MENDEPANI suara rakyat yang kini begitu lantang mengkritik dengan mempersoalkan status ekonomi negara yang dikatakan memberi kesan kepada sara hidup yang kian meningkat, menjadi satu cabaran buat kerajaan.

Kredibiliti kepimpinan yang sudah 60 tahun memperjuangkan pembangunan negara turut mendapat tekanan di peringkat nasional.

Tidak kurang juga dalam skala kecil, iaitu fokus dalam kawasan yang menyaksikan ada masyarakat lebih suka menunding jari menghukum wakil kepimpinan yang didakwa gagal, tanpa mengetahui cabaran dan masalah yang dihadapi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, merupakan antara pemimpin yang berdepan kedua-dua peringkat tersebut, iaitu sebagai pemegang potfolio kanan dalam kerajaan dan dalam masa sama mewakili salah satu kawasan dalam bandar iaitu Parlimen Titiwangsa P119.

Team Sinar Harian, IZWAN ROZLIN, HIDAYAH HAIROM, dan jurukamera SHARIFUDIN ABDUL RAHIM, menemubual Ketua Umno Bahagian Titiwangsa ini.

Datuk pernah menjadi orang korporat, duduk dalam syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia. Kenapa Datuk Seri perlu  susah-susah masuk politik sedangkan sudah berjaya sebagai orang Korporat?

Saya telah terlibat secara langsung dalam bidang korporat ini selama 25 tahun. Saya mempunyai empat syarikat public listed dan 26,000 kakitangan.

Saya terpanggil untuk terlibat dalam politik ini, bila Parlimen Titiwangsa kalah pada 2008. Untuk pengetahuan,  saya dilahirkan dan dibesarkan di Parlimen Titiwangsa, dilahirkan di Kampung Pandan.

Parlimen ini ada tiga, Kampung Pandan, Keramat dan Kampung Baru. Saya sekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Pandan, menengah di Aminuddin Baki, kemudian melanjutkan pelajaran di Institut teknologi mara (ITM) dalam jurusan perakaunan, kemudian ke United Kindom (UK) dan pulang sebagai akauntan bertauliah. Saya melibatkan diri dalam dunia korporat selepas saya keluar daripada KPMG.

Saya lihat Parlimen Titiwangsa ini BN, saya terlibat kerana agenda dan polisi BN ini membolehkan saya sebagai seorang yang lahir dalam kawasan setinggan, keluarga yang tidak berada, saya boleh dapat peluang untuk pergi belajar sehingga ke luar negara, Jadi bila saya dapat berjaya dalam dunia perniagaan ini selama 25 tahun.

Saya terpanggil untuk menyumbang kepada masyarakat. Saya banyak terlibat dalam NGO sebelum ini. Saya rasa, kalau boleh menyumbang dalam bidang politik, suara saya dapat didengar di Parlimen.

Sebab itu bila saya ditawarkan bertanding di Titiwangsa pada PRU13, saya menerima. Sebenarnya tiga tahun sebelum itu pun saya sudah buka pusat khidmat sendiri, saya gajikan kakitangan sepenuh masa dan berada di pusat khidmat setiap hari Rabu. Walhal saya bukan wakil rakyat.

Saya buka pada Julai 2010. Mahu menunjukkan bahawa saya ini bukan nak sangat jadi wakil rakyat, tetapi terpanggil kerana ini kampung saya, tempat permainan saya. Bila buka pusat khidmat itu pada mulanya skala kecil saja.

Bila dipilih bertanding, saya buat perkara sama walaupun pada masa itu Parlimen Titiwangsa adalah dikuasai pembangkang tapi saya dapat menang balik Parlimen tersebut walaupun majoriti yang kecil, cuma 866, pada ketika itu berlaku tsunami bandar. Alhamdulillah di KL, kita mempunyai 11 Parlimen, saya dapat ambil semula salah satu kerusi yang kalah pada 2008.

Hasrat saya untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam konteks yang lebih besar. Saya jadi ahli Umno sudah lama. Kerana itu ramai tak nampak saya dalam politik. Bila saya jadi backbencher selama dua tahun di Parlimen, orang mula menyedari saya.

Saya banyak persoalkan isu-isu berkenaan perumahan, judi internet yang berleluasa, soal tanah-tanah yang sepatutnya diperuntukkan untuk pembangunan rumah-rumah PPR, perumahan awam. Selepas itu, saya diberi peluang menjadi Timbalan Menteri Kewangan, dan seterusnya menjadi Menteri Kewangan II.

