Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), PKR melakukan persediaan rapi kerana pilihan raya kali ini penting untuk merealisasikan hasrat mereka menukar Kerajaan Pusat. Ikuti temu bual bersama Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. - Bahagian 3

Bagaimana pula dari segi persiapan calon?
 
SAIFUDDIN: Sekiranya Parlimen bubar sekarang, kami boleh beri jaminan penamaan­ calon untuk mewakili PKR sudah ada calon terbaik dan pasti tidak akan lompat parti. Ada ramalan penganalisis bahawa pengaruh sokongan rakyat melihat biasanya mereka akan lompat parti. Faktor ‘kesetiaan’ diperlukan untuk memilih calon. Mereka bukan bersama parti kerana ditawarkan berjuta ringgit dan saham, tetapi mereka tidak akan lari daripada perjuangan parti kerana mereka setia kepada parti. Kita tidak akan buat aku janji setakat ini. Saya tahu janji dan ikrar Umno Malaysia. Saya mendapati Najib bercakap mengenai calon boleh menang di Nibong Tebal, tetapi masalahnya berapa ramai bersedia dan terus bekerja. Mereka datang berjumpa Najib dan kemudian menjadi calon terbaik, tetapi semakan berikutnya, tidak seperti dilihat. Inilah dilema Najib. Walaupun pilihan sudah ada tetapi untuk merealisasikan tanggungjawab itu sukar. 

 
Adakah PKR ada rancangan untuk membuat aku janji seperti mana Umno?
 
SAIFUDDIN: PKR tidak ada masalah. Kami tidak terfikir untuk membuat aku janji buat masa ini sebab itu pemilihan yang dilakukan perlu penapisan kerana ia penting. Kami menilai daripada pelbagai sudut.

 
Bagaimana pula dengan pembahagian kerusi di seluruh negara setakat ini?
 
SAIFUDDIN: Progressnya banyak sudah selesai. Kami telah menyelesaikan kerusi Pas di Kedah tetapi kami ada dua pertindihan dengan DAP. Kami juga ada sedikit pertembungan dua atau tiga kerusi dengan DAP di Johor, satu kerusi di Perak juga dengan DAP dan di dua atau tiga kerusi dengan DAP di Sarawak dan Sabah. Sebanyak 212 Parlimen sangat kecil dan kami yakin kawasan pertembungan ini mampu diselesai sebelum penamaan calon dengan tidak menjejaskan semangat kekitaan dalam PR.

 
Laporan Terengganu menunjukkan Pas dan PKR ada masalah kerana PKR mahukan banyak kerusi dan Pas sebaliknya?
 
SAIFUDDIN: Pandangan pimpinan PKR di Terengganu merasakan bahawa kalau dulu PKR bertanding dua kawasan Parlimen seperti Kemaman dan Dungun. Selepas empat tahun bergerak, parti dilihat ada progress yang dilihat sama ada parti diikuti dan mempunyai pertambahan atau tidak dalam pilihan raya. Ia menunjukkan ada progress dan PKR memohon rundingan untuk tambahan kerusi. Itu alasan munasabah iaitu kalau 2008, dua kerusi dan 2012 juga dua kerusi tidak ada pertambahanlah.

Keyakinan orang tidak meningkat, parti tidak ada kemajuan. Jadi Pas merasakan mereka siap jentera dan keahliannya tinggi meninggalkan PKR. Pas sudah berusia 60 tahun manakala PKR menjengah 12 tahun. Kita tidak bermula di garis yang sama.

Kami percaya dalam konteks ini, khususnya di Terengganu, yang perlu kami promosikan ialah sikap menperolehi kemenangan bersama, Pas menang kawasan yang ditandingi, PKR dan juga DAP juga menang. Di Terengganu, alasan kerana pimpinan berpendapat perlu ada pertambahan berasaskan parti ada progres, itu alasan sahaja. Ketika Pas ada alasan sendiri kayu ukur jentera dan bersedia, tentulah dilihat perkembangan iklim politik negeri itu. Negeri lain progres ketara, saya tengok hubungan kerjasama akrab.

 
Apakah tindakan PKR untuk mengatasi kemelut itu?
 
SAIFUDDIN: PKR tidak berputus asa, rundingan­ diteruskan walaupun di peringkat negeri sudah tamat. Atas sebab itu pimpinan pusat ambil alih untuk berunding yang mana PKR diwakili pemimpin pusat, antaranya Azmin Ali, Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman dan saya manakala Pas diwakili oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Hatta Ramli, Bandahari Pas Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Penolong Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Mahfuz Omar. Empat pusingan rundingan diadakan, awal Mei nanti jumpa lagi. Ini menunjukkan kami boleh berjumpa dan berunding secara terbuka macam ini. Ia juga memperlihat dekatnya hubungan­ kami dan tidak ada masalah tidak boleh diselesaikan. Harapan kami masih ada walaupun negeri sudah tamat, tetapi pusat masih ada. 

 
Kita lihat, komponen dalam PR, PKR menerima serangan demi serangan sejak dua tahun lalu. Sejauh mana peluang PKR dalam PRU13 nanti?
 
