PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2018 bakal berlangsung pada 29 dan 30 September ini dengan suasana yang berbeza selepas tidak lagi menjadi parti pemerintah apabila tewas dalam PRU14 lalu. Penganjuran PAU kali ini agak singkat kerana mengambil masa hanya dua hari, berbanding kebiasaan lima hari sebelum ini.  

Perhimpunan itu juga bakal menjadi tumpuan ramai kerana melibatkan barisan kepimpinan baharu Umno bagi penggal 2018 hingga 2021 yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ikuti temubual bersama Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Jasin, Khaidirah Abu Zahar mengenai agenda yang bakal dibawa dalam PAU 2018.

Selepas menganggotai Majlis Tertinggi Umno, bagaimana saudari melihat usaha parti untuk bangkit semula apabila tewas PRU14?

Selama 13 kali pilihan raya, kitalah yang memerintah. Selalunya pertama kali kami buat adalah bagaimana menerajui negara itu, tetapi selepas PRU14, ini pertama kali kita kalah dan Umno bukan parti pentadbir lagi. Sudah tentu, beberapa bulan kita 'digesting' (menghadam) keadaan baharu yang tak pernah difikir akan dilalui. Proses penghadaman itu bukan sahaja dihadapi peringkat tertinggi sahaja hadapi, tetapi juga peringkat bahagian, negeri dan cawangan. Semuanya cuba menyesuaikan situasi ini. Orang kata macam pindah rumah baru atau tempat baru, jadi kita cuba menyesuaikan keadaan itu supaya kita biasa dengan ruang yang baharu ini. Perancangan selepas PRU14 adalah untuk memastikan pengukuhan parti dan itu yang penting. Kita ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno yang baharu dan barisan timbalan dan naib presiden yang baharu. Ia pentadbiran baharu, jadi proses hendak berkenalan dengan pentadbiran baharu ini pun perlukan masa dan ruang. Sebagai ahli majlis tertinggi baharu, paling muda dan terus dalam blok pembangkang, saya rasa ia masa terbaik untuk parti betul-betul mencabar kredibiliti sendiri untuk melakukan beberapa anjakan paradigma yang terbaik bagi memastikan relevannya parti itu pada rakyat terus berkekalan. Jadi memperkukuhkan parti sangat penting. Ini yang kami buat sekarang.

Apa agenda yang hendak dibawa dalam PAU 2018?

PAU kali ini cuma dua hari hari, berbanding dulu lima hari. Kita hendak dengar dan lihat amanat presiden yang pertama kali membawa parti sebagai parti pembangkang. Semua orang tertunggu-tunggu ucapan dasar beliau. Saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid mempunyai perancangan beliau. Kali ini, saya rasa presiden akan berikan amanat cukup besar sebab dengan pelbagai dugaan dan rintangan yang beliau sedang hadapi, dugaan dulu dengan sekarang parti yang kalah, ini adalah dugaan terbesar untuk presiden baharu ini. Beliau tidak dapat jawatan itu dalam keadaan selesa. Pada masa sama, saya akan mewakili Puteri Umno Melaka dalam persidangan Puteri nanti. Sudah tentu kita sebagai sayap parti, apa yang menjadi keutamaan Puteri atau Pemuda adalah untuk mengembalikan kemenangan parti kita. Antara yang saya akan sentuh dalam usul dibawa nanti adalah untuk raih sokongan anak-anak muda terhadap Umno.

Bagaimana saudari lihat kemeriahan PAU kali ini?

Keadaan sedikit berbeza dengan sebelum ini, namun kita mengharapkan kemeriahan kerana Umno ini adalah parti yang memayungi dan menjaga kebajikan orang Melayu, parti pribumi yang majoritinya adalah Melayu. Bila setiap kali PAU, kemeriahannya sangat terasa dan kami rasa gembira dan kuat. Jadi saya harap kemeriahan dan semangat itu akan terus kekal. Saya percaya semangat yang ada mungkin ada walaupun dalam skala kecil dan dalam keadaan diduga. Ia akan bertambah meriah dengan kehadiran pemimpin Pas.

Bagaimana saudari melihat bibit-bibit kerjasama antara Pas dan Umno yang dizahirkan pemimpin tertinggi?

Walaupun tiada perjanjian atas kertas tentang kerjasama ini, tetapi Umno dan Pas bersetuju untuk terus menjalinkan hubungan yang baik. Bila kita lihat Presiden Umno dalam Muktamar Pas dan Presiden Pas akan datang PAU, saya rasa ia sudah memadai. Mungkin ada sedikit rasa agak keberatan pada peringkat awalnya, tetapi kita hendak berkenalan atau merapatkan diri bukan satu proses yang tiba-tiba, macam kita hendak kenal satu orang pun ambil masa. Begitu juga keadaan ini, hendak berkenalan dengan parti politik tentulah ambil masa. Alhamdulillah penerimaan kedua-dua pihak, Pas dan Umno baik sebab agendanya adalah untuk menjaga bangsa majoriti di dalam Malaysia dan agama rasmi negara.

Apa harapan saudari sempena PAU 2018?

Saya mengharapkan semangat dan kemeriahan PAU itu masih lagi diteruskan walau dalam keadaan kita kalah dan walau dalam keadaan kekangan kewangan dan sebagainya. Saya masih teruja untuk terpacak di depan dewan perhimpunan PAU jam 6 atau 7 pagi untuk dengar apa yang perwakilan bentangkan. Saya harap perwakilan akan terus berikan semangat pada parti walaupun dalam keadaan diduga dan dilanda badai dan sebagainya. Harapan saya, kita akan menerima mandat yang penting dan bersedia untuk meneruskan perjuangan ini. PAU merupakan satu platform kita dengar, faham dan jadikan satu asas kepada semua peringkat ahli-ahli Umno apa yang hendak kita cuba sampaikan dan saya harap ia akan capai formula terbaik untuk parti. Bukan mudah hendak kumpulkan seramai ini dalam satu tempat dan waktu yang sama, ambillah peluang ini.