DUA tahun lalu, pada 15 Oktober 2015, satu penghijrahan diumumkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah.

Anak kelahiran Temerloh ini secara rasmi mengesahkan keahlian dalam PKR.

Perjuangannya dalam politik tanah air sentiasa segar, malah jika diimbau laporan media pada waktu itu, beliau sentiasa menegaskan pembabitannya dalam politik mempunyai objektif besar sehingga melangkaui kepentingan peribadi.  Atas faktor itu juga, hatinya terpaut memilih PKR.

Tidak sampai seminggu menyertai PKR sebagai ahli baru, Saifuddin terus diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Sekretariat (KSU) Pakatan Harapan.

Pada 20 Oktober ini, genap dua tahun beliau menggalas peranan ketua setiausaha.  

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga mengakui hijrah kecil yang dilakukannya merupakan satu keputusan besar dalam menuju perubahan sebenar kepada politik Malaysia.

Menyusuri sejarah politik Saifuddin, beliau adalah Ahli Parlimen Temerloh bagi tempoh 2008 hingga 2013 mengalahkan calon dari PKR. Namun, beliau gagal mempertahankan kedudukan selepas tewas kepada Pas yang diwakili Nasrudin Hassan pada 2013.  

Selepas dua tahun bergerak sebagai ahli politik mewakili parti pembangkang, Saifuddin berkongsi pengalaman dan ideologinya kepada wartawan SALWANI MD ZAIN dan juru foto, ROSLI TALIB.

Dulu ramai orang berpendapat politik Datuk lebih berpotensi dalam Umno. Sekarang setelah dua tahun dalam PKR, bagaimana Datuk menilai potensi politik Datuk sendiri?

Saya berpegang pada idealisme politik (termasuk niat dan perjuangan) yang berasaskan nilai-nilai yang tinggi dan universal. Idealisme politik saya ialah pemikiran politik baru. Ia terdiri daripada empat komponen, iaitu, integriti politik, kerangka governans baru, inovasi demokrasi dan pemikiran progresif.

Semasa dalam Umno, pada 2008, saya menulis buku Politik Baru: Kearah Demokrasi Malaysia yang Matang. Semasa dalam PKR pada 2017, saya menulis buku Politik Baru: Demokrasi Malaysia yang Berbilang-kaum dan Moderat. Buku kedua adalah sambungan bagi buku pertama.

Dalam perkara atau isu-isu khusus, pendirian saya semasa dalam Umno dan PKR adalah sama. Contohnya, saya percaya kepada pemberdayaan orang muda, partisipasi mahasiswa dalam politik, kebebasan akademik, pilihan raya kerajaan tempatan dan pilihan raya yang bersih.

Sebagai penuntut ilmu politik, saya terus belajar. Justeru, mungkin ada kupasan saya tentang perkara tertentu pada hari ini adalah berbeza, iaitu lebih kemas pengisian dan penghujahannya daripada masa lalu. Ini bukan bermakna saya berubah. Ia bermakna saya telah melalui proses pengayaan.  

Bezanya ialah dalam PKR dan Pakatan Harapan, saya mempunyai ruang dan peluang yang jauh lebih luas untuk berfikir, berbicara dan berbuat. Satu lagi perbezaan ialah dalam Umno/BN, pemikiran saya kurang mendapat sambutan, malah sering dipandang serong.

Tetapi, dalam PKR/Pakatan Harapan, pemikiran saya diraikan. Lebih mustahak, wujudnya budaya ilmu segar dalam kalangan teman-teman, dan ini proses pengayaan yang amat penting kerana parti politik mesti dipandu politik ilmu, bukannya politik ampu.    

Dalam tempoh dua tahun ni, bagaimana keyakinan Datuk mengenai kestabilan parti? Apatah lagi beberapa bulan ke belakang ini muncul krisis, berbeza reaksi berhubung kerjasama dengan Pas.

PKR stabil, perbezaan pendapat lazim dan harus berlaku, malahan wajar digalakkan, dalam organisasi yang demokratik dan dinamik. Kita meraikan pertembungan idea dan menghasilkan pendapat yang terbaik daripadanya.

