BERBICARA tentang PRU14, bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Anina Saadudin menceritakan pengalaman beliau selama berkecimpung dalam arena politik iaitu dengan Bersatu dan Umno.

Beliau yang lantang mendedahkan kemelut pemimpin politik, bagaimanapun berhasrat untuk tidak kembali menyertai politik, tetapi lebih kepada membela masa depan anak Melayu dan negara.

Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Anina yang juga Presiden Empirikal Malaysia.

Apakah tujuan sebenar pembangkang? Adakah hanya ingin menjatuhkan Najib atau sebaliknya?

Umno merupakan sebuah parti Melayu, satu-satunya kerajaan Melayu di atas muka bumi ini yang diperintah oleh marhaen Melayu dan tiada lain di dunia. Jadi kenapa ia perlu diruntuhkan hanya untuk kepentingan peribadi dan saya tidak setuju.

Najib telah membuktikan beliau sudah menggalas tanggungjawab kepada rakyat Malaysia dengan sangat baik, malah dalam kebanyakan perdana menteri, Najib adalah perdana menteri yang begitu dekat dengan rakyat iaitu dengan memperuntukkan BR1M kepada golongan mereka sekali gus menjaga ekonomi dengan baik.

Malah di bawah pentadbiran Najib, rakyat menikmati limpahan hidup yang amat ketara. Orang kata ekonomi susah, rakyat kesempitan, tapi cuba ke KLIA, berapa ramai rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara? Tengok di pasaraya, tidak pernah sekali pun orang berkurangan. Jadi, tiada sebab untuk pembangkang menjatuhkan Najib.

Anina dilihat lantang mengkritik dan membuat haluan sendiri setelah meninggalkan Bersatu. Apa perasaan Anina terhadap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Sebagai makhluk ALLAH SWT dan anak muda yang berbeza 50 tahun umur dengan Tun Mahathir, di mana nak katakan ayah pun ya, datuk pun ya. Apabila saya masuk darjah satu, dialah perdana menteri saya. Bila saya dah boleh baca surat khabar, muka dia jugalah yang dilihat setiap hari.

Tiba-tiba ditakdirkan pada tahun 2015 saya bekerjasama dengannya. Hari-hari kami bersama dan saling bertukar pendapat. Sudah pasti saya amat menyayanginya.

Tetapi nilai kasih sayang ini tidak boleh digadaikan dengan masa depan orang Melayu. Bukan sahaja pada hari ini, tetapi untuk anak cucu kita di masa depan negara. Malah perkara sama juga akan berlaku jika saya sayangkan anak saya. Saya tidak boleh katakan betul kalau dia lakukan sesuatu yang salah sebab itu masa depan dia.

Saya tidak akan berhenti menyatakan kebenaran ini sekaligus mengajak orang Melayu untuk menolak Bersatu pada PRU14 walaupun saya kena dikecam atau dihina.

Adakah tindakan Anina keluar parti disebabkan oleh tidak mendapat jawatan?

Ketika saya bersama Mahathir, saya tidak pernah terfikir untuk mewujudkan parti baharu. Sebelum ini, saya yang dijemput untuk menjadi pengasas sedangkan saya tidak terlintas untuk memegang jawatan itu.

Namun, apabila parti Bersatu diluluskan pada 2016, saya juga berulang kali menolak untuk memegang sebarang jawatan termasuklah sebagai ketua sayap wanita.

Kemudian, saya juga dilucutkan jawatan itu dengan cara yang sebaliknya. Kalau saya memikirkan jawatan, sudah pasti hari ini saya kembali menyertai Umno. Tetapi saya sama sekali tidak mengikuti Umno selepas keluar dari Bersatu, malah saya tubuhkan badan NGO saya sendiri.

Kalau saya masih kekal dalam Bersatu sudah pasti peluang saya sangat besar untuk mendapat calon barisan kerusi parlimen. Tetapi niat untuk berada dalam politik ini bukan mengejar jawatan semata-mata, sebaliknya untuk memperjuangkan orang Melayu. Malah, kehadiran saya dalam politik hari ini hanya untuk menyatakan kebenaran.

Kalau diberi pilihan antara Najib, Mahathir dan Hadi, mana akan dipilih?

Saya memilih Najib. Walaupun saya sama sekali tidak menyertai Umno, tetapi saya perhatikan apa yang sedang dilakukan oleh Najib untuk negara pada hari ini. Kemampuan Malaysia dengan peningkatan KDNK, kemampuan kita untuk menyelesaikan hutang sebagaimana yang dikatakan oleh perdana menteri di parlimen. Malaysia juga menjadi model contoh kepada negara lain tentang bagaimana kita berdepan dengan keadaan di peringkat antarabangsa.

Saya juga melihat dalam kesemua perdana menteri Malaysia, Najib adalah seorang pemimpin yang begitu dekat dengan rakyat di bawah. Sebagai contoh, BR1M, tidak berlaku pada zaman Mahathir.

Adakah Anina akan bertanding di mana-mana kawasan?

Politik tidak menjadi keutamaan saya lagi kerana bila ia terjadi, saya akan hilang fokus tentang apa yang saya nak lakukan. Jadi saya tidak berminat untuk bersama dengan mana-mana parti politik kerana dalam Empirikal juga, saya mampu menyumbang kepada anak bangsa melalui setiap fokus objektif yang dapat dicapai.

Keutamaan saya hari ini adalah memberi penerangan kepada rakyat supaya menolak Bersatu.

Bagaimana perasaan Anina melihat keadaan pemimpin pembangkang hari ini sedangkan sebelum ini Anina begitu dekat dengan mereka?

Sudah pasti saya sedih tetapi saya tidak mempunyai banyak masa untuk berduka kerana saya perlu bangkit untuk melawan dan menyatakan kebenaran demi masa depan anak bangsa kita. Saya tidak berganjak walaupun diserang sekalipun dan saya tidak akan mati sebelum ajal.

Apa yang saya lakukan ini akan diteruskan sehingga menjelang PRU14 supaya perjuangan bangsa melayu akan sentiasa diutamakan.

Apakah harapan Anina untuk PRU14?

Untuk ekonomi semasa, saya lihat kita masih berada pada landasan yang betul. Tetapi, saya lebih risaukan tentang pelapis pemimpin melayu kerana jika mereka tidak diberi input dan acuan yang betul tentang perjuangan bangsa, sudah pasti itu akan memberi kesan yang bahaya. Pada saya, pertahankan dahulu apa yang ada.

Selepas PRU14, saya harap akan dapat membantu dari sudut bagaimana jalan penyelesaian untuk membentuk barisan kepimpinan anak muda melayu untuk menerajui masa depan negara.