TINDAKAN Pas yang memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR bakal menyaksikan pertembungan menarik menjelang PRU 14 tidak lama lagi.

Susulan daripada perkembangan itu, Pakatan Harapan sudah semestinya terkesan dengan tindakan bekas rakan karib mereka khususnya dalam merealisasikan pertembungan satu lawan satu bagi menumbangkan Umno-BN.

Bagaimana persediaan Pakatan Harapan mendepaninya?  Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkongsi aspirasinya kepada wartawan, Asyraf Muhammad dan juru foto, Rosli Talib pada pertemuan dengan Sinar Harian di Wisma Amanah baru-baru ini.

Persiapan Amanah menghadapi PRU14?

Dari segi kerja-kerja politik, kerja parti ini, sebenarnya lebih relevan pimpinan pengurusan parti yang jawab sebab kami Majlis Penasihat ini memang kami hadir mesyuarat, konvensyen, tapi kami hanya boleh cakap secara umum sahaja. Terutama sekali kami selaku penasihat sedang membincangkan beberapa aspek yang sepatutnya di pihak pimpinan parti Amanah yang juga merupakan anggota Pakatan Harapan untuk menyiapkan manifesto. Pilihan raya ini, perkara pertama nak dibentangkan kepada rakyat ialah manifesto. Kalau masa dulu ada buku jingga yang bawa kepada kemenangan di Selangor.

Kali ini kami ada memberi pandangan dan draf. Tapi itu baru peringkat awal dan belum diperincikan lagi. Saya sendiri telah dijemput melancarkan gerak kerja jentera pilihan raya parti Amanah. Terbaru, saya melancarkan jentera pilihan raya parti Amanah di Permatang Pauh. Dan oleh kerana dalam kawasan itu dulu, Pas bertanding, jadi kita buat pelancaran ini bagi memberi isyarat di mana parti Amanah juga akan bertanding. Ia adalah disebabkan di situ memang kajian dari segi strategik menunjukkan Amanah mempunyai harapan cerah. Kerana kita bukan hanya dalam parti Amanah sahaja tapi kita mewakili Pakatan Harapan juga. Dalam pelancaran itu pun ada wakil Bersatu, PKR dan DAP.

Hasrat satu lawan satu dengan BN tidak akan berlaku. Ustaz setuju?

Itulah hasrat yang daripada awal sebelum tertubuhnya Amanah ini, iaitu sejak dalam Gerakan Harapan Baharu lagi memang kita mahukan satu lawan satu. Secara kebetulan, saya memang terlibat dalam semua perbincangan dan mendapatkan hasil survey. Memang dari awal kita nak Pas berada di dalam Pakatan Harapan. Pelbagai usaha dilakukan. Namun oleh kerana Amanah ini dilihat oleh Pas sebagai satu parti yang keras, memang sukar nak buat pertemuan dengan mereka. Sebab mereka dari awal meletakkan persepsi yang lahirnya Amanah adalah ini kerana kecewa, khadam DAP dan sebagainya.

Tapi PKR cuba mendekati mereka, mengajak mereka malah dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan sendiri memang kita secara bersama akan cari jalan untuk berusaha bagaimana nak bawa masuk Pas. Kemudian datang parti Bersatu. Parti Bersatu juga berusaha nak tarik Pas tapi gagal kerana kelihatan di beberapa peringkat menentang perkara ini.

Pembangkang tidak akan menang PRU14 sebab tak sepakat.  Betulkan?

Memang dari awal Pas telah menyatakan mereka akan menubuhkan satu gagasan baharu iaitu pakatan blok ketiga. Jadi kita tak boleh buat apa. Kita punya strategi sejak dari awal sekiranya nak tumbangkan Umno-BN, maka mestilah satu lawan satu. Tapi dah dia (Pas) tak nak, jadi kita nak buat macam mana. Maka kita tawakal dan Pakatan Harapan diperkasakan supaya terjadi pertandingan antara Pakatan Harapan dan BN. Bukan pertandingan dengan Pas. Daripada awal dulu pun kita kata kalau Pas nak bersendirian, dalam sejarah parti Pas ini tak pernah mencapai kejayaan yang besar melainkan setelah adanya pakatan ataupun tahaluf siyasi. Zaman daripada awal sejarah Pas, mereka menang PRU yang pertama pada tahun 1959. Mereka boleh menang sebab adanya pakatan kerjasama. Suka atau tak suka, pembangkang mesti berpakat untuk menang. Tapi dah dia kata dia (Pas) kuat kononnya.

