PERAK bakal menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) edisi keempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina, Meru, pada 20 dan 21 November.

Penganjuran yang mengangkat tema Keamanan Sejagat ini diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan titah utama sebagai pembukaan persidangan, sementara majlis penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ikuti temu bual wartawan NORMAWATI ADNAN bersama Naib Cancelor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), TAN SRI PROFESOR DR NORDIN KARDI yang bertindak sebagai penggerak utama persidangan.

Boleh Tan Sri kongsi latar belakang WCIT?

Sejak penganjuran 2012 dan melihat impak dan maklum balas positif diterima, kerajaan negeri mengambil keputusan menjadikan ia acara tahunan. Ini selari permintaan banyak pihak antaranya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang cenderung kepada program intelektual dan ilmiah seperti ini.

Tahun lalu, dengan tema dunia masa depan, meletakkan garis panduan bagi umat Islam menceburkan diri dalam perbincangan intelektual dan kritis seumpama ini. Kejayaan penganjuran WCIT ketiga itu memberi inspirasi kepada USAS dan kerajaan negeri agar penganjurannya dibuat secara tahunan. Penganjuran kali ini bukan sekadar program di peringkat universiti, tetapi lebih merupakan program signature Perak.

Apakah matlamat penganjuran WCIT kali ini?

 Keamanan sejagat dipilih kerana membawa matlamat signifikan. Bagaimana kita menyuarakan tentang keharmonian dan keamanan sejagat mengikut definisi Islam dan sosial.

Perdebatan mengenai ekstremisme, tiada toleransi agama dalam Islam dan integrasi umat Islam ke dalam masyarakat dunia kian menjadi isu panas. Jadi melalui persidangan ini kita harap membawa sinar baru dalam pemahaman lebih baik terhadap Islam, membuktikan bahawa Islam bukanlah suatu ancaman kepada dunia.

Ini akan dapat direalisasikan melalui dialog antara budaya. Perbincangan dapat mengenal pasti punca konflik sosial dan politik dunia serta membangunkan strategi bagi menanganinya selain mengenal pasti semangat tradisi dan falsafah Islam yang menyumbang kepada keamanan dunia.

Selain topik utama, kita menggariskan enam sub tema iaitu konflik sosial dan ekstremisme agama; falsafah dan tradisi kerohaniannya; geostrategi dan keamanan global; kuasa, politik dan media; isu kemanusiaan dan keamanan sejagat serta pendidikan dan belia.

Tema kali ini selaras aspirasi TN50?

Tema ini bertepatan dengan aspirasi negara termasuklah TN50 yang merupakan transformasi merangkumi bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat, alam sekitar dan minda.

Negara kini sedang berkempen mengenai wasatiah (kesederhanan), Islam Hadari contohnya yang masing-masing punya interpretasi tersendiri tetapi membawa maksud sama iaitu keamanan.

Soal pemikiran mengambil masa untuk difahami dan dipraktikkan sesuai dengan keadaan. Pemimpin silih bertukar ganti, namun matlamatnya kekal. Begitulah yang diusahakan USAS sekarang yang mana melalui penganjuran persidangan seumpama ini dapat meletakkan negara di barisan hadapan sebagai peneraju idea keamanan sejagat.

Persidangan seumpama ini penting bagi membuka minda dan mendapatkan satu jalan penyelesaian terhadap isu dialami masyarakat kini. Segala idea yang diketengahkan dalam persidangan akan dikumpul dan diterbitkan dalam jurnal USAS untuk dijadikan rujukan berkaitan keamanan pada masa akan datang.

Apakah mesej cuba dibawa melalui persidangan ini?

Persidangan ini penting bagi membuka minda belia dan masyarakat masa kini mengenai keamanan sejagat amnya dan konflik dunia khususnya.

Belia dianggap sebagai tunggak sesebuah negara, jadi mereka perlu diberi pendedahan awal dalam segala aspek sama ada dari sudut agama, budaya dan masyarakat bagi menjamin keharmonian dan keamanan sejagat.

Dalam satu sub tema ada disentuh mengenai pendidikan dan belia yang mana kita mahu belia tahu, mereka perlu memastikan bahawa bukan sekadar pendidikan itu dimajukan dan dibentuk dengan baik, lebih daripada itu, golongan belia mesti menjadi golongan terpelajar.

Semua inti pati ini akan menjadikan belia dapat membentuk kelompok masyarakat yang lebih baik pada masa hadapan.

Bagaimana format penganjuran kali ini?

 Persidangan ini lebih memfokuskan kepada perbincangan ilmiah, di samping pembentangan kertas akademik dan disusuli dengan resolusi. Terdapat enam sesi forum utama yang membincangkan sub tema ditetapkan. Perbincangan dalam sesi forum ini akan dikupas pakar yang dijemput khas dari dalam dan luar negara.

Format lain adalah sesi satelit yang mana terdapat tiga sesi. Ia bakal menampilkan isu khusus berkait rapat dengan tema persidangan dan disampaikan penceramah undangan.

Satu lagi masing-masing sesi kehormat dan sesi pararel. Sesi pararel adalah pembentangan kertas akademik disertai ahli akademik yang membentangkan dapatan kajian mereka.

Kita menerima ratusan kertas akademik, namun selaras penganjuran kali keempat, hanya 35 kertas yang diperakui asli serta memenuhi standard penulisan diindeks oleh Scorpus dan Thomson Reuters WoS sahaja diterima.

Harapan Tan Sri untuk  penganjuran WCIT ini?

Kejayaan penganjuran WCIT tahun ini dianggap paling penting untuk USAS menjadi sebahagian daripada gerakan kempen untuk keamanan dunia. Kita di USAS juga berbangga dengan usaha dilakukan kerajaan negeri melalui pelaburan bagi memastikan WCIT berada pada kedudukannya ketika ini.

Menjadi cabaran kepada USAS untuk mengekalkan momentum ini agar ia menjadi satu kempen perjuangan berterusan. Tidak mengapa kita menjadi jambatan ke arah usaha ini, kerana setelah berkali-kali penganjurannya, siapa tahu kita dapat berada di barisan hadapan mengetuai gerakan kemanusiaan dan keamanan.