GUNUNG SEMANGGOL -  Semalam, rakyat Perak dikejutkan dengan pengumuman lebih 200 pemimpin BN Perak termasuk Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin keluar parti dan menyertai Bersatu.

Lebih menarik, keputusan Zainol Fadzi itu mendapat sokongan tiga timbalan ketua umno termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Abdul Muhaimin Abdul Rahman Nadzri.

Tindakan itu pastinya tidak lari menimbulkan kemarahan penyokong akar umbi BN di peringkat kawasan dan negeri.

Wartawan Sinar Harian Perak, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN berkesempatan menemui dan menyelami isi hati Abdul Muhaimin selepas membuat keputusan besar tersebut di kediamannya di sini. Ikuti wawancara eksklusif bersama beliau.

Datuk Abdul Muhaimin, boleh cerita sedikit latar belakang politik bermula zaman Pemuda Umno sehingga kini?

Saya merupakan bekas pemimpin Umno bahagian Bagan Serai yang pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Pemuda Umno bahagian, Timbalan Ketua Umno bahagian dan juga terpilih sebagai Adun Gunong Semanggol pada 2004 hingga 2008.

Abd Muhaimin (tiga kiri) bersama barisan kepimpinan jentera Puteri Umno bahagian Bagan Serai sewaktu mengetuai jentera PRU14 sebelum ini.

Mengenai keputusan penghijrahan ke Bersatu, saya fikir ramai yang sudah tahu keputusan dibuat saya bersama lebih 100 ahli Umno semalam. Ianya merupakan kejutan terbaharu dalam arus politik perdana Perak dan saya menegaskan keputusan dibuat adalah secara sukarela demi kepentingan rakyat.

Boleh perjelaskan mengapa Datuk membuat keputusan mengejut itu?

Sebenarnya, keputusan diambil atas perkiraan keputusan politik semasa tanah air di peringkat kebangsaan. Pada PRU14, majoriti rakyat menterjemahkan kuasa memilih kerajaan baharu pada era politik alaf baharu.

Bagi saya, situasi keputusan PRU14 menunjukkan kebangkitan politik baharu dalam kalangan ramai pengundi muda yang berminat kepada wadah perjuangan politik Harapan. Sudah pasti ramai mempertikaikan keputusan saya berhijrah menyertai Bersatu dan Harapan terutama ahli-ahli Umno.

Saya sedari perkara itu, namun mereka perlu menyedari keputusan politik adalah dibuat mengikut perkiraan arus politik semasa ketika ini.

Apa maksud Datuk mengenai keputusan dibuat mengikut perkiraan politik semasa?

Sebagai contoh, di peringkat politik atasan, sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, beliau membuat perkiraan politik semasa secara matang iaitu menubuhkan PKR.

Sama juga dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah menubuhkan parti baharu Semangat 46 setelah tewas dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi Umno kepada Tun Mahathir. Malahan Tun Mahathir sendiri bertindak keluar Umno dan menubuhkan Bersatu bagi menumbangkan kerajaan BN dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan di Parlimen Bagan Serai sendiri, bekas Ketua Umno bahagian itu, Allahyarham Datuk Ramli sendiri pernah menyertai Pas, manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Zin juga menyertai Semangat 46 sebelum kembali kepada Umno.

Semua keputusan dibuat ahli politik di atas adalah atas perkiraan politik semasa dengan mengambil kira arus peralihan sokongan rakyat yang mendambakan perubahan pucuk kepimpinan kerajaan pusat.

Bagaimanapun, keputusan Datuk menyertai Bersatu dibuat setelah anda membantu kemenangan BN Parlimen Bagan Serai memenangkan tiga daripada empat kerusi dipertandingkan di Parlimen itu. Adakah Datuk menganggap kemenangan itu bukan berpunca daripada kekuatan BN sendiri?

Tidak, saya melihat dari segi undi popular rakyat di seluruh negara, BN hanya terima 38 peratus. Daripada itu, saya lihat Umno dan BN mempunyai laluan sukar untuk dipulihkan pada masa hadapan.

Sebenarnya, kita kena memberi satu pemikiran baharu bahawa Harapan mempunyai modul atau wawasan politik baharu yang boleh menarik minat dan sokongan rakyat.

Sebab itu saya membuat keputusan besar untuk menyertai Bersatu bersama rakan Umno lain dan ianya berdasarkan perkiraan arus peralihan sokongan rakyat sudah berubah kepada wadah politik lebih segar dan menepati kehendak mereka.

