PERANCANGAN Kerajaan Selangor menjadikan negeri iaitu sebagai Smart State pastinya menjadi satu penanda aras baharu dalam sejarah pentadbirannya.

Misi Selangor ke arah melestarikan negeri dan rakyatnya menuntut suatu bentuk perancangan rapi dan teliti untuk jangka masa panjang. Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Selangor/KL, Mohd Fahmi Ismail berkesempatan mewawancara Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah bagi mengupas hala tuju Smart City itu.

Apakah pengertian atau definisi Smart City mengikuti kriteria Kerajaan Negeri Selangor?

Kerajaan negeri sedang melaksanakan program SmartSelangor yang bakal menjadikan Selangor sebuah Smart State di ASEAN pada 2025.  Tanda aras yang kami gunakan bukan hanya merujuk kepada Malaysia tetapi kepada beberapa negara maju di rantau Asia seperti Korea Selatan, Singapura dan beberapa bandar di Indonesia, seperti Jakarta dan Bandung.

Cabaran untuk membentuk Smart State ini harus ditangani pada dua peringkat; yang pertama adalah bagaimana kita boleh memajukan lagi beberapa Smart City di Selangor ke tahap lebih tinggi dan keduanya bagaimana boleh kita bentuk sebuah smart state di peringkat kerajaan yang akan berinteraksi bersama dengan smart cities ini.

Di Selangor sudah wujud beberapa bandar utama seperti Subang Jaya dan Cyberjaya yang mula memperkenalkan beberapa ciri Smart City dengan caranya tersendiri. Pada masa ini kita membenarkan mana-mana bandar di Selangor untuk memperkenalkan ciri-ciri Smart City ini mengikut kesesuaian masing-masing tanpa mengekang mereka dengan mana-mana garis panduan tempatan mahupun antarabangsa.

Smart State yang bakal dibina ini harus mempunyai empat ciri utama iaitu:

Pertama ianya harus mengamalkan ciri-ciri Smart Governance seperti tadbir urus yang baik, mengamalkan dasar penuh kebertanggungjawaban, keterbukaan dan respons serta perkhidmatan pantas dan efisien.

Kedua, perlu ada unsur penggunaan teknologi-teknologi maklumat yang baru dan moden dalam sistem penyampaian perkhidmatan untuk rakyat. Termasuk di sini juga keperluan membangunkan keupayaan mengesan dan mengumpulkan data kerana adalah mustahil untuk kita melakukan sebarang perubahan sekiranya kita tidak boleh mengukur tahap pencapaian kita berlandaskan data semasa yang tepat.

Ketiga, perlu ada satu ‘benchmarking’ yang perlu dibuat dengan contoh-contoh lain di dunia untuk memastikan inisiatif ini standing dengan negara-negara lain agar kekal relevan.

Keempat, inisiatif smart state ini perlu dilandasi dengan pendekatan ‘citizen centric’di mana kerajaan harus bekerjasama dengan rakyat dengan rakyat sebagai nadi utama dalam mencapai objektif smart state.

Apakah sasaran utama kerajaan negeri dalam melaksanakan program Smart City ini?

Buat masa ini Selangor masih lagi menjadi negeri pilihan untuk penghijrahan rakyat tempatan dan asing untuk mencari peluang pekerjaan, pelaburan, kemudahan awam dan pendidikan serta kualiti hidup yang lebih baik. Arus urbanisasi ini dijangka akan terus kekal dan akan melonjak pada kadar yang lebih tinggi dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Oleh itu, kerajaan negeri perlu diupayakan dengan kebolehan-kebolehan baru untuk bukan sahaja menangani permintaan dan keperluan rakyat semasa tetapi juga untuk mendepani cabaran-cabaran baru yang bakal wujud.

Sasaran kita adalah untuk menzahirkan beberapa persepsi umum pada tiga peringkat.

Pertamanya adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang mempunyai sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan responsif dengan keperluan rakyat. Tentunya ini akan meruntuhkan persepsi birokrasi dan lembap yang kadangkala wujud di kalangan rakyat.

Keduanya adalah agar rakyat dapat merasakan bahawa luahan dan pandangan mereka mengenai isu-isu kepentingan awam diambil kira dan dihargai oleh pihak kerajaan.

Ketiga, pihak swasta dan komuniti perniagaan perlu dirangsang dengan mewujudkan beberapa peluang-peluang perniagaan baru menerusi industri-industri baru seperti ‘Big Data Analysis’, ‘Internet of Things’, ‘Industrial Revolution 4.0’, dan ‘Knowledge-Based Economy’.

Persepsi sebegini akan mewujudkan keyakinan yang baik di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang akan lebih berminat untuk melabur di negeri Selangor. Ini akan menjanjikan pertambahan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik yang akhirnya menjamin kualiti hidup yang lebih baik untuk rakyat negeri Selangor.

Untuk menjayakan program Smart City melalui teras-teras yang digariskan dalam program Smart Selangor pastinya memerlukan bajet yang besar, dari sumber manakah peruntukan besar itu diperolehi?

Pastinya inisiatif ini akan memerlukan peruntukan dana yang besar. Ambil contoh Singapura, dana pembangunan untuk Singapore Smart Nation Initiative untuk tahun 2017 sahaja adalah berjumlah RM 7.4 billion untuk sebuah negara yang jauh lebih kecil daripada Selangor.

Buat masa ini sejumlah besar dana pembangunan Smart Selangor datang daripada kerajaan negeri dan perbelanjaan ini dipantau secara langsung oleh kerajaan negeri.

Namun begitu, pihak swasta juga berkeinginan untuk turut serta dengan sumber dana dan model perniagaan baru ‘win-win’ yang boleh diterokai bersama untuk membangunkan Smart Selangor.

Ambil contoh Wi-fi percuma Smart Selangor yang kini dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri yang pada ketika ini mempunyai kira-kira 700,000 pengguna berdaftar. Tidak mustahil untuk kita serahkan pembiayaan ini kepada pihak swasta yang memerlukan akses kepada customer base baru untuk tujuan pemasaran produk dan seumpamanya. Dengan cara ini, dana pembiayaan awal yang diberikan oleh kerajaan ini boleh disalurkan untuk program-program lain yang lebih bermanfaat untuk rakyat.

Kita juga banyak didekati oleh  agensi peringkat persekutuan seperti MIGHT dan MDEC yang mempunyai akses kepada pembiayaan program Smart City oleh badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia dan United Nations. Kita harus mengambil peluang ini untuk merancakkan lagi program Smart Selangor.