Ada yang mempertikai mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) tidak begitu Islamik melalui tindak tanduk mereka selepas menguasai kerajaan, apa pandangan ustaz?

Pertama, kita perlu beri peluang kepada kerajaan baru untuk laksana dasar, program dan janji. Lagipun  ketika ini Kabinet masih  belum lengkap, belum ada satu pasukan lengkap untuk tabir negara. Kalau kita lihat kenyataan  Tun Dr Mahathir sendiri, bila dia  sebut Jakim tidak tutup dan dia akan tengok peranan yang sebenar supaya  badan itu berfungsi, insya-ALLAH bila ada Kabinet dan menteri yang peranan lebih kepada untuk perkenalkan Islam. Dalam al-Quran kata, Islam itu  rahmatan lilalamin (Islam membawa rahmat kepada semua) , di situ kita lihat peranan baru kerajaan  melalui kementerian membabitkan agama iaitu  macam mana  nak tonjolkan  Islam mengenai kemurnian kejernihan  dan kemuliaan Islam.

Saya yakin Jakim akan  main peranan kepada orang Islam selain  membuka ruang  kepada bukan Islam  untuk memahami agama ini sehingga  mereka boleh lihat kesempurnaan  dalam Islam itu sendiri . Sekurang-kurangnya kalau dia kekal  dalam agamanya,  dia tidak lihat Islam boleh gugat kehidupan dia, itu yang kita nak tunjuk, yang jelas  saya tidak nampak  kerajaan baru akan menyekat, malah akan beri ruang lebih melalui dalam persembahan yang lebih baik.

Mengenai lantikan Peguam Negara yang baru (Tommy Thomas), kita perlu rai pandangan berbeza. Kalau ada peguam di kalangan Islam yang mempunyai kemampuan dan kekuatan, itu  lebih baik, tetapi  ia tidak berlaku. Bagaimanapun kita dapat makluman  mengatakan bidang kuasa Peguam Negara tidak menyentuh   hal berkait agama Islam, selain institusi Diraja , kita  yakin pelantikan Tommy lebih terarah bagi menyelesaikan  isu IMDB,  selain kita juga perlu faham tugas  Peguam Negara  juga tertakluk kepada pemerintah dan Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun sekarang ini alhamdulillah  isu ini  diselesaikan dengan baik, mungkin Agong beri perkenan selepas diberi pandangan pelbagai pihak.`

Ramai yang menjangkakan kerajaan persekutuan tidak akan mampu laksana janji 100 hari pemerintahan?

Asasnya janji itu adalah 100 hari, setakat apa yang kita nampak, kerajaan berjalan baik, kita baru masuk 30 hari pemerintahan. Masih ada dua bulan lagi. Kita juga tidak  jangka 100 peratus (boleh laksana) tetapi tetapi hampir sebahagian besar akan diselesaikan, kita kena rai masa kerana  masa adalah sebahagian perjalanan kerajaan.

Semasa pertemuan dengan Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adakah ustaz ada menyuarakan pandangan ustaz mengenai perkembangan Islam di bawah kerajaan Pakatan Harapan?

Satu, kalau kata kerajaan tidak islamik kita boleh tengok berat atau ringan mudarat, mana yang baik antara kerajaan dulu dan sekarang, antara kerajaan Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan Dr Mahathir ( Mohamad) sekarang. Kita rasa secara logik dan mudah kerajaan sekarang lebih ringan mudarat. Itu pun sebenarnya sudah memenuhi tuntutan syariat dalam memilih sebuah kerajaan.

Yang kedua, sudah pasti kalau ditanya kita  ingin melaksanakan Islam  secara menyeluruh,  tetapi kita kena raikan  situasi dan suasana (negara), dari sudut perlaksanaan Islam mana-mana kerajaan baru sukar , kerana kita amal sistem demokrasi. Kita tengok satu parti nak menang dan menguasai negara hampir mustahil, ia memerlukan  satu gabungan yang melibatkan  ruang bangsa dan agama lain.

