BELIAU masih kurang dikenali, namun tugas yang dipikulnya di Parlimen sangat berat.

Menjawat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tugas Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin bukan mudah.

Namun berbekalkan ilmu yang tinggi sesuai pengalamannya dalam dunia akademik, Dr Mohd Radzi yang berpengalaman menjadi pensyarah di Australia komited untuk membawa pembaharuan dalam sistem ekonomi negara selaras dengan hasrat kerajaan PH. Ikuti wawancara Dr Mohd Radzi beramal Sinar Harian.

Mungkin Dr boleh berkongsi mengenai latar belakang Dr?

Saya berasal dari Ketereh, Kelantan selepas tingkatan empat saya ke Maktab Tentera Diraja Sungai Besi dan habis sahaja belajar saya ke persedian untuk ke Australia di maktab Sains Mara Trolak.

Pada Tahun 1997 saya ke Australia dan berada di sana  sehingga Mac 2018, saya mendapat ijazah pertama daripada La Trobe University Melbourne kemudian saya pulang ke tanah air melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia mendapat master MBA, dan saya kembali ke Australia untuk menyiapkan Doktor Falsafah (PHD) di Australia National University di Canberra dan disitulah saya ditawarkan untuk berkhidmat di situ dan jadi tenaga pengajar sehingga saya berpindah ke University of New South Wales di Sydney.

Saya berada di Sydney daripada tahun 2009- 2016. Kemudian saya pindah ke Hobalt, sebuah bandar terpencil dan sunyi di Australia, udara dan airnya paling bersih. Permandangan paling cantik dan niat saya untuk beri fokus kepada penyelidikan saya dan bidang saya adalah audit, perakaunan, forensik adalah bidang penyelidikan dan pengajaran saya.

Jadi saya berpindah ke Universiti Tasmania di Hobalt, jadi perpindahan tersebut adalah untuk membolehkan saya mencari tempat yang lebih tenang damai, dan tiada niat untuk melibatkan diri dalam politik secara langsung.

Bagaimana terjun ke bidang politik?

Semenjak saya di peringkat ijazah pertama lagi saya banyak bergiat cergas dalam pertubuhan pelajar, masa saya di La Trobe University saya adalah Presiden Persatuan Pelajar Malaysia.

Perjalanan politik saya lebih banyak dalam Umno bersama parti dan saya agak aktif dalam pertubuhkan pelajar.

Sehinggalah apabila timbul 1MDB, tidak ramai yang sebelah Umno bercakap mempertahankan isu ini.

Sebagai orang yang tahu sedikit sebanyak bidang akaun dan audit, saya kata saya kena belajar isu ini supaya saya dapat pertahankan parti.

Tapi apa yang terjadi sebaliknya, lagi banyak kita baca, lagi banyak kita tengok kemungkaran yang berlaku. Ianya mengambil masa yang lama dan isu 1MDB orang masih tidak peduli.

Saya dah baca dan kaji beribu muka surat sebelum dapat meyakinkan diri sendiri bahawa ini adalah kemungkaran yang besar, maka apabila isu ini memuncak dan saya mengambil keputusan untuk menulis mengenai ini dalam Facebook tentang isu menjelaskan dengan cara yang lebih mudah, sebab isu ini kompleks.

Bukan mudah orang nak faham, jadi saya permudahkan berdasarkan pemahaman kita sehinggalah bila saya pindah ke Hobalt, semasa saya pindah ke sana masih belum ditubuhkan Bersatu, jadi saya ada beritahu kepada pemimpin Umno masa itu bahawa orang Melayu tiada pilihan kecuali Umno.

Orang Melayu kalau nak bergerak ke parti lain, pasti sudah lama ada satu kelompok besar yang mengambil keputusan untuk bergerak sekiranya ada alternatif kepada Umno maka parti itu akan mati jika mereka berterusan sebegitu.

Bila ditubuhkan parti Bersatu pada September 2016, saya mendaftar secara online di Hobalt. Saya masuk parti dan sahabat di Ketereh minta saya jadi Ketua Bahagian mereka, tapi saya keberatan sebab saya tinggal di Hobalt, dan saya berjumpa dengan Presiden parti berbincang dengan beliau mengenai keadaan saya dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Kalau parti rasa saya boleh menyumbang kepada parti dan saya sedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai ketua bahagian tetapi perlu difahami saya tinggal jauh, saya tidak mahu pegang jawatan tapi tidak menjalankan tanggungjawab.