Adakah Datuk maksudkan modul politik ditawarkan BN ketika ini kurang menarik?

Macam ini, jika kita lihat krisis politik berlaku di Perak pada 10 tahun dahulu, ketika (bekas Menteri Besar, Datuk Seri) Dr Zambry (Abdul Kadir) mengambil alih kerajaan Perak dari Pakatan Rakyat yang baharu diperintah secara 11 bulan. BN sebenarnya mengambil alih secara rampasan kuasa. Senario ini menimbulkan kemarahan rakyat.

Tetapi saya rasa Menteri Besar baharu Perak, Ahmad Faizal Azumu mendapatkan sokongan Adun BN secara lebih bermaruah. Dengan pengambilalihan tampuk pentadbiran kerajaan negeri lebih bermaruah, Faizal melakukannya dalam keadaan keputusan pembentukan kerajaan baharu Perak tergantung.

Dengan Harapan memperolehi 29 kerusi, BN(27) dan Pas(3), pastinya Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah perlukan satu keputusan majoriti dan Ahmad Faizal membuat strategi tepat dengan mendapat sokongan dua Adun BN terhadap Harapan dan seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Abd Muhaimin (dua kiri) bersama Zainol Fadzi (dua kanan) pada majlis penyerahan borang keahlian Bersatu, semalam.

Ini sebenarnya melambangkan satu keputusan politik matang pada era politik baharu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bertiup kencang bukan sahaja Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat yang dikatakan bakal ‘lompat’ menyertai Harapan, malah nama Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali turut dikaitkan sama. Namun, secara tiba-tiba dan tanpa disangka, Datuk yang membuat keputusan berhijrah. Apa komen Datuk?

Itu merupakan keputusan politik peribadi saya sendiri. Soal sekiranya mereka juga berhijrah, terpulang kepada mereka.

Namun pada pandangan saya, Datuk Sham dan Datuk Dr Noor Azmi tidak sewajarnya berhijrah. Saya sendiri tidak bersetuju kerana mereka berada di pihak yang menang di Parlimen Bagan Serai.

Jika mereka menyertai Bersatu atau Harapan, ia merupakan satu perkara yang tidak dapat diterima pengundi, termasuk saya kerana saya juga merupakan sebahagian jentera parti yang terlibat memenangkan mereka pada PRU14.

Adakah Datuk melihat keputusan berhijrah menyertai Harapan amat perlu demi pembangunan dan kebajikan rakyat Parlimen Bagan Serai?

Saya sebenarnya melihat perkara ini dari kerangka politik secara lebih luas dan bukan lihat pada aspek Parlimen Bagan Serai sahaja.

Dalam soal hendak tadbir kawasan Parlimen, perlu seiring dengan kerajaan negeri dan pusat. Kalau tiada kerjasama dengan kerajaan negeri dan Pusat, rakyat yang bakal menanggung kesannya. Susah untuk wakil rakyat pembangkang menguruskan sebuah kawasan jika bertelagah dengan kerajaan negeri serta persekutuan.

Atas sebab itu, saya bersama Adun Sungai Manik (Zainol Fadzi) memutuskan untuk menyokong dan menyertai parti diperkukuhkan Menteri Besar Perak baharu, Ahmad Faizal Azumu.

Kita kena beri ruang kepada MB baharu untuk mentadbir negeri dan saya yakin rakyat boleh menilai perkara baik yang Bersatu dan kerajaan negeri Harapan pada masa hadapan.

Saya sendiri akan berusaha untuk memperkuatkan Bersatu Parlimen Bagan Serai kelak.

Keputusan kontroversi Datuk semalam bukan sahaja mencetuskan kemarahan penyokong akar umbi BN Parlimen Bagan Serai, malah tidak kurang ramai yang mencemuh Datuk. Adakah tindakan mereka itu wajar?

Dalam politik, pastinya ada pro dan kontra. Sehingga kini, saya tidak mencemuh sesiapa, malahan saya pun tidak pernah keji atau hentam mana-mana kepimpinan Umno sedia ada.

Demi Allah, saya sentiasa menghormati kepimpinan hebat Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid, Datuk Seri Zambry sehingga kini.

Abd Muhaimin (kiri) dikunjungi seorang penyokongnya selepas membuat kejutan mengumumkan keluar Umno bagi menyertai Bersatu, semalam.