Datuk Seri boleh dikatakan naik begitu cepat. Dilantik untuk satu potfolio kanan. Secara peribadi, apabila dilantik di Kementerian Kewangan, apa persepsi awal Datuk Seri tentang kementerian itu?

Saya lihat, di Kementerian Kewangan saya boleh gunakan pengalaman dan ilmu Korporat. Di dunia korporat matlamat saya ialah menyasarkan jualan berbilion ringgit.

Pada hemat saya kerajaan pun seperti syarikat, tapi dalam konteks lebih besar. Dalam kerajaan kita ada agenda sosial yang lebih besar iaitu membangunkan ekonomi.

Saya cuba untuk bawa satu budaya dalam pentadbiran kementerian kewangan, iaitu dengan menekankan soal-soal ketelusan, urustadbir korporat dan juga pengurusan yang cekap.

Saya menerima hakikat bahawa kita sudah merdeka 60 tahun, jadi tidak mudah untuk kita menukar struktur . Perlukan masa, untuk masukkan elemen-elemen ini. Alhamdulillah, pengalaman korporat sangat-sangat membantu.

Dalam dunia korporat ada tiga benda yang perlu dipegang iaitu, perlu ada model perniagaan yang betul, pengurusan yang cekap, dan syarikat korporat yang bagus.

Dalam kerajaan perlu pastikan sentiasa telus, mesti fokus apa yang mahu lakukan mengikut agenda yang ditetapkan, dan kena ada pengurusan mentadbirkan duit rakyat dengan cekap. Setiap ringgit yang dikutip daripada rakyat, kena pastikan duit ini dipulangkan balik kepada negara dalam bentuk pembangunan ekonomi.

Kalau kita lihat, negara kita dulu-dulu bermula hanya sebagai sebuah ekonomi yang saiznya lebih kurang RM4 bilion. Tapi hari ini, saiz ekonomi kita telah meningkat dari RM4 bilion kepada RM1.3 trilion.

Perkembangan ini bukan automatik. Ia berkembang kerana kita mempunyai  kepimpinan yang telah membangunkan negara ini begitu tertib mengikut falsafah-falsafah pembangunan yang betul.

Pada peringkat awal kemerdekaan, penumpuan ekonomi adalah pertanian, selepas 25 tahun bergiat dalam pembangunan ekonomi pertanian, kemudian kita ubah jadi ekonomi perindustrian. Lepas itu kita ke sektor perkhidmatan dan kini ekonomi digital. Maknanya kita sentiasa ke depan berbanding negara-negara jiran Asean.

Hari ini kita boleh tengok daripada jumlah keseluruhan perniagaan yang dibuat, eksport kita sekarang berjumlah RM1.7 trilion.

Ia meliputi 16 peratus dengan China, Amerika Syarikat (9.3%), negara-negara Eropah (10%), Jepun (8%), Korea, Taiwan dan Hong Kong (11%)  India (3.2%), dan negara-negara Asean (27%). Pendek kata perdagangan kita ‘very diversified’, bukan hanya dengan China,.

Dulu rakan dagang terbesar kita adalah Amerika Syarikat tetapi kini China. Sebab kini ekonomi dunia berkembang sudah ke Asia jadi negara China merupakan negara kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Sebab itu kita lihat China menjadi kuasa besar di Asia. Dari segi perbandingan dalam dunia, Amerika Syarikat saiz ekonomi 18 trilion US Dolar , China hampir 12 trilion US Dolar. Kita belajar ini mengikut perkembangan ekonomi semasa.

Mengenai pendekatan korporat yang Datuk Seri laksanakan dalam kerajaan. Apakah kakitangan awam dapat menerima pendekatan ini?

Dulu saya mempunyai satu persepsi yang sangat negatif terhadap kakitangan kerajaan. Saya fikir mereka tidak faham. Sebenarnya tidak. Mereka ini adalah orang-orang yang berkaliber yang telah mentadbir negara ini selama 60 tahun. Jika tidak berkaliber, negara tidak boleh membangun.

Apabila negara berubah, zaman berubah, pendekatan berubah, pada era dunia tanpa sempadan, kita memerlukan kakitangan awam yang sentiasa berubah mengikut situasi zaman . Sekarang era ekonomi digital, jadi tidak boleh lagi pemikiran berasaskan ekonomi pertanian, atau perindustrian.

