WALAUPUN dianggap baru, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini sedang memacu laju dengan pelbagai usaha dalam memastikan dapat menghasilkan graduan yang terbaik dalam negara. Sempena pemasyhuran Pemangku Sultan Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra sebagai Canselor UMK, Sinar Harian berkesempatan menemu bual Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Mortadza Mohamed.

Antara isu yang dibicarakan termasuklah melibatkan perkembangan dan pembangunan setelah 10 tahun universiti itu ditubuhkan. Ikuti temu bual tersebut bersama wartawan Sinar Harian, SITI FATIHAH AWANG.

Boleh Datuk ceritakan bagaimana proses pemasyhuran ini akan berlangsung nanti?

Majlis pemasyhuran Canselor UMK ini telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Februari 2017 sehingga 15 Feb 2022. Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya UMK adakan pemasyhuran dan 25 September ini dipilih sebagai tarikh keramat tersebut.

Pada hari itu, antara kenamaan yang akan hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh untuk membaca watikah dan selepas itu Tengku Canselor akan bertitah pemasyhuran. Apa yang penting dalam pemasyhuran ini ialah titah Tengku Canselor dan harapan tuanku dalam mencorakkan UMK selepas ini.

Pelantikan ini adalah bagi tempoh lima tahun dan maksimum pelantikan adalah tujuh tahun. Pemasyhuran kali ini adalah disebabkan oleh Tuanku Canselor sebelum ini menjadi Yang di-pertuan Agong. Pada masa sama, satu konvoi atau kembara berbasikal dan motosikal yang disertai kakitangan dan pelajar dari UMK Kampus Jeli dan Bachok akan dilaksanakan pada sebelah petang.

Kembara itu bagi memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa UMK memasyhurkan Tengku Pemangku Sultan sebagai Canselor UMK pada hari tersebut. Malah kita juga akan adakan pameran diraja pada hari yang sama di Dewan Utama, UMK Kampus Kota ini.

Bagaimana dengan sumbangan Yang di- Pertuan Agong semasa baginda menjadi canselor sebelum ini?

Banyak sumbangan baginda kepada UMK, terutamanya saranan Tuanku bagi mempergiatkan aktiviti pertanian dan ‘food security’ yang mana menghasilkan penubuhan institut yang berkaitan dengan dua bidang tersebut. Malah Yang di-Pertuan Agong juga sangat mementingkan pembangunan kepada golongan berpendapatan rendah, yang melibatkan skop pembasmian kemiskinan.

Ini akan membantu masyarakat tempatan terutamanya dari segi pembuatan batik, kesenian dan sebagainya. Dengan saranan tersebut, maka UMK menubuhkan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek) dan mendapatkan dana untuk operasi badan tersebut. Untuk penubuhan Inspek ini, banyak aktiviti yang kita giatkan yang mana spesifiknya untuk kewujudan keusahawanan.

Di bawah projek ini, lebih 500 usahawan telah kita lahirkan dan sedang dalam proses pemantauan. Kita percaya, masalah kemiskinan berpunca daripada kitaran kemiskinan itu sendiri. Jadi dengan cara yang ada ini kita tumpukan ke arah pendidikan dan kita percaya kemiskinan ini juga didasari  pendidikan dan iltizam. Kita akan melihat isu-isu masyarakat yang terpencil dan yang di pinggiran.

Institut ini juga telah mula mengkaji impak-impak masyarakat terutamanya dengan kewujudan projek-projek besar seperti keberadaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), apa yang akan berlaku kepada orang yang kita anggap berpendapatan tinggi sekarang, apa pula akan terjadi kepada perkhidmatan bas, pemandu bas, sekiranya kita tidak menempatkan posisi strategik mereka dalam ekonomi. Ini yang kita tengok, impak, dan kesan mana-mana projek terutamanya yang mana senang jatuh ke arah kemiskinan.

Manakala untuk Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA), kita telah melakukan banyak kajian melibatkan kebergantungan makanan kita kepada negara luar. Contohnya sebelum ini kita pernah berdepan krisis tidak mampu beli sayur dari luar sebab harga terlalu mahal, dan padi yang tidak cukup dan sebagainya.

