SIMPTOM utama diabetes yang biasa dikenali dengan istilah kencing manis ialah paras gula (glukos) darah tinggi. Paras gula tinggi secara berpanjangan menyebabkan peningkatan paras molekul-molekul radikal bebas bersifat amat reaktif - penyebab stres oksidatif.

Stres oksidatif berlaku apabila paras radikal bebas dan antioksidan tidak seimbang di mana paras radikal bebas yang tinggi menyebabkan antioksidan tidak dapat meneutralkan molekul-molekul radikal bebas sepenuhnya.

Inflamasi - Penyakit Degeneratif

Paras radikal bebas tinggi ialah punca inflamasi. Oleh itu penghidap diabetes harus berusaha mengawal gula darah. Jika tidak dikawal dengan sempurna, penghidap diabetes terdedah kepada pelbagai penyakit degeneratif antara lain seperti tekanan darah tinggi, aterosklerosis, obesiti, hepatitis kronik, kerosakan buah pinggang, artritis dan penyakit Alzheimer.

Tiga makanan berikut dipercayai dapat membantu menurunkan paras gula darah penghidap diabetes. Di samping itu, makanan karbohidrat rendah, serat tinggi, sederhana protein dan sederhana lemak juga penting.

1. SERBUK KOKO PANGGANG

Kajian menunjukkan bioflavonoid dalam coklat gelap boleh mengurangkan kekebalan insulin dan seterusnya menurunkan paras gula darah. Kekebalan insulin merujuk kepada reseptor-reseptor insulin pada membran sel tidak menerima pelekapan insulin - menyebabkan paras insulin dan gula darah tinggi.

Serbuk biji koko panggang dipercayai jauh lebih baik daripada segi kandungan bioflavonoid berbanding coklat gelap. Sungguhpun coklat gelap mengandungi kadar bioflavonoid yang lebih tinggi berbanding coklat biasa namun coklat gelap tidak bebas daripada kandungan lemak terhidrogenasi dan gula.

Bioflavonoid Tinggi

Alternatif terbaik ialah serbuk koko panggang yang dihasilkan daripada biji koko yang dikeringkan dan dipanggang. Tiada sebarang bahan kimia digunakan dan dikatakan menawarkan kadar bioflavonoid paling tinggi berbanding coklat gelap apatah lagi coklat biasa.

Serbuk koko jenis ini boleh dibeli secara atas talian daripada ejen-ejen antarabangsa terkemuka termasuk Amazon.com. Anda juga boleh membeli biji koko kering daripada penanam koko tempatan. Kemudian, anda sendiri memanggang serta mengisarnya menjadi serbuk dan disimpan di dalam bekas kedap udara.

Selain menurunkan paras gula darah, serbuk koko panggang juga boleh membantu menurunkan (dan mencegah) tekanan darah tinggi, mengharmonikan profil lipid (trigliserida, HDL, LDL dan jumlah kolesterol). Pengambilan berterusan meningkatkan paras nitrik oksida yang bukan sahaja bermanfaat mengawal tekanan darah dan baik untuk kesihatan jantung malah membantu mengekalkan ereksi mantap atau memperbaiki disfungsi ereksi.

Kajian menunjukkan bioflavonoid koko meredakan kekebalan insulin dan seterusnya menurunkan paras gula darah di samping membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengharmonikan profil lipid.

Flavonol iaitu bioflavonoid utama koko bersifat antioksidan. Sifat ini membantu kecekapan detoksifikasi dalam organ hati serta mencegah stres oksidatif yang seterusnya meredakan keradangan. Minum air serbuk koko panggang tanpa gula kerana penambahan gula akan mengurangkan kadar bioketersediaan (bioavailability) bioflavonoid.

Nota: Minum air yang diperbuat daripada serbuk koko panggang tanpa gula kerana penambahan gula akan mengurangkan kadar bioperolehan (bioavailability) bioflavonoid.

2. PISANG MUDA REBUS

Pisang muda rebus bersama kulit dan tanpa kulit masing-masing menawarkan indeks glisemik rendah iaitu 38 dan 37 mata. Pisang muda merujuk kepada pisang yang belum mengkal atau separuh masak.

Isi pisang muda rebus tinggi dengan kandungan tanin (polifenol, sejenis bioflavonoid) yang boleh membantu meredakan atau mencegah stres oksidatif. Kandungan antioksidan pada kulit pisang muda juga tinggi kerana selain kandungan tanin, ia juga mengandungi karotenoid termasuk beta-karotena.

Kulit Antioksidan Tinggi

Pisang muda rebus termasuk kulitnya bermanfaat untuk kesihatan usus besar. Kanji/fiber kebal (resistance starch) pisang muda membantu meningkatkan paras bakteria baik dalam usus besar (kolon) di mana fenomena ini membantu mencegah inflamasi usus.

Untuk keterangan lanjut tentang pisang muda, sila baca artikel penulis berjudul Pisang Muda - Bantu kawal paras gula, berpotensi cegah kanser kolon (Sinar Harian, 2 April 2017).

3. KELEDEK PUTIH

Kajian pada tahun 2004 yang dijalankan oleh Berhhard Ludvik dari University of Vienna seperti dilaporkan dalam jurnal Diabetes Care menunjukkan para penghidap diabetes jenis 2 yang dirawat dengan keledek putih (caiapo) mengalami penurunan paras glukos berpuasa.

Keledek yang sesuai digunakan untuk mengawal gula darah ialah keledek putih. Keledek yang kaya antoksidan berwarna ungu dan oren adalah lebih manis berbanding keledek putih yang tidak sesuai untuk tujuan sama.

Uji Cuba

Untuk mengetahui sama ada keledek putih berkesan untuk menurunkan paras gula, anda harus menguji cuba (trial and error) sendiri dengan mengambil keledek putih bagi menggantikan nasi termasuk nasi daripada beras perang. Anda perlu menguji darah anda sendiri menggunakan glucometer (meter pengukur paras gula darah) setiap hari bagi mengesan keberkesanan uji kaji anda.

Uji kaji anda dijangka menunjukkan kesan yang lebih positif jika anda merebus keledek putih dengan daun keledek yang juga bersifat menurunkan paras gula. Makan isi keledek putih yang telah sejuk dan minum air rebusan. Lakukan dua hingga tiga kali sehari.

Kulit keledek kaya dengan polifenol yang bersifat antioksidan, antiradang dan antikanser. Jadi, merebus keledek putih bersama kulitnya merupakan pilihan terbaik.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.