Momentum sokongan rakyat terhadap BN semakin hebat dan dalam tempoh di penghujung kempen sebelum PRU14, adalah peluang terbaik kepada parti untuk terus meyakinkan pengundi supaya memilih BN. Kenapa rakyat perlu memilih BN setelah 28 tahun Kelantan di bawah pentadbiran Pas? Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian Edisi Kelantan, Rosmiza Kasim bersama Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Di penghujung tempoh berkempen, bagaimana Datuk melihat momentum sokongan rakyat kepada BN kali ini?

Alhamdulillah, PRU kali ini terlalu banyak kelainan daripada sebelum ini. Saya melalui proses PRU sudah tiga kali dan saya tidak pernah melihat gelombang sokongan rakyat kepada BN sebegini hebat. Tinggal lima hari sahaja lagi untuk berkempen. Kalau dulu kita perhatikan dalam tempoh sebegini di jalan-jalan raya dipenuhi kenderaan yang meletakkan bendera Pas, tapi sekarang tidak begitu. Kalau tidak ada bendera BN itu sudah biasa. Pada hemah saya, pengundi sudah meneutralkan diri mereka, daripada dulu totok Pas tetapi sekarang berada di garis pertengahan. Maknanya, rakyat Kelantan sudah berfi kir adakah kerajaan yang memerintah selama 28 tahun ini adalah kerajaan benar-benar membantu rakyat. Apa yang diperhatikan kali ini, bukan saya takbur dan bercakap besar, tetapi berdasarkan keadaan semasa rakyat akan memberi mandat kepada BN untuk mentadbir Kelantan. Rakyat sudah boleh menilai tawaran manifesto BN yang jauh lebih baik dan jelas sekali membela semua peringkat masyarakat, tetapi saya melihat parti lawan gagal menyediakan manifesto yang boleh meyakinkan rakyat. Kita tidak pernah mungkir janji, bahkan apa yang kita tak janji pun kita buat. Perkara ini sudah diperhatikan rakyat dan bukan mahu bermegahmegah, bahkan langsung tidak terlintas di fi kiran kenyataan saya ini mendahului kuasa ALLAH SWT, bahawa saya ada keyakinan tinggi kali ini rakyat akan memberi undi kepada BN walaupun mereka bukan ahli Umno, MCA, Gerakan, MIC dan MPP. Kita melihat sokongan rakyat di Kelantan kepada Pas ini sangat istiqamah.

Sejauh mana Datuk berasakan golongan ini akan memihak kepada BN, dan seterusnya merealisasikan impian mentadbir Kelantan?

Undi yang diberikan kepada Kerajaan Kelantan sebelum ini datangnya daripada orang yang sentiasa menaruh harapan demi harapan untuk melihat perubahan ketara di negeri ini. Namun apa yang dapat dengan kerajaan yang urus tadbirnya tidak molek, tiada arah tuju dan tidak ada perancangan. Pemimpin yang mentadbir diibaratkan seperti air sungai yang alirannya terpaksa melalui jalan berliku dan akhirnya berkumpul di muara. Kali ini jangan terkejut kalau kawasan yang kuat Pas dengan izin ALLAH SWT nanti orang-orang Pas akan memberi undi kepada BN. Mereka ini belum bersedia menukar parti tetapi mereka memberi undi tunggu dan lihat. Sekiranya mereka beri undi kepada BN dan mendapat ‘penghargaan’ dalam bentuk pelaksanaan manifesto BN, saya yakin dalam tempoh lima tahun ini Umno akan dihujani dengan borang keahlian, yang mana orang Pas tidak akan berfi kir panjang lagi dan akan terus bersama Umno. Percayalah, kemenangan BN adalah kemenangan rakyat. Rakyat tidak perlu bimbang, cuma kita minta kali ini diberi peluang. Kalau kita gagal, terpulang kepada rakyat kerana kerusi pada PRU ini adalah pinjaman. Kita pinjam daripada rakyat. Setiap lima tahun rakyat berhak melanjutkan pinjaman atau menamatkannya. Kali ini kita minta dengan rakyat agar bagi pinjaman kepada kita pula. Biarlah kita buktikan, tidak adil untuk rakyat menghukum kita tanpa memberi peluang kepada kita. Kita memikirkan soal masa depan, kita perlu lakukan sesuatu agar dapat dimanfaatkan untuk anak cucu kita

BN nampak semakin yakin dengan sokongan rakyat dan bagaimana pula usaha untuk mempertahankan kerusi marginal parti serta peluang BN di kerusi marginal Pas pula?

Pas dengan apa daya sekalipun akan mempertahankan kerusi marginal mereka untuk memerintah Kelantan. Umno khususnya akan memberi tumpuan untuk kerusi ini. Jentera kita tidak pernah berhenti berkempen memberitahu rakyat, yang mereka telah memilih kerajaan silap selama tiga dekad ini. Kita tidak akan berhenti sedarkan rakyat sehingga hari terakhir kempen. Kita yakin kawasan marginal BN akan dipertahankan. Petunjuk semakin jelas apabila sokongan luar biasa daripada penduduk di bilik-bilik gerakan dan PDM. Pas masih lagi dalam harapan mereka yang biasa, mengharapkan keajaiban pengundi luar mereka balik dan mengundi Pas untuk mempertahankan kerusi mereka, tetapi mereka silap. Kali ini pengundi luar akan balik, kita juga sedaya upaya mahukan mereka balik membuang undi di Kelantan. Tetapi, mereka kena ingat bahawa kumpulan ini mempunyai sikap berbeza kerana sudah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai betapa pentingnya BN mentadbir Kelantan. Akhirnya mereka akan memberi undi kepada BN.