DENGAN kekuatan anggota melebihi 3 juta, Jabatan Sukarelawan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Rela adalah sebuah pasukan beruniform yang benar-benar menggambarkan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sudah pasti kita pernah melihat anggota Rela daripada kaum lain selain Melayu yang segak memakai beret kuning menjaga lalu lintas dan memastikan keadaan terkawal.

Kita sering terperangkap dengan persepsi bahawa kaum lain terutama Cina amat kurang dalam pasukan beruniform, tapi benarkah begitu di dalam Rela?

Perkara ini menjadi perhatian baru-baru ini apabila tiga anggota Rela daripada kaum Cina yang ditumbuk oleh seorang Datuk Seri. Justeru, ramai sudah membuka mata, Rela juga ada kaum bukan Melayu.

Ikuti temu bual khas Sorot bersama Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin mengenai isu ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sertai Rela kerana negara bukan elaun]

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hormati Rela sama seperti hormat polis, tentera’]

Boleh terangkan serba sedikit mengenai Rela dan berapakah statistik serta nisbah anggota bukan Melayu di dalam badan ini?

Rela ditubuhkan sebagai Ikatan Relawan Rakyat pada 11 Januari 1972 di bawah Seksyen 2 Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964. Pada 22 Jun 2012, Rela dijenamakan semula kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752).

Bermula pada 28 Ogos 2013, Rela  dinaiktaraf kepada Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selepas diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tugas Rela berdasarkan Akta 752 adalah membantu mana-mana pasukan atau pihak berkuasa keselamatan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis apabila diminta oleh pasukan keselamatan atau pihak berkuasa itu. Rela turut diberi peranan memberikan bantuan kepada pihak berkuasa lain dalam mengawal dan mengubah haluan kenderaan motor.

Rela juga mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat dan membantu  melindungi bangunan, pepasangan atau harta lain apabila diminta oleh pemunya bangunan atau harta itu. Bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut, Rela secara aktif menggerakkan usaha untuk meningkatkan bilangan sukarelawannya.

Sehingga 20 November 2017, jumlah keanggotaan Rela adalah seramai 3,052,811. Rela mempunyai anggota daripada pelbagai kaum dari seluruh Malaysia seperti Melayu 2,090,924 (68.49 peratus) Cina 379,987 (12.45 peratus), India 134,085 (4.39 peratus), Kadazan 50,543 (1.66 peratus), Dayak 3,859 (0.13 peratus), Melanau 29,416 (0.96 peratus), Iban 106,369 (3.48 peratus), Bajau 44,145 (1.45 peratus), Bidayuh 29,190 (0.96 peratus),  Bumiputera Sabah 73,266 (2.40 peratus), Bumiputera Sarawak 36,764 (1.20 peratus), Murut 11,851 (0.39 peratus), Orang Asli 21,918 (0.72 peratus), Singh 1,077 (0.04 peratus), Siam 3,486 (0.11 peratus) dan lain-lain bangsa 35,931 (1.18 peratus).

Jumlah anggota Rela bukan Melayu adalah seramai 961,887 (32 peratus) manakala jumlah anggota Rela bangsa Melayu adalah seramai 2,090,924 (68 peratus). Nisbah anggota Rela bukan bangsa Melayu dengan anggota Rela bangsa Melayu adalah 1:2.

Bagaimanakah penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap Rela?

Berdasarkan statistik keanggotaan Jabatan Rela sehingga 20 November 2017, dapat dirumuskan keanggotaan Rela dalam kalangan masyarakat bukan Melayu amat memberangsangkan. Jumlah anggota bukan Melayu mencecah hampir 1 juta keahlian (961,887) atau 32 peratus daripada jumlah keseluruhan keanggotaan Rela. Penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap Jabatan Rela terutamanya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur , Sabah dan Sarawak sangat menggalakkan.

Sebagai contoh anggota Rela bukan Melayu di Pulau Pinang ialah 118,679 atau 52 peratus daripada 229,549 keseluruhan anggota di Pulau Pinang. Daripada jumlah ini, anggota berbangsa Cina adalah berjumlah 95,989 (42 peratus) manakala anggota berbangsa India pula berjumlah 21,939 (10 peratus).

Anggota Rela bukan Melayu di Kuala Lumpur seramai 73,715 atau 47 peratus daripada 156,313 keseluruhan anggota. Daripada jumlah ini, anggota berbangsa Cina berjumlah 56,883 (36 peratus) manakala anggota berbangsa India pula berjumlah 14,659 (9 peratus).

Jumlah anggota Rela bukan Melayu di Sabah adalah seramai 208,401 atau 72 peratus daripada 288,665 keseluruhan anggota di Sabah. Daripada jumlah ini, anggota  Bumiputera Sabah berjumlah 72,038 (25 peratus), anggota berbangsa Kadazan berjumlah 49,347 (17 peratus) manakala anggota berbangsa Bajau pula berjumlah 42,685 (15 peratus).

Di Sarawak pula, anggota  bukan Melayu adalah seramai 257,292  atau 73 peratus daripada 348,984 keseluruhan anggota di Sarawak. Daripada jumlah ini, anggota berbangsa Iban seramai 104,585 (42 peratus) manakala anggota berbangsa Cina pula berjumlah 42,791 (10 peratus).

