HARUMAN yang datang daripada kelopak bunga kering sememangnya mampu untuk memikat hati. Potpuri memiliki beragam fungsi untuk kegunaan di rumah. Ia boleh menambahkan aroma pada keseluruhan kediaman dan memberi ketenangan buat istirahat anda.

Kebiasaannya potpuri dihasilkan daripada kelopak bunga, buah dan rempah yang dikeringkan serta diberi wangian nuansa natural untuk menyegarkan ruang kediaman. Ia sangat sesuai diletakkan di bahagian ruang kediaman seperti ruang tamu, bilik tidur dan bilik air.

Bagi anda yang mahu membuat potpuri sendiri, IMPIANA kongsikan kepada anda langkah-langkahnya.

Bahan diperlukan:

Mawar

Kenanga

Melati

Kayu manis

Cengkih

Kopi atau daun teh

Hirisan jeruk atau lemon

Proses pengeringan:

1. Taburkan bahan-bahan tadi di atas kain yang dihampar bersih.

2. Jemur kesemua bahan tadi sehingga kering.

3. Pastikan anda menjemur bahan tadi di bahagian yang ada teduhan.

4. Elakkan menjemur di bawah cahaya matahari supaya bahan tidak menjadi terlalu kering.

5. Pengeringan biasanya memakan masa selama beberapa hari.

6. Kesemua bahan akan mengecut jadi sediakan kuantiti bahan empat kali ganda mengikut jumlah yang anda inginkan.

7. Jika ingin menghasilkan potpuri pelbagai warna supaya tampak lebih meriah, anda boleh mencelup bahan-bahan tadi ke dalam pewarna dan jemur semula.

Cara membuat:

1. Simpan bahan-bahan yang telah dikeringkan tadi ke dalam kantung yang bersih.

2. Jika anda ingin menggunakannya, letakkan bahan-bahan keringan tadi ke dalam bekas cantik dan masukkan beberapa titis minyak aromaterapi.

3. Jangan letak minyak aromaterapi terlalu banyak bagi mengelakkan bau yang terlalu menyengat.

4. Selain bekas, potpuri juga boleh disimpan di dalam bunjut yang cantik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :