KECINTAAN dalam dunia masakan menjadikan Dr Ezani Farhana Md Monoto yakin bahawa keputusan untuk menyertai program MasterChef Malaysia musim pertama merupakan satu pilihan yang tepat.

Iklan pencarian peserta program realiti masakan berprestij itu bagaikan memanggil-manggil dirinya untuk menyertai uji bakat.

Didorong minat yang mendalam terhadap dunia kulinari, Dr Ezani mencuba nasib dan tertulis rezekinya untuk tersenarai sebagai salah seorang peserta.

Tanpa diduga, tawaran menyertai program realiti masakan tersebut hadir serentak dengan penerimaan surat panggilan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuknya berkhidmat.

Menganggap peluang memasuki MasterChef Malaysia sebagai tidak boleh dilepaskan, wanita kelahiran Muar, Johor dan membesar di Kuala Lumpur ini memohon penangguhan dari KKM.

Ternyata percaturan Dr Ezani tidak tersalah langkah apabila percubaan sulungnya menyertai program realiti masakan itu berjaya mengangkatnya sebagai juara Masterchef Malaysia musim pertama, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Itu cerita lebih enam tahun yang lalu, kini Dr Ezani sudah bergelar seorang doktor gigi dan berkhidmat di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM). Namun tanggungjawab yang dipikulnya sejak tahun 2013 langsung tidak membatasi minatnya yang mendalam terhadap dunia masakan.

“Alhamdulillah rezeki saya dalam dunia masakan masih ada dan tidak pernah putus. Meskipun program ini sudah lama berlalu, saya amat bersyukur kerana saya masih dianggap relevan dalam bidang masakan.

Saya akui walaupun jadual harian saya padat dengan tugasan hakiki namun saya tetap akan menyisihkan sedikit waktu untuk program-program televisyen, selain majlis-majlis yang berkaitan dengan bidang masakan,” ungkap Dr Ezani memulakan bicara.

IBU SUMBER INSPIRASI

Kesibukan dengan kerjaya sebagai doktor gigi tidak pernah membatasi minat Dr Ezani untuk meneruskan minat memasak yang bercambah dalam dirinya. Malah bakat yang ada dalam dirinya tidak pernah disia-siakan.

“Saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas masakan kerana minat untuk memasak itu datang secara semula jadi dalam diri saya. Selalunya saya mendapat idea dan inspirasi masakan melalui Youtube, blog dan buku-buku resipi.

“Ketika masih menuntut di Australia, saya suka membeli buku-buku masakan. Saya gemar ke pasar untuk mendapatkan bahan-bahan mentah. Saya juga gemar memasak kerana jika mahu makan di luar agak mahal jadi pilihan terbaik ialah dengan memasak sendiri hidangan yang kita teringin hendak makan.

“Saya manfaatkan peluang selama enam tahun menuntut di sana untuk belajar memasak pelbagai jenis masakan. Berkawan dengan masyarakat tempatan membuka lebih peluang untuk saya mendalami bidang masakan secara mendalam,” ujar Dr Ezani yang merupakan bekas penuntut Universiti Of Adelaide, Australia.

Biarpun cita-cita asal Dr Ezani adalah dalam bidang pergigian namun ia bukanlah penghalang untuk anak bongsu daripada dua adik beradik ini untuk mencapai impian dalam dunia masakan yang cukup diminatinya. Ini kerana beliau sendiri seorang yang suka memasak ketika di rumah, malah beliau beruntung kerana berkongsi hobi yang sama dengan ibu dan kakaknya.

“Minat saya terhadap dunia masakan lahir dari rumah kerana ibu saya gemar membuat kuih-muih. Mula-mula saya sekadar menolongnya sahaja namun selepas itu saya cuba buat sendiri dengan pemantauan ibu. Pendek kata, ibu merupakan sumber inspirasi saya dalam dunia masakan.

“Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya sudah ada minat untuk memasak. Saya belajar berjinak-jinak dengan perkakasan dapur.

Menu masakan pertama yang saya sediakan ialah apple crumble. Saya belek-belek buku resipi dan kemudian timbul rasa hendak mencuba. Dengan bantuan ibu yang sentiasa memberi galakan maka hasillah hidangan sulung air tangan saya,” jelas Dr Ezani sambil tersenyum tatkala mengimbau kenangan era kanak-kanaknya.

Dr Ezani yang juga sinonim dengan panggilan Chef Ezani ini juga bijak mengatur masa antara kerjaya sebagai doktor gigi dan juga pengurusan keluarganya.

Ibu muda kepada seorang cahaya mata perempuan, Maryam Azalea Muhammad Azrai, 2 tahun ini amat beruntung kerana mendapat sokongan daripada keluarga untuk serius dalam kedua-dua bidang yang telah menjadi sebahagian daripada jati dirinya.

“Daripada segi menguruskan kerjaya dan juga keluarga, alhamdulillah saya amat bersyukur kerana mendapat support system yang baik iaitu daripada keluarga saya dan juga keluarga mentua.

Apa yang penting, saya perlu bijak menyusun jadual. Jika boleh, saya mahu mengelakkan sebarang program yang melibatkan hari bekerja kerana saya tidak mahu mengganggu tugas hakiki saya sebagai seorang doktor gigi,” jelas Dr Ezani yang kini meniti usia 32 tahun.

