ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mempunyai prinsip dan agendanya tersendiri dalam berperanan sebagai sayap penting membawa kejayaan kepada  PKR.

Meskipun sering dibayangi kelibat sayap  besar seperti Pemuda Umno, AMK masih dilihat mampu mendepani jiwa anak-anak muda yang dikatakan mahukan tampuk pemerintahan negara berubah ke arah Malaysia baru.

Bagaimana AMK menjayakan asprasi itu? Ikuti temu bual Ketua AMK yang juga Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama wartawan, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan juru foto, ASRIL ASWANDI SHUKOR  di pejabatnya baru-baru ini.

Apakah persediaan AMK berdepan PRU14?

Buat masa ini kita sedang menggiatkan kerjasama dalam Pemuda Pakatan Harapan bersama DAPSY, Pemuda Amanah dan Armada Bersatu. Kita telah mengadakan siri pertemuan dan melancarkan Tawaran Harapan Anak Muda tentang isu Sabah Sarawak, pendidikan, pekerjaan, perumahan dan rasuah.

Kita juga telah adakan pertemuan dengan pimpinan utama kesemua parti komponen Pakatan Harapan. Di peringkat AMK, kita sedang mempersiapkan diri untuk PRU14. Kita dah hantar nama-nama calon AMK untuk bertanding dalam PRU14. Saya sendiri akan turun ke bawah untuk program bersama AMK seluruh negara khususnya di kawasan yang ditandingi oleh AMK.

Berapa ramai calon AMK untuk PRU14?

Senarainya ada tapi parti masih dalam proses untu buat keputusan dan rundingan kerusi dengan parti-parti komponen lain. Memandangkan kita ada dua parti baru iaitu Amanah dan Bersatu, maka proses itu masih berlangsung. Tetapi sambil proses itu berjalan kita buat kerja juga dengan mantapkan jentera di akar umbi.

Sejauh mana Tawaran Harapan Anak Muda mampu menarik pengundi muda menyokong Pakatan Harapan?

Kalau kita dapat menawarkan dasar-dasar yang berani, ia mampu untuk menarik perhatian anak muda kerana ada beberapa isu yang sangat membebani anak muda. Antaranya ialah isu ekonomi di mana keadaan ekonomi begitu malap. Orang muda tak merasa pertumbuhan ekonomi dari sudut kemampuan membeli perkara asas seperti rumah dan kereta. Atau isu gaji mereka yang masih rendah, kos sara hidup yang tinggi dan hutang pendidikan.

Selain itu, isu rasuah juga besar kerana mereka melihat bagaimana bermula skandal yang begitu besar seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Ini semua isu yang amat besar bagi amat besar kepada anak muda. Begitu juga isu hubungan antara kaum di mana tokoh-tokoh politik cuba memecahbelahkan rakyat dengan soal kaum dan agama. Ini juga tidak digemari oleh generasi muda. Apabila berdepan dengan isu-isu ini, kita menawarkan solusinya bahawa kita boleh laksanakan dasar-dasar pendidikan seperti pendidikan percuma, mereformasikan sistem perumahan, menekankan kadar upah dan gaji yang lebih tinggi. Ini semua mampu memberikan harapan kepada anak muda.

Kalau kita lihat dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Bernie Sanders hampir-hampir menjadi calon parti Demokrat walaupun tidak diberi harapan yang tinggi sebelum itu. Atau Jeremy Corbyn di United Kingdom, semuanya kerana mereka menampilkan dasar-dasar berani yang menarik perhatian anak muda yang sebelum itu tidak mengundi, keluar beramai-ramai sehingga mereka hampir-hampir menang.

Apa gunanya tawaran menarik jika anak muda tidak daftar mengundi?

Sebab itu kita turun adakan program pendaftaran pengundi. Kita juga adakan program ‘Undilah’ dalam kalangan AMK untuk menyedarkan anak-anak muda walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyukarkan tugas kita. Dulu kita dapat daftar ramai kerana parti politik dibenarkan untuk daftar pengundi, tetapi kini hanya agensi kerajaan dan NGO.

