• Lim Kit Siang Lim Kit Siang
1 /

UBAH! UBAH! UBAH! Ungkapan sinonim yang sering terpacul dari bibir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, setiap kali berakhirnya ceramah beliau. Kelibat Kit Siang juga semakin kerap muncul di Johor sejak diumumkan sebagai calon merebut kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 20 April lalu.

Jelas beliau kelihatan begitu berazam untuk membawa perubahan kepada kepimpinan negara daripada tampuk pemerintahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR).

Meskipun dicabar hebat oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri, Kit Siang nampak yakin rakyat di Johor, khususnya di kawasan ditandinginya, bakal memilih PR.

Membawa harapan yang tinggi demi kesejahteraan rakyat Malaysia, Kit Siang memiliki pandangan tersendiri terhadap kemampuan PR untuk menawan Putrajaya selepas PRU13.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Mohd Firdaus Yon bersama veteran DAP yang sudah berjuang dalam politik tanahair selama 47 tahun.


Bagaimana pengamatan saudara terhadap jentera PR pada hari ini?

KIT SIANG:  Semua jentera PR sudah bersedia, khususnya di Gelang Patah. Memang saya akui kita masih kekurangan dari segi jentera pilihan raya melibatkan soal kewangan dan sumber tenaga manusia berbanding BN, tetapi kami sedaya upaya untuk menjayakan setiap kempen bagi memastikan PR mengecapi kemenangan pada PRU13.


Berkaitan pencalonan di Gelang Patah, bagaimana saudara melihat peluang untuk menang?

KIT SIANG: Mula-mula, saya lihat peluang saya adalah 50-50. Sebab itu saya tinggalkan kerusi Parlimen Ipoh Timur yang saya menang dengan majoriti 21,942 undi pada pilihan raya umum tahun 2008 untuk ke Gelang Patah yang juga merupakan kubu kuat MCA. Malah bukan sesuatu yang mudah untuk meraih undi majoriti yang besar di sini (Gelang Patah), tetapi saya masih menganggap peluang adalah 50-50.

Kemudian, apabila BN meletakkan Abdul Ghani (Menteri Besar) sebagai calon, peluang saya jatuh kepada 45 peratus malah ia terus menurun menjadi 40 peratus apabila DAP berdepan masalah tidak boleh menggunakan simbol ‘roket’.

Bagaimanapun hari ini, tahap keyakinan saya terhadap peluang kembali kepada 45 peratus apabila isu simbol selesai, namun saya akui kelebihan masih kepada Ghani. Oleh itu, sama ada berjaya atau tidak untuk mencapai peluang 50-50, terpulang kepada kempen saya sebelum hari pengundian. Saya bukan hanya memberi tumpuan kepada undi kaum Cina, tetapi juga Melayu dan India.


Bagaimana saudara melihat komposisi kaum di Gelang Patah mampu memberi kelebihan kepada saudara?

KIT SIANG: Komposisi kaum di Gelang Patah tidak seperti di Ipoh Timur. Di sana 81 peratus adalah kaum Cina. Manakala, di Gelang Patah pula memiliki 52.4 peratus Cina, 34.2 peratus Melayu, 12.5 peratus India dan 0.8 peratus lain-lain.

Akan tetapi, saya melihat mereka di Gelang Patah mahu lihat politik masa depan iaitu ‘Malaysian Nationalism dan Malaysian Patriotism’ sekali gus menolak politik lama diamalkan BN.

Politik lama ini maksud saya adalah parti komponen BN seperti Umno mendakwa mereka pertahankan Melayu, MCA pertahankan Cina  dan MIC pertahankan India, namun secara jelas hanya segelintir pemimpin, kroni dan mereka yang mendapat jawatan menjadi kaya raya.

Saya percaya sudah sampai masanya kita menuju ke depan dengan politik ‘Malaysian Nationalism dan Malaysian Patriotism’ di mana kita menganggap semua rakyat adalah rakyat Malaysia yang berhak mendapatkan keadilan bukannya dilihat mengikut kaum.


Sejauh mana saudara yakin dengan undi rakyat Gelang Patah. Mampukah ia memberikan kemenangan?

KIT SIANG: Saya rasa pertandingan di Gelang Patah bukanlah ‘battle’ untuk saya secara peribadi untuk menang satu kerusi. Jika hanya dengan tujuan berkenaan, lebih baik saya bertanding di Ipoh Timur sahaja.  Pertandingan di Gelang Patah merupakan soal di mana suara rakyat Johor mahukan perubahan dalam semua bidang.

Malah di Johor sendiri, Kalau kita boleh menang 12 hingga ke 14 kerusi Parlimen, manakala 20 hingga ke 25 kerusi Dun, ia akan memberi perkara baik kepada PR untuk menang pada PRU13. Ia juga akan menjadi asas perubahan untuk seluruh Malaysia dalam usaha menuju ke Putrajaya. Jadi kalau berjaya di Gelang Patah, ia akan mewujudkan satu peranan penting dalam melakukan perubahan dalam senario politik negara.


Walaupun majoriti atau peratus kaum Melayu dan India tidak ramai di Gelang Patah, adakah saudara mampu menarik sokongan dua kaum ini nanti?

KIT SIANG: Tidak dinafikan sokongan kaum Cina lebih kuat berbanding kaum Melayu dan India. Tambahan pula orang Melayu dimomokkan dengan kempen memburukkan imej DAP termasuklah membabitkan diri saya sendiri yang kononnya saya anti-Islam dan anti-Melayu sejak sekian lama.

