mahu bekerja dalam keadaan gembira tanpa stres. Jadi bagi memastikan kelancaran pengurusan perniagaan syarikat, saya sering melakukan mesyuarat. Di dalam mesyuarat, saya lebih suka mereka melontarkan pendapat bagi menambahbaik pengurusan perniagaan.

“Keadaan ini juga membuatkan mereka rasa lebih dihargai. Selain itu ia membuatkan mereka berfikir mereka juga penting di dalam sesebuah syarikat. Selain itu syarikat juga akan memberikan ganjaran sekiranya sesuatu projek mencapai matlamatnya supaya mereka dapat bekerja di dalam satu pasukan dengan harmoni,” kata Razi'ie.

Gaya hidup

Merisik tentang sisi santai ibu kepada dua orang cahaya mata ini, beliau gemar membeli belah. Kata Razi'ie atas alasan itulah beliau perlu ‘kuat’ berniaga.

“Jika tidak ‘kuat’ berniaga, saya tidak ada duit yang cukup untuk memenuhi hobi tersebut. Selain itu saya juga suka  melancong ke luar negara. Sudah lebih daripada 15 negara telah saya lawati. Saya juga adalah pencinta fesyen. Saya sukakan gaya yang ringkas tetapi versatil.

“Saya akui menjadi seorang usahawan pada zaman ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Pembahagian masa kepada keluarga dan juga perniagaan adalah amat sukar tetapi ini tidak menjadi penghalang bagi saya meneruskan aktiviti saya di dalam dunia perniagaan.

Saya meletakkan satu hari setiap minggu dan biasanya pada hari Sabtu atau Ahad sebagai hari saya berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga. Dalam setahun juga saya akan meluangkan masa paling kurang dua kali untuk bercuti sama ada di dalam atau luar negara bersama anak-anak. Pada waktu senggang pula, saya sering melakukan aktiviti beriadah seperti di tasik atau di taman tema. Ada kalanya saya akan memasak untuk makan bersama-sama dengan anak-anak dan suami,” tutur Razi'ie menutup kata.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :