GOMBAK kerusi panas disandang dua penggal oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bakal dicabar oleh calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Walaupun 10 tahun menyandang jawatan tersebut, namun pembangunan yang terdapat di Gombak kurang memberangsangkan.

Penduduk pinggir bandar memerlukan perhatian lebih dari  sudut kebajikan, prasarana dan kediaman mampu milik.

Namun kebanyakan projek perumahan yang terdapat di sana terdiri daripada projek mega di luar kemampuan penduduk setempat.

Masihkah PRU14 berpihak kepada Mohamed Azmin atau rakyat mahukan pentadbiran baharu ke arah Better Gombak.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar bersama Ketua Umno Gombak, Datuk Abdul Rahim Kamarudin mengenai sejauh mana persediaan beliau dan perancangannya bagi memajukan Gombak sekiranya rakyat memberikan mandat kepadanya pada PRU14.

Bagaimana bermulanya penglibatan Datuk dalam karier politik dan bagaimana perjalanannya?

Saya berasal dari Perak, jadi ahli Umno usia 18 tahun lagi dan mulai aktif selepas menetap di Gombak pada 1988. Saya bermula sebagai ahli biasa, kemudian dilantik Ketua Cawangan Taman Melawati, diangkat sebagai ahli jawatankuasa Umno Bahagian 90-an diikuti setiausaha 2004 dan Ketua Umno Gombak pada 2008 sehingga kini.

Sudah lebih 15 tahun saya berada di arena politik dan dicalonkan di kerusi Dun Hulu Kelang pada PRU13. Saya mempunyai banyak pengalaman hidup kerana lahir sejak zaman sebelum merdeka dan melalui pelbagai cabaran untuk sampai ke hari ini. Saya berasal daripada  keluarga susah, yang kemudian berjaya dalam bidang perniagaan disebabkan dasar dan polisi BN. Atas kesedaran ingin membalas budi itulah saya terjun ke bidang politik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Walaupun tidak diangkat sebagai wakil rakyat namun tugas menyalurkan kebajikan kepada warga Gombak tidak pernah diabaikan.

Selepas dilantik sebagai Ketua Umno Bahagian Gombak, saya menumpukan bidang politik secara sepenuh masa. Saya terlibat dengan gerak kerja pembinaan surau  di Kampung Changkat dan pembinaan sekolah Kafa dan menyusul sebuah Masjid Intifaqiah melalui peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

Berdepan orang nombor satu Selangor, sejauh mana persediaan Datuk?

Saya terpanggil untuk ke hadapan memberikan tentangan kepada Mohamed Azmin disebabkan tempoh 10 tahun diberikan kepadanya tidak digunakan bagi membangunkan Gombak dan banyak isu setempat tidak diambil perhatian serius.

Saya mengambil tiga kegagalan di Selangor yang bakal juga memberikan kesan kepada rakyat Gombak iaitu kegagalan menyelesaikan isu air, kegagalan menyediakan rumah mampu milik dan isu kesihatan yang menjadikan Selangor adalah negeri teratas berdepan denggi.

Boleh dikatakan Hospital Kuala Lumpur dipenuhi dengan orang Gombak angkara denggi.

Saya bersedia dan kerana itu saya menerima pencalonan BN Parlimen Gombak walaupun  orang ditentang adalah orang nombor dua dalam PKR.

Dalam politik tiada yang mustahil dan berdasarkan prestasi beliau yang bukanlah calon pilihan dalam kelompok Melayu, saya mampu membuat kejutan.

Bagaimana gerak kerja Datuk dan BN Gombak laksanakan sepanjang kempen PRU14?

Selepas tewas di Hulu Kelang pada PRU13, saya beri tumpuan  dan perkhidmatan keseluruhan Gombak, memenuhi keperluan penduduk dalam kawasan kampung dan bandar.

Saya libatkan anak muda dalam masyarakat melalui penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Semangat anak muda ini sememangnya menolak dasar  dibawa kerajaan, namun mereka tidak boleh menafikan program di bawah kerajaan banyak telah mengubah nasib mereka khususnya anak Melayu dalam sistem pendidikan.

Pergaulan saya juga banyak dalam kalangan anak muda dan belia yang turut sama membantu menggerak kumpulan ini aktif dalam masyarakat melalui aktiviti rondaan, keselamatan, gotong-royong dan riadah.

Projek ini kita jalankan masuk tahun ketiga di Taman Sri Gombak Fasa 8 dan 9 yang akan kita kembangkan bagi kawasan-kawasan lain termasuk penyediaan lebih banyak kawasan riadah bagi aktiviti kemasyarakatan.

Apakah permasalahan utama di Gombak yang perlu diselesaikan dan diberikan perhatian?

Saya melihat kerajaan negeri mengambil mudah isu setempat menyebabkan berlarutan dalam tempoh yang panjang seperti masalah lori hantu, pengurusan tapak pelupusan sampah dan infrastruktur.

Tapak pelupusan sampah di Sungai Kertas tidak mengikut piawaian operasi antarabangsa jadi apabila berlaku kebakaran mengambil masa hampir sebulan untuk pemadaman dan menjejaskan hampir keseluruhan penduduk di Dun Sungai Tua.

Begitu juga dengan lori hantu  melalui kawasan perumahan yang menjadi rungutan penduduk gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri sedangkan masalah itu  boleh diatasi.

Harapan saya adalah kerajaan negeri akan berubah corak dan yakin 9 Mei, BN akan kembali berkuasa di Selangor, walaupun saya bertanding bukan untuk negeri tetapi saya ketuai BN di Gombak, dan saya harap rakyat menyokong BN.