Saya mengakui kerana saya bergelumang dalam Umno sudah lama, keputusan berhijrah bukan satu keputusan mudah dibuat.

Namun, ketika ini saya membuat keputusan politik atas memenuhi kehendak rakyat. Kalau semua ahli politik boleh buat satu anjakan paradigma dengan memikirkan kehendak rakyat, kita perlu wadah perjuangan politik baharu.

Sebagai pemimpin yang matang dan berjiwa besar, kita kena terima keputusan rakyat memandangkan tanpa rakyat, siapa kita ini. Oleh itu, arus politik juga perlu berubah dan pemimpin kena mengikut arus perubahan diterjemahkan rakyat.

Terdapat ramai ahli dan penyokong Umno dan BN yang menggelar Datuk sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘katak’ kerana mengambil keputusan berhijrah wadah perjuangan politik. Komen Datuk?

Perkataan khianat agak subjektif. Kita kena fikirkan perbezaan antara khianat parti dengan hijrah parti. Khianat parti apabila kita bersama dengan parti namun kita tidak memberi kerjasama atau mensabotaj perjuangan parti dari dalam. Kalau berhijrah, kita tidak khianat tetapi membawa satu dimensi baharu dalam era politik kita.

Saya rasa dalam pendirian semua ahli politik, mereka boleh berubah. Ini bukan soal katak, tetapi penerimaan senario politik lebih matang. Hal ini disebabkan saya tengok dalam keadaan politik sekarang, wadah politik baharu diperlukan ahli politik untuk mengikuti arus perubahan sokongan rakyat.

Saya langsung tidak berniat untuk mengkhianati parti, tanyalah penyokong BN Bagan Serai, adakah saya pernah melakukan perbuatan yang mensabotaj kemenangan calon pada PRU14?

Malahan saya sendiri berjanji dengan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Zambry akan memenangkan semua calon yang berada di Parlimen Bagan Serai. Namun, fenomena tsunami rakyat di seluruh negara saya kena akur.

Setelah lebih 30 tahun berjuang dalam wadah politik Umno dan kini berhijrah kepada Bersatu, adakah Datuk masih ada rasa sayang untuk meninggalkan parti lama?

Memanglah siapa yang tidak sayang parti. Macam kita sudah bernikah dan bercerai, sesekali kita masih teringat pada janda kita, siapa kata yang kita tidak sayang?

Tetapi saya rasakan Umno dan BN memerlukan satu keajaiban untuk memulihkan kepercayaan rakyat. Parti itu ketika ini perlu satu anjakan paradigma bagi mengharungi jalan yang cukup sukar untuk kembalikan sokongan rakyat.

Pada pandangan peribadi Datuk, adakah BN dan Umno mampu mengembalikan kepercayaan rakyat dalam masa terdekat?

Saya tidak boleh menjawab soalan itu sebab saya bukan lagi ahli Umno.

Pandangan saya, kalau pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Zahid ada cara terbaik, BN mungkin boleh pulihkan sokongan rakyat.

Namun rakyat kini sudah matang menilai kualiti kepimpinan kerajaan. Dengan Harapan dan Bersatu diyakini mampu memenuhi kesemua janji manifesto yang ditawarkan sebelum ini, saya yakin rakyat akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Harapan kelak.

Terdapat spekulasi mengatakan ada dakwaan sabotaj calon-calon BN sewaktu PRU14 berlangsung di Parlimen Bagan Serai. Boleh Datuk ulas dakwaan itu?

Perkara itu (sabotaj) sudah berlalu dan saya tidak perlu dedahkan. Jika ungkit mengenai kesilapan memang banyak. Maklumlah bila pokok tumbang, semua kura-kura hendak panjat pokok tersebut. Yang berlalu biarkan berlalu.

Namun bagi saya perkara itu suatu hikmah di mana kita perbetulkan apa yang ada untuk menuju masa hadapan lebih cerah. Yang penting kebajikan rakyat dan saya rasa saya yakin penuh dengan kepimpinan MB baharu. Saya rasa dia orang muda dan dengan pemikiran segar serta pendekatan lebih mesra semua kaum, saya yakin sokongan rakyat terhadap kerajaan Harapan akan semakin meningkat.

Apa perancangan Datuk bagi memperkasakan Bersatu di Parlimen Bagan Serai dan Perak secara khususnya?