Kerajaan bukan macam dulu. Dulu apa kita buat orang tidak tahu. Sekarang ini kita perlu lebih bersedia. Kita sebenarnya berada dalam bangunan kaca. Setiap orang melihat.

Bagaimana Datuk Seri melihat penglibatan bumiputra dalam pembangunan ekonomi?

Dalam keghairahan kerajaan bangunkan bumiputra yang lepas-lepas, kita banyak buat benda yang buat bumiputra tidak bersedia. Jadi bila kita bagi bumiputra tidak bersedia, bila dia dapat, dia alibaba.

Konsep alibaba ini begitu dalam. Hari ini Alhamdulillah kita boleh lihat ianya telah berubah. Sekurang-kurangnya jika dulu dia alibabakan 100 peratus, kini hanya 50 peratus. Kita kena pastikan bahawa budaya seperti ini perlu dihapuskan.

Kena terapkan bumiputra dengan semangat perjuangan yang kuat, bermakna tidak putus asa. Tidak harapkan hanya satu pihak untuk membantu.

Bila kita dapat sesuatu projek dari kerajaan, kena ingat ini hanya sebagai bantuan (sementara) sahaja, bukan kekal. Kena kembangkan perniagaan di luar yang tidak melibatkan kerajaan.

Cara kerajaan pun sudah berubah. Sekarang jika masuk tender, kalau tidak ada capability, kita tidak berani masuk. Dulu, kita bagi sahaja. Kini apa kita buat jika ada projek katakan RM1 bilion, kita nak beri kepada bumiputra kepada 30 peratus, jadi RM300 juta kita beri, RM700 juta kita buat open tender.

Jadi open tender terbuka kepada sesiapa  sahaja, termasuk orang bukan bumiputra, juga syarikat antarabangsa. Tetapi yang khas bumiputra pun kita tidak beri pada mereka yang tiada kelayakan. Sebab itu jika boleh tengok dalam public listed companies banyak syarikat bumiputra disenaraikan. Yang tidak disenaraikan juga banyak.

Jadi kita nampak perkembangan ini. Lihat oil & gas kita, sangat bagus. Industri pembinaan pula perlahan-lahan berkembang walaupun tidak sebanyak yang kita harap tapi proses ini berterusan.

Tapi paling penting, di samping kita mengelakkan budaya cari jalan mudah mengalibabakan, wujudkan semangat survival yang tinggi.

Bumiputera perlu fokus dalam perniagaan.  Tidak boleh, hari ini kita jadi kontraktor, lepas tu kita buka restoran. Kita buat industri penerbitan lepas tu kita jadi kontraktor. Kita tidak ada fokus. Jika tiada fokus kita akan gagal.

Macam saya dulu terlibat dalam dunia perniagaan fastfood. Setiap syarikat, kami bawa kakitangan dan pengurusan cekap. Pengurusan tak boleh bercampur dalam perniagaan yang berlainan.

Kalau bukan jenis korporat, sekadar IKS, tak boleh buat benda lain. Umpamanya modal ada hanya RM5 juta nak pakai untuk lima jenis perniagaan. Fokus untuk gandakan keuntungan kemudian baru guna keuntungan wujudkan perniagaan lain.

25 tahun dalam korporat, kemudian duduk dalam kabinet, bagaimana Datuk Seri melihat potensi orang Melayu untuk bersaing dengan bukan melayu?

Saya nampak banyak daripada syarikat-syarikat Melayu berjaya hari ini kekuatannya adalah pengurusan. Jika buat sesuatu benda itu, dia faham A-Z sebab itu boleh bersaing. Mahu jadi usahawan kita kena faham. Saya lihat, yang berjaya selalunya mempunyai rangkaian dengan peniaga bukan bumiputra.

Contoh, jika jadi kontraktor kena ada pembekal bukan bumiputra. Mereka juga berniaga, kita perlu yakinkan mereka bahawa kita betul-betul hendak berniaga. Perlu diingat, pembekal (bukan bumiputera) ini adalah sebahagian daripada elemen untuk kita berjaya. Pembekal itu sendiri adalah modal. Jadi orang melayu kini sudah tahu ke arah itu.

 

Sejak kebelakangan ini pelbagai isu dibangkitkan oleh sesetengah pihak untuk menggambarkan seolah-olah keadaan ekonomi kita tidak stabil, sehingga menuduh negara kita hampir muflis. Apa komen Datuk Seri?