Setiap kali mesyuarat di kata ahlinya bertambah, tak apa lah kalau macam itu. Tapi kita tahu bahawa kalau tak ada pakatan kerjasama, memang tak akan menang. Sedangkan Umno sendiri pun kalau tak ada BN, mereka tak boleh menang. Masa PRU13 lalu, Pakatan Rakyat yang mantap. Kita pastikan tempat Pas bertanding, DAP atau PKR tak boleh masuk. Sebab itu apabila kita dapat keputusan PRU13, kita tengok yang Pakatan Rakyat boleh tubuh kerajaan ni. Kerana pada PRU13 ini, kita memang betul-betul kukuh.

Implikasi selepas Pas putus dengan PKR?

Bila putus hubungan Pas dengan DAP masa 2015, DAP berkata Pakatan Rakyat telah terkubur. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun cakap macam itu. Tapi Pas katakan tidak. Mereka katakan Pakatan Rakyat di Selangor masih ada dan mereka akan terus kekal dalam kerajaan Selangor masa itu. Kemudian baru timbul krisis sehingga membawa kepada Pas menggesa ketika muktamar baru ini untuk putus hubungan dengan PKR. Akhirnya sampailah kepada mesyuarat muktamar Dewan Ulamak Pas yang bawa usul itu sebulat suara.

Jadi apabila mesyuarat muktamar perwakilan, tak ada lagi usul itu sebab Dewan Ulamak dah ambil alih dan serah pada Majlis Syura untuk keputusan muktamad. Jadi kita melihatnya memang dari bawah Pas memang tak nak lagi PKR ini kerana mereka kata PKR ini banyak melanggar kerjasama. Tapi yang berbezanya di Selangor kerana pimpinan Pas di Selangor iaitu pesuruhjaya pada waktu itu yang juga naib presiden Pas, Datuk Iskandar Samad sering membuat kenyataan-kenyataan yang tidak begitu keras macam pimpinan parti lain. Malah dia turut membuat komen kepada ulamak yang mengkritik supaya tinggalkan PKR dengan mengatakan bahawa ulamak-ulamak macam duduk dalam perigi buta.

Sehingga ada sebahagian orang meramalkan besar kemungkinan jawatannya sebagai naib presiden dalam muktamar baru-baru ini akan gugur dan dicabar oleh Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan. Tapi nampaknya dia (Iskandar) tetap kekal. Masa pemilihan sewaktu saya bertanding ketika muktamar di Kuala Selangor, dia gunakan kaedah cai. Dia cuma pakai nombor sahaja. Jadi perwakilan tak kenal pun. Saya nak katakan maknanya muktamar Pas ini tidak demokratik kerana ia menerima arahan daripada atas. Yang terbaru ini pun, ada juga unsur-unsur sedemikian. Walaupun mereka marah kepada Iskandar, tapi dia menang juga. Kerana Pas nak buktikan yang mereka tetap boleh beri kepercayaan kepada golongan profesional. Selama ini banyak orang kata Pas tolak golongan profesional. Kita tak nafikan ada orang Pas yang masih ada hubungan dengan kita.

Kenapa masih pegang jawatan di Kelantan dan Selangor?

