PRU14 disifatkan peluang terbaik BN untuk merampas kembali Kelantan sejak 1990. Semangat kekitaan dan kesepaduan cukup kuat dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno sekaligus membuka ruang besar untuk Datuk Seri Mustapa Mohamed mengatur strategi terbaik menakluki Kota Darul Naim. Ikuti temu bual Ketua Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abdul Rahman bersama Pengerusi BN Negeri itu dalam menjelaskan komitmen mereka kepada rakyat Kelantan jika diberi mandat mentadir negeri itu selepas PRU14.

Apakah yang telah dilakukan untuk pembangunan negeri ini?

Dalam tempoh 40 tahun lalu, kita menyaksikan beberapa gelombang pembangunan melanda Kelantan. Pertamanya dicetuskan selepas BN mengambil alih pentadbiran negeri pada 1978. Ramai mungkin terlupa beberapa projek seperti Kota Darul Naim, Pasar Siti Khadijah, Kesedar, Lebuhraya Timur-Barat, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Balai Islam Lundang dan sebagainya dibina sewaktu BN mendapat mandat mentadbir negeri ini. Gelombang kedua adalah ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, di mana Kelantan antara penerima peruntukan terbesar daripada Kerajaan Persekutuan. Di bawah RMK11, peruntukan kepada Kelantan berjumlah hampir RM15 bilion. Ia berbeza sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri di mana peruntukan kepada Kelantan tidak seberapa dan dipinggirkan. Najib komited merapatkan jurang pembangunan antara Kelantan dan negeri-negeri lain. Pembangunan di Kelantan hari ini sama ada sudah siap atau sedang dilaksanakan adalah hasil sentuhan Najib, termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bernilai RM572 juta, pembesaran Jambatan Sultan Yahya Petra bernilai RM187 juta, Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, projek perumahan rakyat (PPR) di Gua Musang Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain, bangunan guna sama persekutuan, kerja-kerja menaiktaraf kemudahan dan prasarana, ECRL serta hospital baharu di Bachok dan Kuala Krai, 'fl yover' Tanah Merah dan Wakaf Bharu.

Jika rakyat beri mandat kepada BN, bagaimana sektor swasta membantu memacu pembangunan?

Kita perlu pastikan lebih banyak pembangunan di Kelantan dipacu sektor swasta melalui pelaburan baharu termasuklah pelaburan asing. Peranan sektor swasta masih amat kecil di Kelantan. Pembangunan sektor swasta yang ada cuma limpahan dari pembangunan kerajaan Persekutuan. Kelantan tidak boleh terus terkebelakang berbanding negeri lain.

Bagaimana bantuan dan sumbangan lain kepada kerajaan negeri? Kerajaan Persekutuan menyalurkan geran secara terus kepada kerajaan negeri seperti termaktub di bawah Perlembagaan. Kerajaan Persekutuan sediakan peruntukan besar kepada kerajaan negeri. Bagi setiap RM1 yang dikutip dari Kelantan, contohnya cukai pendapatan, cukai kastam dan GST, sejumlah RM10 dikembalikan semula kepada negeri ini menerusi pelbagai projek pembangunan dan geran. Pada 2016, sejumlah RM739 juta dikutip dari negeri dan RM7.1 bilion dibelanjakan di Kelantan. Bagi pemberian geran wajib, kira-kira RM390 juta disalurkan kepada kerajaan negeri tahun lalu. Ini termasuklah geran menampung kekurangan akaun mengurus. Hampir setiap tahun sepanjang 10 tahun lalu, akaun mengurus kerajaan negeri berkedudukan defi sit dan kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan bagi menampung defi sit ini. Tahun lalu, RM54.6 juta diberikan untuk tujuan ini dan jumlah geran pernah mencecah RM95.1 juta pada 2014. Bagi tempoh 10 tahun lalu, kira-kira RM715 juta diberi secara terus kepada kerajaan negeri bagi kekurangan akaun mengurus. Kelantan satu-satunya negeri yang hampir setiap tahun dapat geran menampung defisit akaun mengurus.

Bagaimana pula untuk Jeli?