Cuba bayangkan sebuah negara, yang mempunyai saiz ekonomi dari RM4 bilion kepada RM 1.3 trilion. Kita perlukan sistem kewangan. Sekarang sistem kewangan kita RM5.5 trilion. Bank sahaja RM5.5 trilion, pasaran ekuti, RM1.8 trilion, dan sebagainya.

Semua angka-angka ini menunjukkan kepada negara bahawa sistem kewangan negara itu kuat. Walaupun datang pelbagai cabaran, kita masih lagi bertahan. Bagaimana kita cakap negara akan muflis? Jika mahu muflis, negara macam US, UK, Jepun dan China tidak datang ke Malaysia.

Mana ada orang nak datang negara muflis. Ini setiap tahun, kita dapat hampir RM40 bilion foreign direct investment (FDI) masuk ke dalam negara kita. Bagaimana mahu muflis sedangkan ia masuk berterusan. Apa yang saya mahu tekankan ialah kita mahu supaya apabila kita tadbir ekonomi, paling penting kena pastikan pertama, politik yang stabil. Kalau tiada politik yang stabil, maju macam mana sekalipun sebuah negara itu, dia akan muflis .

Lihat negara seperti Iraq, Mesir, Syiria, bila tiada kestabilan politik, dia tak muflis pun kita boleh panggil sebagai negara muflis. Nak beli barang susah, keluar rumah takut. Jadi dalam membangunkan ekonomi paling penting adalah kestabilan politik.

Kedua, kita mesti ada sistem kewangan yang efisien yang orang boleh percaya. Contoh bank kita, orang yakin, letak duit, esok nak keluarkan ada, tahun depan ada, 10 tahun lagi, ada. Orang yakin. Kita mahu naikkan modal dalam pasaran saham, kita letak, pelabur-pelabur beli saham kita, mereka yakin.

Kita mesti ada rakyat yang mempunyai pendidikan dan kebolehan. Jika tidak, semua ekonomi kita akan berlandaskan pada pekerja asing.

Datuk Seri maklumkan tentang FDI kita meningkat 40 bilion setiap tahun, ianya bagus. Tetapi bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat?

Bila pelabur asing datang melabur di negara kita, banyak yang rakyat boleh dapat. Tiga tahun kebelakangan ini kita telah wujudkan peluang pekerjaan baharu 1.1 juta. Itu tidak masuk yang telah diwujudkan sebelum itu.

Jika kita lihat industri kecil dan sederhana (IKS) menyumbang kepada hampir 65 peratus peluang pekerjaan iaitu hampir 6.8 juta pekerjaan. IKS kita boleh eksport 18 peratus daripada jumlah eksport negara. IKS kita menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 37 peratus. Tapi jika FDI ini tiada, aktiviti-aktiviti sampingan IKS ini tidak boleh. Jadi kena faham dari sudut yang besar.

Ramai orang tanya saya, banyak graduan menganggur sebagainya, betulah. Sebab apa? Dulu universiti ada 8, sekarang universiti awam ada 20. Dulu universiti swasta tiada. Sekarang, universiti dan kolej swasta ada 440. Jadi semua rakyat kita tidak kira kaya, miskin, pertengahan, semua mahu hantar anak dia belajar. Jadi sebenarnya kita telah masuk ke ciri-ciri untuk menjadi negara maju. Di US, UK, ada juga orang menganggur, tapi jika tanya mereka semua ini, semua graduan universiti.

Mereka menjadi usahawan. Bila pandai, mereka boleh jadi usahawan, boleh kerja di mana-mana. Tapi jika tiada pendidikan, bagaimana mereka mahu pergi ke luar negara bekerja? Kadang-kadang sebab ada pendidikan walaupun tiada kerja, sebab daya pemikiran itu ada, boleh jadi usahawan kecil-kecilan.

 

Menyentuh mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ramai mengatakan GST adalah punca rakyat hidup menderita, sehingga ada pihak menjanjikan jika diberi peluang memerintah. Bagaimana Datuk Seri melihat hujah ini?

Saya bercakap melalui pengalaman sebagai Menteri Kewangan II. Sistem GST adalah yang paling efisien dalam dunia. 174 negara laksanakan GST sebelum kita, tidak ada yang berpatah balik. Sebab ianya adalah sistem yang begitu efisien. Malah sebahagian daripada negara ini, kerajaannya kalah, parti lain ambil alih pun tak pernah tarik balik perlaksanaan.