DUTA PRODUK

Bukan itu sahaja, Dr Ezani turut menjadi pilihan beberapa produk yang memilihnya sebagai duta. Reputasi yang baik dalam kerjayanya sama ada sebagai doktor gigi dan juga masakan menjadikan Dr Ezani pilihan yang tepat untuk mempromosikan sesuatu jenama.

“Saya telah dilantik sebagai duta Scotch Brite dan juga Nestle Cerelac untuk tempoh setahun. Malah ini merupakan tahun kedua saya dilantik sebagai duta Scotch Brite dan menganggapnya sebagai rezeki. Mungkin pakej yang ada pada diri saya menjadi faktor mengapa saya dilantik sebagai duta produk mereka,” kata Dr Ezani lagi.

Selain itu, Dr Ezani juga ada menerima tempahan untuk biskut raya ketika bulan Ramadan yang lalu. Namun akui Dr Ezani, jadual hariannya yang agak ketat menjadikan beliau terpaksa mencatu tempahan.

“Ada juga saya terima tempahan untuk membuat biskut raya namun jumlah tempahan agak terhad kerana saya terikat dengan tugas. Nasib baiklah suami banyak membantu jika tidak, kelam kabut juga saya untuk menyiapkan tempahan,” ungkap suri hati kesayangan Muhamad Azrai Abu ini.

Belum pernah jemu menerokai dunia masakan, Dr Ezani gemar mencuba resipi-resipi baharu. Ujar Dr Ezani lagi, beliau gemar memasak pelbagai jenis menu masakan bagi menajamkan lagi skil beliau dalam dunia masakan.

“Namun dalam banyak-banyak menu masakan, saya lebih tertarik untuk menyediakan menu bertemakan pencuci mulut dan juga pastri. Ia umpama kepuasan untuk diri saya sendiri. Saya juga gemar follow Instagram berkaitan masakan sama ada tempatan mahupun luar negara.

“Jika ada kesempatan dan kebetulan kesemua bahan ada, saya akan cuba masak menu yang berkenan di hati. Ada kalanya saya juga gemar mengolah resipi-resipi tersebut mengikut kesesuaian atau jika dirasakan perlu,” terang Dr Ezani ringkas.

Ditanya tidakkah beliau pernah terfikir untuk serius dalam dunia masakan selepas bergelar juara Masterchef Malaysia musim pertama, ini jawapan padu daripada Dr Ezani.

“Tidak dapat dinafikan pernah juga saya terfikir untuk serius dalam bidang ini, apatah lagi saya sudah dua kali membuat penangguhan tugas. Hanya selepas setahun baharulah saya berkhidmat sebagai doktor gigi.

“Namun jauh di sudut hati, saya juga sayangkan bidang kerjaya sebagai seorang doktor gigi. Mana mungkin saya mampu mensia-siakan usaha saya selama enam tahun menuntut dalam bidang ini untuk bergelar seorang doktor gigi.

Akhirnya saya sedar bahawa sama ada tugas sebagai doktor gigi mahupun bidang masakan, kedua-duanya sama penting dalam hidup saya. Oleh itu, saya perlu maintain dalam kedua-dua bidang ini,” jelas Dr Ezani jujur.

IMPI KAFE SENDIRI

Menurut Dr Ezani, kepuasan memasak bukan sekadar dirasai ketika berjaya menghasilkan makanan yang lazat tetapi juga apabila dapat mempertingkatkan kemahiran dalam dunia masakan. Cita-cita beliau ialah untuk membuka sebuah kafe suatu hari nanti.

“Sebenarnya itulah angan-angan saya sejak dahulu lagi. Kepuasan memasak bukan sekadar dirasai ketika berjaya menghasilkan makanan yang lazat sahaja tetapi juga apabila berjaya meningkatkan kemahiran dalam dunia masakan.

“Buat masa sekarang agak sukar bagi saya merealisasikan impian untuk memiliki kafe sendiri kerana ia tentunya memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

Apa yang saya lakukan hanyalah menerima tempahan secara kecil-kecilan. Saya juga ada menyertai festival makanan dengan bantuan suami tetapi secara kecil-kecilan,” cerita Dr Ezani berterus-terang.

Menyentuh tentang kualiti masa bersama keluarga, jelas Dr Ezani, beliau lebih gemar menghabiskan masa bersama suami dan anaknya, Maryam. Seperti ibu-ibu berkerjaya yang lain, hujung minggu merupakan saat yang paling ditunggu-tunggu.

“Saya tinggal dengan keluarga saya. Jadi, hujung minggu merupakan waktu saya untuk bersama mereka. Jika ada kesempatan, kami akan pergi bercuti. Waktu terluang ini juga akan saya gunakan untuk menyediakan hidangan yang menjadi kegemaran kami sekeluarga,” ujar Dr Ezani sambil tersenyum manis menutup perbualannya.

 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
  • TENTU sahaja anda akan rasa tertekan jika wajah dipenuhi jerawat, ditambah pula jika jerawat itu meninggalkan parut dan bekas berlubang pada wajah. Perkara ini sedikit sebanyak akan membuatkan anda hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai.
  • PADA waktu kecil, penulis sempat bertemu dengan beberapa orang wanita berpangkat nenek (di Johor, nenek adalah panggilan ibu atau bapa kepada datuk lelaki atau perempuan) yang berusia hampir mencecah 100 tahun di mana suami-suami mereka telah meninggal dunia berpuluh tahun lebih awal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.