Prosesnya pula sangat sukar. Sewajarnya SPR mempertimbangkan pendaftaran online kerana banyak perkara sudah dilakukan secara online. Selain itu, SPR juga perlu memperkenalkan pendaftaran automatik menggunakan kad pengenalan. Apabila seseorang itu mencapai umur layak mengundi, secara automatik namanya didaftarkan layak mengundi. Ini semua boleh dilakukan jika ada kemahuan politik.

Jadi kita juga akan terus menekan SPR tentang isu ini. Satu lagi isu yang kita nak tekankan ialah penurunan umur untuk mengundi. Umur layak mengundi 21 tahun ini mungkin relevan pada tahun 1957, tetapi hari ini banyak negara mengundi pada umur 18 tahun. Bagi kita, umur 18 tahun dianggap layak untuk mengekspresikan hak sebagai warganegara Malaysia.

AMK diterajui YB dan beberapa pemimpin lain yang berpengalaman. Adakah ideologi perjuangan ini sampai ke akar umbi?

Hubungan kami dengan rakan-rakan di bawah bersifat dua hala. Saya ada pandangan tersendiri, saya banyak menulis untuk sampaikan pandangan mengenai isu-isu semasa. Tetapi, saya banyak belajar daripada rakan-rakan di bawah yang bergelut dengan kehidupan seharian.

Jadi kita faham, berbincang dengan teman-teman dan dapat maklum balas daripada mereka bagaimana saya merasakan atau melihat isu-isu yang penting bagi anak-anak muda. Ini kita dapati bukan hanya melalui bacaan atau kajian tetapi juga melalui perbualan dan pergaulan dengan rakan-rakan di lapangan.

Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan pada awalnya mendapat tentangan. Adakah situasi ini berterusan?

Saya faham ada golongan tertentu misalnya Reformis yang sendiri melalui pergelutan tersebut pada tahun 1998, 1999. Masih ada yang sukar terima kehadiran Mahathir. Tetapi, saya ingat mereka juga menghargai usaha atau ramai penyokong PKR hargai usaha dilakukan Mahathir hadiri Kongres Reformis, bertemu Datuk Seri Anwar Irahim di mahkamah.

Pada masa sama keputusan dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang meletakkan Anwar sebagai Ketua Umum, Mahathir sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, itu satu muafakat yang boleh diterima majoriti besar penyokong Pakatan Harapan. Saya lihat keluarga Anwar sendiri tunjuk kematangan dan bagaimana mereka begitu berbesar hati untuk bergerak ke depan. Itu saya rasa satu perkara yang dilihat oleh penyokong PKR sebagai apa yang boleh mereka contohi.

Maknanya tidak timbul isu PKR lari daripada perjuangan asalnya iaitu agenda reformasi?

Kita punya agenda untuk jadikan Malaysia negara lebih baik. Kita nak tukar sistem yang korup dan menindas rakyat kepada sistem lebih adil untuk semua. Isu sekarang kita lahir zaman Mahathir tapi kini kita berdepan dengan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak). Kerosakan institusi jauh lebih teruk, jadi kita fokus pada perjuangan hari ini.

YB dianggap kumpulan menolak Mahathir dalam Pakatan Harapan sebagai tidak faham mereka kerana tidak merasai kepayahan zaman reformasi? Apa reaksi YB?

Saya setuju saya tak merasai pengalaman pada zaman reformasi. Tapi tuan punya badan (Anwar) dan keluarga paling banyak rasai dan terkesan apa yang berlaku pada 1998. Ahli keluarga saya sendiri pun ada yang terlibat jadi saya tahu secara dekat apa yang berlaku, bukan cakap saja. Ketika itu saya masih bersekolah jadi tak berpeluang turut serta. Tapi banyak perjuangan di dunia ini.. misalnya perjuangan jatuhkan aparteid di Afrika Selatan. Akhirnya mereka dalam transisi itu, mereka terima tokoh-tokoh daripada kerajaan lama, kerajaan aparteid itu sendiri.

Banyak lagi contoh perubahan yang berlaku di mana perubahan yang berjaya sebenarnya melibatkan banyak kompromi dan kena ada jiwa besar. Saya rasa itu apa yang diajar oleh Anwar bahawa kita perlu ada sifat jiwa besar. Saya secara konsisten katakan bukan mudah untuk terima tapi akhirnya kena buat keputusan untuk gerak ke hadapan. Kita yakin hanya dengan kesepakatan pembangkang yang luas,  kalau 1999 kita ada tsunami Melayu, 2008 dan 2013 ada tsunami bukan Melayu. Kali ini kita harapkan ada perubahan yang dapat mencakupi Sabah, Sarawak, Melayu, bukan Melayu, semua sekali.

