MENYUSUKAN bayi itu adalah satu amalan murni dan digalakkan. Selain untuk  memberikan khasiat kepada bayi, ia juga dipandang mulia. Namun apabila  ia dilakukan di hadapan khalayak, maka beberapa perkara berkaitan perlu  diberi keutamaan.

Pada asasnya semua pihak perlu matang dalam isu ini. Usah cepat melatah dan menjaja keburukan sahaja.

Namun bagi si ibu pula; usah terlalu teruja untuk memperlihatkan  aktiviti penyusuan ini sehingga terlepas pandang kepada sensitiviti dan  konteks masyarakat timur. Norma sosial perlu dijadikan garis panduan  dalam setiap tingkah laku serta daya fikir seseorang. 

Limitasi budaya; nilai sejagat serta etika masyarakat setempat tidak harus dipandang remeh  sehingga alpa pada sensitiviti.

Dari segi psikologi; tingkah laku sebenarnya terdorong oleh corak  pemikiran seseorang. Cara seseorang berfikir itu pula terbahagi kepada dua kategori iaitu pemikiran sedar dan bawah sedar. Pemikiran sedar  bermaksud pemikiran yang disedari dan dikawal oleh individu. Semua  tindakan melalui fikiran boleh dikategorikan kepada pemikiran  sedar.

Pemikiran bawah sedar adalah yang merefleksikan pemikiran dalaman  seseorang. Kajian menunjukkan bahawa tindakan yang negatif dan tidak  sesuai biasanya disebabkan oleh pemikiran bawah sedar.

Individu yang tidak bijak menguruskan tindakan ini disebabkan kegagalan untuk memilih nilai bersesuaian dengan persekitaran. Kawalan yang longgar  ini membuatkan mereka bertindak mengikut apa yang difikirkan pada ketika  itu tanpa melihat kesan dan akibat.

Oleh kerana corak pemikiran dan sudut pandang manusia itu berbeza; maka  penerimaan tentang isu ini juga berbeza. Selain faktor pemikiran; kontek budaya persekitaran individu itu turut mempengaruhi tindakan. Konteks  budaya bermaksud amalan dan cara hidup masyarakat setempat, termasuk  nilai yang dipercayai, penerimaan dan latar belakang masyarakat.

Sesetengah kelompok masyarakat di sesuatu kawasan mendapati penyusuan  bayi di khalayak tanpa ditutup itu adalah amalan biasa. Maka reaksi  mereka sudah tentu menerima perbuatan tersebut. Sebaliknya, masih terdapat kelompok masyarakat yang berasakan amalan itu perlu dilakukan dengan teknik tertentu agar aurat ibu masih terjaga.

 Bukan sahaja dalam  agama Islam, malah terdapat beberapa fahaman lain yang turut berasa segan  untuk menyusukan bayi secara terbuka. Oleh itu, pihak berwajib akan turut  prihatin untuk menyediakan kemudahan bilik nursing kepada ibu yang  menyusukan bayi.

Teknik penyusuan di khalayak  

1. Menggunakan tudung labuh sebagai penghalang  

2. Memakai pakaian mesra bayi

3. Menggunakan nursing cover

4. Menggunakan shawl, pashmina atau apa-apa saja kain  

5. Peranan bapa atau pembantu untuk menjadi penghalang di hadapan ibu

6. Menggunakan topi bayi yang besar

7. Menggunakan penggendong bayi

8. Menggunakan tempat nursing yang disediakan

9. Membawa stok susu ibu yang disimpan dalam bekas sesuai

Selain  teknik  di atas, tindakan selfie yang keterlaluan boleh  mengundang pelbagai reaksi dan kesan. Sebaiknya berfikir tentang baik  buruk sesuatu perlakuan sebelum bertindak.

Usah terlalu ghairah untuk  berkongsi gambar di media sosial tanpa menilai dan mengaitkannya dengan  sensitiviti masyarakat, maruah diri dan keluarga serta agama. Selain  ghairah dan teruja untuk selfie, individu juga perlu menjaga batasan  sosial dan etika setempat serta tidak terlalu terbuka dalam sesuatu  perlakuan atau tindakan.

Ringkasnya, menyusukan bayi itu bukan isunya. Apa yang menjadi kesalahan  ialah apabila tertibnya tidak dijaga.

Selain itu, ketahuilah bahawa bukan semua benda boleh dikongsikan dan  dipertontonkan kepada umum. Seharusnya bersikap matang dalam menilai  kesan dan akibat sesuatu tindakan.

Meskipun ingin berkempen untuk menggalakkan penyusuan bayi dengan susu  ibu, perlu difikirkan kaedah yang lebih sesuai dan diterima oleh semua.

Siti Fatimah Abdul Ghani (KB,PA), Kaunselor Berdaftar / Perunding  Psikologi  Kanak-kanak,  Remaja  dan  Dewasa; Universiti  Putra  Malaysia
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENYUSUKAN anak di khalayak mengundang pelbagai reaksi orang ramai. Ada yang bersetuju dan juga sebaliknya. Malah lebih berat lagi apabila ada individu ‘berselfie’ dan dimuat naik dalam media sosial dan diviralkan.
  • MENYUSU di khalayak ramai! Hanya golongan wanita yang bergelar ibu sahaja yang tahu sejauh mana untuk menghadapinya dalam suasana dan persekitaran ketika itu.