PRU14 bakal berlangsung dan sudah pasti setiap parti telah membuat persediaan rapi untuk menang.

Setiap parti pastinya mempunyai pendekatan tersendiri dalam usaha memenangi hati pengundi.

Menyentuh soal BN khususnya Umno, pelbagai tohmahan, dakwaan dan isu melingkari parti serta pemimpin mereka.

Sudah pasti ia bakal menjadi salah perkara yang dijadikan isu atau Jangan diam, selamatkan Presiden Umno bahan kempen pihak lawan. Bagi menjawab dan memberi pandangan mengenai perkara tersebut, wartawan Sinar Harian, MOHD HAFIZ ISMAIL dan JANATUL FIRDAUS YAACOB serta Jurugambar, ROSLI TALIB berkesempatan menemu bual Veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan bagi berkongsi pandangan mengenai parti itu.

Pada pandangan Tan Sri apakah isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menjadi bahan kempen pembangkang yang akan menguburkan BN dalam PRU14?

Ini salah satu sebab kenapa saya memohon sangat kepada pemimpin kita agar tidak nampak seperti melindungi. Kalau nampak dicairkan mudah bagi kita dah siasat, tapi tunggulah. Namun perspektif itu berbeza apabila dituduh sebagai pembangkang kerana kemukakan persoalan mengenai isu ini. Saya nak betulkan minda. Itulah perkara yang merugikan Umno dan kerajaan apabila anda hilang orang yang mahu bertanyakan kebenaran dan pada ketika itu anda berada di tahap sangat tipis.

Anggota (Pimpinan) sudah tidak berfikir lagi dan saya berfikir kerana Umno adalah kilang kepimpinan, kilang orang berfikir dan kilang orang yang mempunyai keaslian dalam mengemukakan pandangan. Kalau itu sudah tidak ada arena dan sudah berubah, saya tidak ada cadangan nak masuk Pakatan Harapan (Harapan). Saya pernah dalam kancahnya, tinggal lagi minda saya dikurung dan tak boleh bercakap, itu tak boleh. Hormat saya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sayang saya kepada Umno tidak berubah langsung kecuali saya ditendang keluar, saya cari arena lain pula.

Apa ada pada saya jika bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun kena buang, saya ini tidak ada apa-apa. Imej negatif negara dan perdana menteri telah tercalar tetapi mengapakah tiada menteri bangkit pertahankan jika beliau benar-benar tidak bersalah. Pendekatan sudah silap, sekarang katakan perdana menteri dicerca oleh ahli ekonomi di cakap di situ pencuri secara bertulis dan takkan saya biarkan perkara ini. Ini satu pendekatan yang harus kita tengok. Kalau kita berdiam sahaja, semua menteri katakan jangan bangkitkan, ini bermakna anda di sana hendak menolak perdana menteri supaya ranap.

Saya memilih psikologi berasingan sebab saya berpendapat apabila diumumkan siasatan berjalan, kendurlah isu ini. Perdana menteri ada ruang dan tidak dilihat sebagaimana yang dianggap ahli ekonomi kerana sanggup disiasat. Kalau dah menang nanti tak habis penyiasatan, pisau di tangan kanan, timun di tangan kira awak buat keputusan. Saya telah maklumkan perkara ini kepada Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

Saya tak mahu nanti disalahkan dan hal ini saya maklumkan kepada Menteri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga. Nazri akhirnya cakap ini ada baiknya. Saya harap benarlah dia boleh kemukakan kepada perdana menteri. Ini sebenarnya penyelamat.

Pada pandangan saya, mereka buat interpretasi dalam suasana mahu menyelamatkan BN tetapi tidak memberi ramuan sebenar untuk benar. Ini saya sangat-sangat yakin dan saya boleh bertemu dengan sesiapa untuk pertahankan lunas-lunas undang-undang. Perdana menteri dinasihat gunakan kembali lunas udang-undang bagi menyelamatkan diri daripada undang-undang yang nanti akan timbul. Ini tidak diterima dan saya fikir ia suatu kesilapan.

Pada pandangan Tan Sri, sampai bila Umno akan terus relevan buat rakyat Malaysia?