Kalau dulu 2013 kita dapat undi majoriti 51 peratus tapi tak dapat kuasai Parlimen, jadi kita rasa perlu ada perubahan yang melibatkan semua kelompok. Jadi gandingan hari ini adalah yang terbaik untuk kita capai objektif tersebut.

AMK sebelum ini tetap dengan pendirian memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Sebagai sayap mewakili orang muda, kenapa tidak mahu memilih tokoh-tokoh yang lebih muda?

Kita ada kaji selidik yang dilakukan misalnya oleh Invoke menyatakan nama Anwar paling popular dalam kalangan tokoh-tokoh pembangkang dan dapat sokongan menyeluruh daripada pelbagai kaum. Anwar juga telah menunjukkan konsistensinya daripada 1998, beliau tidak pernah ambil jalan mudah dengan bersara atau bekerja di agensi antarabangsa.

Pada 2004, Anwar dapat tawaran mengajar di luar negara dan boleh lupakan terus politik. Tetapi beliau tetap berjuang dalam politik kerana ini bukan soal beliau masuk penjara tetapi soal mengubah Malaysia. Beliau juga konsisten bercakap mengenai politik perubahan yang mencakupi semua golongan. Dulu ramai kritik kenapa tubuhkan PKR sebab rakyat Malaysia sukar terima parti pelbagai kaum. Tetapi Anwar tetap dengan keputusannya.

Bagi saya, beliau boleh dianggap sebagai Nelson Mandela Malaysia. Sebab itu beliau paling layak dan diterima oleh semua pihak termasuk Mahathir dan parti-parti komponen Pakatan Harapan. Oleh kerana Anwar masih dalam penjara, kita terima hakikat beliau tidak boleh bertanding.

Maka perlu ada perdana menteri ketujuh daripada Pakatan Harapan selepas Najib. Tetapi kita terima Anwar sebagai perdana menteri kelapan. Bagi saya ini satu pengiktirafan daripada kepimpinan Pakatan Harapan dan rakyat.

Adakah YB yakin Pakatan Harapan kini lebih sepakat?

Saya nampak pergerakannya semakin teratur. Kalau lihat di peringkat pemuda sendiri, kita secara konsisten adakan pertemuan bergilir-gilir di keempat-empat parti. Kita juga banyak adakan program bersama.

Ini yang kita nak saksikan dan saya yakin kita menuju ke peringkat seterusnya. Dulu kita pernah lihat menuju ke PRU13, Pakatan Rakyat pun ada kesefahaman begitu. Jadi kalau boleh kita nak pergi lebih baik daripada itu. Bukan mudah kerana model Pakatan Harapan ialah empat rakan kongsi.

Bukan model abang long yang ada dalam BN di mana Umno ialah abang sulung dan parti komponen lain tak banyak suara. Kita dalam Pakatan Harapan ada kesepakatan dan disiplin, tetapi bertindak sebagai rakan kongsi. Itu perlu diimbangi sebab rakyat Malaysia mahukan model politik sebegini.

Benarkah Bersatu dikatakan over shadow parti lain dalam Pakatan Harapan?

Tiada isu begitu kerana kita ada hubungan yang baik. Saya buat kerja dengan mereka di peringkat paling bawah, di cabang dan pemuda, serta di peringkat Majlis Presiden. Saya boleh katakan mereka mempunyai peranan yang positif dan kita sama-sama cuba memperkuatkan antara satu sama lain. Mereka ada pengaruh di kawasan tertentu, begitu juga PKR. Jadi kita cuba jalinkan perkara tersebut dan saya nampak ia berjalan positif.

Armada Bersatu menonjol dengan beberapa isu dibawa mereka. AMK tidak rasa tercabar?

Bagi saya, kita sama-sama buat kerja dan akhirnya kita tidak fikir tentang parti tetapi Pakatan Harapan. Kalau apa yang mereka buat itu Pakatan Harapan dapat faedah, kita alu-alukan.

