AHLI Parlimen Setiawangsa daripada PKR, NIK NAZMI NIK AHMAD bukan muka baharu dalam politik. Sebelum menjadi ahli Parlimen, beliau terlebih dahulu menjadi Adun Seri Setia dan pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor.

Ketua AMK yang berkelulusan King’s College, University of London dalam jurusan undang-undang ini juga pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor pada 2008.

1. Sebagai Adun yang telah menjadi ahli Parlimen, apakah pembaharuan yang YB akan bawa?

Saya akan bangkitkan isu melibatkan kerajaan tempatan terutama berkaitan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk isu alam sekitar, kemiskinan bandar dan pendidikan. Sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan, saya akan membangkitkan hal-hal pembangunan anak muda itu khususnya melibatkan isu pekerjaan. Isu-isu ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan PH selari dengan manifesto PRU14.

2. Selaku Ketua AMK, apa pandangan YB mengenai pemilihan parti hujung Ogos nanti?

Sudah semestinya saya memberi sokongan penuh kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR. Tetapi pada masa sama, saya tidak bersetuju jika jawatan presiden dan timbalan presiden tidak boleh dipertandingkan. Kita tidak mahu bawa budaya itu. Bagi saya, tidak timbul isu untuk Anwar menang jawatan nombor satu dalam PKR.

3. Mengenai soalan kontroversi yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai janji 100 hari Harapan berkaitan PTPTN kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, adakah jawapan bahawa kajian berterusan akan dijalankan membuktikan kerajaan tidak mampu melunaskan manifesto?

Soalan yang dibangkitkan oleh Khairy Jamaluddin itu soalan tambahan. Secara kebiasaannya, jika Menteri Pendidikan tidak dapat memberikan jawapan penuh. Saya rasa Khairy Jamaluddin lebih arif mengenai perkara ini kerana pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau faham bagaimana sistem itu berjalan, isu janji PTPTN ini memerlukan fakta spesifik dan melibatkan komitmen kerajaan, jadi jawapan Dr Maszlee akan kaji itu adalah perkara biasa.