Apabila ada konsensus mengenai isu tersebut, jadi saya terima jawatan itu bermula secara aktif selepas Disember 2016, diantara itu sehingga Mac 2018, saya berulang alik dari Hobalt ke Ketereh seingat saya sebanyak 8 kali.

Habis cuti tahunan saya digunapakai, dan itu dibuat semata-mata untuk bantu Malaysia. Orang kata saya buat kerja gila duduk di Australia selama 20 tahun, dan kenapa nak balik.

Saya jelaskan kepada mereka bahawa saya dikurnaikan ilmu PHD dalam bidang audit mengajar penyelidikan dan saya kata ilmu ini datang dengan tanggungjawab jadi kalau saya pentingkan diri sendiri, saya boleh duduk Australia.

20 tahun duduk negara orang, bagi saya sampai masa untuk kita berjuang, kita perlu berjuang. Saya ulang alik dari Hobalt ke Ketereh guna wang sendiri bagi menjalankan tanggungjawab saya sebagai ketua bahagian sehingga Mac, saya ambil keputusan untuk letak jawatan sebagai pensyarah.

Inilah kemuncak daripada keputusan gila, ada sahabat datang kepada saya cakap untuk seseorang mendapat pekerjaan sebegini di Australia susah, tapi awak dapat kerja dan gaji besar, boleh tinggal sana dan bina keluarga tapi kenapa berhenti untuk masuk ke bidang yang tidak tentu hala.

Masa itu kita tidak tahu bila Parlimen dibubarkan, jadi calon pun saya tidak pasti. Tapi saya ambil tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian, itu amanah dan saya rasa itu adalah satu amanah yang diberikan kepada saya. Saya kena buat.

Masa saya hantar surat perletakan jawatan sebagai pensyarah, ketua saya tanya diantara 30 juta rakyat Malaysia kenapa kamu yang pilih keputusan ini. Saya kata kepada dia, ini khidmat saya kepada negara dan ini yang perlu saya buat kepada negara.

Saya kena lawan bila benda tidak betul berlaku kepada negara. Dari situ saya balik Malaysia dan siapkan jentera sebelum PRU dan saya diumumkan calon di Ketereh dan kalah.

Memandangkan saya baru dan bertanding dalam parti baru, maka daya tarikannya tidak begitu kuat di Kelantan.

Lepas kalah di Ketereh, saya senyap sahaja. Sehingga saya ditanya oleh bekas majikan sama ada hendak kembali ke Australia namun saya kata beri masa saya fikir dan akhirnya saya ambil keputusan untuk terus tinggal di sini.

Saya buat keputusan untuk tinggal sebab saya ada misi untuk bantu kerajaan dalam keadaan PH masih baru jadi saya kekal disini dengan anak-anak.

Sehinggalah saya mendapat satu panggilan daripada Tun Dr Mahathir sendiri, beliau tanya apa yang berlaku dan beliau maklumkan bahawa ingin melantik saya sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Tun Dr Mahathir buat panggilan itu pada Raya Aidilftri keempat, ini satu sejarah dalam hidup saya Perdana Menteri telepon saya melalui pejabat beliau. Saya faham kaedah itu dan saya amat terkejut.

Kenapa Dr yang jadi pilihan Tun. apa kelebihan?

Saya tidak tahu mengapa Tun pilih saya sebagai timbalan menteri, mungkin pendididkan dan pendedahan saya mengenai 1MDB.

Ada tanya Tun mengapa pilih Dr sebagai ahli Kabinet?

Saya secara peribadi tidak tanya sebab saya yakin bila Tun buat keputusan beliau sudah mengambil kira faktor yang relevan dalam buat keputusan. Bagi saya itu adalah satu amanah yang cukup besar daripada Tun.

Saya ada pilihan untuk kembali kepada Umno tapi hati ini tidak terbuka sebab saya fikir bila nampak isu 1MDB.

Isu 1MDB yang buat saya masuk politik sebab perkara ini bidang saya dan saya bawa banyak penyelidikan dan baca beribu muka surat untuk dapat fahaman.

Bercakap mengenai tugas sebagai timbalan menteri, bagaimana fokus Dr dalam menjawat jawatan ini?

