Pahit getir bawa pulang rakyat Malaysia
Mohd Khairun Aseh.
Pahit getir bawa pulang rakyat Malaysia
George Lipih Ambo,42, yang ditahan lanun di Nigeria sejak 4 Ogos lalu, selamat dibawa pulang oleh Biro Aduan dan Komuniti Umno, disambut gembira oleh ahli keluarganya.
Pahit getir bawa pulang rakyat Malaysia
Omar Atan atau Pak Omar menangis ketika menceritakan pengalamannya di tahan di Laos. - Foto BH

Bukan mudah Biro Aduan Komuniti Umno membawa pulang rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di negara luar kerana perbezaan sistem pentadbiran dan undangundang.

Namun, ia dapat diatasi dengan menggunakan kebijaksanaan dan diplomasi kerana paling penting rakyat Malaysia di negara asing dapat dibawa pulang dengan selamat.

Pengorbanan kecil yang dilakukan untuk membantu mereka yang teraniaya, akan memberikan kepuasan kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh. Ikuti temubual bersama tokoh mudah ini oleh ARHIZA AHMAD dan NORSHAHZURA MAT ZUKI di Putrajaya.

Boleh ceritakan latar belakang hingga tertubuhnya Biro Aduan Komuniti Umno?
 
Biro Aduan Komuniti Umno ditubuhkan pada Mac 2009, setelah saya dipilih menjadi Exco Pemuda Umno Malaysia. Apabila biro ini ditubuhkan, kita kenal pasti ruang lingkup permasalahan rakyat yang boleh kita perjuangkan. Menerusi penyelidikan, kita temui terdapat masalah rakyat kita yang berada di luar negara terabai kerana tidak dibela sepenuhnya. Kerana itu, kita menjurus kepada aduan-aduan tersebut.

Terabai dari segi mana yang dimaksudkan?

Ia bukan masalah am. Sebaliknya, ia kes spesifik case-by-case basis. Isu pokok ialah mereka tidak tahu saluran yang boleh membantu apabila teraniaya. Mereka berdepan dengan situasi berbeza dengan Malaysia dan tidak mempunyai peluang untuk dibela. Daripada pengamatan, kita banyak membela rakyat yang teraniaya kerana berkeadaan susah dan daif.

Siapakah mereka ini?

Lazimnya, kita sifatkan orang ditipu dengan sindiket antaranya ialah pemerdagangan orang atau keldai dadah.

Saya takrif teraniaya sebab dalam konteks undang-undang global pemerdagangan orang, pihak sindiket menipu rakyat kitauntuk bekerja atau mencari peluang pekerjaan di luar negara.

Mengapakah mereka mudah tertipu?

Mereka tertipu bila menerima maklumat atau pujukan tanpa usul periksa. Mereka ke sana atas jemputan ejen sindiket. Kemudian mereka diberikan janji-janji palsu dan kerja yang diragui. Dalam konteks ini, keldai dadah merupakan isu global yang berbahaya. Rakyat digunakan sindiket dadah atas penipuan mencari pekerjaan dan menjadi pelajar. Dalam hal ini, kita kena bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya media, untuk meningkatkan kesedaran mereka.

Apa yang berlaku bila rakyat kita ditahan kerana melanggar undangundang negara lain?

Lazimnya rakyat kita di negara asing ditahan kerana menghadapi tuduhan yang belum terbukti. Dalam konteks undangundang, dia belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Kerapkali terjadi, bila rakyat kita tidak dapat peluang membela diri di mahkamah di negara asing. Mereka terus didapati bersalah kerana tidak diberi peluang bela diri dan diwakili peguam. Salah satu cara kami membantu mereka ialah dengan menyediakan perkhidmatan guaman.

Apakah contoh kes yang dibantu dan diselesaikan oleh biro?

Alhamdulilah. Banyak kejayaan yang kita capai. Contohnya kes Pak Omar di Laos. Hampir setahun beliau ditahan tanpa alasan munasabah. Hari-hari dia disajikan sup babi. Isterinya, meninggal dunia ketika dalam proses membebaskannya. Akhirnya kita masuk campur. Saya mengetuai tiga misi ke Laos untuk membantunya dengan menyediakan perkhidmatan undangundang.

Akhirnya, pihak penjara dan badan kehakiman di sana bersetuju dengan hujah dan bebaskan beliau. Bayangkan, kalau kita tidak campur tangan, Pak Omar dah anggap dirinya akan mati sahaja di sana.

Berapa banyak kes yang ditangani?

Setakat ini, kita menerima 400 kes setahun. Kita tapis dan saring kerana kita tumpukan kepada aduan-aduan yang meliputi permasalahan yang besar.

Dalam konteks membela rakyat, kita juga memberi cadangan-cadangan perubahan polisi kepada kerajaan. Kita memberikanbantuan kepada rakyat bukan kes yang bersifat peribadi. Jika kes bersifat masalahperibadi, sivil dengan rakan-rakan, kita bagi kaunseling. Kita berjaya membantu menyelesaikan masalah rakyat dan bawa mereka pulang ke Malaysia.

Peratus pencapaian?

Hampir 80 peratus daripada aduan yang kita terima.

Apakah masalah yang biasa dihadapi bila melakukan misi membawa balik rakyat kita yang teraniaya?