Pada pandangan Datuk apakah perbezaan utama antara BN dengan Pakatan Harapan?

Ada dua perbezaan utama. Pertama, amalan politik ras, kedua, parti dominan.

Walaupun BN kelihatan seperti gabungan parti-parti politik berbilang kaum, tetapi, pada hakikatnya, semua parti komponennya berasaskan atau didominasi sesuatu kaum/etnik.

Struktur organisasi BN pula didominasi sebuah parti (iaitu Umno) yang mewakili kaum tertentu (Melayu/Bumiputera). Jawatan-jawatan utama BN, iaitu Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, dan Pengerusi Negeri (kecuali Sarawak) semuanya dipegang pemimpin Umno.

Pakatan Harapan cuba sedaya upaya untuk mengamalkan politik berbilang kaum dan moderat. Dari segi struktur organisasi, kami berpegang pada prinsip rakan kongsi saksama. Tidak ada sebuah parti yang menjadi parti dominan.

Saifuddin ketika menjawab soalan pada temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Beri khidmat terbaik, elak tabur duit

Bagaimana Pakatan Harapan menangani kontroversi membabitkan komponen? Contoh dakwaan sogokan RM1 bilion Tun Dr Mahathir Mohamad pada Lim Kit Siang dan RM5 juta individu H pada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk keluar parti?

Pakatan Harapan membuat keputusan dan menyelesaikan isu melalui mesyuarat Majlis Presiden. Setakat ini, belum timbul apa-apa kontroversi membabitkan parti-parti anggota.

Sogokan dari luar adalah perkara yang kami sedia hadapi sejak awal. Ia mainan Umno/BN. Kini, ia menunjukkan betapa Umno/BN bertambah cemas kerana mereka merasai bahawa sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan semakin meningkat dari sehari ke sehari.  

Menurut kajian Mood of the Nation  yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) pada September lalu, sokongan terhadap BN ialah 41 peratus sahaja. Ini merupakan sokongan terhadap BN yang paling rendah.  

Mengenai PRU14, Pas bertegas akan bertanding di kawasan BN dan Pakatan Harapan tetap dengan pendirian yang akhirnya akan terbentuk tiga penjuru. Apa pandangan Datuk?

Pertandingan tiga penjuru sukar dielakkan. Semasa PRU13, terdapat pertandingan tiga penjuru sesama parti-parti anggota Pakatan Rakyat di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi PRU14, pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, Pas dan BN diramalkan menguntungkan BN. Matlamat parti pembangkang ialah mengalahkan BN. Sebab itu, usaha-usaha mesti diteruskan untuk meminimumkan pertandingan tiga penjuru.

Kajian IDE, Merdeka Center dan beberapa pihak lain menunjukkan majoriti pengundi mahu pertandingan satu lawan satu di antara Pakatan Harapan melawan BN. Sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu, maka, peluang Pakatan Harapan memenangi PRU14 amat cerah.   

Pada masa yang sama, Pakatan Harapan bersiap sedia untuk berhadapan pertandingan tiga penjuru. Kalau ini berlaku, kami yakin rakyat memahami bahawa Pakatan Harapan telah berusaha sedaya upaya untuk menggembleng seluruh tenaga pembangkang.

Kami juga yakin rakyat tahu Pakatan Harapan adalah pembangkang yang sebenar. Sekiranya ada parti pembangkang memilih untuk berkawan dengan BN, maka, kami juga yakin yang rakyat akan menilainya dengan bijaksana.     

BN banyak tabur duit untuk rampas Selangor. Apa strategi PKR untuk terus memerintah Selangor?

BN memang bergelumang dengan politik wang. Justeru, BN menabur segala-galanya untuk merampas Selangor. PKR/Pakatan Harapan tidak akan menggunakan politik wang. Kita akan meneruskan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

Setakat ini, berdasarkan laporan rasmi, contohnya, oleh Ketua Audit Negara, dan kajian-kajian lain, dokongan rakyat terhadap kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali adalah amat menggalakkan.

Dapatkan laporan penuh di akhbar Sinar Harian hari ini