Kita kena terima hakikat Negara telah buat pilihan dan kita kena hormat pilihan rakyat, rakyat bagi kepercayaan untuk Harapan perintah negara, malah maklumat rasmi  mengatakan  Majlis Presiden (PH) yang terdiri dari pemimpin bukan Islam boleh terima Islam sebagai asas perlembagaan dan Institusi Diraja dan Melayu, mereka setuju, dari situ kita boleh bergerak dengan lebih baik, kita rasa ia lebih baik kepada perkembangan agama Islam itu sendiri.

Ada yang berpandangan selepas Pakatan Harapan mengambil kerajaan, usaha untuk melaksanakan hukuman Hudud di Kelantan melalui pindaan Akta 355 hampir pasti terkubur, bagaimana pandangan ustaz?

Semasa proses pindaan Akta 355 sebelum ini saya rasa pimpinan Pakatan Harapan tidak tolak sepenuhnya , tetapi  mereka nak ada satu ruang perbahasan sama ada  Islam mahupun (pemimpin) bukan Islam.  Sudah pasti saya menyokong  usaha  memartabatkan Islam (Akta 355)  kita sokong,  cuma dalam sudut perlaksanaan  itu perlu diubah, sebaiknya kita buka  terlebih dahulu ruang untuk perbincangan supaya  bila sampai kemuncak, semua pihak sudah memberi pandangan termasuk dari  tokoh  akademi, Mufti dan sebagainya, benda ini (Akta 355)  boleh diteruskan, cuma  bila nak mintak pandangan bukan Islam bukan bermakna ia terhenti sekiranya orang  bukan Islam tolak. Cuma dalam konteks masyarakat majmuk kita nak mereka faham apa itu syariat Islam. Semua  pihak perlu diberi penerangan dengan baik iaitu secara berkala dan bertahap, contohnya  kita buat dialog berterusan  kenapa perlu undang undang syariah termasuk penambahbaikan, itu sebenarnya   boleh  menjadi titik persamaan, saya rasa benda ini terserah kepada kita semua sama ada pihak yang bersungguh-sungguh melaksanakan hukuman itu, (bagaimanapun) saya rasa sekarang ini bukan keutamaan Akta 355 ini, kita tengok kerajaan Pas,  dia sudah diberi peranan urus negeri, keutamaan mereka  sekarang royalti, kita alu-alukan  dan kita tidak nafi dan keputusan Kerajaan  Pusat pun akan menyalurkan royalti ini  kepada negeri, oleh itu keutamaan  juga untuk laksana kebajikan dan janji-janji dalam manifesto.

Adakah perlu Pas  perlu tangguhkan proses pindaan  ini dan memberi perhatian kepada agenda kebajikan khususnya negeri yang mereka tawan?

Saya berasakan dua-dua situasi boleh berlaku , kalau kata nak tangguh dan beri keutamaan kepada pentadbiran dan  kalau perlu diteruskan ia perlu perbincangan lanjut,  cuma dalam mekanisme yang berbeza, sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, yang penting ke arah kesempurnaan.

Sudah tentu bagi orang Islam ia adalah hukum ALLAH  yang terbaik dan Tok  Guru  (Nik Abdul Aziz Nik Mat ) yang mula-mula mengilhamkan enakmen ini berkata,  pelaksanaan undang-undang ini sebagai alternatif sebab jenayah yang  tinggi,  dia nak perkenal Islam itu secara terbaik, itu hikmat  bila mana Tok Guru kata bila (proses perlaksanaan) tidak boleh diteruskan dia bagi analogi macam bawa kenderaan, bila lampu merah, kita kena berhenti,  tetapi enjin tidak berhenti, bila ada halangan kena henti dulu, bukan kerana kerajaan  (pusat)  tolak tetapi sebab benda baru.