• Dr Nujaimin Uidin Dr Nujaimin Uidin
1 /

KUALA TERERNGGANU – Persatuan Pembelajaran Perubatan Pasca Siswazah (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kesal apabila hanya 20 peratus pesakit beragama Islam menunaikan solat semasa mendapatkan rawatan di wad HSNZ.

Pengerusinya, Dr Nujaimin Uidin berkata, sebanyak 80 peratus pesakit yang ditempatkan di wad hospital berkenaan pula memberikan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan solat sedangkan menunaikan solat adalah wajib walaupun ketika sakit.

Menurutnya, maklumat berkenaan diperoleh berdasarkan kajian awal dijalankan pihaknya bermula sejak awal tahun ini dan keadaan berlaku disebabkan mereka kurang memahami kewajipan menunaikan solat fardu walaupun uzur, terlantar dan sebagainya.

“Sebagai pengamal perubatan yang peka terhadap kewajipan seorang Muslim, menjadi tanggungjawab kita berusaha memberi peringatan dan dakwah kepada pesakit khususnya untuk menunaikan solat lima waktu ketika mereka dirawat di wad hospital.

“Sebab dengan bersolat juga ia akan memberikan lebih ketenangan kepada pesakit,”katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Mukmin Profesional dan  Mesyuarat Agung Tahunan PGMES di sini.

Dr Nujaimin yang juga Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri di HSNZ berkata, pihaknya optimis untuk meneruskan usaha dakwah tersebut dan merancang untuk mengadakan bengkel solat di hospital dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, langkah tersebut selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia agar program seumpama itu yang tergolong dalam Program Mesra Ibadah dapat dilaksanakan di seluruh pusat perubatan di negara ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai PGMES, Dr Nujaimin berkata, PGMES kini memiliki lebih 400 ahli yang terdiri daripada kakitangan HSNZ dan seluruh jabatan kesihatan negeri.