DI sebalik nama Reka Teemor, berdirinya seorang wanita yang menjadi pemangkin rentak jayanya sebuah institusi perunding perkahwinan. Reka Teemor merupakan salah satu perancang perkahwinan yang cukup terkenal dengan ilham rekaan yang eksklusif, unik dan kreatif. Berpengalaman selama 13 tahun dalam industri perkahwinan, sentuhan Reka Teemor sentiasa menarik perhatian.

Dimiliki oleh pasangan suami isteri iaitu Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz Mohamed Ashraff, mereka bergabung tenaga bagi meluaskan empayar Reka Teemor. Bakat seni yang ada dalam diri Rozana Mumtaz atau mesra disapa Mumtaz tidak hanya ditumpahkan untuk Reka Teemor sahaja tetapi kini disalurkan pula ke dalam industri fesyen. Tidak hanya bijak mengadun seni dekorasi bersama suami tercinta, nyata Mumtaz punya idea dan kreativiti yang memukau dalam industri fesyen.

Lihat sahaja daripada gaya beliau berfesyen. Mumtaz nyata punya selera yang tersendiri malah setiap fesyen yang digayakannya sentiasa mencuri perhatian. Pendek kata, apa sahaja yang melibatkan seni jika mendapat sentuhan jemari kreatif Mumtaz pastinya membuahkan hasil. Limpahan kreativiti tidak pernah tandus dari kotak fikiran wanita bermata bundar ini. Ternyata Mumtaz sentiasa mewah dengan idea-idea yang bernas.

Gemar melihat sesuatu yang cantik, mendorong Mumtaz meneruskan minatnya dengan menceburi bidang fesyen. Setiap koleksi yang dihasilkan menepati cita rasa wanita yang inginkan gaya menawan tetapi masih mengekalkan keanggunan.

Industri Fesyen

Lahirnya The Teemor adalah interpretasi kecintaan Mumtaz dalam dunia fesyen. Mendapat sokongan padu daripada suaminya, Mumtaz nekad untuk mengusahakan cabang bisnes terbaharunya hingga ke peringkat yang tertinggi.

“Terbitnya idea untuk melahirkan jenama The Teemor setelah kami membuat perancangan fasa perniagaan seterusnya untuk syarikat kami, Reka Teemor. Melihat kepada perkembangan bisnes Reka Teemor dan selepas projek-projek reka bentuk dalaman rumah Teemor, kini kami ingin memulakan sesuatu yang berkaitan pula dengan gaya hidup.

“Kami merasakan fesyen adalah sesuatu yang amat sesuai untuk melengkapkan perancangan masa hadapan kami iaitu untuk menjadi konsultan gaya hidup atau lifestyle consultant. The Teemor ialah label di bawah Reka Teemor, syarikat yang beraspirasikan rekaan fesyen busana yang sering saya gayakan. Saya ingin berkongsi gaya fesyen yang saya adaptasikan dalam kehidupan seharian kepada golongan wanita di luar sana,” ungkap Mumtaz mengatur bait-bait kata sebagai pembuka kalam bicara.

The Teemor mula dilancarkan pada Januari 2017. Bisnes yang berpaksikan fesyen ini sesungguhnya sentiasa mendapat sambutan kerana wanita sememangnya tidak pernah jemu untuk berfesyen. Ini kerana prospek dalam dunia fesyen sentiasa berkembang dengan pesat dari semasa ke semasa.

Signature rekaan busana koleksi The Teemor lebih kepada modern twist hingga ke modest fashion. Setiap rekaan busana The Teemor dihasilkan dengan perincian yang halus serta berkualiti tinggi.

“Walau bagaimanapun tiada fabrik pilihan yang khusus untuk setiap rekaan busana kami kerana ia lebih kepada kesesuaian rekaan busana dengan material yang ada di pasaran. Kadang kala corak yang ada pada kain juga dijadikan keutamaan dalam pemilihan fabrik tersebut untuk busana kami,” ujar Mumtaz yang juga Pengarah Bersama di Reka Teemor Sdn Bhd.

Tidak dapat dinafikan, bidang fesyen memerlukan seseorang individu untuk sentiasa tampil kreatif. Seperti juga ketika menguruskan Reka Teemor yang cukup sinonim sebagai perunding perkahwinan yang sering mendahului trend, Mumtaz ataupun The Teemor turut mengikuti jejak langkah yang sama.   

“Idea untuk setiap rekaan fesyen busana The Teemor biasanya saya peroleh dengan cara mengikuti peredaran fesyen terkini sama ada di dalam dan luar negara. Paling utama, setiap rekaan busana yang dihasilkan mengambil kira apa yang saya selesa pakai dan sesuai dengan konsep modest fashion lifestyle.

“Buat masa ini, The Teemor hadir dalam rekaan ready to wear. Untuk koleksi hari lebaran, kami menyediakan pelbagai jenis rekaan fesyen terkini bagi memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa dahagakan rekaan yang bukan sahaja cantik dipandang tetapi selesa disarung ke tubuh,” jelas Mumtaz.

Meskipun hari lebaran sudah dua minggu berlalu namun cerita tentang busana indah tidak pernah lekang daripada mulut para wanita. Mana tidaknya, jemputan rumah terbuka sudah mula diterima tidak putus-putus dan pastinya perlu ada busana yang sesuai untuk digayakan.

“Menyentuh tentang koleksi lebaran, kami mempunyai lapan koleksi busana untuk wanita. Untuk kaum lelaki pula kami menyediakan dua koleksi busana lelaki yang merangkumi baju Melayu dan Kurta.  