Sememangnya memang akar umbi Pas memang nak singkirkan PKR. Tapi kepentingan kuasa di Selangor ini mesti dijaga. Sebab itu dia buat keputusan serah kepada Majlis Syura. Sebab itu kita telah menjangkakan Majlis Syura akan buat keputusan mengesahkan tahaluf siyasi batal tapi soal berkaitan politik khasnya di negeri Selangor akan diserahkan kepada pimpinan parti. Padahal wujud Pakatan Rakyat di Selangor sejak awal lagi kerana hubungan Pas dengan parti yang mengetuai kerajaan. Sepatutnya memang dia perlu tarik diri. Tapi dia ambil kesempatan gunakan isu Sultan pula. Keluar kenyataan Ketua Pemuda Pas kata exco bukan dilantik oleh Pakatan Harapan tapi ia dilantik sendiri oleh Pas. Padahal Pas hanya kemukakan nama sahaja. Memanglah yang memperkenankan Sultan tapi menteri besar yang bawa nama ini. dan kalau menteri besar tak bawa, dia tak jadi.

Ahmad ketika bercakap pada wartawan Sinar Harian pada pertemuan di Wisma Amanah, baru-baru ini.

Tindakan mereka untuk mengekalkan ahli Pas dalam kerajaan negeri Selangor bukan hanya libatkan tiga exco tapi ada 5,000 orang Pas duduk dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Mereka memperoleh pelbagai kelebihan elaun dan sebagainya. Dari konteks pilihan raya, kita bimbang perkara ini. Di majlis-majlis yang dipegang oleh pihak Pas ini, parti di dalam Pakatan Harapan yang juga duduk di Selangor dalam kerajaan mungkin tak boleh menggunakan dewan orang ramai untuk pertemuan dan sebagainya. Kecualilah kalau semua parti politik tak guna maka kami tak kisah. Contoh sekarang ini sahaja, Amanah ada nak buat perhimpunan di dewan, tapi tak dapat kelulusan sebab majlis daerah itu diwakili oleh pihak Pas.

Kenapa Pakatan Rakyat berpecah?

Kita lihat pecahnya Pakatan Rakyat ini sebenarnya memang adalah usaha yang dilakukan oleh pihak musuh politik iaitu BNUmno untuk melaga-lagakan Pas dan DAP.

Kerana itu saja langkah terbaik yang mereka ada. Sebab mereka cuba untuk laga-lagakan antara Pas dan PKR pada mulanya tapi tidak berjaya. Terutama masa Datuk Seri Anwar Ibrahim belum di penjara. Dia sentiasa boleh meredakan sekiranya ada perkara-perkara yang tegang antara parti-parti ini terutamanya antara DAP dan Pas. Dia mampu untuk mendekatkan.

Saya dengan pimpinan Pas sebelum ini, sebenarnya dah lama dalam parti itu iaitu sejak di peringkat zaman Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor. Lahirnya Pakatan Rakyat ini setelah DAP keluar selepas tahun 1999. Masa itu ia dipanggil Barisan Alternatif.

Susah untuk kita dekat dengan DAP waktu itu kerana mereka kata mereka kalah banyak kerusi kerana bersama Pas yang inginkan negara Islam. Tapi dengan cara yang tak putus asa, Anwar telah bawa kepada pertemuan, perbincangan dan sebagainya. Akhirnya mereka bersetuju. Maka bila Anwar dah tak ada, jadi lagi mudahlah pihak musuh nak pecah-belahkan Pas dan DAP.

Sejak bila hubungan makin parah?

Selepas PRU13 lalu, hubungan Pas dengan Pakatan Rakyat semakin keruh akibat daripada langkah Kajang oleh PKR dan Anwar dimasukkan ke penjara. Walaupun ada PRK di Kajang, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap menang. Maka dari situlah timbul persoalan yang dibangkitkan oleh Pas kononnya Wan Azizah tak layak jadi menteri besar dan sebagainya.

Jadi bermula dari krisis langkah Kajang dan krisis bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim maka dari situlah isu ini mula dimainkan. Tapi akhirnya dia berjangkit dengan isu bersama DAP pula kerana isu dengan PKR ini gagal nak dipecahkan oleh pihak musuh. Dengan DAP ia bermula apabila DAP menunjukkan sikap tak puas hati kepada Pas. Tapi ia bersebab daripada tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tak hadir ke mesyuarat Majlis Presiden.

