BEBERAPA dekad yang lalu negara-negara Mediterranean dijangka akan mengalami padah daripada beberapa faktor akibat pemanasan global. Antara lain, ia dijangka mengalami suhu lebih panas berbanding keseluruhan Eropah dan kurang hujan yang menyebabkan ia bertukar kepada iklim padang pasir. Ia juga dijangka mengalami kehilangan biodiversiti, selain menjejaskan kesihatan penduduk dan aktiviti pelancongan.

Sila baca Chapter 2, Facts and projections on climate change terbitan SpringerBrief Environmental Science (2016) dan artikel berjudul Global climate catastrophe may start already in 2017 (Mac 2017, Pravda.ru).

Apa yang berlaku pada dua suku pertama tahun ini adalah sebaliknya, di mana negara-negara Eropah dan Amerika Utara telah mengalami cuaca sejuk yang lebih panjang, salji lebat dan turun pada musim bunga. Terdapat kemungkinan fenomena ini akan berlarutan sepanjang tahun ini dan beberapa tahun akan datang.

Bulan April sejuk

Cerita atau berita tentang kedinginan bulan April di Eropah berlaku di Norway di barat hingga ke Rusia di timur. Ia juga dikatakan berlaku di Eropah Selatan termasuk Sepanyol, Perancis, Itali, Kepulauan Greece (Greece Islands) dan Turki.

Musim bunga di Sepanyol pada tahun ini misalnya menyaksikan penurunan suhu ketara di seluruh Sepanyol. Pada 25 April, kawasan-kawasan di utara Sepanyol mengalami suhu kurang daripada 15 darjah Celsius di mana suhu terendah adalah antara 0 dan 3 darjah.

Pada waktu malam, di Vitoria dan hampir sebahagian besar wilayah-wilayah di Castilla y Leon di Perancis dilaporkan mengalami suhu -2 hingga 2 darjah. Kawasan pengeluar wain terkemuka iaitu Champagne, Bordeaux dan Burgundy juga mengalami penurunan suhu sehingga mencecah -7 darjah Celsius.

Para pengeluar wain Perancis dilaporkan menggunakan lilin, pemanas dan helikopter bagi menyelamatkan pokok-pokok anggur daripada fros. Pakar dari persatuan wain dipetik sebagai berkata, “Fros memusnahkan pokok anggur.”

Tindak dijangka

Tambah beliau, semua pengeluar wain beranggapan bahawa fenomena tersebut tidak akan pernah berlaku dan tiada siapa yang pernah mengalami fenomena dingin tersebut. Berita lanjut, sila baca berita berjudul French winemakers deploy candles, heaters and helicopters to save vines from frost (28 April, Guardian.com).

Di Turki, salji yang turun lebat pada 23 April dilaporkan telah merosakkan rumah hijau terdiri daripada 13 ribu hektar tanaman strawberi di Wilayah Bursa. Lihat berita berjudul Turkey - greenhouse collapse due to snowfall (24 April, Iceagenow.com).

Di Amerika Syarikat, Agriculture.com melaporkan pada 1 Mei bahawa ribut salji dan salji lebat berlaku di barat Kansas. Seorang petani, Justin Gilpin dipetik sebagai berkata, “(Fenomena tersebut menyebabkan) tanaman gandum musim sejuk mereka musnah.”

Rugi besar

Para petani dianggarkan bakal kehilangan antara 50-100 juta busyel iaitu 1.4-2.7 juta metrik ton tuaian gandum untuk gandum musim sejuk pada tahun ini. Lihat berita berjudul We lost the western kansas wheat crop this weekend (Agriculture.com).

Di Amerika Utara, cuaca lebih sejuk pada musim bunga tahun ini bukan sahaja dialami oleh Amerika Syarikat tetapi turut dialami sama oleh Kanada.  

Di hemisfera selatan pula, musim sejuk berlaku dua bulan lebih awal di Brazil. Sebahagian besar bandar di negeri Santa Catarina (Brazil Selatan) misalnya mencatatkan suhu bulan April terendah sejak beberapa dekad.

Di São Joaquim, misalnya termometer merkuri mencatatkan bacaan -5.2 darjah Celsius iaitu suhu terendah pernah direkodkan pada bulan April dalam tempoh 46 tahun. Lihat Com -5.2ºC São Joaquim registra a geada mais forte no mês de Abril dos últimos 46 anos (Climetera,  Saojoaquimonline.com).

Kesan rumah hijau?

Adakah ia sebahagian daripada tanda pemanasan global? Ramai pendukung atau penyokong teori pemanasan global akan segera berkata, ya. Kajian berjudul Quantifying the influence of global warming on unprecedented extreme climate events (Proceedings of The National Academy of Sciences of The United States of America, 2016) misalnya menunjukkan kaitan antara cuaca kering atau lembap dengan pemanasan bumi.

Sebagaimana kebanyakan teori lain, Teori Pemanasan Global tidak lekang daripada kritikan. Anton Evseyev dalam artikelnya berjudul Who gains profit from global warming (20 Mac, Pravda.ru) menyelar teori tersebut tidak kukuh.

Teori Pemanasan Global - Kurang hujan dan suhu meningkat akibat peningkatan gas rumah hijau lambat laun dijangka menjejaskan pengeluaran hasil tanaman di negara Mediterranean.

Kanak-kanak gagap

Pada bahagian akhir artikel, beliau berkata, pemfokusan saintis kepada data berdasarkan pemerhatian masa lalu untuk meramalkan perubahan iklim dunia adalah lebih kurang sama dengan kebarangkalian kanak-kanak gagap berumur tiga tahun yang berusaha cuba membuktikan Theorem Pythagoras.

Dalam artikel minggu lepas berjudul Punca Pemanasan Global: Aktiviti Manusia atau Aktiviti Matahari? (1 Jun, Sinar Harian), penulis mengetengahkan secara ringkas sebahagian teguran atau sanggahan seorang profesor emeritus sains atmosfera dari Massachusetts Institute of Technology terhadap sebahagian aspek Teori Pemanasan Global dan kesan negatif akibat Pemanasan Global.

Ia disusuli dengan penjelasan alternatif berkaitan perubahan cuaca global yang dikemukakan oleh sekumpulan saintis antarabangsa termasuk saintis fizik dari Rusia, Dr Helen Popova di Mesyuarat Astronomi Kebangsaan anjuran Royal Astronomy Society di Llandudno, Wales pada 5-9 Julai 2015.

Dr Helen Popova menegaskan tiada bukti yang menunjukkan pemanasan bumi adalah berpunca daripada aktiviti manusia. Beliau meramalkan bumi akan mengalami Zaman Air Batu Kecil (Little Ice Age) seperti yang berlaku pada kurun ke-17 dahulu bermula tahun 2030. Ia dipercayai berpunca daripada bilangan tompok-tompok matahari (sun spots) di permukaan matahari yang semakin berkurangan dan seterusnya menyebabkan penurunan suhu bumi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.