PRESIDEN MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam bertemu dengan editor kanan media, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai PRU14.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong bercakap secara terbuka mengenai sandiwara DAP, undi Melayu untuk calon Cina, dan apakah korporat Cina sokong BN.

Berikut sebahagian inti pati perbincangan tersebut:

Sebagai presiden parti, bagaimana Datuk Seri melihat MCA sejak tsunami melanda pada PRU13?

Kami telah menilai semula kekuatan dan kelemahan pada semua peringkat. Kami telah mengenal pasti apa juga kesilapan, dan mencari formula terbaik untuk membetulkan keadaan.

Saya boleh katakan dalam masa lima tahun ini kami telah bekerja kuat. Kita kena mengakui bahawa ada kelemahan di sana-sini. Apa yang lebih penting ialah kita memperbaiki kelemahan tersebut.

Setelah bekerja keras selama lima tahun ini, MCA sekarang sudah bersedia menghadapi PRU14.

Pada PRU13 jelas pengundi Cina tak memihak kepada MCA, sehingga beri banyak kemenangan kepada DAP. Bagaimana kedudukan pengundi Cina pada PRU14?

Secara keseluruhan saya boleh katakan pengundi Cina lebih stabil pada masa sekarang. Kajian yang kita lakukan menunjukkan pola pengundian akan berbeza kali ini.

Kita kena ingat pada PRU13 pengundi Cina terpedaya dengan pembangkang, khasnya DAP, dengan matlamat utama untuk menumbangkan kerajaan BN.

Pembangkang membangkitkan sentimen benci kerajaan dengan slogan seperti ‘Ini Kalilah’ dan sebagainya. Atas sentimen itu mereka betul-betul memangkah untuk menukar kerajaan.

Tetapi, ternyata DAP dan sekutunya gagal dalam misi menumbangkan BN. Pada hemat saya pada PRU kali ini, pengundi Cina akan lebih rasional, dan bukan semata-mata untuk menumbangkan kerajaan.

Lagi pun sepanjang tempoh lima tahun ini pengundi Cina boleh melihat dan menilai apa yang telah dilakukan oleh DAP khasnya dalam membantu masyarakat Cina.

Mereka (pengundi Cina) mendapati apa yang dijanjikan dan digembar-gemburkan oleh DAP semasa kempen, hanyalah janji kosong, banyak yang tidak ditepati.

Kita yakin keadaan kali ini akan berbeza, dan DAP tidak boleh lagi bersandiwara.

Ada andaian bahawa antara dua parti terbesar Cina – MCA dan DAP – DAP dilihat sebagai lebih berjuang untuk kaum Cina, sedangkan MCA dilihat sebagai boneka dalam BN. Apa pandangan Datuk Seri?

Ini pun satu propaganda DAP. Sejak dulu mereka menuduh MCA sebagai boneka dalam kerajaan yang didominasi oleh Melayu (Umno).

Pada hakikatnya MCA sejak sekian lama menjadi rakan kongsi yang aktif dalam BN. Kita bukan sahaja beri pandangan, tetapi pastikan kepentingan kaum Cina diperjuangkan menerusi semangat BN.

Kita konsisten dalam perjua-ngan menegakkan kepentingan kaum Cina, contohnya sekolah Cina dan bahasa Cina, banyak lagi.

DAP hanya banyak cakap, tetapi tidak buat apa-apa. Kalau kita lihat menjadi kebiasaan parti itu, apabila gagal berbuat sesuatu kepada pengundi, wakilnya akan bertukar kawasan bila PRU tiba.

Sebab itu kita lihat pemimpin mereka sering tukar kawasan, dari Melaka, ke Ipoh, kemudian Pulau Pinang, Johor dan sebagainya.

Pemimpin yang baik dan berjuang untuk pengundi mesti kekal di satu kawasan, tidak boleh lari sana, lari sini.

Dia tuduh kita boneka dalam BN, sekarang semua orang nampak dengan jelas DAP jadi boneka dalam Pakatan Harapan pimpinan Tun Mahathir Mohamad.

Baik DAP mahu pun MCA, masing-masing memerlukan undi Melayu. DAP mungkin ada kelebihan sebab parti itu mendakwa parti berbilang kaum. Apa komen Datuk Seri?

Apakah benar DAP parti berbilang kaum? Pada saya dakwaan itu hanya sandiwara. Semua orang boleh lihat sejauh mana parti itu berbilang kaum.

Berapa ramai Melayu dicalonkan dalam setiap PRU? Usahkan calon dalam PRU, semua orang pun tahu berapa ramai Melayu dipilih menduduki pucuk pimpinan parti.

Buat pemilihan beberapa kali pun tidak ada orang Melayu yang dipilih. Saya tidak fikir orang Melayu menerima DAP sebagai parti berbilang kaum.

Sebaliknya MCA memang parti Cina, tetapi telah dibuktikan dalam banyak pilihan raya kita terima sokongan orang Melayu.Malah, kita bertanding, dan menang beberapa kawasan yang majoritinya pengundi Melayu. Kita meletakkan calon berdasarkan semangat setia kawan BN, bukan kerana kaum. Formula BN terbukti diterima pengundi.

