MUKTAMAR Tahunan Pas ke-63, baru-baru ini, menyaksikan NAIB PRESIDEN PAS, DATUK ISKANDAR SAMAD berjaya mengekalkan jawatan disandangnya itu bagi sesi 2017-2019.

Sama seperti sesi lalu, Iskandar yang juga Adun Cempaka mewakili Selangor dalam barisan kepimpinan tertinggi Pas. Walaupun tidak lagi bergelar Pesuruhjaya Pas Selangor, tanggungjawab Iskandar bertambah besar apabila beliau ditugaskan memantau negeri-negeri di dalam Zon Selatan iaitu Selangor, sebagai Naib Presiden sekali gus mewakili Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Situasi politik terkini yang menyaksikan Pas memutuskan hubungan dengan PKR juga membuatkan pandangan pemerhati turut tertumpu kepada Iskandar yang memegang jawatan Exco dalam Kerajaan Selangor. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama beliau mengenai perancangannya sebagai Naib Presiden Pas dan isu politik terkini di Selangor.

Tahniah di atas kemenangan Datuk mengekalkan jawatan Naib Presiden. Apakah signifikan kemenangan ini?

Sebelum muktamar, terdapat media yang memainkan isu kononnya akan berlaku ‘pembersihan’ kedua di dalam Pas. Mereka kata profesional akan dihalau keluar daripada Pas. Seingat saya juga, tidak ada mana-mana media pun yang menjangka saya menang, tapi keputusan sebaliknya.

Malah, ramai profesional yang terpilih sebagai Jawatankuasa Pusat dan Dewan-Dewan. Ini bermakna kepimpinan Pas terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang pelbagai. Ini akan menguntungkan Pas jika mereka semua diberi peluang untuk berperanan.

Apakah perancangan Datuk sebagai Naib Presiden Pas dalam masa terdekat?

Saya pegang beberapa portfolio iaitu Pengerusi Lajnah (Biro) IT & Hubungan Media, Ketua Pengarah Pengurusan Bencana & Kecemasan Malaysia (Khidmat Malaysia) dan Pengarah Kompleks Pas.

Saya akan pastikan sasaran-sasaran untuk portfolio ini dapat dicapai, tetapi disebabkan  saya dari pantai barat, saya akan cuba untuk menembusi kelompok-kelompok masyarakat yang sekarang ini tak mesra dengan Pas atau curiga dengan Pas. Ada banyak kelompok seperti ini di Lembah Klang dan mereka berpengaruh.

Tentang tugas saya memantau negeri-negeri zon selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan), saya belum lagi terima senarai tugas, tapi ia sekadar kerja-kerja memantau sahaja, tak libatkan campur tangan di dalam urusan harian di negeri-negeri berkenaan.

Gandingan naib presiden tiada perubahan. Bagi Datuk sendiri, apa yang istimewa dengan gandingan ini sehingga perwakilan sepakat mengekalkan anda bertiga?

Majoriti perwakilan mahu kekalkan kepelbagaian di dalam kepimpinan. Ada ulama dan ada profesional. Ini penting jika Pas mahu dilihat sebagai parti yang telah bersedia untuk ambil alih daripada BN.

Walaupun saya telah terlibat dengan kerajaan negeri, tetapi untuk mentadbir di peringkat Persekutuan, saya yakin memerlukan pelbagai kepakaran. Pemimpin politik tidak boleh hanya mengharapkan kakitangan kerajaan tetapi mereka juga perlu memahami selok-belok pentadbiran.

Muktamar lalu ditutup dengan perwakilan sebulat suara setuju usul putus dengan PKR. Adakah Datuk sudah jangka perkara ini?

Ya. Terdapat usul dari kawasan-kawasan, tapi walaupun hanya 20 kawasan yang membawa usul itu tetapi ia telah jadi tular, dan dibincangkan dengan meluas di dalam media sosial. Maka, keputusannya telah dijangka.

Majlis Syura Ulamak Pas akhirnya buat keputusan setuju dengan usul ini dan kesan terbesar sudah tentu kepada kerajaan di Selangor. Adakah Datuk ada beri pandangan kepada Majlis Syura Ulamak Pas sebelum mereka bermesyuarat dan buat keputusan?