Selepas kemasukan saya, sambutan Bersatu di Bagan Serai agak luar biasa dan saya terima ramai panggilan untuk sertai Bersatu,

Cuma saya kena berbincang dengan kepimpinan Bersatu bahagian bagi membolehkan mereka sendiri yang membuat keputusan.

Jika ada andaian saya masuk bersatu untuk ambil alih jawatan ketua adalah tidak betul. Sebaliknya saya sedia bantu kepimpinan sedia ada untuk menterjemahkan sokongan rakyat kepada kita sebelum ini dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Adakah Datuk menjangka lebih ramai ahli Umno dan masyarakat ‘non partisan’ yang akan menyertai Bersatu pada masa hadapan?

Ya, saya jangkakan rama lagi ahli Umno dan rakyat Perak yang akan menyertai Bersatu dan Harapan dalam masa terdekat.

Ketika ini, borang keahlian Bersatu sendiri laku luar biasa, saya cuma boleh kata ‘tunggu’ kerana saya tiada kuasa untuk membuat keputusan.

Pada pandangan peribadi Datuk, apakah faktor utama menyumbang kekalahan kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib?

Saya fikir Faktor BN kalah disebabkan kos sara hidup terlalu tinggi menyebabkan rakyat di peringkat akar umbi turut terbeban.

Seperti dialami saya sendiri, kadangkala isteri bawa RM50 untuk beli barang dapur di pasar, dia mengeluh tidak mampu beli barang sebanyak diperlukan.

Saya rasa perkara ini yang utama dan mempengaruhi sentimen kemarahan pengundi baharu terhadap kerajaan BN pada PRU14.

Sewaktu Perak ditadbir kerajaan PR pada 2008, ramai mendakwa Menteri Besar ketika itu banyak dipengaruhi oleh keputusan DAP sekali gus menyebabkan sentimen DAP dimainkan BN. Kini Datuk menyertai kerajaan Harapan yang turut dianggotai DAP, adakah Datuk melihat sentimen dimainkan sebelum ini adalah benar atau suatu persepsi politik?

Secara peribadi, apa yang berlaku pada 2008 hanya persepsi politik. Sebagaimana MCA, DAP juga merupakan parti politik diwakili kaum Cina. Dalam soal ini, jika kita lihat politik secara matang, tiada masalah.

Bagi saya, pendekatan politik kita sebenarnya sudah matang apabila negara merdeka sejak 61 tahun lalu.

Jika isu sebegini menjejaskan kepentingan agama Islam, kita masih ada Majlis Fatwa Negeri Perak dan Kebangsaan dengan Sultan Perak sebagai payung yang melindungi kepentingan hak orang Melayu dan agama Islam.

Sekiranya terdapat kemungkinan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam dipertikaikan, adakah Majlis Fatwa tidak boleh menegur di mana baginda Tuanku Sultan Perak sendiri merupakan ketua agama Islam di Perak.

Jadi adakah baginda tidak boleh menegur kerajaan sedia ada jika berlaku sebarang kepincangan? Sebenarnya benteng pemeliharaan hak kaum Bumiputera dan agama Islam sendiri sudah tersedia ada dan tidak perlu dipertikaikan pihak tertentu.

Rakyat tidak perlu gusar dan paling penting mereka perlu kembali kepada pegangan Al-Quran dan Hadis.

Ada juga dakwaan Datuk bersama rakan pemimpin Umno keluar parti dan menyertai Bersatu semalam semata-mata mengejar ganjaran dalam bentuk wang tunai, harta, pangkat dan tender projek. Adakah Datuk bersetuju?

Ini merupakan keputusan politik dibuat mengikut perkembangan politik semasa. Saya harap semua sahabat terima dengan hati terbuka dan lebih matang berpolitik.

Kita tidak boleh berterusan mengamalkan politik jumud. Kita kena lihat politik secara mata helang dan bukan mata biawak. Kalau mata biawak, saya tidak boleh lihat politik secara keseluruhan dan semua aktivis politik perlu membuat perkiraan politik secara matang.

Saya turut dituduhkan kononnya saya dibeli, disogok wang untuk berhijrah parti. Perkara itu tidak benar kerana Bersatu merupakan parti baharu yang tiada wang.

Lainlah kalau BN yang merupakan satu institusi besar dan mempunyai kewangan parti yang kukuh.

Saya meminta semua pihak jangan bercakap sentimen faktor peribadi atau faktor wang kerana itu semua politik jumud. Jika fikir wang, lebih baik saya terus bersama BN.