Pas: 'Sokongan bagi BN turun, Pakatan naik'
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali

ISU muzakarah antara Umno dan Pas mendapat perhatian semula selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, menyatakan kesediaan bertemu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Umno bagi perjelaskan dakwaan sesetengah pihak yang parti itu tersasar daripada perjuangan Islam.

Bagi menungkai isu ini, ikuti temu bual ringkas Sinar Harian bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, semalam.


Apa komen Datuk mengenai kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, seolah-olah beranggapan muzakarah ini adalah usaha penyatuan Umno-Pas?

Mustafa: Bagi saya, Muhyiddin mungkin tidak mengetahui niat asal Pas, muzakarah ini bukanlah berkenaan kerjasama politik. Mungkin kerana isu kerjasama ini berterusan lama, maka bila sebut sahaja muzakarah maka semua ingat kerjasama politik, sebenarnya tidak.

Apa yang Pas cuba adakan cukup jelas, iaitu bukan muzakarah politik, sama seperti yang disebut Presiden baru-baru ini, iaitu mahu membuka peluang kepada Pas untuk menjelaskan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti lari daripada perjuangan Islam.


Bagi Datuk kenapa Muhyiddin berkata demikian?

Mustafa: Mungkin Muhyiddin tidak tahu atau tidak faham ataupun buat-buat tidak faham.


Adakah berkemungkinan muzakarah politik boleh terjadi ekoran pertemuan ini?

Mustafa: Isu muzakarah politik atau kerjasama antara Umno dan Pas ini isu lama, kita sudah tutup buku, isu yang mati. Pendirian kita jelas seperti yang diterangkan sebelum ini.


Berapa banyak NGO yang sudah berminat untuk pertemuan ini?

Mustafa: Setakat laporan yang saya terima, mungkin Persatuan Peguam Islam mahu berjumpa dengan kita termasuk beberapa NGO lain. Kita sentiasa buka pintu pertemuan.

Ahad lalu, Abdul Hadi dalam satu sidang media menyatakan kesediaan parti tersebut bermuzakarah dengan semua pihak termasuk Umno bagi menjelaskan isu kekeliruan mengenai perjuangan Pas yang dikatakan terpesong dari matlamat asal.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.