Sebagai seorang yang baru dalam politik secara langsung dan dilantik ke kementerian yang agak kanan dan banyak perkara yang perlu diambil kira, adalah satu pembelajaran yang agak sukar bagi saya.

Kena belajar banyak lagi dalam masa yang singkat. Saya dilantik sebagai senator dan timbalan menteri hampir sebulan, dan nak selesaikan urusan pejabat dan dilantik semasa Parlimen bersidang, maka saya kena kemas kini dengan isu dan soalan dalam masa yang singkat adalah satu cabaran.

Agak besar bagi saya bila bercakap tentang Felda, ekonomi negara, dan ia singkat untuk saya fahami segala itu.

Tapi saya yakin dengan sokongan daripada pihak kementerian dan menteri sebagai ketua yang banyak beri panduan kepada saya dan saya selesa biarpun baru sebulan saya di Kabinet.

Saya selesa untuk berada dalam keadaan dimana saya perlu jawab soalan di Parlimen dan kita harus cepat tangkap dengan semua isu tapi setakat ini saya berjaya harungi.

Fokus utama Dr dalam merencanakan jawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi?

Buat masa ini saya masih belum berbincang sehingga satu keputusan dibuat secara keseluruhan mengenai agensi mana yang akan berada di bawah kementerian. Sehingga ia diputuskan kita tunggu. Buat masa ini masih awal lagi.

Adakah agenda Bumiputera akan diutamakan?

Saya akan bercakap balik tentang isu ini bila sudah selesai semua.

Bagaimana kombinasi dengan Datuk Seri Azmin Ali?

Saya rasa cukup bersyukur saya masuk kementerian ini, dalam masa sebulan saya diberikan peluang bekerja dengan menteri kerana banyak saya belajar dan banyak yang diberikan kepada saya untuk berkongsi pendapat dan pandangan.

Ianya cukup memudahkan proses pembelajaran saya dalam kementerian baru ini.

100 hari pentadbiran Pakatan Harapan makin tiba. Bagaimana dengan janji manifesto PH? Adakah perlu mohon maaf?

Isu mohon maaf atau tidak, bagi saya tidak timbul. Apabila janji diberikan akan selesaikan dalam masa 10 hari sebagai contoh, kalau tidak boleh selesaikan adakah bermakna kita tidak akan selesaikan.

Kalau tidak boleh selesaikan dalam masa 10 hari (sebagai contoh), tidak bermakna kita akan hentikan. Tempoh masa itu hanyalah untuk beri tekanan kepada kerajaan untuk beri kejayaan.

Katanya kita tidak berjaya dalam masa yang ditetapkan, saya sempat selesaikan sebanyak ini sahaja dalam tempoh itu, takkan bermakna kita akan hentikan perkara itu. Semua ini benda yang berterusan tapi tekanan itu wujud dan membolehkan kita bekerja dengan lebih efektif dan efisyen.

Maknanya kalau sampai 100 dan tidak boleh laksanakan itu, bukan maknanya kita gagal. Kita tengok dari segi kewangan, apabila kita masuk fasa baru kita tahu inilah kedudukannya.

Bila kita tidak laksanakan (dalam 100 hari) bukan maknanya kita tidak perlu buat apa. Bukan macam itu, bila sampai 100 hari, yang mana tidak berjaya diselesaikan akan cuba diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh yang realistik.

Itulah kaedahnya dan kerajaan yang ada pada hari ini dipilih bukan untuk 100 hari. Kita dipilih untuk berkhidmat selama 5 tahun, jadi bila 100 hari satu tempoh itu selesai kita tengok apa yang telah diselesaikan dan apa yang tidak.

Yang tidak berjaya akan diteruskan, itulah konteks 100 yang dijanjikan kerajaan. Kita jangan terlampau pasti bahawa 100 hari maknanya itu sahaja yang dilihat.

Secara umumnnya, rakyat tidak begitu melihat kepada 100 hari sahaja. Ramai yang sudah realistik apabila melihat kita telah memulakan langkah berusaha tetapi kekangannya diluar kawalan kita menyebabkan kita tidak boleh bertindak dan melaksanakannya.

Kita tengok bagaimana Tun bekerja, siang malam tidak henti untuk capai maltlamat tersebut.