FELDA sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai isu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan banyak pihak terhadap kredibiliti lembaga itu menguruskan aset dan pembangunan di tanah rancangannya.

Malah, difahamkan tahap keyakinan institusi kewangan terhadap Felda sebelum ini juga begitu rendah sehingga sukar untuk membuat pinjaman daripada pihak berkenaan bagi mengatasi masalah aliran tunai yang dihadapi.

Namun begitu, selepas Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengambil alih pengurusan Felda dan memegang jawatan pengerusi sejak Januari lalu, pelbagai penambahbaikan dan usaha dilaksanakan bagi mengembalikan semula keyakinan semua pihak berkaitan terhadap lembaga itu.

Bagi mengupas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada Shahrir berhubung cabaran dihadapi beliau dalam mentransformasikan pengurusan Felda selepas mengambil alih tugas tersebut.

Ikuti wawancara dengan wartawan Sinar Harian, ASYRAF MUHAMMAD bersama juru foto, SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM baru-baru ini.

Selepas memegang jawatan sebagai pengerusi, apa cabaran yang dihadapi oleh Tan Sri dalam membawa penambahbaikan kepada Felda?

Bila mula saya ambil alih jawatan pengerusi , saya dapati bahawa keyakinan kepada Felda itu sendiri berada pada tahap begitu rendah. Kepercayaan kepada Felda selalunya diukur dengan keyakinan bank terhadap organisasi ini. Ini kerana kita bukan syarikat yang ada pelabur dan ada pasaran. Kita sebuah badan yang perlu kepada menguruskan tugas dan tanggungjawabnya serta sokongan pinjaman bank. Dari Januari hingga Jun memang kita berdepan masalah aliran tunai. Ketika itu, kita ada dua pilihan. Pilihan pertama, sama ada kita meminjam daripada institusi kewangan atau pun kita lupuskan dan cairkan aset yang ada.

Pada peringkat awal, kita buat keputusan untuk jual aset-aset kita. Aset yang kita jual ini dulu dibeli masa kita ada kewangan. Kita ada duit dan kita beli serta simpan sebagai aset semasa. Bukan dalam bentuk wang tunai tapi aset semasa yang mudah untuk dicairkan.

Jadi kita menjual sebahagian daripada saham yang kita miliki bagi memperbaiki aliran tunai kita. Sebahagian besar daripada perolehan kewangan itu kita jelaskan tunggakan hutang pada tahun-tahun lampau. Dan kedua, dalam enam bulan pertama itu, memang tak ada bank yang nak beri pinjaman kepada kita.

Sehinggalah pada Jun, kita dapat satu tawaran daripada sebuah bank terkemuka di negara ini untuk berikan sukuk bagi pihak kita. Kita pun bersetuju untuk menerbitkan sukuk iaitu satu pinjaman jangka masa panjang dengan kadar munasabah tanpa perlu kepada jaminan daripada kerajaan. Maknanya, ia tak ada jaminan kepada kerajaan dan berasaskan kepada kekuatan kita sendiri.

Saya rasa itu yang menjadi bukti bahawa sudah mula bank dan juga institusi kewangan mempunyai keyakinan kepada Felda. Mungkin kerana, pada saya, mereka lihat kita sedia menggunakan aset semasa kita dahulu. Ia seolah-olah seperti kita sanggup menjual Rolls Royce yang kita beli. Bila kita mulakan proses untuk jual hotel di London, ia seumpama seperti kita jual Rolls Royce yang menjadi status simbol kepada kita.

Ini menunjukkan pengurusan Felda serius dan fokus untuk pulihkan keadaan organisasi dengan sanggup mengorbankan aset yang menjadi status simbol kepada kita.

Pada bulan Jun saya boleh anggap sebagai tempoh ketika mana bank dah mula mempunyai keyakinan kepada Felda sehingga mereka sanggup beri pinjaman dengan tempoh panjang iaitu sukuk untuk bolehkan kita memadankan pendapatan dengan pembayaran kepada pinjaman itu. Ini yang saya nampak sebagai turning point (perubahan) dari segi keyakinan pihak luar, terutama institusi kewangan terhadap Felda.

Felda sering dijadikan alat oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan. Bagaimana Tan Sri melihat tahap keyakinan peneroka terhadap kerajaan dan Felda?

Saya dah buat bancian sikap dalam kalangan peneroka. Pada saya, kefahaman terhadap isu-isu yang  dihadapi oleh mereka mungkin lebih difahami generasi pertama berbanding generasi berikutnya. Generasi kedua kurang faham. Ketiga lagi kurang faham. Jadi, soalnya ialah komunikasi dan penyampaian maklumat.

Penyampaian maklumat ini masalahnya ialah bagaimana nak menyampaikan kepada generasi kedua dan ketiga sekiranya mereka tak menetap di tanah rancangan. Kita kena ikhtiar kepada cara penyampaian dan saluran yang boleh disampaikan kepada mereka yang duduk di luar rancangan.

Tapi, yang penting ialah supaya di peringkat generasi pertama di rancangan faham. Bila dibuat cerita dalam media maka timbullah macam-macam perkara. Ini kita tak boleh elak. Sebab itu aspek penyampaian maklumat ini kita dah mula aturkan di peringkat wilayah. Kita buatkan apa dikatakan sebagai Seminar Muafakat. Kita panggil semua daripada kalangan ketua blok, ketua peneroka, jawatankuasa serta petugas di peringkat rancangan. Malah kita turut beri penerangan tentang semua aspek pengurusan Felda. Ia menjadi peluang untuk kita sampaikan cerita sebenar dan terkini.

