DILINGKARI dengan kerlipan aura glamor di pentas peragaan selain menyaksikan koleksi busana digayakan selebriti terkenal mahupun supermodel menjadi sebahagian rencah dalam kehidupan seorang pereka fesyen.

Alia Bastamam bukan calang-calang nama dalam industri fesyen. Sentuhan lakaran magis hasil kreativitinya menyaksikan kemasan busana yang memukau kalbu.

Kejayaan yang ditempa wanita berambut lurus hitam pekat ini bukannya dibina dalam masa sehari dua. Setiap yang berjaya ada kisah permulaan mereka tersendiri, begitu juga dengan wanita yang mesra disapa Alia. Bergelar pereka fesyen pastinya menuntut Alia untuk terus memberikan perhatian sepenuhnya kepada koleksi terkini dan merangka perancangan strategi jenamanya.

Tidak semata-mata untuk mengejar glamor, Alia sebenarnya amat mementingkan perjalanan bisnes fesyen yang diceburinya demi menjamin kelangsungan jenamanya iaitu Alia Bastamam dan ALIA B. Kala diri diulit kegemilangan, Alia tidak pernah leka atau terbuai dengan kejayaan demi kejayaan yang digapainya. Sebaliknya, ia menyemarakkan lagi semangat Alia untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi hingga ke puncak jaya.

Sewaktu melangkah ke dunia fesyen tempatan, Alia tidak terus memperkenalkan jenama sendiri sebaliknya beliau bekerja dengan beberapa orang pereka fesyen iaitu Jovian Mandagie dan Sofira.

Dua pereka ini sangat berbeza kerana Sofira lebih fokus kepada busana berkonsepkan resort dan ready to wear. Manakala Jovian Mandagie pula pada ketika itu lebih memfokuskan kepada penghasilan busana perkahwinan dan juga made to measure.

“Bagi saya pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja bersama dua orang pereka ini sangat berharga. Mereka banyak membuka mata saya terutamanya dari sudut bisnes dan juga pembuatan busana berkualiti harus menjadi kekuatan bagi mana-mana pereka.

"Sebenarnya masih banyak lagi yang harus saya pelajari dan capai sebelum layak bergelar seorang yang berjaya.

“Namun saya sangat bersyukur dengan segala yang dikecapi selama enam tahun berada dalam industri ini. Saya juga menghargai segala komitmen dan dedikasi yang dicurahkan oleh tulang belakang saya di syarikat Alia Bastamam.

Segala penat dan cabaran yang dihadapi, kami laluinya bersama. Jadi tiada resipi atau rahsia untuk berjaya sebenarnya. Fokus, dedikasi, kerjasama dan sikap tidak mudah berputus asa adalah asas untuk berjaya,” ujar Alia memulakan bicara kata.

Kekuatan Bisnes

Kekuatan dalam sesebuah bisnes tentunya berkait rapat dengan strategi dalam menguruskan sesebuah bisnes. Bagi Alia, strategi yang tepat amat penting diaplikasikan dalam bisnes yang diusahakannya kerana ia ibarat nadi agar bisnes terus berdenyut.

“Saya sentiasa mengasah estetik rekaan saya. Ini bagi memastikan agar rekaan saya lebih mudah untuk dikenali dengan serta-merta, malah ia juga untuk membezakan saya dengan pereka-pereka yang lain. Pemahaman business of fashion adalah paling penting untuk berkembang dan bertahan dalam industri ini.

Setiap pereka harus memahami dan mempelajari apa yang diinginkan oleh pembeli selain merancang strategi pemasaran dan perbelanjaan.

“Industri dunia fesyen sentiasa bergerak pantas dan sentiasa berubah-ubah, jadi kita perlu sentiasa fokus dan up to date. Jika kita leka, kita akan ketinggalan di belakang.

"Cabaran utama dalam dunia bisnes yang berpaksikan fesyen terletak pada pengurusan masa. Ini kerana belum siap koleksi yang baharu, anda harus memikirkan koleksi yang seterusnya pula.

“Seperti saya, dengan dua label yang dimiliki iaitu Alia Bastamam dan ALIA B, saya perlu mereka enam hingga lapan koleksi setahun untuk pasaran di Malaysia dan juga di luar negara. Cabarannya juga ada di situ, di mana saya perlu memahami dan mendalami apa yang diinginkan oleh pasaran di sini dan penggemar fesyen di serata dunia kerana pastinya dua pasaran ini sangat berbeza,” ungkap Alia.

Setiap pereka fesyen pastinya punya identiti yang tersendiri, begitu juga Alia. Signature koleksi sentuhan keramat ‘air tangan’ Alia lebih kepada rekaan moden, feminin, mewah, klasik dan selesa. Rekaan busana Alia bukan hanya tertumpu kepada rekaan ready to wear sahaja tetapi juga busana pengantin.