Lazimnya ialah isu ketidakseragaman undang-undang. Undang-undang Malaysia berbeza dengan undang- undang di negara terlibat. Jadi untuk mencari titik persefahaman, dalam proses rundingan agak sulit. Contohnya, di Laos yang tidak mengamalkan sistem demokrasi tetapi sosialis.

Hukuman perintah-perintah kurungan tidak sama di Malaysia. Oleh itu, kita kena capai kesepakatan dan perlu hormati undang-undang mereka. Kita gunakan kebijaksanaan untuk berunding dengan mereka hingga mereka bersetuju.

Adakah fungsi Biro Komuniti Aduan Umno tidak menimbulkan konflik kerana dalam Umno sendiri terdapat Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang turut membuat kerja-kerja amal?

Lagi banyak pihak yang terlibat dalam kerja-kerja amal ini lagi baik. Saya lihat banyak parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyertaan KP1M untuk membantu rakyat. Kerjasama daripada mereka kita alu-alukan. Biro Aduan Komuniti Umno menjadi pemudah cara dan jururunding rakyat tertindas.

KP1M pula mempunyai skop yang lebih besar kerana mereka juga membuat misi kemanusiaan dan misi perubatan.

Bagaimana biro mendapatkan sumber kewangan?

Kadang-kadang kita runsing apabila memikirkan kos-kos logistik. Alhamdulilah, memang benar rakyat Malaysia penyayang kerana banyak yayasan, NGO memberi pelbagai bentuk bantuan kepada kita.

Mereka bantu bukan sahaja dalambentuk wang ringgit, tetapi material seperti pembiayaan tiket penerbangan. Lazimnya, kita juga memperolehi bantuan guaman untuk proses rundingan. Banyak tenaga mahir dalam undang-undang dan pengamal undang-undang dalam kalangan rakyat yang tampil memberikan perkhidmatan secara percuma.

Ada seorang peguam pergi ke Capetown, Afrika Selatan untuk membantu mangsa keldai dadah. Beliau ke sana atas pembiayaan sendiri. Alhamdulilah, ia berjaya kerana ALLAH mempermudahkan segala urusan.

Kenapa biro ini memberikan tumpuan kepada masalah yang dihadapi rakyat di luar negara sedangkan lebih banyak kepada rakyat kita yang miskin?

Banyak kes- kes domestik kita serahkan kepada wakil rakyat sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang yang mewakili mereka. Bagaimana pun, kita juga bekerjasama dengan wakil rakyat sekiranya mereka memerlukan kita.

Selain, khidmat guaman, apakah servis lain yang disediakan?

Kita menyediakan khidmat guaman dan perundingan. Dalam kes terbaru, rundingan dengan lanun di Nigeria, kita bekerjasama secara efektif. Kebetulan lanun enggan berunding dengan perunding rasmi.

Mereka berunding dengan kita yang tidak formal. Rundingan itu berjaya walaupun mencabar dan menyeramkan kerana ia memakan masa selama 20 hari.

Selain itu, kes yang sedang kita usahakan kini adalah usaha membawa balik adik Siti Norzana Nordi, 12, yang dilarikan oleh ibu tirinya ke Lampung Indonesia, Mei 2010. Kes tersebut diharap dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana kita telah menjumpai cara untuk membawanya pulang ke Malaysia.

Apakah pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang bersama biro ini?

Saya masih ingat di Laos, saya diugut oleh pihak penjara di negara itu. Dalam proses berunding menyatakan bantahan kepada rakyat Malaysia yang ditahan, saya dikurung oleh pihak penjara.

Situasi itu memang mencemaskan kerana semua barang peribadi saya dirampas. Mereka juga memaklumkan kepada saya kemungkinan besar saya akan ditahan.

Saya hanya bergantung kepada ALLAH dan dilepaskan enam jam kemudian. Alhamdulilah, mereka bertimbang rasa dan kini penguasa penjara itu menjadi kawan saya.

Sejauh mana kedudukan biro ini pada masa hadapan seandainya Datuk tidak lagi mengetuai biro ini?

Saya yakin dengan bakat-bakat muda ketika ini sekiranya saya tidak bersama biro ini. Ramai pengganti yang dapat meneruskan usaha biro ini dan mencapai lebih baik daripada apa yang kita miliki kini. Kita berharap, biro ini akan memenuhi harapan rakyat berbentuk realiti bukannya retorik.

Datuk ada sebut mengenai masalah yang menyentuh polisi kerajaan. Boleh jelaskan?

Kita sering menyatakan bantahan kepada ketidaksiapsiagaan sistem pentadbiran kerajaan dalam menyelesaikan masalah.

Antaranya ialah keldai dadah. Kita tidak puas hati kerana ia tidak seragam dan kurang koordinasi agensi terbabit di pintu masuk negara terutamanya di lapangan terbang. Beberapa agensi terlibat seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kita sarankan kepada kerajaan mewujudkan driving force untuk menangani kes keldai dadah agar lebih fokus kepada membanteras dadah. Saya harap biro ini terus neutral dan berani mengkritik bagi memperbaiki polisi kerajaan.

Apakah yang dilakukan agar orang ramai tak ragu-ragu memohon bantuan sekiranya menghadapi masalah?

Kita menggalakkan mangsa-mangsa yang diberikan bantuan sebelum ini berkongsi pengalaman mereka di jerayawara yang diadakan. Saya juga turut menerima undangan untuk berceramah dan syarahan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai. Biro juga bekerjasama dengan media untuk menyebarkan fakta penganiayaan terhadap rakyat kita.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.