Sebab apa? Mereka kata, bagaimana kamu hendak mansuhkan satu sistem yang boleh mengurangkan black economy, shadow economy. Black dan shadow economy ini kita perlu secara perlahan hapuskan untuk negara jadi negara maju.

Dalam sistem SST, jika beli barang, cukai sudah ada 10 peratus. Tapi kita tidak nampak. Bila tidak nampak, hati tak sakit. Sebab manusia tak suka bayar cukai.

Dalam GST walaupun kita kenakan 6 peratus, tapi ia ditunjuk berasingan. Bila nampak, sakit hati. Tapi kalau dulu, semua dah ada, tapi psikologi manusia memang biasa. Namun apa yang saya mahu tekankan adalah, kerajaan bertanggungjawab mesti buat benda yang betul, kalau sistem itu bagus, diguna pakai oleh 174 negara, macam mana kita, dalam Asean ada 10 negara, cuma kita dengan Myanmar sahaja tidak pakai.

Tetapi kita ubahsuai GST kita. Jika di Singapura, GST daripada beras gula minyak, semuanya ada GST. Tapi kita mengambil kira bahawa rakyat kita di bawah ini ada juga dalam BR1M kategori. Jadi apa kita buat? Barang-barang asas tidak dicaj GST.

Pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan lain yang melibatkan kerajaan, kita tidak caj. Jadi apabila kita tidak caj, ada puak-puak yang mengambil kesempatan. Bagaimana? Makcik-makcik ke kedai, tidak tahu mana kena GST, mana tidak. Tapi dimasukkan sekali, kemudian bila dah kutip, tidak bayar kepada kerajaan.

Jadi saya mahu parti politik yang bertanggungjawab, jangan jadikan populariti nak dapatkan kuasa. Tapi pada hakikatnya apabila nanti berkuasa, baru tahu sistem yang ada ini adalah efisyen. Untuk apa mahu tukar sistem yang telus.

Datuk Seri anak jati Titiwangsa, lahir dan dibesarkan di kawasan Titiwangsa, akhirnya berjaya juga di kawasan itu.  Bila Datuk Seri akhirnya terpilih sebagai wakil rakyat, apa keutamaan dalam kawasan dan apa yang telah dilaksanakan?

Tiga perkara. Satu saya memperjuangkan setinggan sifar. Saya usahakan untuk mana-mana kawasan setinggan dibangunkan.

Pembangunan ini bersangkut paut dengan faktor kedua iaitu kita mesti menyediakan rumah-rumah yang boleh dimiliki dan mampu diduduki oleh mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah dalam bandaraya Kuala Lumpur.

Ketiga, jika dibandingkan kehidupan dalam dan luar bandar, sudah tentu tekanan dalam bandar adalah tinggi. Kalau gaji RM3,000 luar bandar, kita rasa ok tapi jika dalam bandar, itu kira miskin.

 Tapi apa yang mahu saya tekankan adalah bagaimana isi rumah itu mencari pendapatan sampingan. Jika suami bekerja, isterinya tidak, bagaimana isteri dapat bantu suami dengan pendapatan sampingan.

Di sinilah saya tekankan dalam kawasan. Menggalakkan keusahawanan dari rumah, iaitu mendapatkan pendapatan sambilan. Akhirnya itu yang dapat bantu keluarga mereka. Kerana itu, bila ada yang minta bantuan dapatkan gerai, berniaga di rumah pula, minta mesin nak uli tepung buat kuih, beli peti sejuk, mesin jahit, semata-mata untuk tambahkan pendapatan, pelbagai lagi, melibatkan keusahawanan, saya akan bantu. Sebab saya tahu kesannya untuk jangka masa panjang, berbanding jika saya beri duit.

Anak-anak mereka pula saya tekankan jika mahu basmi kemiskinan, pastikan anak-anak mempunyai pendidikan yang bagus. Saya terbasmi kemiskinan dalam keluarga saya kerana pendidikan. Arwah mak ayah saya tidak tinggalkan harta tapi tinggalkan pendidikan. Itulah modal kita.

Bagaimana sifar setinggan?

Keadaan di Titiwangsa.

