MELIBATKAN diri dengan kerjaya di dalam organisasi media bukanlah satu tugas yang enteng kerana ia menuntut seseorang itu untuk berfikir dengan pantas, analitis dan mahir berkomunikasi. Ia semakin mencabar apabila seseorang itu mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan berita yang ditonton oleh berjuta-juta orang.

Kerjaya sebagai penyampai berita bukanlah satu profesion yang mudah. Seseorang yang diamanahkan menyampaikan berita perlu memahami bentuk berita itu agar ia boleh mempengaruhi perasaan mereka yang menonton. Daripada prospek kerjaya, bidang ini membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat. Malah kerjaya dalam bidang penerbitan penuh dengan cabaran dan risiko.

Mungkin tidak ramai yang mengenali Masrenny Masri. Namun wajah manis wanita berusia 35 tahun ini sering menghiasi slot berita di saluran stesen televisyen Bernama News Channel (BNC) atau dahulunya dikenali sebagai Bernama TV. Ramai penyampai berita mula dikenali kerana mempunyai aura yang hebat. Nilai sikap yang tinggi, di samping memiliki ilmu yang luas dan berkemahiran dalam bidang penyiaran menjadi kunci utama untuk berjaya dalam bidang yang dianggap glamor di kalangan masyarakat.

Melangkah ke dunia popular sebaris dengan penyampai berita masyhur yang lain bukanlah seindah yang terpamer di hadapan mata. Masrenny atau lebih mesra disapa Mas mengakui, tanggungjawab sebagai seorang penyampai berita itu bukanlah mudah.

“Sungguhpun saya memiliki kelulusan dalam bidang sains komputer (informasi teknologi) namun minat saya lebih terarah dalam bidang penyiaran. Memang pada mulanya keluarga agak kurang menggalakkan saya untuk terjun dalam bidang ini. Mungkin kerana masyarakat ketika itu begitu skeptikal dengan dunia penyiaran dan kewartawanan yang kononnya tidak boleh pergi jauh. Namun selepas melihat bakat serta kesungguhan saya, mereka akhirnya akur bahawa itulah jalan terbaik yang saya pilih.

“Klimaksnya selepas menamatkan pengajian di luar negara, mungkin sudah jodoh saya dalam dunia penyiaran, saya mendapat tawaran untuk menjadi sebahagian daripada keluarga BNC. Saya memulakan langkah pertama dalam dunia penyiaran pada penghujung tahun 2006 hinggalah sekarang. Kini, sudah lebih 10 tahun saya berkhidmat di sini,” ujar anak jati Kuala Lumpur ini.

Program Dwi Bahasa

Mengendalikan program dwi bahasa, Nine 11 dalam bahasa Melayu sebagai penyampai berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta sebagai pengacara untuk rancangan Biz Talk dalam bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya menganggap kemahiran mengendalikan program dwi bahasa ini sebagai satu anugerah yang diberikan oleh ALLAH kepada saya kerana bukan semua orang mampu mengendalikan program sebegini dalam satu masa. Ia satu kepercayaan yang cukup tinggi oleh pihak BNC untuk saya membawa program ini dengan sempurna. Saya rasa cukup dihargai dan terharu dengan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan,” ujar wanita yang mahir bermain piano, gitar dan juga dram ini.

Kala ditanya tentang perbezaan antara tugas sebagai penyampai berita dan juga pengacara, akui Masrenny, kedua-dua program ini nyata ada banyak perbezaannya. Meskipun begitu, Masrenny bijak mengatur rentak kedua-dua tugas tersebut yang tentunya berlainan laras.

“Menyampai berita lebih kepada statik, formal dan tertumpu kepada fakta. Saya hanya menyampaikan maklumat yang saya dapat sahaja berbanding dengan tugas sebagai pengacara, ia lebih melankolik, lebih berinteraksi dengan tetamu atau penonton, selain lebih menampakkan karakter diri saya yang sebenar.

“Olahan suara juga amat penting. Intonasi suara perlu sesuai dengan berita yang ingin disampaikan, selain sebutan yang tepat dan cuba mengurangkan kemungkinan untuk tersalah sebutan atau tersasul. Secara jujur, sama ada sebagai penyampai berita mahupun pengacara, saya menyukai kedua-duanya. Ini kerana kedua-duanya punya kelebihan tersendiri,” ungkap Masrenny yang gemar memasak pada waktu senggangnya.  

Bertugas di bumi bergolak

Tatkala ditanya tentang pengalaman berharga sepanjang beliau berkecimpung dalam dunia penyiaran, jelas Masrenny, pengalaman terpilih untuk mengikuti Misi Kemanusiaan ke Palestin (GAZA) pada tahun 2009 merupakan antara pengalaman yang sukar untuk dilupakan sampai bila-bila. Bertugas di bumi bergolak bersama team yang dihantar ke sana banyak mengajarnya tentang nilai sebuah kehidupan dalam erti kata yang sebenar.  

“Kami sepatutnya berada di sana selama seminggu sahaja namun disebabkan masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan, ia melewati sehingga tiga minggu. Bayangkan dengan bekalan makanan yang hanya cukup untuk keperluan seminggu, kami terpaksa berdikit-dikit bagi memastikan bekalan makanan yang ada dapat menampung keperluan kami sepanjang di sana. Pendek kata, bekalan makanan bergantung kepada apa yang ada sahaja.