Saya berkhidmat di Jeli sejak Gelombang rakyat Kelantan 1994. Jeli contoh selepas mencapai kemenangan, BN berjaya membawa agenda perubahan signifi kan. Saya berusaha membawa pembangunan di Jeli. Masyarakat setempat seringkali menyebut ‘hadirmu Jeli berubah’. Dahulu Jeli tempat jin bertendang, tapi hari ini pesat membangun. Tumpuan utama saya aspek pendidikan, infrastruktur dan dakwah. Sebab itu Jeli ditransformasi menjadi hab pendidikan, menerusi penubuhan UMK, Kolej Politeknik, SM Sains, MRSM, Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara dan banyak lagi penambahbaikan institusi pendidikan. Program Tuisyen Darul Falah menawarkan kelas tuisyen Bahasa Inggeris dan subjek teras secara mingguan, khusus untuk UPSR, SPM dan STPM, dulu diadakan di rumah saya, kini diluaskan ke setiap sekolah. Ia perlu untuk pastikan anak-anak Jeli menjadi pelajar cemerlang. Pusat Dakwah atau Pondok Moden, ditubuhkan 11 tahun lalu untuk laksanakan dakwah. Antara aktiviti adalah kuliah mingguan, program Smart Solat untuk anak-anak muda. Ini contoh pelaburan jangka panjang, bagi melahirkan generasi cemerlang duniawi termasuk ukhrawi.

Bagaimana sambutan penduduk?

Dulu Pas pernah berkempen Kelantan tidak perlukan pembangunan, malah ada pemimpin tertentu baru-baru ini mengatakan kerajaan negeri sengaja melengahkan pembangunan kerana rakyat Kelantan belum bersedia. Hakikatnya rakyat Kelantan mahu pembangunan. BN akan pastikan agenda pembangunan seimbang dari aspek fi zikal dan rohaniah. Pembangunan kerajaan Persekutuan menjadi pendorong dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk kepada PKS. Contohnya perbelanjaan pembangunan dan mengurus UMK lebih RM150 juta setahun. Ini banyak membantu membangunkan ekonomi di kawasan sekitar. Jika seorang pelajar UMK dianggar berbelanja RM500 sebulan untuk keperluan makan, tempat tinggal dan lain-lain, dengan jumlah pelajar UMK ketika ini hampir 10,000, akan ada tambahan RM60 juta suntikan wang ke dalam ekonomi Kelantan. Dengan jumlah RM150 juta, ditambah RM60 juta yang baru, setiap tahun akan ada RM210 juta dibelanjakan UMK menjana ekonomi tempatan.

Bagaimana sokongan kerajaan negeri?

Sokongan diberi baik. Pegawaipegawai kerajaan Persekutuan dan negeri bekerjasama membantu pelaksanaan projek kerajaan Persekutuan khususnya soal berkaitan tanah. Masih ada isu belum selesai melibatkan tanah Kesedar. Meskipun bayaran premium bagi sejumlah tanah sudah dibuat Kesedar, tapi kira-kira 80 peratus hak milik tanah ladang kelapa sawit milik peneroka Kesedar masih belum diserahkan. Bagi ECRL, kita terima sokongan baik daripada kerajaan negeri yang melancarkan proses pengambilalihan tanah. Terima kasih kerajaan negeri kerana isu melibatkan tanah bagi ECRL dapat diselesai dalam jangka masa cepat berbanding negeri lain.

Apakah agenda Islam yang dibawa Umno diyakini rakyat Kelantan?

Ada tuduhan dan fitnah perjuangan Umno tidak mengikut acuan Islam. Ini tidak benar. Alhamdulillah, jarang kita dengar pimpinan Pas mengkafi rkan Umno, tidak seperti pimpinan terdahulu. BN sejak merdeka lagi membangunkan syiar Islam di negara ini. Kompleks Balai Islam Lundang dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilam Puri merupakan antara pembangunan yang dicetuskan BN dalam menegakkan syiar Islam di negeri ini. Komitmen berterusan dizahirkan menerusi inisiatif untuk membina dan menaik taraf masjid-masjid dan surau yang bernilai RM170 juta sejak 2005. Kita terus menjaga kebajikan para imam, bilal, guru-guru Takmir dan Kafa termasuk Tok Siak menerusi pembayaran elaun oleh Jakim.

Harapan secara keseluruhannya?

Perjuangan ini masih belum selesai. Walaupun Jeli ini antara jajahan pesat membangun sejak 1994, namun saya percaya masih banyak usaha perlu dijalankan agar Jeli terus mara ke hadapan dan tidak ketinggalan. Malah kekalahan saya pada 1999 ada hikmahnya di mana saya kini tidak pernah alpa dalam mendekati, rapat dengan rakyat dan sentiasa turun ke bawah mendengar permasalahan mereka. Saya berharap agar hubungan saya dengan keseluruhan masyarakat Jeli bertambah erat. Sudah tiba masanya BN perlu diberi peluang untuk mencetuskan gelombang pembangunan ketiga di negeri ini. Rakyat Kelantan berhak untuk mengecap nikmat perubahan. Kelantan memiliki banyak potensi yang gagal dimanfaatkan disebabkan oleh kelemahan kerajaan negeri.