MASYARAKAT Malaysia, khususnya orang Melayu memang terkenal dengan keasyikan mereka terhadap politik. Bila tiba saja musim pemilihan parti, sibuklah mereka dengan pelbagai andaian, ramalan, tohmahan dan juga fitnah. Di era media sosial sekarang, sesiapa saja boleh luahkan pandangan masing-masing dengan bebasnya. Bezanya ada yang bersifat objektif, subjektif, spekulatif dan tidak kurang pula yang manipulatif.

Demikianlah halnya dengan pemilihan PKR yang sedang berlangsung sekarang ini. Ia menarik perhatian banyak pihak.

Mengapa pemilihan PKR mendapat perhatian?

Kedudukan PKR sebagai komponen parti terbesar dalam PH dari segi keahlian, jumlah kerusi Ahli Parlimen dan Adun dalam kerajaan PH dengan sendirinya menjadi sebab utama mengapa pemilihan ini mendapat perhatian ramai. Ramai yang beranggapan perkembangan dan keputusannya nanti akan membawa impak dan kesan besar kepada percaturan politik negara.

Pilihanraya PKR menjadi menarik kerana gerakan reformasi berjaya melahirkan ramai tokoh tokoh muda yang berpotensi menjadi pemimpin negara selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tokoh tokoh seperti Azmin Ali, Rafizi Ramli, Nurul Izzah, Saifuddin Nasution dan ramai lagi menjadikan pemilihan PKR kali ini dilihat asas untuk menyediakan  pemimpin-pemimpin besar di masa depan.

Lebih penting ialah  kepulangan Anwar ke persada politik negara selepas 20 tahun dalam buangan politik di mana beliau  dinafikan hak sebagai pemimpin politik utama melalui pelbagai halangan dan rintangan. Namun, beliau tidak pernah hilang dari radar ataupun luput dari pemikiran rakyat, malah terus menjadi ikon dan simbol kepada gerakan dan gagasan pembangkang.

Obor reformasi dinyalakan Anwar berterusan membakar semangat rakyat yang dahagakan perubahan dan pembaharuan. Walaupun jasadnya dipenjara tetapi semangat reformasinya tetap membara. Anwar seumpama Nelson Mandela, pemimpin ikonik Afrika Selatan yang menjadi pencetus kepada gerakan perjuangan untuk negaranya.

Pembebasan dan pengampunan ke atas Anwar dilihat sebagai satu keadilan yang tertunda - ‘Justice maybe delayed but cannot be denied’.  Inilah yang berlaku ke atas Anwar. Tun Dr Mahathir Mohamad, mentor yang bertukar menjadi musuh kemudian kembali menjadi sahabat terpaksa menerima dan mengakui hakikat ini.

Untuk menyelamatkan Malaysia, anak didik yang makan tuan, Dr Mahathir akhirnya memohon maaf dan meminta restu Anwar untuk bersama dalam gerakan pembangkang. Perjanjian bertulis mengangkat Dr Mahathir sebagai PM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM sementara menunggu Anwar kembali ke Parlimen.

Anwar dan Dr Mahathir amat memahami kekuatan dan kelemahan diri masing masing. Anwar mengotakan janjinya menyokong kepimpinan Dr Mahathir sementara menunggu gilirannya untuk menjadi PM dan memimpin PH menghadapi PRU15 nanti. Manakala Dr Mahathir kekal dan tegas dengan komitmennya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar sampai masanya nanti.

Oleh kerana peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada Anwar masih lagi merupakan ‘work-in-progess’ , timbul pelbagai spekulasi tidak menyenangkan.

Pelantikan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai Menteri Ekonomi selepas beberapa hari mengangkat sumpah Menteri Besar Selangor dilihat dan dikatakan sebagai satu petanda  Azmin sedang diangkat dan ditonjolkan Dr Mahathir untuk menyaingi Anwar. Apatah lagi bila desas-desus pelantikan Azmin dibuat tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Majlis Presiden PH dan pucuk pimpinan PKR.

Spekulasi semakin panas apabila beberapa jabatan dan agensi penting di bawah Kementerian Kewangan diserahkan kepada Azmin, sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada masyarakat termasuk DAP.

Dalam pada itu, ada pula askar-askar upahan (political mercenaries) sanggup membuat fitnah dengan menular audio suara Anwar yang kononnya sedang memaki hamun Azmin sebagai ‘barua’ kepada Dr Mahathir. Sedangkan umum amat tahu menggunakan -perkataan jijik adalah bukan sifat Anwar. Beberapa pihak-pihak yang berkenaan, termasuk Wan Azizah sendiri telahpun membuat penafian dan menegaskan itu bukan suara Anwar.

Sementara itu Rafizi Ramli telah membuat pengumuman awal tentang kesediaannya untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti. Dengan barisan sokongan dari tokoh-tokoh pemimpin parti seperti Nurul Izzah, Dato Saifuddin Nasution, Datuk Johari Abdul, Fuziah Salleh dan lain-lain lagi.

Ekoran dari pengumuman itu, sepertimana dijangkakan telah timbul berbagai reaksi dari pelbagai pihak, samada dari dalam mahupun luaran parti. Termasuklah dakwaan ia lanjutan dari kewujudan dua kem dalam PKR, satu di bawah kepimpinannya sementara satu lagi dikepalai Azmin Ali dengan sokongan Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan lain-lain lagi.

Hasrat Rafizi bertanding jawatan timbalan presiden dan barisannya untuk jawatan penting  lain seperti naib presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dilihat akan membawa perpecahan kepada kesatuan PKR.

Apapun fitnah, dakyah dan olahan dimainkan pembangkang dan askar-askar upahan mereka, realiti dan hakikat sebenar ialah kesatuan dan perpaduan antara Anwar dan Dr Mahathir tetap utuh, begitu juga PKR. Sekurang-kurangnya begitulah persepsinya kepada mereka yang lebih tahu dan yang menghalusi perkembangan politik semasa.

Jika wujud kem atau ‘team’ tertentu dalam pemilihan ini, ia sesuatu perkara biasa. Jika semua pihak yang terlibat, khususnya calon-calon bertanding dapat menangani pertandingan ini dengan penuh kebijaksanaan dan kematangan serta menerima keputusannya nanti dengan hati yang penuh terbuka, ia mampu mengangkat dan membentuk parti ke tahap  lebih hebat dan mantap lagi.

Selepas penutupan tarikh penamaan calon, Anwar telah diisytiharkan dengan rasminya menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR, menepati jangkaan awal. Sementara untuk jawatan timbalan presiden pula akan menyaksikan pertandingan antara Azmin dan Rafizi.

Apa pendirian Anwar dan perkembangan seterusnya...

>Bersambung esok