Sejak Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, bagaimana hubungan ahli PKR dengan Pas ketika ini?

Di peringkat kawasan dan cabang, saya lihat hubungan itu masih ada. Ini kerana ia dah terjalin begitu lama sejak PKR ditubuhkan pada 1998. Cuma kadang-kadang kasihan juga kepada orang di bawah bila keluar kenyataan daripada atas mereka rasa susah nak jawab. Kadang-kadang rasa kekok dan membingungkan juga orang di bawah.

Pas mahu jadi king maker? YB yakin Pas boleh berjaya sebagai blok ketiga?

Sejarah membuktikan orang biasa akan sokong parti yang berada dalam kerjasama pembangkang, kerjasama yang solid. Bila ada tiga penjuru dan sebagainya, ia takkan pergi jauh. Dulu secara tak langsung DAP dan Pas bersama pada 1990, pembangkang cukup cemerlang.

Kemudian pada 1998 secara formal buat pertama kali Pas dan DAP bersama Parti Rakyat dan PKR ketika itu dalam Barisan Alternatif. Pas dapat faedah paling besar daripada kerjasama itu.  Pada 2004, DAP keluar, pembangkang tak cukup cemerlang. Pada 2008, Anwar pastikan ada kerjasama tak formal antara tiga parti maka kita lihat lima negeri jatuh, majoriti dua pertiga BN dinafikan dan kemudian lahir PR.

Baru-baru ini di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar pembangkang rugi bila ada tiga penjuru. Jadi saya yakin rakyat hanya ada dua pilihan. Kalau mereka nak sangat Najib mereka sokong BN, tapi kalau tak nak mereka akan sokong Pakatan Harapan kecuali minoriti kecil yang setia pada parti mereka. Parti blok ketiga takkan untung dalam pilihan raya.

Perlu atau tidak Pakatan Harapan terus berunding dengan Pas, khususnya isu pembahagian kerusi PRU14?

Saya ingat kita dah mencuba sekian lama. Bagi kita yang penting PRU14 dah dekat. Kita kena sediakan jentera dan buat kerja. Nak berunding saya rasa ini dah masa kecederaan. Kita pun dah jaga tutur kata, tak serang lawan, dah tunjuk kita nak berbincang. Kalau tak, kita teruskan kerja dan sedia untuk sebarang kemungkinan termasuk tiga penjuru.

Aura Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin cukup kuat. Adakah ini membimbangkan YB dan rakan-rakan?

Saya tak nafikan Khairy ada kelebihan tersendiri, tetapi Pemuda Umno ada beliau saja. Sebaliknya, Pakatan Harapan ada ramai pemimpin di arus perdana. Contohnya, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Shamsul Iskandar Md Akin semuanya merupakan Naib Presiden PKR.

Kalau Umno nak jadi naib presiden kena tunggu usia lanjut baru boleh. Kita juga ada Senator Siti Aishah Shaik Ismail yang dilantik pada usia 30 tahun. Dalam AMK ramai yang jadi wakil rakyat seperti saya sendiri dan Dr Afif Bahardin.

Begitu juga pemimpin-pemimpin muda dalam parti Pakatan Harapan yang lain. Kalau kita lawan bola, Umno hanya ada satu bintang (Khairy). Tetapi Pakatan Harapan, kita ada ramai bintang.

Macam pasukan Real Madrid. Jadi kita yakin dengan bintang-bintang ini. Khairy mungkin menonjol kerana tak ramai pemimpin muda Umno lain yang menyerlah dan beliau pula dapat portfolio menteri. Tetapi kita cukup yakin berhadapan dengan Pemuda Umno.

BN berusaha merampas semula Selangor. Bagaimana gerak kerja Pakatan Harapan di Selangor bagi memastikan impian BN itu tidak tercapai?

Insya-ALLAH, kita yakin dapat pertahankan Selangor. Tetapi dalam masa sama kita tidak ambil mudah mudah. Penduduk Selangor matang dan kriktikal, maknanya mereka bukan totok. Jika mereka rasa kita buat kerja, mereka akan beri peluang. Jika tidak, mereka tiada masalah untuk tukar. Jadi kita kena tunjukkan prestasi yang baik. Kita yakin dengan usaha dilakukan Selangor kekal bersama Pakatan Harapan.