Kita juga ada slot ceramah mengenai warisan. Ini antara penerangan yang kita sampaikan di peringkat wilayah hingga ke ketua blok. Ini akan dilakukan di 10 wilayah selepas ini. Saya nampak perlu kita beri lagi penerangan supaya semua faham perkara sebenar. Jangan ada yang terkeliru kerana ia penting. Sebab itu kita buatkan seminar untuk mereka boleh soal jawab dan dapat penerangan selanjutnya.

Insentif bukan gula-gula PRU

Ramai mendakwa bahawa insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peneroka sebelum ini sebagai gula-gula PRU. Mungkin Tan Sri boleh ulas mengenai perkara ini?

Menerusi pengumuman insentif oleh perdana menteri kepada peneroka, ramai yang  kata ia sebagai gula-gula PRU.

Ia seolah-olah seperti bertujuan untuk pilihan raya sahaja dan hanya one off. Tapi kalau diteliti sebenarnya apa yang telah diumumkan perdana menteri sebagai insentif kepada warga peneroka, kita boleh lihat bahawa ia bukan hanya untuk masa ini sahaja atau one off. Ia melibatkan juga penyusunan semula cara pengurusan Felda itu sendiri. Sebagai contoh, insentif kewangan tunai nampak macam sekali. Tapi bila kita lihat kepada pelupusan hutang, kita juga janji pelupusan sebanyak RM5,000 kepada peneroka yang bersama Felda. Yang pertamanya, definisi peneroka bersama Felda sudah berubah dari satu anggapan.

Dulu peneroka yang mana kebun mereka diuruskan Felda dan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) sahaja dianggap bersama Felda. Tetapi menerusi insentif yang diumumkan perdana menteri baru-baru ini, mereka yang layak menerima insentif ini ialah peneroka bersama Felda dan menjual hasil kebun mereka melalui Felda atau mempunyai akaun penyata dengan Felda. Jadi konsep peneroka bersama Felda ini diluaskan kepada peneroka yang juga menguruskan kebun mereka sendiri tapi menjual hasil melalui Felda.

Golongan ini ialah golongan yang tak berhutang pun dengan Felda. Jadi kalau kebun yang diuruskan oleh Felda atau FTP, mereka ada beberapa bentuk hutang dengan Felda. Tapi mereka yang urus kebun sendiri dan jual hasil melalui Felda, mereka ini golongan yang tak berhutang. Dan, itu satu perubahan mustahak bahawa kita meluaskan lagi keluarga warga peneroka Felda itu sendiri. Kita juga mengiktiraf mereka yang tak berhutang tapi masih bersama Felda sebagai kumpulan yang patut dipuji dan dihargai.

Bagi mereka yang masih berhutang, kita lupuskan hutang mereka sebanyak RM5,000 tahun ini. Tapi bagi mereka yang tak berhutang, kita berikan RM5,000 tunai. Bermakna golongan yang bersama dan tak berhutang dengan Felda akan dapat RM10,000. Jadi mereka dapat tambahan. Itu pun dah ada perubahan yang agak signifikan dari segi sikap Felda kepada golongan peneroka.

Shahrir ketika menjawab soalan wartawan Sinar Harian dan Sinar TV mengenai Felda. – Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM

Berapa jumlah peneroka yang menerima insentif diumumkan oleh perdana menteri sebelum ini?

Masa perdana menteri umumkan, jumlah peneroka yang terima insentif seramai 94,956 iaitu sekitar 84 peratus. Dalam kumpulan ini, ada yang tak berhutang. Dalam soal insentif yang diumumkan itu, kita ambil pendekatan baharu di mana dalam tempoh enam bulan, kalau mereka terus jual hasil melalui Felda, mereka layak dianggap sebagai bersama Felda.

Sehingga hari ini, daripada jumlah itu, kita dah dapat tambahan 6,364 peneroka  untuk bersama Felda. Konsep muafakat atau gerakan muafakat yang diperkenalkan perdana menteri berjaya menunjukkan peningkatan hampir 90 peratus daripada jumlah peneroka. Kita ada 112,635 keluarga peneroka. Setakat ini, gerakan muafakat itu menjadikan jumlah peneroka bersama Felda seramai 101,320 atau 90 peratus. Jadi daripada 84 peratus pada Julai sewaktu Hari Peneroka lepas, jumlah peneroka yang bersama Felda dan sanggup kembali bermuafakat dah jadi 90 peratus.

Jadi kesannya ada. Yang tinggal di luar daripada gerakan muafakat ini hanya 10 peratus, iaitu dalam lebih kurang 11,000 peneroka. Ini melibatkan mereka yang ingin mengurus sendiri malah ada yang mahu saman Felda. Ada juga yang perlu diberi masa sebab mereka yang saman Felda ada yang dah kalah kes.

Dia sebenarnya berhutang dari segi pembayaran ganti rugi kepada Felda. Ada juga yang dah tarik diri nak saman sebab Felda dah menang semua saman oleh peneroka. Jadi kumpulan yang saman pun ramai juga. Ada dalam 1,921 peneroka yang saman Felda. Kebanyakan ada yang kalah, tarik diri. Jadi mereka kena ada tempoh dan tunggu keadaan reda. Ia seperti tempoh edah dan sejukkan keadaan dulu.

Peneroka Felda sendiri pun marah juga. Jadi mereka yang 1,921 ini kena hold (tangguh) dulu. Ada yang merayu nak masuk tapi kita kena tunggu dulu. Daripada 11,000 yang tak bersama gerakan muafakat itu, ada yang urus sendiri dan tak nak bayar hutang. Maknanya gerakan muafakat ini berjaya kembalikan 6,364 dan jumlah peneroka bersama Felda meningkat 90 peratus.

***DAPATKAN LAPORAN PENUH DALAM SINAR HARIAN HARI INI