PERHIMPUNAN Agung Umno 2017 adalah pentas terakhir perwakilan dan pimpinan Umno untuk berhimpun bagi menaikkan semangat menghadapi PRU14.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui ucapan dasarnya sebelum ini sekali lagi mengingatkan perwakilan bahawa PRU14 kali ini adalah ‘bapa segala pilihan raya’.

Bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih besar, Umno semestinya akan bersiap-sedia sepenuhnya dari pelbagai aspek.

Ketika wawancara bersama Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI mengingatkan sekiranya sekali lagi BN ditolak, parti itu mungkin akan hanya berada di Arkib Negara dan digunakan sebagai medium kajian sejarawan sahaja.

Ikuti sesi wawancara disertai Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali; Penolong Editor Sinar Online, Mohd Fazli Zainul Abidin; wartawan, Asyraf Muhammad, Shamsul Abd Ghani dan juru foto Asril Aswandi Shukor bersama beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Perhimpunan Agung Umno 2017 kali ini agak berbeza berbanding penganjurannya sebelum ini. Bagaimana Datuk Seri melihat signifikan perhimpunan kali ini?

Sebagaimana yang sering saya ulangkan beberapa kali bahawa Perhimpunan Agung Umno 2017 kali ini cukup signifikan kerana paluan gendang PRU14 hampir dipukul.

Dah tentunya dari segi kesiapsiagaan, bukan hanya jentera (perlu diberi perhatian) tapi dari segi minda terutama mentaliti untuk menang itu harus dipertingkatkan.

Saya lihat kerja-kerja dengan semangat berpasukan harus digarap dalam kalangan kepimpinan akar umbi ke peringkat nasional. Semangat inilah yang cuba saya lontarkan ketika saya merasmikan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Semangat ini jugalah dilontarkan oleh ketua-ketua sayap termasuklah jurucakap-jurucakap sayap ke perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri. Jelas di dalam ucapan Presiden Umno juga perkara ini turut diberikan kesinambungan.

Kita dapat melihat bahawa sambutan di kalangan perwakilan di dalam Dewan Merdeka seramai 2,758 orang dan di luar dewan juga.

Malah kita lihat juga di sekitar PWTC ini, kebanyakan warna digunakan adalah warna merah yang agak sinonim dengan Umno.

Pada hari ketiga, kita akan membirukan keseluruhan Dewan Merdeka sebagaimana kita akan membirukan ruang legar dan PWTC bagi memeriahkan semangat kebiruan dan gelombang biru.

Bolehkah Datuk Seri ulas mengenai tujuh lembayung arjana, ia telah berulang kali disebut di dalam Umno sebelum ini. Mengapa perkara itu masih dilaungkan? Apakah selama ini Umno gagal melaksanakan tujuh lembayung arjana tersebut?

Sesuatu yang kita hamparkan kepada khalayak itu adalah perkara dan isu yang perlu kita ulangkan. Apabila ia diulangi, maka bermaksud kita memberi penekanan terhadap isu berkenaan. Kita bukan hanya melihat dari segi kesinambungan sesuatu yang dilontarkan dalam lembayung tapi saya merangkumkannya kepada tujuh kerana ia satu penekanan supaya dapat dihamparkan kepada bukan hanya ahli Umno tapi kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Lembayung tujuh ini adalah inti pati lembayung lain yang pernah kita lontarkan. Walaupun istilahnya bukan lembayung, tapi presiden parti turut terus menyebar luaskan beberapa lembayung yang lain.

Dalam hal ini, lembayung arjana adalah kejayaan yang harus kita garap semula bagi mengingatkan kita serius dalam perkara ini.

Sejauh manakah lembayung-lembayung itu akan dipraktikkan selepas ini?

Kita tahu dalam ucapan dasar presiden bahawa perutusan pencapaian aku janji di dalam PRU lalu telah mencapai tahap cukup tinggi iaitu 99.7 peratus. Saya tak fikir kita mempunyai kekurangan 0.3 peratus itu sebagai kegagalan. Kita bersifat manusia biasa dan kita bukan maksum. Mesti ada ruang yang perlu kita isi kelemahan itu.

Saya fikir jika kelemahan itu sedikit, kita boleh lakukan perubahan kalau kita diberi mandat semula oleh rakyat selepas PRU14 nanti.

*Dapatkan akhbar Sinar Harian hari ini untuk berita penuh