Jika di Kampung Pandan, saya boleh kata kosong. Di Datuk Keramat hampir tiada. Tapi jika kita lihat rumah-rumah yang seperti setinggan itu mereka bukan setinggan. Ia adalah tanah lot.

Kemudian di Kampung Baru, sebahagiannya nampak setinggan, tapi sebenarnya tanah lot diwarisi 118 tahun lalu. Inilah yang orang tidak faham. Bila orang luar datang nak jadi hero di Kampung Baru dengan menyatakan wakil rakyat gagal, mereka tidak tahu masalah saya.

Kalau mereka semua ini setinggan, dari dulu kita dah buat. Contohnya, jika beberapa pemilik tanah setuju untuk bangunkan dan gabung, dapat jadikan katakana lebih satu ekar. Tapi nak dapatkan tandatangan semua pemilik. S atu tanah ada yang lapan pemilik, ada sepuluh, ada juga satu tanah tu 156 pewaris. Nak cari pun satu masalah. Yang sudah meninggal dunia, anak-anaknya pula. Jadi bila mereka ini terlalu ramai, katakanlah jual tanah dengan harga RM800 setiap kaki persegi, dapatlah kutip RM6 juta, jadi bila agih-agih, setiap orang dapat serba sikit, sebab terlalu ramai, ataupun dapatlah RM100,000, jadi yang nak dapat ni pula, terdiri daripada jurutera, arkitek, doktor, akauntan, usahawan besar.

Kata mereka, “kalau dapat tidak seberapa, kita biarlah rumah nenek kita tu, nampaklah kesan sejarah asal usul kita di sini…” Jadi bagaimana nak paksa? Sebab itu isu di Kampung Baru ini berterusan.

Ketika saya menjadi Pengerusi UDA selama dua tahun, saya buat satu pembangunan yang orang rasa saya tak boleh buat, iaitu Pasar Minggu. 41 tahun Pasar Minggu itu seperti setinggan, saya dapat bangunkan.

Ini akan menjadi satu mercu tanda bila siap nanti. Ada pusat konvensyen, pejabat, ada kondominium. Tapi tanah itu semua dikuasai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jadi mudah untuk saya laksanakan selepas saya bincang dengan DBKL dan mendapat kelulusan Perdana Menteri.

 

Kita tahu Kampung Baru menjadi tumpuan sebagi pusat makanan. Tapi pengunjung berdepan masalah kesesakan, kekurangan parkir dan sebagainya. Macamana?

Jika kita lihat, Kampung Baru ini ada lot-lot perumahan. Pada satu ketika, DBKL mahu beri notis kepada semua. Ambil tindakan kerana rumah dijadikan tempat berniaga. Saya tanya DBKL, jika tindakan terhadap rumah-rumah yang dijadikan restoran ini, apa pembangunan mahu dibuat? Tapi boleh tak nak dapatkan pewaris-pewaris pemilik tanah ini bersetuju? Jika mereka tidak bersetuju, kemudian buat kedai makan pun tidak boleh, maknanya semua akan terbiar.

Lama kelamaan, orang masuk jadi setinggan, akan jadi masalah. Tapi bila DBKL benarkan pula buat restoran, pelbagai jenis makanan dijual sehingga menjadi pusat makanan, kita berdepan pula masalah lain, iaitu parkir. Bila tiada parkir, saya nak buat parkir bertingkat.  Nak beli tanah, siapa nak jual? Bila nak jual tanah, mereka nak jual RM1,500 hingga RM4,000 satu kaki persegi, tapi kita hanya nak buat parkir, bukan komersil. Mana logiknya nak beli tanah sehingga RM10 juta, kemudian buat parkir caj RM2. Kalau caj RM7 orang tak masuk. Akhirnya orang tetap parkir tepi jalan.

Inilah orang tidak faham. Sebab itu saya mahu dialog. Tapi jika cakap dalam ruang media pun, orang hanya tahu menghentam. Cuba beritahu saya yang mana di Jalan Raja Muda Musa yang nak beri tanah. Kalau beri tanah, saya boleh yakinkan DBKL untuk buat parkir. Tapi janganlah jual tanah sehingga RM20 juta, bukannya saya nak buat kondominium. Ada yang mahu jual tanah, jauh ke dalam. Pengunjung perlu jalan kaki jauh sampai 2 kilometer untuk pergi makan.Umpama ditelan mati mak, diluah mati bapa.

Saya akan terus berusaha dan mencuba, insyaAllah.