Ada orang kata akan terjadi tsunami Melayu pada PRU14, dan ini akan mempersulitkan lagi kedudukan BN. Benarkah begitu?

Saya tidak fikir ada tsunami Melayu. Ini hanya permainan DAP untuk mengelirukan pengundi Melayu. Pengundi kita lebih matang dan tidak terpengaruh dengan propaganda yang bukan-bukan.

Baik pengundi Cina, Melayu, India dan lain-lain mereka akan pilih berdasarkan pencapaian parti selama ini. Terbukti BN masih pilihan terbaik, berdasarkan apa yang telah dilakukan untuk negara.

Bagaimana komuniti bisnes Cina, terutama golongan korporat, adakah mereka sokong MCA?

Orang meniaga mereka hendakkan suasana selesa yang membolehkan mereka buat untung. BN telah mewujudkan suasana tersebut.

Ekonomi kita tumbuh pada kadar yang baik, 5.9 peratus. Kepercayaan pelabur asing meningkat. Kita jangka pelaburan asing ke tahap RM1.3 trilion pada 2020, tetapi pada tahun ini kita telah mencapai RM1.7 trilion.

Angka-angka seperti ini meyakinkan komuniti bisnes. Saya percaya mereka akan menyokong kerajaan yang ada.

Dengan kerja keras, dan strategi yang lebih mantap, apa harapan MCA pada PRU14?

Kita bekerja untuk memastikan kemenangan BN. Sejak sekian lama memerintah BN berjaya mewujudkan kestabilan, keamanan, peningkatan ekonomi dan suasana kondusif untuk semua bidang.

Bagi MCA, PRU13 kita menyumbang tujuh kerusi parlimen untuk BN. Kali ini kita yakin dapat menyumbang lebih banyak kerusi.

‘Masakan Melayu serasi dengan lidah saya...’

Datuk Seri begitu mahir dan tidak kekok berbahasa Melayu, macam orang Melayu. Bagaimana Datuk Seri memperoleh kemahiran tersebut?

Sejak kecil saya sudah bercakap Melayu. Saya lahir dan dibesarkan di sebuah estet di Melaka. Masyarakat di situ berbilang kaum, Melayu, Cina, India.

Sejak di sekolah rendah saya bercakap Melayu dengan kawan-kawan Melayu dan yang bukan Melayu. Sebab tidak semua orang boleh berbahasa Cina dan Tamil, bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan sesama kita.

Bila masuk sekolah menengah, bahasa Melayu saya menjadi bertambah lancar.

Tidak sahaja di sekolah, di rumah pun saya selalu bercakap Melayu.

Bila saya masuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bahasa Melayu saya jadi bahasa utama. Dari semasa ke semasa tatabahasa dan perbendaharaan kata saya terus meningkat.

Tambahan pula orang Melaka pandai berbahasa Melayu, bijak berpantun dan berseloka, jadi saya terbiasa dengan bahasa Melayu yang berbunga-bunga dan indah.

Sebab itu sampai sekarang saya selalu selesa menggunakan bahasa Melayu, walaupun begitu saya tidak lupa bahasa ibunda (Cina).

Selain bahasa Melayu, adakah persekitaran zaman kanak-kanak juga menjadikan Datuk Seri serasi adat dan budaya Melayu?

Memang, saya biasa dengan adat dan budaya Melayu. Sebenarnya zaman kanak-kanak dulu kita hidup dalam keadaan amat harmoni, tidak kira kaum.

Walaupun berbeza adat dan agama, orang kampung saya tidak ada masalah dengan kaum-kaum lain, sebab kita semua saling memahami dan saling hormat menghormati.

Saya selalu menanti hari-hari perayaan, sebab tidak kira perayaan apa, kita sama-sama rayakan. Saya masih ingat waktu Aidilfitri, jiran- jiran Melayu saya menghantar juadah raya ke rumah saya.

Ketupat, lemang, rendang dan lain-lain masakan Melayu, memang makanan kegemaran saya, sampai sekarang. Sebab itu kalau masuk kampung saya tidak terasa janggal, dan mereka menerima saya.

Bagaimana adat dan budaya kaum lain?

Zaman kanak-kanak di estet mengajar saya supaya menerima adat dan budaya pelbagai kaum. Tidak sahaja Aidilfitri, waktu Deepavali pun kita sama-sama gembira.

Waktu raya puasa kita sama-sama makan ketupat-rendang, masa Deepavali kita rasa muruku, kari dan lain-lain makanan India. Waktu Gong Xi Fa Cai, kita main mercun dan bunga api bersama. Langsung tidak ada masalah.

Bila dewasa dan masuk politik nasional, saya merasakan semangat multi-budaya yang tersemai sejak kecil, amat membantu untuk kita harmonikan Malaysia.

Tambahan pula memang menjadi dasar kerajaan BN untuk semua warga negara ini saling hormat-menghormati adat dan budaya semua suku kaum.

Tidak kira apa keturunan dan pegangan agama, kita semua dapat menerima adat semua kaum dengan baik. Ini salah satu ciri kemalaysiaan, dan ciri ini mesti dikekalkan sampai bila-bila.