BERGELAR seorang wakil rakyat itu dari mata kasar mungkin dilihat mudah, tapi hakikatnya mereka menggalas amanah dan tanggungjawab untuk membawa suara dan harapan pengundi kawasannya jika menang dalam gelanggang PRU14. Semestinya 9 Mei ini adalah peluang terbaik untuk rakyat membuat pilihan demi masa depan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang. Calon BN Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon memberitahu wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli mengenai pandangan dan harapannya jika diberi peluang mewakili Parlimen Seremban P128.

Bagaimana Datuk melihat Seremban dalam tempoh lima tahun lalu?

Secara dasarnya semua pembangunan dilaksanakan di Seremban adalah hasil usaha daripada pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN. Saya melihat tiada satu suntikan khusus dilakukan oleh wakil rakyat sedia ada untuk merencana program untuk penduduk di negeri ini, sedangkan banyak perkara boleh dilakukan yang boleh memberi manfaat kepada semua. Sebab itulah saya telah menawarkan 12 perkara di dalam manifesto kepada pengundi khusus di parlimen ini yang meliputi aspek ekonomi, sosial, kemudahan awam, kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum sekali gus memastikan penduduk dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Chong Sin Woon mesra dan diterima oleh semua kaum.

Manifesto itu ibarat janji atau ikrar. Apakah Datuk rasa ia dapat dilaksanakan?

Manifesto ini adalah tambahan dan pelengkap kepada manifesto BN peringkat kebangsaan dan Negeri Sembilan serta MCA.Intipati manifesto itu dibuat berdasarkan pengalaman saya sendiri berjumpa pengundi, dialog dengan orang muda dan mereka yang datang membuat aduan di pejabat, bukannya sekadar dirangka untuk menarik perhatian pengundi semata-mata. Tambahan pula saya lihat tiada calon di Parlimen Seremban setakat ini yang mempunyai manifesto sendiri dan ini boleh dipegang dan dijadikan rujukan rakyat untuk tempoh lima tahun jika saya menang dalam PRU14. Ia janji saya, dan kita serius melaksanakannya.

Apa pandangan Datuk mengenai tugas sebagai wakil rakyat atau ahli parlimen?

Kita boleh berjuang isu nasional melaungkan slogan mahu mengubah kerajaan dan sebagainya, tapi jangan sampai lupa tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang kita menang. Wadah atau peluang yang diberi itu perlu dibawa balik untuk membantu rakyat di kawasan sendiri. Sepanjang pengalaman saya di Dewan Negara sebagai Senator dan memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, saya dapati hanya ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menggunakan pentas itu sepenuhnya untuk membawa isu dihadapi di tempat mereka untuk dibincangkan berbanding ahli Parlimen dari semenanjung. Mungkin mereka turun padang melawat kawasan banjir, tapi ia setakat itu saja kerana mereka akan lepaskan tanggungjawab menyelesaikannya kepada kerajaan negeri. Janganlah hanya buat demonstrasi, sidang media mengutuk itu dan ini...soalnya apa rancangan dan peranan yang sepatut dilakukan sebagai wakil rakyat.

Ada yang beranggapan kemunculan Datuk seakan beri sinar kepada MCA khususnya di Negeri Sembilan. Apa pandangan Datuk?

Terima kasih kepada MCA Bahagian Seremban dan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menerima saya balik ke Seremban walaupun tidak berkecimpung dalam politik di sini. Bagi saya pentas ini penting untuk saya berikan perkhidmatan di sini. Saya bersyukur kerana semua pihak boleh menerima kehadiran saya termasuk ahli MCA sendiri. Walaupun saya sebagai Ketua Pemuda MCA Kebangsaan dan ramai yang sudah kenal dengan saya, tapi saya masih menganggap diri saya sebagai orang baharu di Seremban dan memerlukan lebih sokongan rakyat tempatan.

Chong Sin Woon

Dari mana idea menggunakan slogan 'Den Anak Soromban'?

Negeri Sembilan mempunyai keunikan budayanya tersendiri dengan adat perpatih. Bagi saya keunikan itu perlu ditonjolkan kerana itu adalah kebangsaan semua rakyat negeri ini. Bila kita guna slogan ini, orang luar pun dah mula tertarik dengan Seremban. Bagi saya bila berkempen, kita bukan nak tarik pengundi saja, tapi pada masa sama nak sampaikan mesej baik. Slogan ini membawa satu semangat kepada penduduk daerah ini dan ramai yang menyukainya.

Mesej terakhir sebelum hari pengundian pada 9 Mei ini?

Warga Seremban ada dua pilihan iaitu mahukan seorang calon yang hanya banyak berjuang di peringkat nasional atau mahu calon yang mempunyai hasrat mengubah dan merancakkan lagi pembangunan Seremban. Sudah 10 tahun pembangkang hanya bicarakan isu yang tiada kaitan dengan Seremban, malah secara terangan memberitahu dalam kempennya yang PRU14 ini tiada kaitan dengan negeri ini. Jadi saya merayu pengundi buatlah keputusan bijak.