SAIFUDDIN: Kalau kita lihat PKR dalam komponen PR memang diserang bukan dua tahun lalu, tetapi sejak 1998. Pengalaman mematangkan, kalau kami boleh hidup 12 tahun apalah sangat menghadapi sisa berbaki menjelang PRU13. Serangan berterusan oleh BN obses terhadap Anwar juga mengalami perubahan. Trend sekarang segerombolan PKR yang pernah bersama kami dan meninggalkan parti kini menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Jaringan Melayu Malaysia (JJM) Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) dan Waris Merdeka. Saya mendapat kertas strategi dibentangkan kepada Perdana Menteri, iaitu jenis aktiviti dilakukan dengan meletakkan Anwar sebagai sasaran. Penglibatannya melalui demonstrasi dan isu apa? Ini menunjukkan bagaimana pemikiran politik mereka. Kami tidak layan dan memberikan komen serta menyanggahnya. Perkara itu tidak mengalihkan tumpuan kami bercakap isu rakyat seperti NFC, pemansuhan Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) dan memperkenalkan pendidikan percuma, kurangkan harga minyak, menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH). Tumpuan ini penting dan kami tidak akan beralih kepada serangan peribadi. Kami juga tidak melayan dendam terhadap ‘tentera upahan’ kerana kami mahu lawan tuan politik atas isu rakyat. Tentera upahan ini menjadi Senator memaki Anwar tetapi mereka tidak komen mengenai NFC. Dalam konteks ini selama 12 tahun tidak bolehlah hanya menyerang Anwar. Beliau dikaitkan dengan pengkhianat negara, menyokong Israel dan ejen Kristian.

 
Bagaimana pula dengan tindakan Ibrahim Ali terhadap PKR?
 
SAIFUDDIN: Ibrahim Ali pergi ke luar negara ketika Anwar menjalani rawatan di sana untuk memujuk dan meninjau supaya dapat menyertai parti setelah dipecat Pak Lah. Anwar tidak mempercayai Ibrahim. Beliau tidak berputus asa sehingga berkunjung ke rumah Anwar. PKR tidak memberikan ruang kepadanya. Beliau berjumpa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan berjaya tetapi dalam pilihan raya kecil di Pengkalan Pasir, beliau hanya mendapat 400 undi atas tiket Pas. Beliau tidak ada kekuatan sendiri. Kami tidak layan Ibrahim Ali.

 
Sasaran PR yang digembar-gemburkan untuk mengambil alih Kerajaan Pusat. Bagaimana keadaan sekarang dari segi persiapan dan keyakinan?
 
SAIFUDDIN: Sebelum PRU13, pilihan raya tahun 1982 dan 1986 bermaksud bubar Parlimen, kempen dan calon. Hasrat pembangkang hanya hantar suara dalam Parlimen dan tidak pernah bercakap menukar kerajaan. Sekarang berlainan kerana keyakinan PKR meningkat, manakala keyakinan BN lemah. Mereka tidak pasti boleh menang atau tidak kerana keadaan itu tidak pernah terjadi. Kami mahu pecahkan tembok yang mana sehingga pilihan raya umum lalu, BN tidak pernah minta maaf dan mengaku kesilapan mereka serta meminta diberikan peluang.

 
Adakah BN panik?
 
SAIFUDDIN: Panik. Mereka tidak pasti akan jadi kerajaan lagi atau tidak kerana ini berpunca daripada melihat trend perubahan. PR menguruskan sahaja perubahan rakyat dan apa yang dicetuskan 2008, kami membantu memenuhi tuntutan rakyat mahu berubah. BN masih menggunakan cara politik lama. Penggunaan peristiwa 13 Mei sudah tidak boleh digunakan. Kalau dulu, BN boleh membeli iklan dalam surat khabar berbahasa Cina dan menggunakan karikatur kartun guru berserban bersama gunting di tangan dan anak Cina lari. Sekarang sentimen seperti tu tidak ada. Tuntutan, kesedaran dan keadaan berubah tetapi BN masih (dengan) acuan lama dengan menggunakan isu perkauman, agama, bimbang Islam tidak ada lagi, azan dan baju Melayu. Tuntutan sudah berubah, kami menawarkan politik baru. Umno masih di tahap lama dan mereka tidak boleh menolak arus perubahan. Rakyat yakin kerana kami melihat sendiri bahawa makin menghadapi PRU13 tidak ada maksud pilihan raya terdahulu. Orang tidak bercakap pasal perubahan politik kerajaan. Umno sekali hilang kuasa politik mereka akan lemah seperti di Kelantan pada 1990. Setelah 22 tahun mereka tidak berubah.

 
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PRU13 adalah ibu segala pilihan raya, adakah keadaan itu menunjukkan mereka panik?
 
SAIFUDDIN: Ayat itu datang jauh di sudut hati beliau dan mengakui mengenai bagaimana kemaraan PR secara sistematik dan menarik sokongan rakyat. Hati kecil beliau mengaku. Beliau sudah mendapat tahu kawasan mana, putih, hitam dan kelabu. Kami sudah melepasi angka 81. Kami yakin boleh mencapai sasaran dan BR1M masih tidak boleh membantu BN.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.