Bukan sekali, bukan dua kali, tapi bertahun. Apabila Pas yang hanya diwakili oleh pimpinan sahaja ketika mesyuarat presiden, maka semua keputusan majlis presiden tak dapat dicapai. Jadi tak boleh pakai la. DAP kata kalau macam ini, susah la sebab dah la dia (Hadi) tak hadir mesyuarat, keputusan pula nak buat pun tak boleh. Jadi DAP kata kami putuskan hubungan dengan Presiden Pas. Dia (DAP) bukan putus hubungan dengan Pas tapi dengan presiden. Tapi Pas pula sensitif. Itu adalah dari pihak dan kumpulan yang hanya fikir hal seolah-olah Pas ini tak boleh bersama dah dengan Pakatan Rakyat padahal di peringkat negeri Selangor masih bersama dan di peringkat pusat masih bersama.

Isu lain?

Kemudian timbullah isu hudud pula yang apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu sidang media mencabar Pas untuk bawa urusan ini kepada pusat sekiranya betul mahukannya. Kerajaan akan sokong kononnya. Itu mulanya. Akhirnya tertubuhlah Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan.

Kemudian barulah DAP kata mereka tak sokong.

DAP memang tak pernah sokong hudud pun. Tak timbul sebarang isu pun. Masa itu bukan baru DAP menentang hudud tapi sejak dari awal lagi dia tentang. Tapi masingmasing katakan itu soal parti masing-masing pada waktu itu. Kita di sini setuju di mana perkara secara bersama adalah untuk hadapi BN.

Jadi keadaan mula tegang dan akhirnya setelah beberapa lama presiden Pas tak hadir mesyuarat, maka pimpinan parti Islam itu cadangkan adakan Mesyuarat Majlis Presiden di pejabat Pas pada hari yang sama Pas mengadakan mesyuarat bulanannya. Dalam mesyuarat itu, saya difahamkan telah mencapai kata sepakat iaitu apa sahaja yang dibentangkan oleh Ustaz Hadi di Parlimen, draf tersebut haruslah dimaklumkan kepada majlis presiden terlebih dahulu. Tapi tiba-tiba Ustaz Hadi terus hantar draf ke Parlimen. Bukan sahaja majlis presiden tak tahu isinya, pimpinan tertinggi Pas sendiri juga tak tahu apa yang dikatakan bil persendirian yang dikemukakan oleh Ustaz Hadi. Isu-isu yang berbangkit seperti inilah yang membawa kepada perpecahan Pakatan Harapan. Ia bermula apabila Pas melalui Muktamar pada 2015 lalu memutuskan untuk menghentikan kerjasama dengan DAP.

Kisah ustaz menentang Presiden Pas pada muktamar parti itu tahun 2015 cukup unik.

Katakan Ustaz menang ketika itu, adakah ustaz akan membawa Pas menjadi seperti parti Amanah sekarang?

Saya dah berucap masa kempen muktamar dulu bahawa Pas sudah sampai ke tahap dari parti kampungan dan akan menjadi sebuah parti nasional. Pas juga akan jadi parti yang diterima oleh pelbagai rakyat pelbagai kaum. Saya percaya Pas boleh ke hadapan lagi. Dan saya pernah kata dulu kalau saya diberi kepimpinan dulu, saya akan memperkasa Pas dan Insya-ALLAH Pas akan memimpin Pakatan Rakyat. Bukan kita nak ke belakang. Itu cadangan saya pada waktu itu ketika kempen. Jadi bila tak ada Pas, parti Amanah inilah akan jadi medan untuk saya kembangkan idea yang saya sebut masa kempen dulu.

Dulu wartawan tanya saya kalau saya kalah adakah saya akan tubuhkan parti baru dan saya kata tidak. Begitu juga dengan jawapan Mat Sabu pada waktu itu. Tapi apabila kekalahan kami bukan dengan cara biasa, ditambah pula dengan serangan teruk kepada kami yang kalah ini memaksa kami untuk bertindak menubuhkan parti Amanah.

Kalau nak kata parti Amanah terdiri daripada ahli yang kecewa, Mat Sabu sebagai presiden pun dah berapa kali kalah dah. Tapi kalau soal kecewa ini dibangkitkan, ia tak akan jadi seperti parti politik sekarang. Kita (Amanah) baru dua tahun pun tapi kita ada hubungan antarabangsa.