“Momen yang paling mengharukan apabila rakyat Syria sendiri keluar memberikan bantuan makanan kepada kami. Dalam situasi yang getir itu, mereka boleh lagi memberikan kami makanan. Ia benar-benar menerbitkan keinsafan serta mengubah perjalanan hidup saya. Natijahnya pulang daripada misi tersebut, saya nekad untuk memakai hijab. Mungkin ia hidayah daripada ALLAH. Saya rasa inilah detiknya untuk saya berubah. Alhamdulillah saya akhirnya berhijab dengan izin dari-NYA,” ujar Masrenny dalam nada terharu.   

Disoal tentang perasaannya apabila terpilih mengikuti misi kemanusiaan ke bumi Palestin, ujar Masrenny, dia langsung tidak memikirkan apa-apa. Katanya lagi, apabila terlalu banyak berfikir tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku, pastinya akan menimbulkan ketakutan memandangkan destinasi yang ingin dituju itu merupakan kawasan peperangan dan sudah tentunya berbahaya.

“Peluang memijakkan kaki ke bumi Palestin merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai dalam hidup saya. Bagi saya, ia satu impak yang meninggalkan kesan mendalam dalam diri dan kehidupan saya bukan sahaja dari sudut peribadi tetapi juga dari sudut kerjaya. BNC ialah satu titik permulaan dalam hidup saya untuk mengembangkan kerjaya. Jika dahulu saya bermula sebagai penyampai berita, kini saya sudah melibatkan diri dalam bidang pengacaraan,” jelas Masrenny.

Sisi kehidupan peribadi

Ibu kepada tiga orang cahaya mata berumur 5 tahun, 3 tahun dan 1 tahun ini amat beruntung kerana mendapat sokongan padu daripada suami untuk serius dalam bidang ini. Malah, suaminya menjadi pemacu untuk Masrenny terus bertahan dalam bidang yang cukup mencabar ini.

“Saya menerima sokongan daripada suami sejak kami masih belum mendirikan rumah tangga lagi. Saya bersyukur kerana mempunyai support system iaitu ahli keluarga yang sangat memahami. Sama ada keluarga saya mahupun keluarga mentua, mereka banyak memberikan sokongan kepada kerjaya saya.

“Masa bersama keluarga tetap menjadi keutamaan. Biasanya di hari tidak bekerja, saya akan luangkan masa bersama suami dan anak-anak sebaik mungkin. Kami ada kebun mini di kawasan rumah. Kami juga pelihara kambing, itik dan ayam. Kebun mini ini atas inisiatif suami saya. Suami ingin anak-anak kami dekat dengan alam semula jadi,” ujar Masrenny sambil menekankan bahawa melalui aktiviti inilah dapat mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.

Mengakui bahawa bidang penyiaran merupakan kerjaya yang disulami dengan imej glamor namun bagi dirinya, ia berbalik kepada niat dan hasrat diri masing-masing. Sama ada hendak mengejar glamor atau memikul tanggungjawab dalam erti kata yang sebenarnya, glamor itu penting seiring dengan kerjaya.

“Jangan memilih bidang ini semata-mata kerana mengejar glamor. Ke mana kita pergi sekali pun, kita perlu ada guru, orang yang akan membantu kita agar kita tidak tersasar. Jangan sombong untuk belajar daripada mentor dan juga senior. Apabila ada orang yang menjadi pembimbing maka kita akan tahu hala tuju ke arah mana. Biar kita naik secara perlahan-lahan dan bukannya secara mendadak. Berbuat baik dengan semua orang tanpa mengira taraf.

“Bidang ini juga bukan sekadar bersandarkan pada rupa sahaja. Memang ya, personaliti dan rupa menjadi antara kriteria penting untuk menceburi bidang ini. Apabila muncul di kaca televisyen, penonton suka melihat wajah yang sejuk mata memandang atau dalam erti kata lainnya, wajah yang menawan.

“Walau bagaimanapun, ia sebagai garis panduan yang perlu ada kepada seorang penyampai berita. Paling utama ialah kemahiran dan juga kredibiliti ketika menjalankan tugas. Disiplin dan daya fokus yang tinggi amat penting jika kita menanam impian untuk bergelumang dalam bidang ini,” akhiri Masrenny menutup bicaranya.

Tip menjadi penyampai berita atau pengacara berkaliber

1.    Fokus merupakan antara perkara wajib yang perlu ada untuk menjadi seorang penyampai berita yang berwibawa kerana bidang ini memerlukan daya tumpuan yang sangat tinggi.

2.    Berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta isu semasa. Pastikan buat home work sebelum ke udara.

3.    Penampilan yang menawan dengan imej yang tersendiri kerana ia amat penting. Ini kerana ketika ke udara, penampilan diri seorang penyampai berita akan diperhatikan secara terperinci.

4.    Lontaran suara juga perlu jelas dengan sebutan yang tepat. Maka sebab itulah penjagaan suara amat penting, selain teknik pernafasan yang betul.

5.    Keyakinan diri yang tinggi juga amat penting kerana ia mencerminkan kredibiliti seorang penyampai berita atau pengacara.      

 

 

 

 

 

 


 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
  • TENTU sahaja anda akan rasa tertekan jika wajah dipenuhi jerawat, ditambah pula jika jerawat itu meninggalkan parut dan bekas berlubang pada wajah. Perkara ini sedikit sebanyak akan membuatkan anda hilang keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai.
  • PADA waktu kecil, penulis sempat bertemu dengan beberapa orang wanita berpangkat nenek (di Johor, nenek adalah panggilan ibu atau bapa kepada datuk lelaki atau perempuan) yang berusia hampir mencecah 100 tahun di mana suami-suami mereka telah meninggal dunia berpuluh tahun lebih awal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.