Pandangan tentang implikasi memutuskan hubungan dengan PKR telah disuarakan mengenai pro dan kontranya sebelum ini, sama ada di dalam mesyuarat atau pada program-program parti lain. Majlis Syura Ulamak Pas tahu implikasinya. Tidak perlu sebarang penambahan oleh sesiapa.

Apabila Pas putus hubungan dengan PKR, ramai desak perlu disusuli peletakan jawatan Adun Pas yang dilantik sebagai Exco Selangor. Pandangan Datuk?

Ada banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Sama ada, berdasarkan Undang-Undang Tubuh ataupun menurut kelaziman.

Perlu diteliti tentang kejadian-kejadian yang sama, yang pernah berlaku sebelum ini (precedents). Sama ada penyelesaian menurut undang-undang ataupun dari perspektif politik. Oleh itu, tak wajar bagi sesiapa untuk buat spekulasi apa yang akan berlaku.

Adakah Datuk mengetahui desas-desus empat Adun PKR lompat parti dan akan sertai pembentukan kerajaan campuran daripada Bebas, BN dan Pas di Selangor?

Saya tak tahu tentang berita itu, tapi adalah mustahil perkara tersebut akan berlaku. Kami di dalam kerajaan negeri bertungkus-lumus untuk selesaikan masalah-masalah yang ditinggalkan BN, maka tak masuk akal untuk kami sertai BN.

Juga banyak program untuk membela rakyat telah dihasilkan, maka tak mungkin kami akan membenarkan segala-galanya dirungkai dengan membentuk kerajaan bersama BN.

Adakah Datuk sendiri rasa idea kerajaan campuran ini sesuatu yang boleh direalisasikan?

Saya yakin tak akan berlaku sebarang kerajaan campuran. Umno sentiasa menyerang Pas sejak sebelum merdeka. Ketua Umno Selangor sekarang, Tan Sri Noh Omar mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri. Exco Pas diserang bertubi-tubi. Maka, dah tentu mustahil akan berlaku kerajaan campuran.

Bagaimana pula dengan khabar angin bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ingin memancing Adun Pas sertai Amanah?

Ini hanya khabar-khabar angin. Integriti Adun Pas tinggi. Mereka akan mempertahankan prinsip mereka. Adun-adun Pas telah melalui banyak cabaran dan rintangan, dari Kajang Move kepada putus hubungan dengan DAP dan hari ini, putus hubungan dengan PKR.

Walaupun sibuk dengan tugas dalam kerajaan atau sebagai wakil rakyat, mereka tak abaikan tanggungjawab parti seperti menghadiri mesyuarat atau program-program. Mereka yang paling banyak diuji, dari luar atau dalam, dan mereka lulus ujian itu dengan cemerlang. Oleh itu, tak mungkin mereka akan menyertai Amanah.

Adakah putus hubungan dengan PKR juga bermakna Pas akan bertanding semua kerusi di Selangor pada PRU14?

Ketika saya jadi Pesuruhjaya Pas Selangor, saya pernah umumkan jika kacau kerusi kita, maka Pas akan kacau kerusi parti lain. Tapi, keputusan muktamad akan dibuat oleh Pas Pusat. Kita sama-sama tunggu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Hampir tujuh daripada setiap sepuluh kanak-kanak di Malaysia bimbang mengenai perbuatan membuli menurut tinjauan global baharu yang dikeluarkan oleh Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia hari ini.
  • BENTONG - Bagi memastikan peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan di negara ini sentiasa relevan, kerajaan akan menyemak semula Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi bersedia berhadapan dengan cabaran isu kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan.
  • BAGAN DATUK - Bermodalkan wang kurang daripada RM50, orang ramai boleh mendapat pelbagai hasil laut pada acara lelong ikan segar anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.
  • BAGAN DATUK - Keluarga dan pihak sekolah diingatkan supaya tidak mementingkan penjagaan imej dan nama baik sekiranya anak atau pelajar menjadi mangsa buli hingga tidak melaporkannya kepada polis.
  • PERAK bakal menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) edisi keempat di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina, Meru, pada 20 dan 21 November.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.