Pimpinan-pimpinan kita yang ada ini pun dijemput ketika muktamar antarabangsa. Ini adalah kerana kita ada hubungan yang baik di luar. Kita bukan nak mendakwa tapi Pas berkembang menjadi parti yang diterima oleh masyarakat peringkat nasional kerana pimpinan Amanah ini yang bawa konsep Pas for all. Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah berusaha tubuhkan Dewan Himpuan Pas. Kalau ikut pemikiran ustaz-ustaz yang berada dalam pimpinan ulamak memang mereka tak nak terima. Saya pernah bawa satu cadangan dalam dewan ulamak, mereka terus tentang. Mereka kata mana boleh orang kafir duduk jadi ahli dalam Pas.

Boleh ustaz ulas mengenai larangan ke atas ustaz dari memberi kuliah di 14 buah masjid sekitar Selangor? Masjid pun sebenarnya telah dijadikan medan politik. Isu masjid-masjid di Selangor yang saya bangkitkan sebelum ini semua dah dipolitikkan. Saya bangkitkan bukan kerana saya kesal tak dapat bagi kuliah atau ceramah. Yang saya kesalkan adalah kerana mereka menyalahgunakan kuasa. Saya adalah orang yang ada tauliah seumur hidup untuk mengajar di Wilayah Persekutuan dan Selangor pun dilarang beri kuliah. Sebagai contoh di satu masjid di Jalan Klang Lama, ia sangat kuat dengan pengaruh Pas.

Sehingga ibarat kata pertemuan politik turut diumumkan di masjid itu. Saya juga pernah bagi kuliah di masjid itu.

Sehinggakan pemberhentian kuliah saya di masjid itu juga turut diumumkan sebelum solat Jumaat. Bayangkan manusia beribu datang untuk solat Jumaat dan mereka mengumumkan bahawa kuliah saya ditamatkan kerana saya tidak sehaluan dengan presiden Pas. Ini sah kerana ada beberapa jemaah yang mendengar perkara itu dan lantas menelefon saya sendiri untuk maklumkan. Bila lepas setahun, jawatankuasa di masjid itu tidak lagi terpilih, dan wujud pula jawatankuasa baru dan mereka panggil semula saya mengajar di situ.

Jawatankuasa yang dah gugur ini protes kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Mereka tulis surat kepada Jais dan salinannya diberikan kepada nazir baru ini. Ada 15 orang yang bantah. Saya tunjuk tauliah saya dan hantar salinan kepada jawatankuasa baru ini tapi sampai sekarang masih tak boleh. Maknanya mereka boleh salah guna kuasa di masjid. Dalam al-Quran sendiri ALLAH telah menerangkan agar jangan salah guna masjid demi kepentingan tertentu kerana ini hanya amalan orang munafik.

Pada saya, kekal saja Exco tiga orang itu. Tapi apa yang membimbangkan adalah 5,000 orang di bawah ini dan ia perlu dikaji semula peranan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kampung ini, walaupun elaunnya kecil tapi kuasanya besar. Itu yang kita risau akan dipergunakan oleh mereka untuk tujuan politik.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERAK bakal menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) edisi keempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina, Meru, pada 20 dan 21 November.
  • PERAK suatu ketika dahulu berhadapan suasana ketidaktentuan politik apabila pada tahun 2008 kerajaan bertukar dari Pakatan Rakyat kepada BN. Namun, bertitik tolak dari situ, kerajaan negeri yang diterajui BN berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat untuk meneruskan pentadbiran apabila menang PRU13.
  • DUA tahun lalu, pada 15 Oktober 2015, satu penghijrahan diumumkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah.
  • SUHU politik di Cameron Highlands yang terkenal sebagai pusat pelancongan tanah tinggi yang sejuk, menjadi panas seketika akibat perebutan kerusi antara parti komponen BN, myPPP dengan MIC.
  • FELDA sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai isu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan banyak pihak terhadap kredibiliti lembaga itu menguruskan aset dan pembangunan di tanah rancangannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.