ISU pendatang asing tanpa izin (Pati) pastinya menimbulkan perspektif yang membangkitkan pelbagai hujah sama ada membidas, menempelak atau sebaliknya. Namun, sejauh mana perkara ini boleh diselesaikan?

Apakah peranan masyarakat dan agensi berkaitan dalam menangani hal ini dan sejauh mana impak Pati dalam ekonomi dan budaya dalam negara? Adakah negara boleh dibebaskan daripada lambakan Pati yang dilihat sesetengah pihak telah memonopoli sektor tertentu di negara ini.

Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkenaan isu yang terus membelenggu negara ini.

Boleh Datuk Seri terangkan serba sedikit apakah Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati (Rehiring)?

Program Rehiring merupakan satu inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan bertujuan memberi peluang kepada Pati yang bekerja secara haram di Malaysia untuk diberikan permit kerja sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan. Program ini turut dirangka bagi  memenuhi permintaan majikan untuk mengisi keperluan pekerja di sektor pekerjaan yang dibenarkan sahaja.

Namun, program ini telah tamat pada 30 Jun lalu sebelum pelaksanaan Ops Mega 3.0 dilancarkan dalam usaha membanteras Pati.

Setiap pelaksanaan program pastinya memberikan kesan tertentu. Boleh jelaskan apa impak Rehiring kepada majikan dan pekerja asing?

Rehiring misalnya, ini adalah untuk memastikan pekerja yang tidak mempunyai pas bekerja ini mendapat kebenaran dan pengesahan untuk bekerja.

Malah majikan juga boleh mencari pekerja asing yang sah tanpa mereka perlu dihadapkan ke mahkamah kerana pekerja asing itu melanggar peraturan.

Malaysia mempunyai lima sektor utama iaitu perkilangan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pembuatan. Sektor-sektor ini dilihat memerlukan pekerja asing atas faktor-faktor tertentu. Kita boleh lihat contoh di perladangan dan pembinaan, rata-rata pekerja adalah warga asing.

Apa yang boleh saya simpulkan, Rehiring ini memberi banyak kelebihan kepada majikan dan pekerja.

Bagaimana pula dengan program serah diri secara sukarela atau lebih dikenali dengan nama Program 3+1 yang sedang berjalan sekarang?

Ya. Program itu sedang berjalan sekarang dan akan tamat pada 30 Ogos depan. Selepas itu, dengan mengambil semangat sempena Hari Kemerdekaan  pada 31 Ogos, apa salahnya kita menyebut ‘merdekakan negara daripada Pati’.

Kalau orang tanya, bolehkah merdeka daripada Pati ini? Operasi akan terus dilaksanakan bagi menunjukkan imigresen serius menangani perkara ini. Bagi saya, hendak menjadi Pati ini senang sahaja, datang ke Malaysia sebagai pelajar, tapi dia bekerja. Bila masuk sebagai pelancong, tapi bekerja sebagai pekerja seks di rumah urut dan sebagainya.

Kita akan berusaha dengan menerapkan semangat kemerdekaan dengan ‘memerdekakan’ negara dari elemen orang asing yang cuba menerobos dan mengkotak-katikkan negara kita. Sebab itu saya tekankan gerak kerja imigresen adalah memastikan kedaulatan dan keselamatan tanpa berkompromi.

Adakah  wujud lagi program-program seterusnya untuk warga asing ini? Apa tindakan selepas tamat program 3+1?

Dengan sistem yang ada, kita tidak akan ada lagi program pemutihan. Mulai 30 Ogos, termasuk Program 3+1 semuanya telah ditutup, tetapi yang ada adalah operasi yang berterusan. Kepada yang tidak cari peluang, kita akan tangkap dan tuduh di mahkamah.

Bagaimana dengan statistik bagi program 3+1 ini?

Sejak 1 Januari lalu hingga semalam (kelmarin), seramai 79,709 Pati dikesan tinggal lebih masa, manakala seramai 60,372 orang kerana tidak memiliki pas atau permit sah. Daripada jumlah itu, seramai 76,976 orang adalah membabitkan warga Indonesia, Bangladesh (16,798 orang), India (15,079 orang), Nepal (10,078 orang), Myanmar (5,991), China (5,628 orang) dan selebihnya adalah dari negara lain seperti Pakistan, Filipina, Kemboja, Sri Lanka, Nigeria serta Vietnam.

Boleh dijelaskan apa denda bagi proses 3+1 ini?

Pati yang menyerah diri hanya perlu melalui proses 3+1 iaitu denda RM400. Selepas proses ini, mereka boleh membeli tiket kapal terbang dan pulang ke negara asal sendiri. Ia ditanggung sepenuhnya oleh mereka atau kedutaan masing-masing.

Dengan pelaksanaan operasi besar-besaran, ia dilihat  ‘mencuit’ beberapa pihak yang tidak selesa dengan pelaksaannya. Apa pandangan Datuk Seri?

Di sini saya mahu tegaskan, kita tidak mahu membuat keputusan secara flip flop. Bila proses atau program yang diberikan itu telah tamat, ia tetap tamat. Tiada tempoh masa untuk disambung.

Kalau sambung, sampai bila mahu sambung? Ramai pihak atau majikan yang suka menunggu saat akhir untuk mendaftar walhal masa yang diberikan adalah cukup.

Sebelum ini, ada institusi mengatakan imigresen melakukan soal kezaliman, menahan orang kawasan rumah kongsi dan sebagainya. Ingin saya tegaskan sekali lagi, imigresen diberikan amanah bagi memastikan tiada lagi Pati dalam negara. Mengapa mahu menggaji Pati? Itu adalah salah!

Hari ini terutama di media sosial, ada yang memuji tindakan imigresen, tetapi tidak kurang juga mengecam. Apa yang Datuk Seri boleh sampaikan kepada masyarakat?

Bila imigresen jalankan tugas berdasarkan undang-undang pun masih dikecam. Malah ada yang kata mengapa buat serbuan di rumah Pati pada waktu malam. Jika kita serbu pada waktu siang, ternyata mereka tidak ada di rumah kerana rata-rata mereka keluar bekerja.

Kita bukan mengganggu waktu tidur mereka, tetapi masa itulah yang mereka ada di rumah. Kita semak dokumen mereka, kalau sah itu tidak ada masalah.

Apa tindakan imigresen bagi memastikan pelaksanaan operasi memberi impak yang lebih mendalam dan berkesan?

Mana-mana agensi penguatkuasaan memerlukan kerjasama dengan agensi lain.

Hari ini kita boleh lihat terdapatnya kegiatan bot pancung membawa masuk Pati melalui jalan laut dan mendarat di persisiran pantai. Laluan itu adalah laluan haram.

Tapi dengan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), hasil risikan dan operasi, kemasukan itu dapat dipatahkan. Begitu juga kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dalam usaha membanteras isu berkaitan warga asing.

Statistik Operasi 2018

(1 Januari hingga 24 Julai)

Jumlah Operasi             8,272 

Jumlah diperiksa       101,195

Jumlah Pati yang ditahan          24,650

Jumlah majikan yang ditahan  638

Statistik bilangan operasi

Tahun 2014 -           5,452

Tahun 2015 -       10,469

Tahun 2016 -       10,949

Tahun 2017 -        16,737

Statistik bilangan diperiksa

Tahun 2014 -       96,214

Tahun 2015 -    262,680

Tahun 2016 -    180,079

Tahun 2017 -   197,866

[ARTIKEL BERKAITAN: Program Rehiring Pati ditamatkan 30 Jun]