Ini dapat kita tentukan apabila persempadanan baharu menjadi realiti. Sekarang mereka harapkan dengan persempadanan baharu dan beberapa dukungan baharu wujud serta dianggarkan menang dengan baik. Pandangan saya yang kedua adalah jika itu sahaja yang nak dianggap sebagai benteng, mungkin ia satu kesilapan sebab pemilih dalam kategori tiga dan empat tidak memihak kepada kita dan apa yang dijuarai oleh pemuda Umno setakat kekitaan. Akan tetapi, kekitaan di luar Pemuda Umno kita tidak dapat perkiraan apa-apa dan ini tidak pernah disebut.

Ia perlu disebut, jadi sekarang mesti disebut sebagai contoh Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Ketua Pemuda mereka ada saham dalam sistem sedangkan majoriti di luar tidak ada saham. Ambil contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) itu satu yang baik dan saya fikir ia akan melunakkan pemikiran. Tetapi dengan isu 1MDB ini, orang pertengahan ambil peranan dan orang di kampung tidak kisah tentangnya. Sebab itu saya nak selamatkan sistem yang banyak jasa kepada kita supaya jangan sorokkan.

Hujah ketiga saya, kalau di peringkat Parlimen, Speaker tidak boleh menahan sesuatu isu daripada dibahaskan. Bila ia dibuat, pembangkang dan generasi pertengahan menganggap Parlimen sudah mandul dan ini bahaya untuk kita. Katakan habuan tidak ada, Umno tidak hidup kerana mereka bergantung kepada apa mereka dapat. Perjuangan sudah tidak ada lagi, malah Pemuda Umno bila ditanya tentang Fasa 3 Perlembagaan parti, mereka akan pandang tempat lain. Kalau dahulu ketika dalam Pemuda Umno, saya ditengking dan ditanya mengenai Fasa 3 Perlembagaan parti. Pertama Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi agama bangsa dan negara. Sekarang ini orang cakap apa aku dapat dan ini adalah survival Umno.

 Tan Sri ada menyebut tentang habuan, di mana bermulanya perkara ini dan siapakah yang memulakan?

Saya tidak boleh cakap dengan persis perkara ini tetapi banyak dimulakan dalam tempoh 10 tahun lalu dan lebih jauh lagi pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mula nak ada benda ini. Akan tetapi beliau tidak mahu bagi BR1M dan sebagainya namun habuan diberi atas apa yang dilakukan seperti inovasi dan kemajuan dalam sesuatu bidang.

Jika kita tengok punca duit dan kalau Sarawak terus dengan dasar petroleum mereka, kita telah kurang satu per empat hasil. Sarawak boleh jual pasaran terbuka dan tidak perlu melalui Petronas. Kalau berlaku, mana nak cari duit nak bayar semua ini? Sebab itu saya kritik Bajet Harapan mana nak cari duit ini dan masih dianggap saya memihak kepada pembangkang sedangkan saya huraikan tentang cantik dibaca tetapi tidak praktikal.

Pada pandangan Tan Sri adakah Umno mampu meningkatkan kemenangan di kerusi Parlimen dan Dun dengan bantuan Pas pada PRU14?

Mungkin ada, tetapi saya tidak fikir Pas akan bantu Umno kerana dalam suasana sekarang, kita tidak nampak format kerjasama antara Umno dengan Pas. Ada atau tidak format kerjasama seperti jika Pas bertanding Umno tidak akan bertanding dan di Kelantan saya tidak nampak itu. Kalau Pas pula, mereka tidak kata di mana dia boleh bertanding atau tidak. Sekarang ini Umno dan Pas nampak baik kerana suasananya tenang kerana tiada pergaduhan. Kalau kita tengok Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masih mengkritik Umno sehingga sekarang.

Pada saya, pandangan jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Umno, Pas dan Harapan bakal memberi kelebihan kepada Umno, ia hanya angan-angan Mat Jenin sahaja kerana kita tidak boleh kawal pengundi. Dalam kalangan pengundi apa mereka dapat dan dalam soal BR1M itu bantu Umno tetapi tak bantu Umno melalui Pas. Pas dahulu lebih kuat berbanding sekarang kerana cara bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat buat dahulu menyebabkan kekitaan dalam Pas itu kuat. Sekarang dengan isu dapat habuan dan sebagainya mereka sudah jatuh kepada perenggan pertengahan. Kerjasama itu dari segi media tetapi tidak dalam bentuk formula.