“Saya akan pastikan setiap helaian yang direka boleh dipakai sampai bila-bila. Paling utama, rekaan saya tidak menenggelamkan si pemakai. Sebagai tanda ‘menghormati’ susuk tubuh wanita, setiap rekaan saya hadir dengan potongan dan kualiti yang terbaik.  

“Untuk rekaan busana pengantin, saya banyak menggunakan fabrik sutera dan renda Perancis. Untuk koleksi ready to wear pula, saya masih banyak menggunakan fabrik sutera yang halus, selesa dan semestinya rasa mewah apabila dipakai,” ujar Alia.

Idea Rekaan

Tatkala ditanya bagaimana beliau mendapat idea untuk setiap rekaan busana yang dihasilkan, akui Alia, idea atau inspirasi boleh datang dari mana-mana sahaja sumber. Alia nyata bijak mencatur idea dan pengalamannya bagi menghasilkan karyanya unik serta bermutu.

“Koleksi-koleksi saya sebelum ini pernah dicetuskan daripada lawatan ke taman burung dan daripada cerita klasik Hollywood 20-an yang hitam-putih. Selain itu, idea saya muncul daripada ikon fesyen dunia seperti Theda Bara (30-an), Bianca Jagger (70-an), Gia Carangi (80-an) dan juga daripada seniwati Puan Sri Saloma dan Datuk Maria Menado.    

“Sebenarnya saya lebih fokus kepada koleksi ready to wear buat masa ini. Ini kerana saya ingin membawa rekaan saya ke peringkat antarabangsa dan ready to wear merupakan syarat yang diutamakan. Saya perlu memahirkan diri dalam semua aspek terutama mereka sesebuah koleksi yang memiliki international appeal.

“Dalam masa yang sama juga, saya perlu mempelajari selok-belok pemasaran industri fesyen dunia. Memang hasrat saya dan team saya untuk melihat label Alia Bastamam dan ALIA B diterima serta dipakai oleh semua wanita di serata dunia,” tutur Alia.

Tiada yang menggembirakan bagi seorang pereka fesyen selain melihat koleksi sentuhannya mendapat tempat di hati pelanggan. Seakan-akan terbayar segala penat jerih sepanjang bergelumang dengan pengorbanan masa dan tenaga.

“Syukur kerana koleksi Alia Bastamam Raya 2017 telah dijual di butik eksklusif di Singapura, Society A di Takashimaya, Ngee Ann City Mall. Saya tidak sangka bahawa koleksi raya saya diterima oleh departmental store yang disegani seperti Takashimaya.

“Walaupun saya banyak menumpukan kepada koleksi ready to wear, busana pengantin masih lagi tetap di hati. Saya akan tetap mereka busana untuk pengantin yang mahukan sentuhan saya di hari bahagia mereka,” jelas Alia.   

Idola Kejayaan

Menjadikan ibunya sebagai idola, Alia mengakui bahawa ibunya seorang wanita yang banyak mengajar beliau tentang erti kehidupan. Tambah Alia lagi, ibunya seorang yang tabah dan memberikan didikan serta kasih sayang yang secukupnya tanpa mengenal erti lelah walaupun menyandang posisi sebagai Profesor Biologi yang dihormati.

“Segala dugaan yang dilalui sebenarnya merupakan proses pembelajaran. Banyak pengalaman dan dugaan yang saya dan team telah tempuhi selama ini. Setiap cabaran itu ada hikmah yang tersendiri namun saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Apabila menghadapi sesuatu masalah besar atau kecil, kami terus fokus untuk mencari penyelesaian yang sebaiknya dengan sepantas mungkin. Always think of solutions and move forward. Tiada masa yang akan dibazirkan untuk kami melayan dugaan itu.

“Hasrat saya dan team ialah untuk mengukuhkan kedudukan kami di rantau Asia. Saya juga ingin mengeksploitasi dunia fesyen di luar negara seperti di kota-kota fesyen Paris, New York, Milan, Shanghai dan Dubai,” akhiri Alia menutup kalam bicaranya.

Tip Hadapi Persaingan

1.Sentiasa percaya kepada diri sendiri dan jangan sesekali berputus asa.

2.Fokus kepada aspek yang membuatkan anda berbeza daripada saingan anda dan asah kelebihan itu agar ia terus bersinar.

3.Belajar daripada kesilapan. Hadapi dugaan dengan hati terbuka dan bersikap proaktif serta positif.

4.Jangan sesekali membazir masa. Ini kerana masa tidak akan berpatah balik kepada anda.

5.Sentiasa mencari ilmu kerana dunia ini luas dan peluang ada di mana-mana sahaja.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.