Kaum bukan Melayu yang terbesar secara keseluruhan ialah Cina iaitu seramai 379,987  (12.45 peratus) daripada keseluruhan anggotanya. Manakala keanggotaan kaum India ialah sebanyak 134,085 (4.39 peratus). Kaum lain yang mempunyai keanggotaan tinggi ialah Iban sebanyak 106,369 (3.48 peratus), Bumiputera Sabah seramai 73,266 (2.40 peratus) dan Kadazan seramai 50,543 (1.66 peratus). Ini menunjukkan Rela diterima baik oleh masyarakat bukan Melayu.

Berbanding badan beruniform lain, pencapaian Rela dalam merekrut bukan Melayu amat baik dan bagi saya amat membanggakan.

Bagi saya, antara faktor utama kenapa bukan Melayu lebih tertarik menyertai Rela kerana niat untuk menyumbang kepada masyarakat tetapi dalam masa sama tidak mahu terikat seperti menyertai badan beruniform lain seperti polis dan tentera.

Boleh ceritakan pencapaian dan pengiktirafan yang diterima anggota bukan Melayu di dalam dan di luar negara?

Rela Malaysia mengiktiraf setiap sumbangan yang diberikan oleh anggota tanpa membezakan kaum dan agama. Selain Sijil Penghargaan, anggota-anggota Rela juga dianugerahkan Pingat Am Rela mengambil kira sumbangan mereka dalam sesuatu operasi atau penugasan.  

Kaum bukan melayu turut pernah dianugerahkan Sijil Penghargaan dan Pingat Am Rela dalam beberapa operasi baru-baru ini.  Sebagai Pingat Am Rela dianugerahkan kepada anggota-anggota Rela dari keturunan Dusun yang bekerja sebagai Malim Gunung yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap semasa kejadian gempa bumi Gunung Kinabalu dan anggota Rela berketurunan Bajau yang terlibat semasa pencerobohan Lahad Datu.  Yang terbaharu, tiga anggota Rela Tionghua yang dibelasah seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ telah dianugerahkan Sijil Penghargaan di atas sikap profesionalisme mereka semasa mengendalikan insiden tersebut.

Apakah jenis kempen yang dilakukan bagi menarik lebih ramai masyarakat bagi menganggotai Rela terutamanya kepada bukan Melayu?

Selepas penjenamaan semula Rela Malaysia pada 2012, penambahan keahlian telah dibuat dengan lebih giat, terutamanya bagi meningkatkan penyertaan bukan Melayu.

Keanggotaan Rela seramai 1,289,505 pada awal 2012 meningkat secara mendadak dan  mencecah 3,05,811 pada 20 November 2017. Hasil usaha gigih Rela Malaysia telah meningkatkan keahlian seramai 1,763,306  ataupun 137 peratus dalam tempoh 6 tahun.

Kempen menarik keahlian Rela, terutama dalam kalangan bukan Melayu juga berjaya dalam tempoh tersebut. Pada akhir 2011, jumlahnya hanya 316,527 atau 25 peratus sahaja tetapi kini mencecah seramai 961,887 atau 32 peratus dari jumlah keseluruhan.

 Peningkatan bukan Melayu sebagai anggota Rela selepas penjenamaan semula mulai 2012 hingga 2017 adalah seramai 645,360 atau melebihi 200 peratus bagi kaum bukan Melayu. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

Keanggotaan kaum Cina juga meningkat daripada 189,939 pada 2012 dan kini mencecah 379,987 iaitu peningkatan sebanyak 100 peratus. Peningkatan anggota kaum India pula ialah seramai 53,567 pada 2012 dan kini mencecah 134,085. Peningkatan ini adalah sebanyak 150 peratus.

Paling membanggakan ialah pencapaian kaum lain seperti Kadazan, di mana keanggotaan pada 2012 ialah seramai 6,091  meningkat kepada 50,543 orang kini, iaitu peningkatan sebanyak 730 peratus. Untuk kaum Iban pula, peningkatan ialah dari 10,310  pada 2012 dan kini berjumlah 106,369, iaitu peningkatan sebanyak 930 peratus dalam tempoh 6 tahun.

Rela amat komited dalam penganjuran atau penyertaan sebarang aktiviti yang boleh dijadikan platform untuk memperkenalkannya  kepada masyarakat. Rela membuka peluang seluasnya kepada seluruh rakyat yang berminat menyertai jabatan ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan  (NBOS) yang telah diperkenalkan perdana menteri, kita akan menggunakan platform ini sebaik mungkin untuk dijadikan medium kolaborasi dengan agensi dan jabatan persekutuan yang lain dalam mengadakan kempen memperkenalkan Rela kepada masyarakat.

Penugasan Rela yang berbentuk bantuan kesukarelawan juga secara tidak langsung dapat membuka mata masyarakat. Sebagai contoh, pada awal bulan ini, Rela mengadakan Misi Bantuan Banjir negeri-negeri utara seperti di Pulau Pinang dan Kedah yang terjejas teruk akibat banjir membabitkan lebih 500 pegawai dan anggota dalam menjayakan misi ini.

*Dapatkan laporan penuh di akhbar Sinar Harian hari ini.