“Koleksi ready to wear kami lebih kepada sesuatu yang ringkas. Ia sangat elegan dan sesuai dipakai di hari raya ataupun menghadiri majlis rumah terbuka. Bukan itu sahaja, ia juga boleh digayakan ketika menghadiri majlis perkahwinan,” ujar Mumtaz yang gemar membeli-belah dan bercuti ketika masa lapang.

Perancangan Bisnes

Bergelumang dalam industri perkahwinan sedikit sebanyak menerbitkan keinginan Mumtaz untuk mengeluarkan busana pengantin. Ini diakui sendiri oleh Mumtaz. Sememangnya itulah perancangan yang ada dalam kotak fikirannya.

“Meskipun label The Teemor masih baharu namun sambutan yang diterima daripada para pelanggan sangat mengujakan. Jika tiada aral melintang dan diizinkan ALLAH, saya ingin sekali mengeluarkan busana pengantin sebagai koleksi The Teemor selain koleksi ready to wear yang saya usahakan sekarang.

“Menjadi impian saya sejak membina bisnes dalam industri fesyen untuk memiliki koleksi busana pengantin. Namun ini merupakan rangka bisnes saya pada masa akan datang ke arah memperkembangkan lagi sayap bisnes,” ujar wanita yang kekal jelita meskipun usianya meniti angka 40 tahun.

Koleksi The Teemor menampilkan kelainan daripada segi rekaannya yang trendy, terkini dan juga sofistikated. Keistimewaan busana rekaan The Teemor terletak pada potongan dan perincian harganya yang sangat mampu milik.

“Sasaran pelanggan kami pula terdiri daripada pelanggan-pelanggan Reka Teemor yang gemarkan sesuatu yang nampak mewah dan elegan. Harga yang ditawarkan juga amat berpatutan bermula daripada RM200 hingga RM400. Harga yang kami tawarkan ini merupakan harga pengenalan kerana kami baharu saja enam bulan berada di pasaran, jadi sekali gus ia dijadikan harga promosi.

“Kami bersaing secara sihat dengan mengetengahkan busana-busana menerusi rekaan yang indah dan relevan di pasaran. Dalam masa yang sama, kami bercadang untuk menyertai pertunjukan modest fesyen antarabangsa di Paris dan London.

“Untuk perancangan jangka panjang, kami juga bercadang dan sedang berusaha untuk memperkembangkan perniagaan kami ke Singapura dan Brunei Darussalam,” ungkap Mumtaz yang meminati pereka India Sabyasachi dan pereka antarabangsa Marchesa.

Kesibukan menguruskan The Teemor bukan bermakna Mumtaz melepaskan tanggungjawabnya untuk menguruskan Reka Teemor. Ini kerana keutamaan Mumtaz ialah untuk mengendalikan majlis serta menguruskan Reka Teemor.

“Kami mempunyai pereka dan juga rakan kongsi yang bertanggungjawab menjalankan urusan jualan di atas talian dan menguruskan butik kami di Bangsar. Buat masa ini, alhamdulillah saya boleh menguruskan kedua-dua bisnes ini dengan baik. Syukur kerana saya mempunyai support system, rakan kerja yang baik dan sangat profesional,” jelas Mumtaz.

Kehidupan Peribadi

Berbicara tentang sisi santai, walau bagaimana sibuk pun beliau dengan urusan bisnes, fitrah Mumtaz tetap sebagai seorang isteri dan juga ibu kepada anak tunggalnya,  Dhiya Batrisya, 11 tahun. Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat menabur kasih kepada keluarga tercinta.     

“Alhamdulillah suami dan anak saya sentiasa bersama saya pada setiap masa. Jadi saya boleh menjadi seorang isteri dan ibu sambil menumpukan perhatian terhadap kerjaya yang saya ceburi. Pendek kata, semuanya saya satukan dan lakukan secara beriringan. Ini kerana kerjaya dan juga keluarga sama-sama penting dalam hidup saya,” tutur Mumtaz.

Selama 13 tahun mendirikan rumah tangga, baik Mumtaz mahupun suaminya, sama-sama sudah ‘masak’ dengan kerenah masing-masing. Saling melengkapi antara satu sama lain menjadikan rumah tangga yang dibina terus berkembang mekar.

“Sebenarnya hanya melalui bisnes, kami dapat bersatu. Jika dahulu kami bekerja berasingan, masa untuk bersama agak terhad sehingga menyebabkan hubungan kekeluargaan sedikit hambar. Selepas saya hamil, kami bercadang untuk memulakan perniagaan. Apabila anak kami lahir, kami nekad untuk mengusahakan perniagaan dalam bidang perancang perkahwinan secara serius.

“Kami mahu berikan kasih yang secukupnya kepada puteri kami, Dhiya Batrisya. Dalam soal mendidik anak, kami sangat menekankan didikan agama. Paling utama adalah daripada segi kualiti masa bersama anak kami. Jika boleh, kami ingin meluangkan masa sebanyak mungkin dengan Dhiya Batrisya serta memberikan teguran apabila dirasakan perlu,” akhiri Mumtaz yang sangat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Tip Mengekalkan Kebahagiaan Dalam Rumah Tangga

1.    Sayangi suami dan keluarga sepenuhnya.

2.    Banyakkan aktiviti bersama seperti solat bersama, makan dan bercuti.

3.    Cuba minati apa yang suami sukai.

4.    Berikan ruang kepada suami apabila beliau memerlukannya.

5.    Banyakkan berdoa dan meminta kepada Yang Maha Esa.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.