Ini di antara bahan kajian kita yang menjadi agenda strategik dan paling tidak, kita mesti berupaya untuk memastikan makanan yang ada di Malaysia ini mencukupi keperluan kita di sini. Kaedah ini juga kita akan melihat bagaimana cara untuk memperkembangkan lagi cara pembesaran binatang bagi memenuhi keperluan sedia ada.

Harapan UMK kepada pelantikan Tengku Muhammad Fa-Iz sebagai canselor yang baharu?

Kita yakin dengan kemampuan Tengku Canselor untuk meneruskan kesinambungan daripada Yang di-Pertuan Agong, malah kami yakin kedua-dua baginda mempunyai kelebihan masing-masing. UMK berada dalam kedudukan berkembang dengan cara yang cepat, malah dengan pelantikan Tengku Canselor ini, kita nampak bidang akademik, hubungan akademi dan hasil hasil akademi akan bertambah selepas ini dan saya yakin juga ini akan dititahkan nanti.

Malah keperibadian Tengku Canselor dalam bidang akademik begitu menonjol. Tuanku Yang di-Pertuan Agong sebelum ini lebih strategik dan jelas arah tujunya. Apabila ada Tengku Canselor, umum mengetahui pencapaian akademiknya tinggi, maka tidak mustahil jika proses itu dilakukan sendiri Tengku Canselor, termasuklah menerbitkan kertas-kertas kajian atau terlibat secara langsung sehingga ke peringkat bawah.

Tengku Canselor diyakini berupaya menghubungkan UMK dengan universiti tertentu dan saya yakin baginda akan mencadangkan kerjasama ataupun membuka laluan kepada kerjasama dengan universiti luar.

Boleh Datuk terangkan perkembangan pelajar sejak 10 tahun UMK ditubuhkan.

UMK pada asalnya terdiri daripada 263 pelajar sahaja dan kini sudah menjadi 10,000. Saya akui jumlah ini agak cepat jika dibandingkan dengan sejarah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang ada di Malaysia ini. Malah UMK paling cepat dari segi pembangunan dan pembangunan infrastruktur dan sekarang lebih RM300 juta nilai projek sedang dijalankan.

Pembangunan kita adalah secara berterusan, malah ada penambahan berlaku. Tiada pengurangan peruntukan. Yang menjadi isu, apabila siap sesebuah pembangunan, kita menubuhkan fakulti baru dan sebagainya. Maka proses kitaran pembangunan itu tidak akan berhenti. Sekarang ini kita bercadang untuk mewujudkan fakulti yang relevan dengan keperluan semasa, terutamanya berkaitan perniagaan, keusahawanan, penjenamaan, itu dalam tindakan kita kini. Kita akan memenuhkan infrastruktur yang ada, bukan buat bangunan dan tinggal kosong.

Selepas 10 tahun, apakah pencapaian UMK yang boleh dibanggakan berbanding universiti lain?

Pada dasarnya, setiap universiti mempunyai kelebihan tersendiri. UMK sendiri mempunyai cara tersendiri untuk memastikan agenda ini tercapai. Kita banyak mengetengahkan sesuatu yang orang lain tidak buat, tetapi kita buat, untuk memastikan UMK sentiasa menjadi ingatan dan unik. Misalnya, pertanian, ada skop yang orang lain tidak buat, tapi kita buat, sehingga membawa nama UMK ke negara-negara luar.

Malah sains bumi dan hutan, tiada siapa yang buat, dan kita pilih bidang ini sebab kita yakin boleh jadi peneraju dunia, kita percaya inilah bidang yang kita boleh jadi rujukan dunia, kita tidak mahu ambil risiko yang tidak diyakini. Agenda besar kita ialah hutan yang penuh dengan ubat-ubatan dan jadi ekonomi dan rekreasi dan kelestarian dunia, malah kita akan menjadi tumpuan untuk skop-skop tertentu melibatkan perhutanan dan perubatan ini.

Kita ada klinik bergerak, luar dan dalam bandar. Ini salah satu cara kita memposisi diri kita untuk berdaya saing dengan orang lain. Kita tidak buka hospital untuk manusia, sebab sudah banyak, tetapi kita akan buka hospital haiwan di Bachok. Ini cara kita, berbeza dan sentiasa unik.