PENGERTIAN sambutan Hari Kebangsaan 2018 sudah tentu mempunyai maksud dan tafsiran yang berbeza pada setiap individu khususnya sebagai rakyat Malaysia.

Masing-masing mungkin mempunyai pengalaman yang membebaskan mereka daripada penjajahan asing mahupun bebas daripada cengkaman pihak tertentu.

Namun tidak dinafikan perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan pada PRU14 lalu juga boleh dianggap sebagai satu kemerdekaan bagi rakyat apabila bebas daripada cukai yang membebankan mereka.

Ikuti kupasan lanjut mengenai perkongsian erti kemerdekaan negara menerusi wawancara khas Wartawan Sinar Harian, MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI bersama Menteri Kewangan, LIM GUAN ENG.

Bila YB mula merasai semangat patriotik? Boleh ceritakan pengalaman YB itu.

Saya teringat dulu semasa zaman sekolah, kita ada satu perayaan dan apabila tiba 31 Ogos, saya beli sedikit gula-gula. Itu yang saya ingat. Ia sungguh membangkitkan sedikit semangat patriotisme.

Semua ini dilakukan dalam kalangan ahli keluarga. Jadi bila kata ‘Oh hari ini hari Merdeka’, jadi saya akan dapat gula-gula. Ia sinonim dengan sambutan kemerdekaan.

Waktu itu saya tahu ia merupakan hari yang besar dan bermakna tetapi masih tidak faham apa sebenar erti kemerdekaan. Bila sudah besar, baru saya memahami erti kemerdekaan.

Apa yang pertama terlintas di fikiran YB apabila sebut hari merdeka?

Masa kanak-kanak tentulah teringatkan gula-gula, bila sudah besar baru faham merdeka itu adalah hari kita dibebaskan daripada penjajah.

Tentulah apabila dewasa kita rasa bahawa kita ada kuasa untuk menentukan masa depan kita. Memilih wakil rakyat demokrasi dan sebagainya, tidak dikongkong oleh penjajah.

Apa pandangan YB tentang erti perpaduan, keharmonian dan kebebasan?

Kalau kita lihat Rukun Negara, lima prinsip utama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Itu adalah perkara teras apabila kita sebut tentang merdeka.

Erti perpaduan ini, kalau dulu penjajah dia pecah dan perintah, rakyat tak boleh bersatu padu. Tapi selepas kemerdekaan, kita boleh bersatu padu.

Kita jangan lupa kalau Malaysia maju, semua lapisan rakyat boleh menikmatinya. Kalau Malaysia mundur, semua akan derita. Untuk memastikan bahawa kita tidak dikongkong oleh penjajah, kita kena ingat bukan saja penjajah luar tapi penjajah tempatan juga.

Apa yang berlaku pada 9 Mei 2018 ialah rakyat benar-benar bersatu padu untuk ganti sebuah kerajaan yang rakus, rasuah dan tidak berkepentingan rakyat dengan sebuah kerajaan berjiwa rakyat, bersih dan mahu Malaysia yang bermaruah.

Supaya kemajuan dapat dinikmati oleh semua. Itulah perpaduan yang sebenarnya kerana kalau kita tidak bersatu, masalah kita tak akan selesai.

Kita kena ingat sebagai warganegara Malaysia, masalah kita serupa. Penyelesaian pun serupa iaitu kita mesti bersama. Kalau kita tidak bersama, tak ada jalan keluar.

Bagaimana cara Malaysia untuk kekal harmoni seperti sekarang?

Kita kena lebih erat, bukan sahaja saling kenal mengenali tapi kena bersama-sama duduk untuk hadapi masalah bersama.

Macam GST (cukai barangan dan perkhidmatan) ini bukan hanya satu pihak yang kena, semua kita kena. Marilah kita bersama-sama selesaikan perkara ini. kalau kita nak tukar kerajaan, kita tak boleh bergantung kepada satu pihak. Semua mesti bersama.

Apabila kita lihat tentang kekalkan keharmonian dan perpaduan, saya rasa kita kena pastikan rakyat dapat menghayati. Hanya bila kita bersatu, bersama dan sejiwa, barulah kita boleh menghadapi dan mengatasi masalah.

Macam kita genggam tangan. Kalau satu jari saja tidak kuat, kalau kita semua bersatu genggam bersama-sama, itu baru hebat.

Apakah harapan YB kepada generasi muda untuk hargai perpaduan negara ini?

Sekarang kita nak bersihkan Malaysia daripada kleptokrasi yang terbesar di dunia. Kita mahu Malaysia dikenali sebagai negara bersih untuk masa depan generasi akan datang supaya mereka akan dapat nikmati masa depan yang lebih cerah. Itulah usaha yang kita buat sekarang.

Kita nak bagi tahu mereka (generasi akan datang), hanya kerana kita bersatu padu, barulah kita boleh selamatkan masa depan negara.

Kalau kita terus berpecah, macam sistem pecah dan perintah penjajah lama, mereka pun akan hidup hutang sekeliling pinggang. Kita dah tahu masa depan kita dirompak oleh kerajaan lama.

Kita tak mahu masa depan anak-anak kita juga dirompak dengan cara yang sama. Jangan biarkan anak-anak kita punya masa depan juga turut dirompak. Itulah yang kita nak pastikan.

Sebab itu kita tak mahu lagi 1MDB (1Malaysia Development Bhd), kita nak bebaskan daripada 1MDB dan GST.

Perpaduan untuk anak-anak kita saya rasa mestilah pegang kepada prinsip ini, kita kenalah bersama.

Apa yang benar itu tetap benar. Kita tak boleh tolak angka dan fakta, kalau kita tolak dua perkara ini bermakna kita terima tipu dan fitnah. Perkara ini hanya akan membawa kita kepada kehancuran.