Malah Umno sendiri memonopoli media arus perdana dan sudah tentu ada kesan daripada fitnah serta dusta dilakukan ke atas saya. Bagaimanapun, harus diingat saya berasal dari Batu Pahat, bersekolah di sana malah merupakan rakyat Malaysia dan bukannya Cina komunis. Saya merupakan rakyat Malaysia yang fikirkan untuk semua rakyat Malaysia, sekali gus bukan hanya untuk satu kaum sahaja.

Berbalik kepada asas penubuhan DAP sendiri, kami parti berbilang kaum. Sebagai contoh, Daeng Ibrahim sendiri dipilih selaku Naib Pengerusi pertama parti dan pernah bertanding di Grik, Perak.

DAP sendiri berani untuk bertanding di Kampung Baru dan Tampoi iaitu majoriti penduduk adalah kaum Melayu satu ketika dahulu. Jadi sejak dahulu lagi kami merupakan parti dan pimpinan yang ‘multiracial’.

Walaupun kami dipandang sebagai anti-Islam, berkhidmat untuk sesuatu kaum sahaja, semua itu dusta dan fitnah. Kesemua keburukan ini adalah dusta media massa sebelum wujudnya internet di mana bila saudara kata saudara jahat, maka saudara merupakan orang jahat.

Pada ketika itu kami tiada ruang untuk saudara mempertahankan diri sendiri, namun ia berubah apabila ada internet apabila setiap tohmahan ke atas DAP, boleh ditangkis semula.


Adakah satu jaminan PR mampu mentadbir lebih baik berbanding BN jika diberikan mandat?

KIT SIANG: Memang betul tidak ada satu jaminan kalau berlaku pertukaran kerajaan, masalah sedia ada boleh berubah. Sebagai contoh korupsi, saya akui tidak ada basis jika PR tadbir korupsi boleh ditangani seperti kita laungkan. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kami Pakatan DAP, Pas dan PKR mempunyai kesedaran politik untuk membanteras korupsi yang berlaku malah saya percaya rakyat Malaysia juga mahu sebegitu rupa. Kami akan kotakan apa dikata dan janjikan. Lebih penting di
sini, jika rakyat memilih PR untuk usaha ini.


Adakah PR bersedia tukar kerajaan sebaik sahaja tempoh lima tahun berakhir sekiranya diberikan mandat pada PRU13?

KIT SIANG: Rakyat berhak buat keputusan. Secara teorinya, PR tidak mungkin dapat banteras segala masalah ada dalam negara, tetapi kami akan cuba. Bagaimanapun, sekiranya apa PR lakukan tidak tepati kriteria rakyat, selepas lima tahun rakyat berhak kembali memilih BN untuk memerintah negara. Itu pun jika PR ditolak.


Banyak dakwaan yang mengaitkan DAP sebagai pencetus huru-hara negara, berikan penjelasan?

KIT SIANG: Siapa mahu huru-hara? Ini negara kita dan kita mahu aman damai. Kenapa kita mahu kacau? Ini semua adalah agenda pihak tertentu mahu memburukkan imej saya.


Bagaimana pula kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap saudara?

KIT SIANG: Dia mahu saya 'mati' di Gelang Patah. Malah dia juga pernah penjarakan saya di bawah ISA pada tahun 1987-1989, namun saya tidak berdendam kepadanya. Sepanjang beliau memerintah negara sebagai Perdana Menteri, saya acap kali mengkritik pemerintahannya dalam semua perkara kerana saya betul dan mempunyai banyak rekod mengenai apa yang saya katakan. Malah saya pernah jemput beliau untuk berdebat dengan topik selama 22 tahun beliau memerintah, adakah ia merupakan tempoh kegelapan atau keemasan negara, tetapi beliau tidak terima jemputan saya mungkin kerana takut.


Pelbagai spekulasi timbul berkaitan calon perdana menteri dari PR, siapa individu berkenaan?

KIT SIANG: Perkara ini sudah mendapat persetujuan dan persefahaman antara pucuk pimpinan DAP, PKR dan Pas malah ia tidak perlu diberitahu umum. Masalah utama kita harus fikir adalah mampukah kita menang dengan majoriti selesa pada PRU13 ini. Mungkin 45 kerusi PKR, 40 kerusi Pas dan 40 DAP. Ia sangat seimbang dan kemudiannya kita lihat siapa jadi Perdana Menteri.


Sepanjang tempoh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, apa komen saudara terhadap tahap prestasi menteri. Isu skandal seks dikaitkan dengan pimpinan tertinggi PR, adakah ia ganggu usaha DAP untuk menang?

KIT SIANG: Dalam beberapa tahun ini banyak dakwaan dibuat, khususnya menerusi media sosial. Biar rakyat buat penilaian. Sukacita saya katanya rakyat tidak akan senang diperdaya.


Harapan saudara pada PRU13?

KIT SIANG: Kita boleh berjaya dalam pertarungan di Gelang Patah, Johor dan Malaysia sekali gus memulakan pergerakan politik perubahan. Selepas PRU13 ini, kita akan ada satu kerajaan baru di Putrajaya berserta perdana menteri baru supaya tanahair boleh mula politik baru yang meletakkan impian rakyat Malaysia di kedudukan tertinggi.